Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Wednesday, February 22, 2012

HUKUM MENDENGAR LAGU DALAM ISLAM

Oleh Abu Anas


Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Tidak ada satu pun dalam ajaran Islam yang bertentangan atau tidak sesuai untuk dijadikan amalan dalam kehidupan kita.


Manusia sebagai makhluk yang dianugerahkan Allah s.w.t dengan naluri kejiwaan dan perasaan sememangnya memerlukan kepada sesuatu yang boleh memberi ketenangan, kerehatan minda dan keseronokan. Sehubungan dengan itu, hiburan melalui nyanyian telah menjadi salah satu medan atau platform yang paling popular dalam memenuhi tuntutan tersebut.


Islam sama sekali tidak mengharamkan hiburan, kerana ia merupakan salah satu keperluan dalam diri manusia. Namun persoalannya apakah bentuk nyanyian atau muzik yang menepati syariat Islam pada masa kini?


Mendengar lagu nasyid tanpa disertakan dengan alat muzik adalah dibenarkan, sebagaimana yang jelas dari nas-nas yang menunujukkan keharusannya, telah sabit (sahih) bahawa Rasulullah saw dan para sahabat telah mendengar nasyid dan syair ketika bermusafir juga ketika berada di Madinah, ketika bekerja juga waktu rehat, samada secara perseorangan seperti nasyid Hassan, ’Amir Al-Akwa’, Anjasyah dan Bilal ra, juga secara beramai-ramai sebagaimana yang dikhabarkan oleh Anas ra dalam peristiwa menggali parit (Khandaq).


Adapun mendengar lagu (nyanyian) yang disertakan dengan alat-alat muzik maka ulama’ berbeza pendapat tentangnya;


Jumhur (majoriti) ulama’ silam -termasuklah ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang).


Mereka berdalil antaranya;

1-   Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayat oleh Abu Malik Al-Asy’ari ra menegaskan; “Akan ada di kalangan umat-ku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]




Ini adalah mu’jizat Rasulullah saw, memang ramai betul orang sukakannya.


2-   Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” [Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari, dinilai sahih oleh Sheikh Al-Albani].

Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya.


3- Hadis yang secara khusus menyebut alat-alat muzik pula ialah; Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. [Riwayat Imam Ahmad].


4- Selain dari dalil-dalil di atas, suasana juga menunjukkan bahawa orang yang banyak mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) ini telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).



Pandangan Kedua:


Sebahagian ulama’ mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya.

Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubairra, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu Al-‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya.




Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut.


Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi)!!, ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik.


Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhu’ (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulama’ bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh.


Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalahmajhul (tidak dikenali).

Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhu’ (hadis-hadis palsu)”.


Ramai ulama’ semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).


Perhatian;

Sebagai penuntut ilmu yang cintakan kebenaran, kita tidak sepatutnya berdiam diri apabila hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dipertikaikan kesahihanya, sedangkan ramai ulama’ tampil menjelaskan keraguan serta mempertahankan kesahihannya.


[Antaranya; Dr Abdul Aziz Marzuq At-Turaifi;


حكم الغناء:


تلخيص ميسر لمحاضرة الشيخ الطريفي عن الغناء



Sebuah tesis MA (2006) di Universiti Baghdad dalam bidang Hadis [Darjat: Mumtaz];

أحاديث المعازف والغناء – دراسة حديثية نقدية

Oleh: Mohd Ab. Karim Ab. Rahman.



Demikian juga apa yang diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat mempunyai hamba yang bermain dengan alat muzik, riwayat tersebut adalah 'batil’.



2.  Apakah pula yang menjadi penentu kepada hukum lagu ataupun nasyid? Adakah pada liriknya, rentaknya ataupun situasi penyampaiannya?


Ketiga-tiganya sekali, lagu, lirik dan situasi..


Sebagaimana yang kita sebutkan di atas tadi bahawa tidak ada ulama’ yang mengharuskan nyanyian secara mutlaknya. Keharusan nyanyian adalah bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang telah ditetapkan ulama’ bagi nyanyian yang diharuskan ialah;


i. Hendaklah apa yang diperkatakan di dalam nyanyian itu (yakni lirik atau senikatanya) menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.


ii. Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting untuk diperhatikan. Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya penyanyi mempersembahkan nyanyian menimbul ghairah orang yang melihatnya atau membangkitkan nafsu mereka –seperti penyanyi perempuan yang tidak menutup aurat dan dengan suara menggoda-, maka nyanyian sebegitu adalah diharamkan walaupun senikatanya baik.


iii. Tidak berlebihan hingga melalaikan dari kewajipan hidup yang sebenar dan lebih utama, seperti mengabaikan solat, tugas seharian lantaran mengikuti program / konsert yang di anjurkan.



3.    Kita melihat terdapat banyak khilaf mengenai garis panduan alat muzik yang diberikan oleh ilmuwan Islam. Ada yang mengatakan gitar dibolehkan. Bagaimana pula dengan penggunaan biola, piano dan drum? Apakah garis panduan bagi alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam Islam?


Terdapat hadis-hadis yang menyebut beberapa jenis alat yang diharamkan, seperti hadis riwayat Imam Ahmad di atas.


Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).


Walaupun ada ulama’ mengharuskan penggunaan alat-alat muzik, tetapi meninggalkannya adalah lebih selamat.



4.    Merujuk kepada pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, penggunaan alat muzik dibolehkan bagi tujuan untuk berdakwah. Di Negara kita pula, nasyid sekarang sudah dijadikan satu industri yang mana para penasyid diletakkan sebaris dengan para penyanyi yang lain, serta diberikan anugerah dalam majlis-majlis yang turut dipenuhi dengan persembahan-persembahan yang tiada khilaf tentang keharamannya, seperti Majlis Anugerah Industri Muzik dan lain-lain. Adakah alasan berdakwah kepada para artis boleh diterima apabila menuntut para penasyid kita menghadiri majlis-majlis seperti ini?


Menghadiri majlis sedemikian menjadikan kita mengiktiraf perbuatan tersebut, sedangkan telah ada larangan daripada meramaikan golongan yang tidak baik, terdapatkan juga larangan menyerupai orang kafir atau fasiq, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ibnu Omar ra dengan sanad yang sahih;

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

maksudnya: ”Sesiapa yang menyerupai (gaya – tingkah laku) sesuatu kaum maka dia termasuk dari kumpulan tersebut”.


Alasan nak berdakwah, apa bukti kejayaan orang yang telah melakukannya, tapi sebaliknya ada, penasyid pula terikut2 dengan pakaian dan gaya mereka.



5.    Dalam industri nasyid sekarang juga, kita melihat irama nasyid kebanyakannya diketengahkan dengan nada yang mendayu-dayu ataupun terlalu rancak seperti irama rap dan hip hop. Ini adalah sangat berbeza dengan tujuan nasyid zaman awal Islam yang menjadi peniup semangat jihad. Apa komen Dr? Bagaimanakah kita dapat kembalikan nasyid kepada tujuannya yang asal?


Memang nasyid kontemporari hari ini sudah hilang arah...


Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.


Suatu masa nasyid dilihat sebagai suatu bentuk seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab dan Pakistan memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk cara yang tersendiri.


Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “nasyid kontemporari” yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.


Hujjahnya ialah ingin mencari mencari kelainan.


Perubahan yang sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan.


Untuk mencapai matlamat tersebut senikata yang diucapkan menjadi janggal dengan irama, contohnya apabila menyebut asma’ Allah serta sifat-Nya, atau Rasulullah saw serta selawat ke atasnya demikian juga dengan zikir. Semuanya kadangkala menjadikan telinga orang yang beriman sakit, kerana bimbang berlaku kesalahan dalam sudut aqidah.

Selain itu nasyid telah menjadi terlalu komersial....



6.    Tidak kurang juga kita melihat di kalangan wanita Islam yang semakin menonjolkan diri dalam bidang nasyid di khalayak ramai. Apakah ianya dibenarkan dalam Islam hanya dengan memakai pakaian yang menutup aurat? Bagaimanakah sebenarnya kedudukan suara wanita dalam Islam?


Pakaian sebahagian ahli nasyid bahkan penceramah wanita tidak memenuhi etika berpakain.. OLeh itu, pakaian artis khususnya wanita perlu diberi nafas baru. Islam menerima perkembangan fesyen dan perhiasan, asalkan tidak melanggar batasan syarak. Imej yang agak seksi dan menggoda tidak mencerminkan anutan agama Islam dan budaya ketimuran. Soal aurat dalam Islam tidak ada kompromi, bagi mengharuskan nyanyian, persembahan atau ceramah, kewajipan menutup aurat adalah penting. Begitu juga persembahan dan pergaulan antara artis lelaki dan wanita perlu ada batasan. Sebarang bentuk sentuhan, pelukan dan geselan perlu dielakkan.


Aspek persekitaran juga menjadi kayu pengukur bagi mengharuskan sesuatu persembahan atau konsert. Kedudukan penonton yang diasingkan antara lelaki dan wanita serta yang berkeluarga adalah sangat baik dan bertepatan dengan budaya Islam.


Ini dapat membantu mengelakkan berlakunya sebarang bentuk maksiat serta pergaulan bebas sewaktu konsert berlangsung. Keadaan bersesak-sesak dan melompat menari antara lelaki dan wanita adalah salah di sisi agama.


Kesesuaian waktu dan kemudahan tempat juga penting supaya penonton tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap tiang agama.


Berkait dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan sebarang fitnah yang berunsurkan pandangan yang bersyahwat dari golongan kaum lelaki dan memperagakan tubuh badan dari golongan kaum wanita, mengalun-alunkan suara (iaitu cara selayaknya sebagai penyanyi) dan seumpamanya, Islam melarang dan tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan nyanyian. Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut di dalam Al-Quran Al-Karim iaitu firman Allah (s.w.t):


{قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ }


Yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya…”. [Surah An-Nuur: 30-31]


Dan sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Wahai Ali! Jangan kamu iringi pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu pandangan pertama tapi tidak pada pandangan kedua”.


Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita dikhalayak ramai adalah suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran Al-Karim menyatakan arahan Allah (s.w.t):


{َا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا}

Yang maksudnya: “…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya…”. [Surah Al-Ahzab : 32]


Wanita hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid hanya untuk kalangan mereka sahaja dan tidak boleh dihadapan khalayak lelaki.



7.    Dengan perkembangan nasyid yang begitu pesat sekarang, sejauh mana Dr. melihat nasyid ini dapat memberi kesan dalam berdakwah kepada golongan muda, ataupun mencetuskan kesedaran dan keinsafan serta dijadikan satu alternatif hiburan kepada golongan ini?


Nasyid sebagai alat bukan matlamat…


Jika nasyid didefiniskan sebagai jalan dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah gambaran seorang Da’ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.


Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan gaya rap dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Nasyid adalah wasilah, maka ianya tidak sesuai disemua tempat dan waktu. Bagi golongan yang sentiasa hidup dengan alunan muzik, maka kita kemukakan nasyid sebagai alternative atau badil kepada muzik kegemarannya.


Tapi bagi muda mudi / pelajar aliran agama rasanya tidak perlu kita terikut-ikut dengan rentak golongan ini, lebih-lebih lagi pelajar aliran tahfiz, tumpukan kepada hafazan, kajian mendalam tentang hukum hakam adalah menjadi keutamaan sebagai seorang da’ie yang akan mengepalai masyarakat –dengan izin Allah- di masa depan.


Kata Abdullah bin Mas’ud ra dalam hadis riwayat Baihaqi:

الغناء ينبت النفاق في القلب كما بنبت الماء البقل ).


Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafiq di dalam hati, seperti air menumbuhkan sayuran”



Ramai golongan muda mendengar lagu dari pagi ke malam, tapi tidak ramai yang menghabiskan masanya dengan AlQuran, ini kadangkala membuatkan kita terfikir kepada ayat yang dijadikan hujah oleh ulama' yang tidak membenarkan nyanyian.


Firman Allah yang bermaksud; “Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu/pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan”. (Surah Luqman, ayat 6).


Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a.; maksud lahwal-Hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian.Berkata Imam Hasan al-Basri; ayat di atas diturunkan kepada nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulama’ berpendapat; lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi dari kalangan jariyah (hamba perempuan).


Semoga perbincangan kita ini membuka pandangan untuk mengkaji dan berfikir tentang hukum Islam mengenai hiburan, bukan hanya setakat berselindung disebalik beberapa nama ulama’ besar untuk menghalalkan apa yang nafsu bersetuju dengannya, tanpa mengambil kira pandangan lain yang bertentangan serta sandaran dalil-dalilnya.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman