BANI ISRAEL DI BUMI PALESTIN
42. Bani Israel telah mendirikan kerajaan mereka di bumi Palestin selama 500 tahun. Di sepanjang pemerintahan Bani Israel, mereka tidak pernah merasa aman dan damai melainkan di zaman pemerintahan Nabi Daud a.s dan awal pemerintahan Nabi Sulaiman a.s selama 50 tahun.
43. Sejarah pemerintahan Bani Israel di bumi Palestin telah dibahagikan kepada 3 zaman : -
i. Zaman pemerintahan Qadi (hakim)
ii. Zaman pemerintahan beraja
iii. Zaman perpecahan dan kehancuran
ZAMAN PEMERINTAHAN HAKIM
44. Seperti yang telah disebut di dalam "Safar Al-Qudah" bahawa Zaman Pemerintahan Hakim selama 4 kurun namun mengikut fakta sejarah ianya hanya 1 kurun sahaja . Dinamakan Zaman Pemerintahan Hakim kerana yang dipilih di kalangan dua belas puak Bani Israel mempunyai kuasa tertinggi namun setiap puak mempunyai kebebasan dan undang-undang tersendiri yang dipimpin oleh ketua mereka yang tertua. Peranan Hakim hanyalah sekadar menyelesaikan permasalahan yang berlaku di antara puak-puak yang bertelagah akan tetapi keputusannya tidaklah wajib dipatuhi oleh mereka. Terpulanglah kepada kepimpinan puak tersebut untuk menerima atau menolak keputusan yang dibuat.
45. Hakim dipilih di kalangan pendita-pendita mereka dan tidak disyaratkan ianya seorang lelaki malah terdapat juga di kalangan Hakim yang memerintah beberapa orang perempuan.
ZAMAN PEMERINTAHAN BERAJA
46. Pada akhir zaman pemerintahan Hakim, Bani Israel bangkit memberontak di atas kezaliman yang dilakukan oleh hakim-hakim yang banyak menerima rasuah. Bani Israel telah pergi berjumpa dengan seorang Nabi di kalangan mereka yang bernama Syamwildan meminta daripadanya supaya melantik seorang raja bagi menyatukan puak-puak Bani Israel yang berpecah belah agar dapat mereka berperang di bawah kepimpinannya di bawah musuh-musuh mereka.
47. Maka Syamwil denagn petunjuk Allah telah melantik Thalut sebagai raja dan panglima mereka untuk memerangi orang-orang Kan'an.
48. Di dalam satu peperangan yang diketuai oleh Thalut di mana Nabi Daud a.s adalah salah seorang daripada tentera telah dapat membunuh panglima tentera Kan'an yang bernama Jalut. Semenjak dari itulah nama Nabi Daud a.s disanjung oleh Bani Israel. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan dendam dan dengki yang membara di dalam hati Thalut menyebabkan dia bertindak memerangi dan menghalau Nabi Daud a.s.
49. Nabi Daud telah lari menyelamatkan dirinya lalu bergabung dengan orang-orang Kan'an serta mengambil peluang di atas kelemahan Bani Israel dengan menyerang mereka. Akhirnya Nabi Daud a.s berjaya menjadi raja yang ke-2 bagi Bani Israel sepertimana yang disebut di dalam "Safar Syamwil Yang Ke-2".
50. Nabi Daud a.s telah memerintah selama 40 tahun. Pada 7 tahun yang pertama dia menjadikan Habron sebagai pusat pemerintahan. Selepas daripada itu, dia memilih Aour Shyalim sebagai ibu negara kepada kerajaannya .
51. Zaman pemerintahan Nabi Daud a.s. adalah zaman yang terbaik di zaman kewujudan Bani Israel di bumi Palestin. Ini disebabkan oleh 2 unsur utama : -
i. Kelemahan Maharaja Mesir dan Babylon
ii. Nabi Daud a.s telah mengadakan perjanjian damai dengan raja Finique yang bernama Hairon.
52. Nabi Sulaiman telah mengambil alih tampuk pemerintahan selepas kewafatan ayahandanya. Semasa pemerintahan Nabi Sulaiman, kerajaan Bani Israel berada di kemuncak kegemilangannya. Ini disebabkan oleh Nabi Sulaiman telah mengadakan ikatan kekeluargaan di antaranya dengan Shisyak iaitu raja Mesir.
53. Selepas daripada itu kerajaan Bani Israel menjadi lemah disebabkan oleh:-
i. Hidup dalam kemewahan dan suka berfoya-foya.
ii. kezaliman dan kekerasan daripada kerajaan Nabi Sulaiman.
iii.Terlalu ramai bilangan isteri dan perempuan-perempuan simpanan
iv.Terdapat beberapa pemberontakan yang dipimpin oleh Yarba'am.
ZAMAN KEHANCURAN
54. Rahbaam putera Nabi Sulaiman telah mengambil tampuk pemerintahan selepas kewafatan ayahandanya dan dia mendapat sokongan dari dua puak iaitu Yahouza dan Bunyamin. Adapun sepuluh puak lagi enggan memberi sokongan kepada Rahbaam dan melantik Yarba'am yang pernah mengetuai pemberontakan di zaman pemerintahan Nabi Sulaiman a.s sebagai raja mereka. Pada ketika itulah kerajaan Bani Israel telah berpecah dua kerajaan:-
i. Kerajaan Selatan, ibu negaranya Aour Syalim yang dipimpin oleh Rahba'am. Negara mereka bernama kerajaan Yahouza.
ii. Kerajaan Utara, ibu negaranya Nablus, pengasas dan rajanya yang pertama ialah Yarba'am. Negara mereka dinamakan kerajaan Israel.
KEHANCURAN KERAJAAN YAHOUZA DAN ISRAEL
55. Pada tahun 721 sebelum masehi, raja-raja orang-orang Ashur yang bernama Shalman Ashar telah menyerang kerajaan Israel dan berjaya menawan rajanya Husya' Bin Ilah. Kerajaan Israel merupakan sebahagian dari tanah kerajaan Ashur.
56. Pada tahun 608 sebelum masehi, kerajaan Mesir bersama bala tentera yang besar telah menyerang Palestin dan menawan kerajaan Yahouza. Dalam peperangan tersebut mereka mendapat kemenangan dan mereka meneruskan serangan ke utara sehinggalah kerajaan Israel yang berada di bawah taklukan kerajaan Ashur jatuh ke tangan mereka.
57. Kejatuhan kerajaan Israel ke tangan orang-orang Mesir telah menimbulkan kemarahan Maharaja Bakhtanshar lalu berlakulah satu pertempuran yang hebat di antara dua maharaja Mesir dan Babylon. Akhirnya Maharaja Bakhtanshar dapat menawan kembali kerajaan Israel sekaligus dapat merebut takhta kerajaan Yahouza dari tangan Maharaja Mesir. Maharaja Bakhtanshar telah membunuh raja kerajaan Yahouza yang terakhir bernama Sidqia dan menghancurkan bandar Aour Shyalim serta menghalau semua Bani Israel keluar dari negara mereka. Ini berlaku pada tahun 586 sebelum masehi dan mereka dikenali sebagai tawanan Babylon.
BANI ISRAEL SELEPAS KEHANCURAN NEGARA MEREKA
58. Selepas kehancuran kerajaan Israel dan Yahouza, tiada lagi mereka yang berketurunan Bani Israel di bumi Palestin. Pada tahun 538 sebelum masehi Kerajaan Babylon telah jatuh ke tangan orang-orang Parsi. Ketika itu Raja Parsi telah membenarkan orang-orang Yahudi yang hidup di pelusuk negara Babylon pulang ke tanahair mereka.
59. Kepulangan orang-orang Yahudi ke negara mereka di zaman pemerintahan Parsi tidak ubah seperti daripada kepulangan beberapa keluarga untuk menziarahi sanak saudara. Mereka lebih suka hidup di dalam buangan daripada kembali ke Palestin.
60. Mereka yang pulang dan menetap di Palestin telah bekerjasama dengan panglima Iskandar Al-Makdoni untuk menyerang Palestin dan menentang kerajaan Parsi. Selepas kewafatan Iskandar, Palestin diperintah oleh kerajaan Rom. Di sepanjang pemerintahan tersebut, Bani Israel bangkit memberontak pemerintah mereka sehinggalah pada tahun 70 masehi kerajaan Rom telah menghukum mereka dengan memusnahkan kediaman mereka dan menghalau mereka keluar dari Palestin.
61. Pada zaman pemerintahan kerajaan Rom ke atas Palestin, lahirlah seruan yang dibawa oleh Nabi Isa a.s untuk mengajak Bani Israel ke jalan yang benar akan tetapi seruan tersebut ditolak oleh mereka.
62. Pada tahun 135 masehi sekali lagi Bani Israel bangkit memberontak menentang kerajaan Rom. Di dalam pemberontakan tersebut, kerajaan Rom telah membunuh sesiapa sahaja yang mereka temui dari kalangan Bani Israel. Mereka yang terselamat dari penghapusan etnik kerajaan Rom telah lari ke serata dunia dan bumi Palestin telah sunyi daripada Bani Israel.
63. Ketika Saidina Umar r.a. membuka Baitul Maqdis pada tahun 636 m, tidak seorang pun yang berketurunan Yahudi berada di kota suci itu. Di antara syarat penyerahan kota suci ke tangan orang islam ialah tidak dibenarkan seorang pun orang Yahudi mendiami kota suci ini.
KITAB SUCI ORANG YAHUDI
64. Dikalangan orang-orang Yahudi terdapat dua kitab suci iaitu:-
a . Perjanjian lama.
b . Talmut.
65. Melihat kepada pendapat yang terkuat, kitab perjanjian lama adalah lebih utama dari kitab Talmut walaupun ada dikalangan sarjana pengajian ilmu ketuhanan mengatakan bahawa kitab Talmut lebih utama dari kitab perjanjian lama. Namun, saya lebih cenderung kepada pendapat yang pertama dan akan membicarakan mengenai kitab perjanjian lama sahaja dengan menyentuh pengamalan terhadap kitab Talmut
66. Kitab Talmut ialah tulisan tulisan riwayat-riwayat yang dinukilkan daripada pendita-pendita Yahudi dari generasi ke generasi. Talmut bolehlah dianggap sebagai pentafsilan kepada ajaran yang terdapat di dalam kitab perjanjian lama.
67. Kitab perjanjian lama merupakan kitab suci di kalangan orang-orang Yahudi dan Kristian. Namun, terdapat perbezaan diantara mazhab Katolik dan Prosteston dalam mengiktiraf beberapa Safar dalam kitab perjanjian lama.
68. Mazhab Katolik mengiktiraf sebanyak 46 Safar termasuklah 5 Safar Musa yang dinamakan dengan Taurat. Manakala Prosteston pula, hanya mengiktiraf 39 Safar sahaja termasuk Safar Musa (Taurat).
69. Kitab suci perjanjian lama merupakan ajaran, syariat, akhlak, bacaan, doa dan sejarah perjalanan Bani Israel. Ia terbahagi kepada Safar-safar yang boleh diertikan sebagai surah-surah di dalam Al-Quran. Selain itu, ia juga terbahagi kepada Al-Ashah. Beberapa Ashah pada setiap Safar adalah sama pengertian dengan hizib di dalam surah-surah Al-Quran.
70. Kitab perjanjian lama terbahagi kepada 4 bahagian utama :-
a . Kitab Musa atau Safar 5 ( Pantateuch ).
b . Safar-safar sejarah.
c . Safar-safar doa dan syair.
d . Safar kenabian.
Saya akan membicarakan secara ringkas mengenai Safar Musa atau Taurat manakala bakinya akan disebut pengenalannya sahaja. Ini kerana Safar Musa atau Taurat merupakan kesimpulan ajaran yang dibawa dalam agama Yahudi.
SAFAR MUSA
71. Safar Musa dikenali sebagai Safar 5 atau Taurat. Ia adalah sebahagian dari kitab perjanjian lama dan mengandungi 5 Safar iaitu:-
a . Safar ciptaan alam.
b . Safar penghijrahan.
c . Safar pengulangan.
d . Safar Kaum Lawai.
e . Safar Bilangan.
72. "Safar ciptaan alam" diberi nama sempena sejarah penciptaan alam, Adam dan Hawa yang diturunkan ke bumi bersama anak-anaknya setelah memakan pohon yang dilarang. Ia juga menceritakan tentang Nabi Nuh a.s. dengan peristiwa taufan, Nabi Ibrahim serta keturunannya Ishak dan Yaakub, Nabi Yaakub dan anak-anaknya, Nabi Yusuf dan kehidupannya di Mesir dan berakhir dengan kisah kematian Nabi Yusuf a.s.
73. "Safar penghijrahan" pula mengisahkan tentang keadaan Bani Israel selepas kewafatan Nabi Yusuf dan kezaliman raja Mesir terhadap mereka. Ia juga mengandungi cerita mengenai kelahiran Nabi Musa a.s., mukjizat yang Allah berikan kepadanya, kisahnya yang membawa Bani Israel keluar dari Mesir dan berjaya menyeberangi lautan sehinggalah mereka sampai ke timur Jordan. Safar ini juga menceritakan tentang 10 wasiat yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Musa sebagai ajaran dan larangan kepada Bani Israel.
74. "Safar kaum Lawi" dinisbahkan kepada puak Levi yang mana ia adalah salah satu dari 12 puak Bani Israel. Hasil dari keturunannya, lahir Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. Safar ini merupakan safar yang menceritakan tentang syariat dan perundangan yang perlu dipatuhi oleh orang-orang Yahudi dalam kehidupan seharian mereka.
75. "Safar bilangan" pula bersempena dengan peristiwa Nabi Musa yang membilang pemuda-pemuda yang berumur dalam lingkungan 20 tahun ke atas selepas mereka terselamat dari Firaun - Mesir iaitu seramai 603550 orang kecuali pemuda dari puak Levi.
76. "Safar Ulangan" pula ialah safar yang mengulangi dan menyempurnakan hukum-hakam dan syarat yang terdapat dalam safar Levi.
SAFAR SEJARAH
77. Safar Sejarah mengandungi 16 safar iaitu:-
a. Safar Yasyu'. (Seorang panglima perang yang telah berjaya membawa Bani Israel masuk ke kota Palestin.)
b. Safar Hakim. (Mereka ialah para hakim yang memerintah Bani Israel ketika awal mereka berada di bumi Palestin.)
c. Safar Raja I.
d. Safar Raja II.
e. Safar Raja III.
f. Safar Raja IV.
g. Safar Hari-hari I.
h. Safar Hari-hari II.
i. Safar Raaus. (Nenek kepada Nabi Daud dari sebelah ayahnya.)
j. Safar Azra.
k. Safar Nahmia.
l. Safar Tubia.
m. Safar Astir. (Seorang panglima Israel yang telah berkahwin dengan raja Parsi dan telah menyelamatkan bangsa Israel.)
n . Safar Yahoudid.
o . Safar Mukabi I.
p . Safar Mukabi II.
SAFAR DOA DAN SYAIR.
78. Safar ini mengandungi 6 safar yang bermula dengan:-
a . Safar Ayub. d . Safar Himpunan.
b . Safar Mazanir. e . Safar Lagu.
c . Safar Pujangga. f . Safar Kesedihan Armia.
SAFAR KENABIAN.
79. Safar kenabian terdiri dari:-
a. Ashaia. h. Amus. o. Hiji.
b. Armia. i. Oubdia. p. Zakaria.
c. Barukh. j. Yunan. q. Malakhi.
d. Hazkial. k. Mikha. r. Safar Hikmah.
e. Dania. l. Nahum. s.Yasyu'Sirakh.
f. Husya'. m. Hebkuk.
g. Yuail. n. Sofnia.
80. Kitab perjanjian lama merupakan himpunan cerita-cerita dongeng,kata-kata hikmah,pesanan dan syariat.Uslub penulisannya berbeza diantara satu safar dengan safar yang lain.Kadang-kadang ia ditulis dalam bentuk syair ataupun biasa dengan membawa roh yang menggambarkan penderitaan dan kesedihan.Ia juga kadang-kadang ditulis dalam bentuk yang ganas dan tidak bertamadun.
BEBERAPA PERSOALAN PERBANDINGAN.
81.a. Ketuhanan seperti yang terdapat dalam kitab perjanjian lama.
b. Sifat-sifat tuhan dalam kitab perjanjian lama.
c. Sifat-sifat para nabi dalam kitab perjanjian lama.
d. Hari Kiamat.
82. Sesungguhnya semua agama yang diturunkan oleh Allah menyeru kepada mentauhidkannya. "Sesungguhnya telah kami utuskan untuk semua ummah para utusan bagi mengajak mereka menyembah Allah dan menjauhkan diri daripada Thoghut". (Surah al-Nahl : 26).
83. Begitulah peranan para rasul dan nabi dalam mentauhidkan Allah. Nabi Musa adalah nabi yang pertama diutuskan oleh Allah untuk umat Israel. Beliau mengajak umat Israel menyembah Allah dan mengesakan-Nya. Ini jelas terdapat dalam Al-Quran juga At-Taurat walaupun telah diselewengkan seperti yang disebut di dalam wasiat 10 yang berbunyi:- "Jangan ada di kalangan kamu tuhan yang lain di hadapanku. Jangan kamu mengambil patung yang diukir atau sesuatu gambar dan apa-apa yang ada di langit di atas dan di bawah, di dalam air dan di bawah bumi. Janganlah sekali-kali kamu sujud kepada tuhan selain dariKu dan menyembah mereka." -Safar penghijrahan Ishah ke-20, ayat 3.
84. Kitab perjanjian lama telah menceritakan kepada kita bahawa Bani Israel tidak berpegang kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Contohnya seperti kisah lembu Samiri, mereka tetap menyembahnya dan mengingkari Allah walaupun Nabi Musa masih hidup. Begitu juga selepas kewafatan Yusya' bin Nuh, sekali lagi mereka mengsyirikkan Allah. Mereka telah menyembah apa yang disembah oleh tuhan orang-orang Asyur yang bernama Ba'lim. Salah seorang raja Bani Israel yang bernama Yusijia telah membersihkan tempat ibadat mereka dari ribuan berhala dan patung yang disembah dengan menghancur dan membakarnya. Sekaligus menghalau para pendita yang mengajak Bani Israel menyembah berhala. Di awal perpecahan kerajaan Israel Yarbaam, raja kerajaan Israel telah membuat sebuah patung yang berupa anak lembu dari emas tulen sebagai sembahan dan tempat penyembelihan bagi orang-orang Yahudi untuk mengelakkan mereka dari pergi ke Our Shalim, ibu negara kerajaan Yahuza yang dipimpin oleh Yarbaam.
85. Apabila kita membaca kitab perjanjian lama, kita akan dapati Bani Israel telah beberapa kali mengsyirikkan tuhan mereka dengan menyembah pelbagai patung sama ada ia dari kaum di sekeliling mereka atau yang dibuat oleh mereka sendiri.
86. Sifat-sifat tuhan yang terdapat di dalam kitab perjanjian lama merupakan gambaran kepada kecenderungan Bani Israel dan keperibadian mereka. Jadi, bukanlah suatu perkara yang pelik jika tuhan yang digambarkan oleh kitab perjanjian lama bersifat ganas, penipu, perompak dan tidak bermaruah. Seolah-olah mereka menggambarkan bahawa tuhan mereka adalah ketua kepada kumpulan penyamun.
87. Seperti yang disebut di dalam "safar pembentukan alam" bahawa tuhan telah menyerupai seorang manusia dan bergelut dengan Nabi Yaakub sehingga ke subuh. Tuhan tidak mampu mengalahkan Nabi Yaakub melainkan dengan menggunakan satu tipu helah yang berjaya mematahkan peha Nabi Yaakub.
88. Ini jelas terbukti apabila tuhan Yahudi itu membatalkan hasratnya untuk menghancurkan hamba-hambanya yang menyembah berhala setelah dipujuk oleh nabi Musa. Sebaliknya dia merasa sedih dan menyesal.
89. Apabila kita ingin memperkatakan tentang sifat para nabi, semestinya kita akan menyifatkan mereka dengan sebaik-baik sifat kerana mereka adalah rasul dan pilihan Allah di atas muka bumi. Namun sebaliknya yang berlaku dalam kitab perjanjian lama kerana ia telah meletakkan para nabi di suatu tempat yang tidak selayaknya. Kadang-kadang ia menganggap nabi tersebut sebagai penzina, penipu dan pembunuh yang tidak berperikemanusiaan.
90. Di dalam "safar penghijrahan", perjanjian lama telah mengatakan bahawa Nabi Harun a.s telah mencipta sebuah patung yang berupa lembu untuk disembah oleh Bani Israel sewaktu ketiadaan nabi Musa disebabkan oleh perasaan dengkinya.
91. Di dalam "safar samwil ke-2" telah menceritakan bahawa Nabi Daud pernah mencintai seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang tenteranya. Keadaan ini bermula sewaktu Nabi Daud bersiar-siar di istananya di Aour Shalim. Pada ketika itu dia telah melihat seorang perempuan yang sedang mandi di rumahnya lalu terus jatuh cinta. Apabila diselidik perempuan tersebut adalah isteri kepada salah seorang tenteranya. Maka dia telah memerintahkan panglima tentera supaya menugaskan suami kepada perempuan tersebut berada di barisan hadapan dalam peperangan. Apabila berita kematian lelaki berkenaan sampai kepada nabi Daud, dia terus mengahwini perempuan tersebut. Sebenarnya perempuan itu adalah ibu kepada Nabi Sulaiman.
92.Mengenai Nabi Sulaiman pula, perjanjian lama telah menceritakan bahawa Nabi Sulaiman mempunyai 700 orang isteri di kalangan perempuan yang merdeka dan 300 di kalangan hamba. Setengah daripada isterinya itu adalah penyembah berhala. Mengikut cerita, Nabi Sulaiman sentiasa menyembah berhala yang dimiliki oleh para isterinya pada akhir hayat beliau.
93. Apabila kita perhatikan di dalam Al-Quran, Allah telah menegaskan bahawa Nabi Musa telah membawa satu risalah yang mengajak ummahnya menyembah Allah yang Maha Esa, mendirikan solat serta beriman dan yakin akan kedatangan hari kiamat (surah Taha). Berbeza dengan apa yang digambarkan oleh kitab perjanjian lama yang mana tidak didapati satu kalimah pun yang menceritakan tentang hari kiamat dan apa-apa yang berlaku di dalamnya seperti balasan baik dan buruk. Kitab perjanjian lama hanya menyatakan bahawa balasan terhadap amalan yang di lakukan oleh seseorang hanyalah di dunia semata-mata. Sesiapa yang berbuat baik akan mendapat kehidupan yang bahagia di dunia dan sesiapa yang engkar serta kufur juga akan terus menerima penyiksaan di dunia ini.
MAZHAB DAN FIRQAH DI DALAM AGAMA YAHUDI.
94. Agama Yahudi sepertimana agama lain mempunyai pelbagai fahaman dan mazhab, di mana setiap mazhab mendakwa bahawa mereka adalah yang terbaik berbanding dengan yang lain.
95. Perkara utama yang menjadi perbezaan di antara mazhab-mazhab tersebut ialah pengiktirafan mereka terhadap kitab Talmud dan kepercayaan terhadap kebangkitan selepas kematian.
96. Di antara mazhab utama dalam agama Yahudi ialah :-
a. Farasiyun (Rabbaniyun) d. Hadasiyun
b. Soduqiyun e. Samiriyun
c. katabah f. Qurraayun.
97. Golongan Farasiyun lahir selepas kejatuhan kerajaan Bani Israel di Palestin yang disebabkan oleh serangan orang-orang Babylon, golongan ini menyeru Bani Israel agar kembali berpegang kepada aqidah mereka yang asal sebelum kejatuhan kerajaan mereka. Mereka berkeyakinan bahawa hanya dengan kembali kepada ajaran yang sebenar sahaja yang mampu untuk mengembalikan kegemilangan mereka.
98. Mereka beriman dengan hari akhirat dan kebangkitan selepas kematian. Pada pandangan mereka balasan baik hanyalah terhadap orang-orang yang soleh dan ia akan berlaku di atas muka bumi ini. Adapun orang-orang yang jahat dan derhaka, mereka akan mati.
99. Mereka juga beriman bahawa di samping kitab Taurat, terdapat sebuah kitab yang bernama Talmut yang mana ia juga adalah kitab suci. Para pendita mereka yang bergelar Hakamah adalah maksum iaitu terpelihara dari segala kesilapan dan kedosaan. Aqidah ini begitu menebal di dalam jiwa orang-orang Yahudi sehinggakan jika seorang Hakamat berkata kepada seseorang bahawa tangan kirinya adalah tangan kanannya, orang itu haruslah membenarkan kata-kata Hakamat tersebut dari dirinya sendiri.
100. Sebenarnya golangan "Farasiun" adalah sebuah gerakan politik yang berasaskan agama dan bertujuan untuk mengembalikan negara Israel. Mereka kadang-kadang menggunakan keganasan dan kekerasan untuk mencapai matlamat mereka. Cogankata yang mereka gunakan ialah "matlamat menghalalkan cara".
101. Golongan "Assodiqiun" pula mengingkari balasan dan hari kebangkitan. Mereka beriman bahawa balasan baik dan buruk hanyalah di dunia ini sahaja.
102. Mereka tidak mengiktiraf akan kesucian kitab Talmut kerana hanya kitab Taurat sahaja yang menjadi panduan hidup mereka. Golongan ini terdiri daripada orang-orang bangs.a.w.an yang menghormati undang-undang negara dan agama yang lain selagi tidak bercanggah dengan ajaran Taurat.
103. "Hasadiun" pula bererti mereka yang menjadikan kezuhudan sebagai cara hidup mereka. Golongan ini lahir pada zaman pemerintahan kerajaan Mokabi di sekitar tahun 173-175 sebelum masihi. Mereka amat berbeza jika dibandingkan dengan golongan yang lain dari segi ibadah dan adat resam. Orang-orang Hasadiun mengharamkan segala bentuk penyembelihan dan korban. Dari segi syariat pula, mereka menolak fahaman pembezaan etnik di antara Yahudi dan bukan Yahudi. Mereka menyeru kepada kaum Yahudi agar hidup secara aman dan damai bersama kaum yang lain. Mereka mengharamkan perniagaan dan penipuan serta mengajak kepada kehidupan yang zuhud dan menjauhkan diri dari perempuan. Ini berbeza dengan ajaran yang dibawa oleh agama Yahudi yang mana perkahwinan merupakan kewajipan agama.
104. Golongan "Qurraun" merupakan pengikut kepada Anan bin Daud iaitu salah seorang dari ulamak di kalangan orang Yahudi yang hidup di Baghdad pada zaman pemerintahan Abu Jaafar Al-Mansur. Mereka hanya mengiktiraf kitab Taurat sebagai kitab suci dan menggunakan ijtihad dalam meletakkan beberapa perundangan dalam agama Yahudi.
105. Golongan "Katabah" pada asalnya merupakan penyalin atau tukang tulis kitab suci kepada sesiapa yang menghendakinya.
PENYELEWENGAN TAURAT DAN PENDIRIAN ISLAM TERHADAPNYA.
106. Di dalam beberapa ayat Al-Quran ada menyatakan bahawa Allah SWT telah menurunkan beberapa buah kitab kepada para nabinya. Di antara kitab-kitab tersebut ialah Taurat, Injil, Zabur, Suhuf Ibrahim dan Musa. Apabila kita perhatikan kepada ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan mengenai kitab-kitab tersebut, ia boleh disimpulkan kepada dua bahagian yang utama:-
i. Sebahagian dari kitab-kitab tersebut masih kekal dengan keaslianya sebagaimana ia diturunkan.
ii.Sebahagian yang lain pula telah diubah dan sebahagian yang lain pula telah hilang atau disembunyikan.
Dalam perbicaraan ini kita akan menjadikan Al-Quran sebagai pengukur kepada kebenaran, keaslian dan kesohehan isi kitab-kitab tersebut.Firman Allah (Telah kami turunkan kepada mu wahai Muhammad Al-Quran dengan kebenaran yang akan membenarkan dengan apa yang terdapat di tangan kamu dari kitab-kitab yang terdahulu) Al-Maidah : 48.
107. Contoh yang pertama adalah sama seperti yang disebut di dalam Safar pembentukan alam iaitu mengenai tempoh penciptaan langit dan bumi selama 6 hari. Begitu juga umur Nabi Nuh a.s iaitu selama 950 tahun.
108. Contoh yang kedua pula sama seperti yang terdapat di dalam Safar pembentukan alam yang menceritakan bahawa Allah telah beristirehat dari kepenatan mencipta langit dan bumi pada hari yang ketujuh iaitu hari sabtu. Mengikut sejarah, kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa yang mana ia diletakkan di dalam sebuah peti telah hilang dari tangan orang-orang Yahudi beberapa kurun. Apabila peti tersebut telah dapat diambil kembali oleh Thalut dari tangan orang-orang Kan'an kemudian dibuka, didapati beberapa helai tulisan sahaja yang mengandungi 10 wasiat. Ini bertepatan seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran (Dan ia adalah saki-baki dari apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi Musa dan Nabi Harun.)
109. Kesimpulan dari beberapa dalil dan pengakuan yang dibuat oleh para sarjana bahawa kitab Taurat telah diubah, disembunyikan dan kadang-kadang sengaja dilupakan kandungannya yang asal. Secara keseluruhannya, kitab Taurat bukan lagi sebuah kitab yang asli seperti yang telah diturunkan kepada Nabi musa.
110. Pendirian Islam terhadap apa yang terdapat di dalam kitab Taurat, secara kesimpulannya terbahagi kepada tiga jenis:-
i. Menepati dengan apa yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah.
Perkara seperti ini diterima kerana ia bertepatan dengan Al- Quran dan Hadis.
ii. Ia bercanggah dengan apa yang terdapat di dalam Al- Quran dan As-Sunnah. Sudah semestinya ia ditolak dan wajib bagi kita untuk mendustakannya.
iii. Ia tidak disebut di dalam Al-Quran dan juga As-Sunnah tetapi tidak bercanggah dengan kedua-duanya. Contohnya seperti nama orang atau tempat.
Perkara seperti ini kita tidak boleh menolak dan membenarkannya. Ia hanya sekadar penghuraian bukannya suatu hujah bagi kita. Ini berpandukan kepada sebuah hadis yang telah dikeluarkan oleh Bukhari di dalam kitab At-Tauhid yang berbunyi: " Jangan kamu membenarkan apa-apa yang diriwayatkan oleh ahli kitab dan jangan pula kamu mendustakannya tetapi berkatalah kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami".
PENUTUP
Disepanjang perbincangan kita terhadap agama Yahudi dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kitab Taurat walaupun ianya telah diubah dan diselewengkan namun ia mampu membentuk bangsa Yahudi daripada sebuah bangsa yang lemah dan hina menjadi bangsa yang paling berkuasa. Rahsia kejayaan bangsa Yahudi perlulah dijadikan satu pengiktibaran kembali syariat yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w..
RUJUKAN:1.Al-Qur'anul Karim dan terjemahannya.
2. Kitab perjanjian lama.
3. Yahudi.Profesor Ahmad Shalabi.
4. Pengantar pengajian agama.Doktor Safwat Hamid.
5. Kajian mengenai kitab Taurat.Doktor Aminah Mohd. Nasir.
My Prayer, Life and Death… for Allah
No comments:
Post a Comment