Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Saturday, July 30, 2011

PUASA TAPI TAK SOLAT

Soalan :
Seorang muslim yang meninggalkan solat tapi berpuasa, adakah puasanya itu akan diterima kerana dia seorang muslim?.Bagaimana pula jika ia hanya bersolat hanya pada bulan ramadhan sahaja sedangkan bulan-bulan lain ia tidak menunaikan solat?.


Jawapan:



Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, maka ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), maka para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;


1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamanya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Uthaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. 



Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).


Menurut Shiekh Ibn Utsaimin (fataawa al-Siyaam, ms.87):  "Barangsiapa yg meninggalkan solat maka tidak sah puasanya, dan tidak diterima darinya! Sesungguhnya orang yang meninggalkan Solat itu kafir dan murtad, kerana Allah swt berfirman :

"Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama"[Al-Taubah: ayat-11]"

Di dalam Fataawa Al-Lajnah Al-Daaimah (fatwa no:102), ketika menjawab soalan mengenai apakah hukumnya orang yang hanya berpuasa di dalam bulan Ramadhan sahaja, katanya: "Solat adalah salah satu rukun Islam, dan ia merupakan rukun yang terpenting selepas mengucap 2 kalimah syahadah, ia merupakan Fardu Ain. Dan barangsiapa yang meninggalkannya kerana menafikan ianya wajib, atau tidak melakukannya kerana lalai dan malas, maka ia menjadi kafir."



Mengenai mereka yang berpuasa dibulan Ramadhan dan hanya bersolat di bulan Ramadhan sahaja, itu adalah menipu Allah, dan sangat malang bagi mereka yang mengenal Allah hanya didalam bulan Ramadhan, maka tidak sah puasa mereka jika mereka tidak bersolat selain dari bulan Ramadhan, bahkan menjadikan mereka itu kafir iaitu kufur yang besar, walaupun mereka tidak menafikan Solat itu wajib, menurut pandangan ulama' yang lebih sahih" [Fatawa Al-Lajnah Al-Daa'imah - 10/140].

 

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud):  


“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.
Ulamak mengatakan tidak ada gunanya kebaikan bagi sesiapa yang meninggalkan solat, walaupun ia mengeluarkan zakat, berpuasa dan mengerjakan Haji. Didalam sebuah hadith Nabi saw, bahawa Buraydah berkata, Rasulullah saw bersabda :
 

"Barangsiapa yang tidak bersolat Asar, maka amalamnya menjadi gugur"
[HR Bukhari]

Hadith ini menunjukkan bahawa apabila seseorang itu tidak melakukan amalan Solat, maka segala kebaikan yang dilakukan tidak dapat memunafaatkannya, iaitu sia-sia belaka.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4
 

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman