Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Thursday, September 01, 2011

RIAK YANG MEROSAKKAN IBADAH


Pendahuluan

Dari segi bahasa riak (disebut riak) bermaksud memperlihatkan suatu amal kebaikan kepada sesama manusia. Menurut istilah pula ia bermaksud melakukan amalan/ibadah dengan niat dalam hati kerana selain Allah iatu kerana manusia dan dunia yang dikehendakinya [Syeikh Ahmad Rifa’I, Riayah Akhir, Bab Ilmu Tasawuf dan kitab Abyan al-Hawaaij].

Dalam kitab Fathul Baari, Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani berkata: “Riak ialah memperlihatkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu”.  Menurut Imam Al-Ghazali, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebaikan.  Manakala Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak adalah menuntut kedudukan atau meminta dihormati daripada orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.

Kesimpulannya, riak ialah melakukan amal kebaikan bukan kerana niat beribadah kepada Allah, tetapi demi manusia dengan cara mempamerkan amal kebaikannya kepada orang lain supaya mendapat pujian atau penghargaan, dengan harapan agar orang lain memberikan penghormatan kepadanya [sila rujuk Shodiq Abdullah, Islam Tarjumah: Komunitas, Doktrin dan tradisi]. Sebagaimana ulamak mengatakan [sila rujuk Shodiq Abdullah, Islam Tarjumah: Komunitas, Doktrin dan tradisi]:
وَالرِّيَاءُ إِيْقَاعُ الْقُرْبَةِ لِقَصْدِ النَّاسِ
Riak adalah melakukan ibadah kerana mengharap arah kepada manusia supaya mendapat keuntungan darinya (pujian dan penghormatan)”.

Syeikh Ahmad Rifa’i berpesan bahawa riak merupakan perbuatan haram dan salah satu dosa besar yang harus dijauhi serta di tinggalkan supaya selamat dan amalnya manfaat sampai ke akhirat.


Jenis-Jenis Riak

Syeikh Ahmad Rifa’i menjelaskan bahawa riak ada 2 jenis, sebagaimana ulamak menghuraikannya:
وَهُوَ قِسْمَانِ : رِيَاءٌ خَالِصٌ كَانَ لاَ يَفْعَلَ الْقُرْبَةَ إِلاَّ لِلنَّاس,
 وَرِيَاءٌ شِرْكٌ كَانَ يَفْعَلَهَا ِللهِ وَلِلنَّاسِ وَهُوَ أَخَفُّ مِنَ الْأَوَّلِ
riak terbahagi kepada dua jenis: riak kholish yaitu melakukan ibadah semata-mata hanya untuk mendapatkan pujian dari manusia, riak syirik yaitu melakukan perbuatan kerana niat menjalankan perintah Allah, dan juga kerana untuk mendapatkan pujian dari manusia, dan keduanya bercampur”.

Fudhail Bin Iyadh berkata:“Beramal kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak dan ikhlas adalah Allah menyelamatkanmu dari keduanya”.

Oleh itu, sifat riak sekiranya menular dalam kehidupan seharian serta menjadi darah daging seseorang akan sukar dihilangkan kerana sifat riak dianggap sebagai satu sikap berbuat baik kepada orang lain, dengan dalih bahawa apa yang mereka kerjakan dalam pandangannya adalah perbuatan yang mahmudah (terpuji) walhal ia adalah sifat yang mazmumah (terkeji),  sesuai dengan Firman Allah:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
 أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka:“Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ”Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.[Al-baqarah: ayat  11-12]

Diantara kehalusan riak adalah menjadikan ikhlas sebagai wasilah untuk mendapatkan apa yang menjadi keinginannya. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan, “Diceritakan dari Abu Hamid Al-Ghazali bahawasanya telah sampai kepadanya khabar, barangsiapa yang ikhlas kepada Allah selama 40 hari, nescaya akan terpancar hikmah dari hatinya melalui lisannya. Ia berkata: “Aku telah berbuat ikhlas selama 40 hari, namun tidak juga terpancar hikmah sedikitpun”. Kemudian aku ceritakan hal itu kepada orang-orang yang arif, mereka mengatakan kepadaku: Kerana kamu berbuat ikhlas untuk mendapatkan hikmah, bukan ikhlas kerana Allah!” [Lihat dalam “Darut Ta’arudl Al-Aql wan Naql” Karya Ibnu Taimiyyah (6/66), “Minhajul Qasidin” halaman: 214-221, “Al-Ikhlas” karya Al-Awaiysyah halaman:24, “Al-Ikhlas wa Asy-Syirik” Karya Dr. Abdul Aziz bin Abdul Lathif halaman: 9, dan “Ar-Riak” karya Salim Al-Hilali halaman:17].

Para ulamak ahli sufi menyifatkan kita adakalanya tidak mampu membedakan antara riak jali (terang) dan khafi (samar), kecuali orang-orang yang benar-benar sentiasa menyucikan hatinya dengan beribadah kepada Allah semata. Dengan mendekati Allah, dalam hatinya sudah dibersihkan daripada penyakit-penyakit yang buruk (mazmumah)[lihat Syeikh Ahmad Rifa’I, Riayah Akhir]:

وَلَا يَسْلِمُ مِنَ الرِّيَاءِ الْجَلِيِّ وَالْخَفِيِّ إِلَّا الْعَارِفُوْنَ الْمُوَحِّدُوْنَ لِأَنَّ اللهَ طَهَّرَهُمْ مِّنْ دَقَائِقِ الشِّرْكِ

Firman Allah:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa, Barangsiapa yang mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya”.[al-Kahfi: ayat 110]

Ayat itu menjelaskan sekiranya kita beramal dengan mengharapkan pujian selain Allah, bererti sifat riak telah menyelinap dalam diri kita dan membahayakan kita kerana tujuan beramal ialah untuk mendapat habuan di akhirat.

Allah SWT berfirman:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآَخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ
وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآَخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ

“Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, akan Kami tambah keuntungan itu baginya, dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat”.[Asy-Syuura: ayat 20]

Segala bentuk ibadah yang kita lakukan mestilah hanya untuk Allah yang satu. Sebagai contoh, solat yang kita lakukan baik bersendirian atau berjemaah mestilah hanya untuk Allah semata. Firman Allah:

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ , الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ , الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ , وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ

“Maka celakalah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya, orang-orang yang berbuat riak, dan enggan (menolong dengan) barang berguna”.[al-Maa’un:4-7]

Al Qurtubi mengatakan makna dari “orang-orang yang berbuat riak,” adalah orang yang (dengan solatnya) memperlihatkan kepada manusia bahawa dia melakukan solat dengan penuh ketaatan, penuh ketakwaan seperti seorang yang fasiq melihat bahawa solatnya sebagai suatu ibadah atau dia solat agar dikatakan bahawa ia seorang yang (melakukan) solat. Hakikat riak adalah menginginkan apa yang ada di dunia dengan (memperlihatkan) ibadahnya. Pada asalnya riak adalah menginginkan kedudukan di hati manusia.[ Rujuk Al-Qurtubi, Al-Jami’ Li Ahkamil Qur’an Juz XX halaman: 439]

Riak adalah termasuk syirik yang tersembunyi. Nabi SAW bersabda :“Wahai sekalian manusia, jauhilah kesyirikan yang tersembunyi!” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa itu syirik yang tersembunyi?” Beliau menjawab, “Seseorang bangkit melakukan solat kemudian dia bersungguh-sungguh memperindah solatnya kerana dilihat manusia. Itulah yang disebut dengan syirik yang tersembunyi.” [HR. Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi].   Terdapat hadis lain mengenai hal ini yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry, Imam Baihaqi sama-sama meriwayatkan dengan Ibnu Majah mengenai syirik yang tersembunyi ini.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa orang yang berpuasa hanya ingin di lihat orang maka itu adalah riak, siapa orang yang solat hanya ingin di lihat orang maka itu adalah riak, dan barangsiapa yang bersedekah hanya ingin di lihat orang maka itu adalah riak.[HR. Ahmad].

Riak boleh terjadi dalam diri seseorang pada saat setelah atau sebelum suatu ibadah selesai dilakukan. Imam Ghazali mengatakan bahawa apabila di dalam diri seseorang yang selesai melakukan suatu ibadah muncul kebahagiaan tanpa berkeinginan memperlihatkannya kepada orang lain, maka hal ini tidaklah merosak amalnya kerana ibadah yang dilakukan tersebut telah selesai, dan keikhlasan terhadap ibadah itu pun sudah selesai serta tidaklah ia menjadi rosak dengan sesuatu yang terjadi setelahnya apalagi apabila ia tidak bersusah payah untuk memperlihatkannya atau membicarakannya. Namun, apabila orang itu membicarakannya setelah amal itu dilakukan dan memperlihatkannya maka hal ini ‘berbahaya’. 

Imam al-Ghazali menerangkan bahawa sesiapa yang tidak membuang sifat riak ini, nescaya akan ditimpa kecelakaan serta akan tergolong dalam golongan kufur. Jika hal ini berlaku, maka tentulah dia tidak lagi layak memasuki syurga, apatah lagi mencium baunya. Rasulullah SAW menasihatkan umatnya agar tidak sesekali menyebut kebaikan diri dan keluarga kerana sikap demikian akan mendorong seseorang kepada sifat riak. Justeru, keikhlasan saja yang dapat membunuh perasaan riak sebagaimana firman Allah:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus”.[al-Bayyinah:5]

Dalam ayat yang lain:

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ , أَلَا للهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu kitab (al-Quran) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah agama yang bersih (dari syirik).”[az-Zumar:2-3]

Ibnu Qudamah mengatakan,”Apabila sifat riak muncul sebelum selesai suatu ibadah dikerjakan, seperti solat yang dilakukan dengan ikhlas dan apabila hanya sebatas kegembiraan maka hal itu tidaklah berpengaruh terhadap amal tersebut namun apabila sifat riak sebagai faktor pendorong amal itu seperti seorang yang memanjangkan solat agar nilaian dilihat oleh orang lain maka hal ini dapat menghapuskan pahala.

Apabila riak menyertai suatu ibadah, seperti seorang yang memulakan solatnya dengan tujuan riak dan hal itu terjadi hingga selesai solatnya maka solatnya tidaklah diterima dan apabila ia menyesali perbuatannya yang terjadi di dalam solatnya itu maka sebaiknya ia mengulanginya (solat semula).[Lihat  Mukhtasor Minhajil Qishidin halaman: 209]

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ

“Wahai orang-orang yang beriman, Jangan rusakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rusaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)…”.[al-Baqarah:264]

Secara mudah boleh disimpulkan bahawa riak adalah perbuatan yang semata-mata untuk mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak Islam yang senantiasa menyeru umatnya agar beramal atau melakukan perkara kebaikan dengan hati penuh keikhlasan dan mengharapkan keridhaan Allah. Sesungguhnya solat kita, ibadah kita, hidup dan mati kita adalah untuk Allah. Jangan sekali-kali membiarkan penyakit ini bersarang dalam hati kita kerana ia akhirnya akan merosak dan membinasakan semua amalan kita.   Kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam akan tercemar dan rosak sekiranya tidak dilandasi keimanan dan keikhlasan hati serta mengharapkan keredhaan Allah. Justeru, dalam Islam setiap amal kebajikan yang disertai dengan riak  tergolong dalam perbuatan syirik kecil yang boleh merosakkan amal kebajikan, melunturkan kemurnian akhlak dan akan mendapat kerugian hidup di dunia dan akhirat.

Memang terdapat sebahagian umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau mengerjakan ibadah hanya untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadah untuk menunjukkan yang kononnya mereka baik, pemurah, warak atau rajin beribadah akibat dari dorongan hawa nafsu yang selalu berusaha menjajah mereka yang lemah imannya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya:

وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللهِ

“Dan janganlah kamu turuti hawa nafsu, nanti ia menyesatkan kamu daripada (agama) Allah”.[Shaad:26]
Allah berfirman:
أُولَئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ
 “Mereka itu telah dicap (ditutup) Allah mata hatinya dan mereka mengikut hawa nafsunya”.[Muhammad:16]

Adalah sangat jelas umat Islam yang melakukan perbuatan riak akan mendapat balasan buruk dari Allah. Sementara Rasul sendiri selalu mengingatkan umatnya supaya menjauhi diri daripada perbuatan riak dalam beberapa hadisnya. Seperti: Rasul SAW bersabda: Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), niscaya gugur amalanmu. [HR. Ad-Dailami].

Dalam hadis lain Rasulullah bersabda: Sesuatu yang paling aku khuatirkan terhadapmu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat, apakah syirik kecil itu ya Rasulullah? Kemudian baginda bersabda: itulah riak. [HR. Ahmad dan Baihaqi].

Dengan mengamalkan sifat muraqabah, umat Islam boleh menjauhkan diri atau membersihkan hati daripada perbuatan riak. Muraqabah dapat memperlihatkan dan menghayati kepentingan dan hak Allah dengan memperhitungkan diri sendiri, berapa banyak kebaikan dan dosa yang telah dilakukan sebagai perbandingan supaya terus berhati-hati dalam setiap perbuatan dan apa jua tindakan yang akan dilakukan.
Bertaubat adalah jalan terbaik bagi mereka yang melakukan dosa atau yang terlanjur perbuatannya. Taubat dan istighfar amat dituntut ke atas setiap orang yang beriman sebagaimana firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ
 وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Dan orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampunan atas dosa mereka. Dan tiada siapa yang mengampuni dosa melainkan Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya sedang mereka mengetahui”.[Ali Imran:135]

Dalam surah lain Allah berfirman:

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

”Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang senantiasa mensucikan diri”.[al-Baqarah:222].

والله اعلم

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman