Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Wednesday, August 03, 2011

Tiga (3) jenis zalim yang patut dihindari


قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الظُّلْمُ ثَلاثَةٌ ، فَظُلْمٌ لا يَغْفِرُهُ اللهُ، وَظُلْمٌ يَغْفِرُهُ، وَظُلْمٌ لا يَتْرُكُهُ، فَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي لَا يَغْفِرُهُ الله فَالشِّرْكُ، قَالَ الله: {إنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ} وَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي يَغْفِرُهُ فَظُلْمُ العِباَدِ أَنْفُسَهُمْ فِيمَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي لَا يَتْرُكُهُ اللهُ فَظُلْمُ الْعِبَادِ بَعْضِهِمْ بَعْضًا حَتَّى يَقُصُّ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ . 
Rasulullah SAW bersabda : Zalim ada tiga jenis : Zalim yang Allah tidak akan ampunkan ; Zalim yang Allah akan ampunkan ; Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan. Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik. Allah berfirman : Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar (Luqman : 13) ; Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya ; Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) – ( HR Al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan - Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )


Pengajaran Hadis :


Terdapat tiga(3) bentuk kezaliman yang dilakukan oleh manusia seperti yang  disebut oleh hadis berkenaan, iaitu:

(1) Zalim yang Allah SWT enggan mengampuninya iaitu dosa syirik. Dimaksudkan dosa syirik tidak akan diampuni Allah ialah jika seseorang mati dalam keadaan syirik, sedangkan dia tidak sempat bertaubat/memohon ampunan kepada Allah sebelum kematiannya. Di akhirat nanti orang yang demikian tidak akan mendapat keampuan Allah, berbeza dengan perlakuan dosa-dosanya selain syirik, seperti minum arak, berjudi, berzina, liwat, semuanya boleh diampuni oleh Allah jika Dia kehendaki walaupun pelaku dosa berkenaan tidak sempat bertaubat kepada Allah. Pelaku dosa ini menurut Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dinamakan sebagai “ ‘Ala MasyiatilLaah “ yakni terserah nasibnya kepada Allah. Maksudnya : Terhadap dosa-dosa tersebut kita serahkan kepada Allah, sama ada Allah akan menyiksanya atau sebaliknya mengampuninya. Itu semua urusan Allah, bukan urusan manusia untuk menilai atau menentukannya. Dalam satu Hadis Qudsi yang bermaksud: “Tiada muslim yang minum khamar di dunia melainkan Aku (Allah) beri dia minuman neraka (Hamim) sebagai balasan, apakah ia akan diazab terus ataukah akan diampuni kemudian. Dan aku beri kesempatan ia meminum khamar di akhirat sekiranya ia meninggalkannya di dunia semata-mata tempat yang maha suci (Hodhiratul Qudsi, Jannah - Riwayat Thabrani dari Ibnu Umar).
(2) Zalim yang Allah bersedia mengampuninya ialah perbuatan dosa-dosa besar kepada Allah selain syirik. Kedua-dua jenis zalim ini termaktub di dalam firman Allah : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. ( Al-Nisa’ 4 : 48 )

(3)
Kezaliman yang manusia lakukan terhadap sesama manusia, seperti: menuduh orang yang baik-baik melakukan zina tanpa mendatangkan empat orang saksi, memfitnah, mencuri harta orang lain, risywah (rasuah), menghukum seseorang secara tidak adil, mendedahkan keaiban seseorang di khalayak ramai dan lain-lain.  Maksud Allah SWT akan meninggalkannya yakni Allah enggan masuk campur dalam zalim jenis ini, dan Allah enggan mengampuni dosanya, sebab zalim jenis ini berlaku antara insan dengan sesama insan. Orang yang melakukan zalim jenis ini perlu memohon ampunan kepada orang yang dizalimi, bukan memohon ampunan kepada Allah. 
Oleh kerana itulah syarat taubat terhadap dosa-dosa kepada Allah, hatta dosa yang paling besar seperti syirik dan dosa-dosa besar lainnya seperti berzina dan liwat, cukup dengan memenuhi tiga syarat saja, iaitu : 1. Meninggalkan dosa tersebut serta-merta ; 2. Menyesali dosa tersebut ; 3. Berazam (bercita-cita yang sungguh-sungguh) tidak akan mengulangi dosa tersebut pada masa depan. Manakala bagi kezaliman kategori ketiga (zalim sesama manusia) ditambah dengan syarat ke-4, iaitu mesti mengembalikan hak orang dizalimi atau paling kurang mohon kemaafan kepada orang yang dizalimi.


Sebenarnya zalim kategori ke-3 ini lebih berbahaya dari dua jenis zalim sebelumnya hatta terhadap dosa syirik. Sebab kedua-dua jenis zalim (1 dan 2) kita boleh langsung meminta ampun dari Allah kerana Allah SWT bersedia mengampuni segala jenis dosa walaupun dosa syirik. Allah SWT berfirman : Katakanlah: 

" Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Al-Zumar : 53 ). 
Tetapi bagi kezaliman jenis ke-3 di atas, orang yang zalim mesti memohon kemaafan kepada orang yang dizaliminya. Bagaimana jika orang yang zalim ini enggan memohon kemaafan kepada orang yang dizaliminya hingga mati? Perkara ini telah dinyatakan dalam satu hadis sahih iaitu diriwayatkan bahawa: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat : Siapakah muflis yang hakiki ? Para sahabat menjawap : Muflis dikalangan kami ialah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak memilki harta. Rasul SAW bersabda : Sesungguhnya muflis di kalangan umatku pada Hari Kiamat, ialah orang yang banyak melakukan solat, puasa, zakat tetapi dia (semasa di dunia) suka mencaci, suka qazf (menuduh orang baik-baik berzina tanpa empat saksi), suka makan harta milik orang lain, membunuh, dan memukul ; Lalu Allah SWT akan ambil (pada hari berhisab nanti) kebaikan-kebaikannya itu lalu diagih-agihkan kepada orang yang dia zalimi. Jika tiada lagi baki kebaikannya, lalu Allah SWT akan pindahkan dosa-doa orang yang dizaliminya itu ke atasnya dan selanjutnya dia dilemparkan ke dalam api neraka. ( HR Imam Muslim daripada Abu Hurairah ).


Menurut hadis berkenaan jelas kepada kita bahawa muflis (bangkrap) yang paling ditakuti adalah bankrap akhirat, bukan bangkrap (yang diisytiharkan oleh mahkamah kerana banyak hutang). Semua amalan kebaikannya akan dibagi-bagi oleh Allah kepada orang yang dia pernah zalimi – itupun jika dia orang yang banyak beramal saleh ? 


Oleh itu, harapan kita kepada saudara kita yang sedang dizalimi : Bersabarlah! Allah bersama orang-orang yang sabar ( Al-Baqarah : 153 ) ; Jangan bimbang, Allah Yang Maha Adil akan membuat anda gembira kelak di akhirat nanti dengan mengambil amal soleh orang yang menzalimimu. Dan anda akan bergembira melihat musuhmu di dunia dulu yang kerjanya suka menzalimimu dihumban ke dalam api neraka Jahannam dalam keadaan yang sangat mengerikan.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman