Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Tuesday, September 06, 2011

JAHILIAH MODEN SUATU KUPASAN


Perkataan jahiliah berasal daripada perkataan dalam bahasa arab, jahala yang bermaksud jahil dan tidak mengetahui atau tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Dari segi istilah jahiliah bermaksud tidak mempunyai Nabi dan kitab suci sebagai petunjuk, tidak mempunyai peradaban tamadun, masyarakat yang kurang dari sudut ilmu dan tidak berakhlak. 

Istilah Masyarakat Arab jahiliah ialah masyarakat yang hidup di Semenanjung Tanah Arab, dalam jangka masa selepas runtuhnya Empangan Maarib di Saba' sehingga turunnya wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Jangka masa zaman Jahiliah ini adalah lebih kurang 310 tahun, iaitu dari tahun 300 M sehingga 610 M. Zaman jahiliah juga dianggap sebagai zaman kegelapan kerana masyarakat Arab jahiliah tidak menyembah Allah malah kebanyakan mereka menyembah berhala.
Secara umumnya masyarakat Arab Jahiliah boleh dikategorikan kepada 2 golongan, iaitu masyarakat Badawi dan masyarakat Hadari. Masyarakat Badwi tinggal di kawasan gurun dan pendalaman, iaitu di bahagian tengah Semenanjung Tanah Arab. Masyarakat Hadhari pula menetap di kawasan persisiran pantai Semenanjung Tanah Arab.

Masyarakat Arab jahiliah mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral seperti berjudi, berzina dan meminum arak. Kedudukan wanita didalam masyarakat Arab jahiliah adalah rendah sehinggakan mereka tidak dapat mewarisi harta pusaka tinggalan ibubapa mereka. Malah ada dikalangan mereka yang menanam bayi perempuan hidup-hidup. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sekiranya salah seorang diberitahu tentang kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi merah kerana terlalu marah dan mereka menyembunyikan diri daripada kaumnya kerana keburukan daripada berita yang disampaikan. Apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanam dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (An Nahl:58-59)

Aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh para pedagang pada zaman jahiliah pula berasaskan riba dan penindasan. Sikap para pedagang lebih mementingkan keuntungan dan kekayaan semata-mata. Kegiatan merompak dan merampas barangan daripada kafilah di padang pasir juga merupakan punca mata pencarian masyarakat Arab Jahiliah.

Merompak dikatakan sebagai kewajipan yang harus dilakukan oleh setiap individu dalam setiap kabilah. Monopoli golongan kaya terhadap golongan miskin merupakan amalam biasa.

Terdapat beberapa bentuk kepercayaan agama dalam masyarakat Arab jahiliah, iaitu agama Animisme dan Samawi. Terdapat juga masyarakat Arab Jahiliah menganut agama Hanif iaitu agama yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Antara pengikut ajaran agama Hanif sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW ialah Waraqah bin Naufal, Uthman bin Huwairith dan Abdullah bin Jahsh.

Masyarakat Arab Jahiliah mengamalkan sistem kabilah. Setiap kabilah mempunyai identiti dan peraturan sendiri yang diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil Sheikh.

Amalan sistem kabilah telah mendatangkan kesan negatif dalam masyarakat Arab jahiliah. Antara kesannya ialah muncul semangat Assabiyah atau semangat kesukuan melampau. Peperangan antara satu kabilah dengan kabilah yang lain sering terjadi di dalam masyarakat Arab Jahiliah. Peperangan Al Basus adalah contoh dimana peperangan ini berlaku di antara Bani Taghlib dengan Bani Bakar selama 40 tahun.

Masyarakat Arab jahiliah juga mempunyai beberapa sifat yang mulia, antaranya pemurah. Masyarakat Arab Jahiliah sering berlumba-lumba untuk mempamerkan sikap pemurah dan mereka bermegah dengan sifat tersebut. Namun begitu, kesan sifat pemurah ini melibatkan mereka dalam perjudian. Ini kerana apabila mereka menang judi, mereka akan memberikan lebihan harta yang dimenangi itu kepada orang miskin. Kerana itulah Al Quran tidak menolak bahawa arak dan judi ada manfaatnya. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah:“ (Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari kepeluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (keteranganketerangan hukum-NYA) supaya kamu berfikir”. (Al Baqarah:219)

Kerasulan Nabi Muhammad SAW telah menukarkan masyarakat Arab Jahiliah ke masyarakat yang bertamadun dari segi rohaniyah mahupun lahiriah sehinggakan kemunculan beberapa empayar Islam yang agung seperti empayar Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan Bani Uthmaniyyah yang akhirnya menyumbangkan kepada Renaissance di Eropah.


YANG DIKATAKAN JAHILIAH MODEN

Secara mudahnya, memandangkan bahasa Arab-nya pun jahiliah, maka di dalam Bahasa Melayu melihat perkataan ‘jahil’ sebagai makna bodoh, tidak tahu, tidak maju, dan sebagainya. Sebab itu bila ada yang menyatakan bahawa, masyarakat hari ini terperangkap dalam suasana jahiliah, ramai orang menafikannya.
“Eh, mana ada. Dunia sekarang dah maju, bangunan dah tinggi-tinggi, jalan sana-sini pakai kereta motor, baju pun dah kemas-kemas, belajar sampai universiti, mana ada jahiliyyah”

Benarkah takrif jahiliah adalah semata-mata jahil?

Tidak pandai matematik itu bukanlah adalah satu jahiliah, walaupun itu satu kejahilan.
Adakah Arab Quraisy itu dahulu orang-orangnya jahil? Tidak. Mereka adalah cerdik pandai, strategi dalam peperangan, pakar dalam ilmu sastera, hebat dalam perniagaan. Tetapi, kenapakah mereka dikatakan sebagai masyarakat jahiliah?

Kita perhatikan lafaz ‘jahiliah’ adalah antara lafaz-lafaz yang digunakan oleh Allah Taala dalam firman-firman-Nya di dalam Al Quran. Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan makna lughawi ‘jahl’ mengatakan:
“Iaitu tidak mempunyai ilmu atau tidak mengikut ilmu. Maka orang yang tidak tahu haq, dia adalah jahil ringan. Tetapi jika dia meyakini sesuatu yang bertentangan dengan haq sebagai suatu kebenaran, dia disebut jahil berat. Demikian pula, orang yang mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan haq, dia tetap disebut jahil meski pun dia tahu bahawa hal itu bertentangan dengan haq”.

Tidak mempunyai ilmu itu jahil. Tidak mempunyai ilmu matematik itu jahil. Kita gunakan jahil dalam keadaan sebegini. Tetapi lafaz jahiliah, kita gunakan mengikut apa yang Allah gunakan dalam firman-firmanNya. Hal ini kerana, untuk lafaz jahiliah yang sering kita gunakan apabila kita menunjuk kepada masyarakat yang tidak mengamalkan Islam, seperti kaum Quraisy, atau mereka yang tidak mengamalkan Islam dengan sebenar, lafaz jahiliah ini membawa maksud: Tidak faham/tidak tahu Islam, atau pun tahu/ faham Islam tetapi tidak mengamalkannya, malah ada yang menentang.

Mari kita perhatikan, perkataan jahiliah yang digunakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
“Dan kami seberangkan Bani Israel ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani Israil berkata: Hai Musa buatlah untuk kami sebuah sembahan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa sembahan. Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil” (Al A’raf:138).

Kata ‘jahl’ dalam ayat di atas menunjukkan tidak adanya kefahaman tentang uluhiyyah. Ini kerana mereka tidak tahu bahawa Allah Taala itu :
“Tidak ada sesuatu pun serupa dengan Dia” (As Syua'ra:11).
“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata” (Al An’aam:103).
“Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia dan Dia adalah pemelihara segala sesuatu” (Al An’aam:102).

Sekiranya Bani Israel memahami hakikat uluhiyyah seperti di atas, maka sudah tentu mereka tidak akan bertanya atau meminta sesuatu yang membuktikan kejahilan mereka, yakni meminta dibuatkan berhala seperti penyembah-penyembah berhala.

Dalam firman-Nya yang lain pula, Allah SWt berfirman:

“Sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka. Mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?” (Ali Imran:154).

Golongan di atas ini telah dicela oleh Allah SWT kerana mereka mempersoalkan hakikat uluhiyyah Allah SWT, dengan tidak meyakini bahawa segala urusan di dalam dunia ini berada dalam kekuasaanNya. Mereka menyangka, pasti ada juzu’ dalam dunia ini yang tidak ditadbir oleh Allah SWT. Mereka tidak memahami bahawa, seluruh dunia ini, termasuklah yang berada di akhirat nanti adalah di dalam kekuasaan Allah SWT, dan Allah SWT tidak perlu bermesyuarat dengan makhluk untuk melakukan sesuatu dalam pentadbiran alam ini. Allah SWT berfirman:
“Katakanlah: Sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah” (Ali Imran:154).
Allah SWT berfirman : “Dan orang-orang yang tidak mengetahui berkata: Mengapa Allah tidak (langsung) berbicara dengan kami atau datang tanda-tanda kekuasaanNya kepada kami? Demikian pula orang-orang yang sebelum mereka telah mengatakan seperti ucapan itu. Hati mereka serupa. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada kaum yang yakin.” (Al Baqarah:118)

Ayat di atas menunjukkan kejahilan mereka berhubung persoalan Uluhiyyah, iaitu mereka tidak tahu bahawa Allah Taala tidak berbicara dengan manusia melainkan melalui wahyu atau di belakang ‘tabir’ seperti dalam firmanNya:
“Dia tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau mengutuskan seorang utusan (Malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana” (As Syura:51).

Dan jahiliah ini tidak pula terhenti sekadar tidak tahu/ tidak faham/ tidak meyakini berkenaan kekuasaan, uluhiyyah Allah semata-mata. Jahiliyyah juga membawa maksud tidak tahu/ tidak faham/ tidak meyakini berkenaan perintah-perintah Allah SWT dalam hal-hal akhlak, ibadah dan sebagainya.

Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu” (Al Ahzab:33).

Maksud jahiliah dalam firman Allah SWT ini adalah berkaitan dengan akhlak yang tidak mengikuti panduan rabbani. Dalam kata lain, akhlak ini tidak selaras dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini telah menjadii satu penyimpanngan dari kewajipan rasa malu dalam berpakaian, serta mempamerkan hiasan kepad ayang bukan mahram.

Nabi Yusuf ada berdoa kepada Allah SWT, selepas peristiwa Zulaikha dan para perempuan yang memotong jarinya:
“Dan jika tidak Engkau hindarkan daripada aku akan tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung (memenuhi keinginan jahat mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang jahil” (Yusuf:33).
Pengertian jahil dalam ayat di atas juga berkaitan dengan akhlak yang tidak selaras dengan panduan Rabbani. Iaitu mengenai perbuatan serong dengan wanita dan terlibat dalam perbuatan haram. Perbuatan yang bertentangan dengan panduan Rabbani itulah yang ditakuti oleh Nabi Allah Yusuf. Kerana itu dia berlindung dengan Allah Taala.

Firman Allah lagi, “Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliah” (Al Fath:26).

Apa yang dikatakan jahiliyyah di dalam ayat di atas ini adalah, orang-orang kafir itu telah berperang di atas kesombongan yang tertanam di dalam hati mereka. Allah SWT melarang hal ini, dan kaum Muslimin jika mengangkat senjata, mestilah mengangkat senjata atas haq, bukan kerana diri sendiri, bukan kerana kesombongan dan ta’asub. Sebab itu, anda akan mendapati kisah Saidina Ali RA yang menghentikan libasan pedangnya kepada seorang kafir yang meludahnya ketika peperangan. Orang kafir itu bertanya: “Kenapa kau tidak membunuh aku, walaupun aku sudah berada di bawah kekuasaanmu, tambahan aku telah meludahmu?”

Saidina Ali menjawab: “Aku takut aku membunuhmu bukan kerana Allah, tetapi kerana marah”
Seterusnya, firman Allah SWT lagi: “Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin” (Al Maidah:50).

Ayat di atas ini juga ada mempunyai kalimah jahiliah di dalamnya. Ayat ini berkenaan pemerintahan, mengambil hukum. Kalau kita perhatikan di dalam ayat ini, sekiranya kita ini mengambil hukum selain hukum Allah, maka itu dinamakan mengambil hukum jahiliah. Walaupun kita mengambil hukum-hukum itu dari logik akal yang advance, daripada cerdik pandai, daripada negara maju seperti barat dan sebagainya. Maka, masyarakat yang mengambil hukum selain hukum Allah, itu adalah masyarakat jahiliah.


FAKTOR JAHILIAH MODEN

Jahiliah ini wujud berpunca dari perbuatan manusia itu sendiri. Sejarah menunjukan sikap manusia yang tidak mempunyai pedoman serta pegangan hidup menjadikan manusia mempunyai nilai-nilai yang buruk atau jahiliah. Disini kami menerangkan beberapa faktor jahiliah pada abad ke 20 ini atau dengan erti kata lain ‘jahiliah moden’.

Faktor pertama ialah akidah yang sesat. Ini adalah sebab utama kemunculan masyarakat jahiliah itu sendiri. Akidah amat penting bagi menjadi pegangan hidup seseorang manusia. Akidah yang benar bagi kesuluruhan umat manusia adalah islam. Akidah beginilah yang dapat menolong manusia kearah kebenaran dan menjadikan manusia itu jauh dari sifat tercela dan buruk.

Apabila akidah seseorang itu menyelewang atau akidah selain daripada Islam maka manusia akan mengalami kesesatan. Hal ini dapat dilihat di Barat di mana keruntuhahan moral amat dahsyat sehinggakan adanya perliku manusia yang berupa seperti binatang dan syaitan. Ini disebabkan akidah mereka yang menyelewang dari akidah yang diredhai Allah.

Dalam sejarah telah membuktikan bahawa penyelewangan akidah telah menjadikan manusia itu mengalami keruntuhan akhlak, banyak berlaku peperangan dan pergaduhan sesama mereka. Malah belum pernah terjadi dalam sejarah manusia yang berpegang teguh pada akidah mengalami kerosakan dan keburukan. Contohnya sewaktu zaman kegemilangan empayar Turki Uthamaniyyah dimana manusia berpegang teguh kepada akidah. Ini kerana akidah yang benar sahaja dapat menjadikan manusia mempunyai pedoman dan mendapat rahmat dan keberkatan dalam kehidupan.

Penyelewangan akidah merupakan faktor utama yang mebawa kepada kemunculan jahiliah itu sendiri. Apabila akidah seseorang itu menyeleweng maka automatik akhlak dan sifat-sifat mereka menjurus kepada kejahiliahan.

Faktor kedua pula ialah tidak melaksanakan hukum Allah. Secara umumnya, manusia yang menggunakan hukum selain dari hukum Allah mempunyai kelemahan dan keburukan. Malah hukum yang dicipta manusia pasti tidak akan terlepas dari pelbagai kesilapan untuk mengukur manusia itu sendiri dari setiap aspek kehidupan. Terutamanya dalam menjaga hubungan manusia dengan Allah Taala yang mana jika tidak dipelihara sebaik mungkin dapat menggugat iman seseorang Muslim.

Oleh kerana sifat pemimpin yang hanya mengikut hawa nafsu dan kelemahan iman tidak hairanlah sesuatu negara itu terjerumus ke dalam lembah kehancuran dan kemaksiatan. Malah ada orang Islam yang sanggup menolak hukum Allah dan meletakkan sesuatu hukum mengikut nafsu mereka. Firman Allah Taala :
“Dan hendaklah kalian menetapkan hukum di antara kalian menurut apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah kalian mengikuti hawa nafsu mereka (yang mengingkari Allah). Hati-hatilah kalian terhadap mereka, jangan sampai mereka dapat memalingkan kalian dari sebahagian (hukum) yang telah diturunkan Allah”. (Al Ma’idah:49)

Maka tidak hairanlah Negara-negara Islam mengalami keruntuhan moral yang dahsyat seperti yang terjadi di Barat kerana sikap pemimpin yang menolak hukum Allah dan mengunakan hukum buatan manusia yang berasal dari Barat.
Seperti yang disabdakan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW; “Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu mengikuti mereka”. Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani dimaksudkan? ”. Nabi s.a.w menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hanya peraturan dan hukum Allah sahaja yang bersih daripada segala kepentingan manusia. Malah hukum Allah adalah sesuai dipakai sepanjang zaman. Maka sesiapa yang menolak hukum Allah tidak akan terlepas dari kesesatan dan kejahiliahan.

Faktor ketiga jahiliah moden ialah mengikut hawa nafsu. Hawa nafsu adalah fitrah manusia terdiri daripada nafsu makan, tidur, syahwat dan sebagainya. Manusia suka kepada hawa nafsu seperti firman Allah:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)". (Al Imran:14)

Walaupun begitu, apabila manusia melampui batas-batas fitrah manusia maka ia akan merosakkan kehidupan manusia itu sendiri. Apabila semua kehidupan telah dikuasai oleh nafsu, maka akan wujudlah sifat jahiliah yang menjadikan manusia itu setaraf dengan haiwan dan jauh dari nilai-nilai murni. Bahkan juga mungkin lebih hina dari haiwan.

Contohnya perkara yang berkaitan dengan riba. Di mana manusia yang terlalu mengikut hawa nafsu dengan mengaut keuntungan yang lebih tanpa menghiraukan golongan yang tidak berkemampuan dengan mengamalkan riba.

Manusia yang terlalu mengikut hawa nafsu tidak akan terlepas dari sifat-sifat jahiliah itu sendiri. Di mana hawa nafsu itu adalah kunci terjadinya sifat jahiliah.

Kesimpulannya faktor-faktor diatas telah memberi kesan atau impak negatif kepada manusia terutamanya kepada umat islam itu sendiri. Hal demikian disebabkan dari sifat manusia tu sendiri yang terlalu mengikut hawa nafsu serta keinginan yang melampau. Keadaan seperti itu merupakan pendorong atau penyumbang kepada kewujudan masyarakat jahiliah. Oleh itu,sebagai manusia yang telah dianugerahkan akal fikiran untuk berfikir seharusnya lebih memahami untuk memilih yang baik mahupun yang buruk.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman