Seorang suami yang bersama isteri (bersetubuh) pada waktu siang Ramadan dikenakan kaffarah kerana membatalkan puasa bulan Ramadhan dengan bersetubuh. Kaffarahnya adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: Telah mengadu seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: “Aku telah memusnahkan diriku wahai Rasulullah, baginda bertanya: Apa yang menyebabkan kamu musnah? Lelaki itu menjawab: “Aku telah melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan”. Baginda bertanya kepada lelaki itu : “ Adakah engkau memiliki hamba[1] untuk dibebaskan? Lelaki itu menjawab: Tiada wahai Rasulullah. Baginda bertanya lagi adakah kamu mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut[2]? Lelaki itu menjawab tidak mampu wahai Rasulullah. Kemudian baginda bertanya lagi, adakah kamu memiliki makanan yang cukup untuk memberi makan kepada 60 orang miskin[3]? Masih lagi dia menjawab tidak mampu. Kemudian Nabi s.a.w. duduk. Dalam pada itu Nabi s.a.w. telah diberikan satu karung yang berisi tamar. Baginda meminta dia menyedekahkan tamar tersebut sebagai kaffarah terhadap perbuatannya itu. Lantaran lelaki itu menjawab kepada Rasulullah dengan berkata: Adakah perlu saya berikan tamar ini kepada orang yang lebih fakir daripada kami, kerana tiada rumah yang lebih berhajat kepada tamar ini melainkan rumah kami (lelaki itu menggambarkan kemiskinan keluarganya ), lalu Nabi bersabda: “Pergilah kamu dengan bekalan ini dan berilah ahli keluarga kamu makan daripadanya.” (HR Bukhari dan Muslim) Hadis di atas menjelaskan perihal kaffarah, sekali gus menjelaskan pensyariatan kaffarah serta perkara yang membatalkan puasa dan menuntut kaffarah. Persoalannya, adakah kaffarah[4] di wajibkan bagi orang yang membuka puasanya dengan makan kemudian bersetubuh. Pertamanya setiap orang yang beriman yang dituntut ke atasnya berpuasa jika berbuka di siang hari, sepakat ulamak wajib keatasnya mengqada’. Ada pun sekiranya dia berbuka puasa dengan tujuan mengadakan hubungan kelamin, ulamak memberi dua pandangan yang tersohor seperti berikut: Pertama : wajib ke atasnya kaffarah. Pendapat ini merupakan pandangan ulamak dari mazhab Malik, Ahmad dan Abu Hanifah. Hujah mereka puasa adalah amalan yang difardukan ke atas setiap mukallaf yang cukup syarat-syaratnya. Menahan nafsu Puasa itu sendiri bermaksud menahan diri daripada makan dan minum. Maksudnya adalah haram ke atasnya makan minum tanpa sebarang keuzuran. Sekiranya dia makan mahu membatalkan puasa dia berkewajipan memelihara perkara-perkara yang ditegah melakukannya di siang Ramadan. Justeru itu, perbuatannya membatalkan puasa sudah menjadi suatu perbuatan yang berdosa malah ditambah dengan suatu yang ditegah melakukannya di siang Ramadan. Jadi dua kesalahan, kesalahan pertama kerana membatalkan puasa dengan makan wajib diganti (qadha’) dengan hari yang lain. Kesalahan kedua ialah melakukan persetubuhan di siang hari di bulan Ramadan. Kumpulan ulamak ini juga berpendapat sekiranya tidak dikenakan kaffarah bersetubuh di siang hari, bulan Ramadan akan dilihat suatu yang biasa. Kaffarah yang dielakkan dengan membatalkan puasa terlebih dahulu seperti makan atau minum. Ini merupakan satu helah dalam memandang ringan terhadap amalan yang menjadi rukun dalam Islam. Kedua : Tidak wajib kaffarah, ini menurut mazhab as-Syafie. Hujah bagi mazhab as-Syafie ialah puasa itu terbatal dengan makan. Maka keadaan orang yang telah batal puasanya adalah seperti orang yang tidak berpuasa, dan tidak terikat dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Orang yang melakukan persetubuhan di siang hari bulan Ramadan didahului dengan membatalkan dengan memakan, maka tidak wajib ke atasnya kaffarah tetapi jika membatalkan puasa dengan persetubuhan wajib dikenakan kaffarah. Menurut mazhab Syafie, syarat-syarat wajib kaffarah ialah sedar yg dia sedang berpuasa, tahu hukum perbuatannya haram dan tiada keringanan baginya sama ada musafir ataupun sakit. Oleh itu sesiapa yg melakukan persetubuhan semasa puasa bulan Ramadhan kerana terlupa atau tidak mengetahui hukumnya haram atau sengaja membatalkan puasa dengan cara selain persetubuhan atau bersetubuh semasa bermusafir yang harus berbuka maka kesemua itu tidak wajib kaffarah dan hanya mengqadha’ puasanya. Wajib berniat ketika menunaikan kaffarah iaitu berniat memerdekakan seorang hamba atau berpuasa atau memberi makanan kerana menunaikan kaffarah. Ini adalah kerana kaffarah adalah hak harta atau hak badan yang wajib dibersihkan sebagaimana zakat dan puasa yang mesti dilakukan dengan ‘niat’. Si suami wajib menunaikan kaffarah dan mengqadha’ puasanya yang terbatal dengan sebab persetubuhan begitu juga isteri yang disetubuhi wajib mengqadha’ puasanya walaupun tidak wajib kaffarah. Kaffarah akan bertambah mengikut bilangan hari puasa yang batal akibat persetubuhan di bulan Ramadhan. Jika berlaku 2 kali@2 hari bermakna 2 kaffarah di samping qadha’ puasa selama 2 hari. Sementara itu kaffarah juga berlaku bagi yang tidak mengqadha’ puasa pada tahun yang sama. Jika dia melengah-lengahkan qadha’ puasa hingga masuk bulan Ramadhan berikutnya, dia berdosa dan wajib dikenakan kaffarah di samping qadha’ puasa dengan memberi secupak makanan asasi kepada fakir miskin bagi setiap hari dia tidak berpuasa. Bilangan kaffarah akan bertambah mengikut pertambahan tahun iaitu jika dia melengahkan qadha’ puasanya sehingga masuk Ramadhan kedua, wajib dikenakan dua cupak bagi setiap hari yang dia tidak berpuasa di samping mengqadha’ puasanya. Begitulah seterusnya. Jika dia mati sedangkan dia mampu mengqadha’ puasanya, walinya sunat mengqadha’kannya. Jika wali tidak mengqadha’kannnya, wajib diberikan makanan kepada fakir miskin dari harta peninggalannya iaitu secupak makanan asasi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Dengan kaffarah tersebut akan melepaskan tanggungjawab si mati di sisi Allah SWT. Namun demikian setiap kita maklum bahawa bulan Ramadan bukan sahaja menuntut kita menahan diri daripada makan dan minum tetapi melatih kita menahan nafsu. Justeru kita dituntut memelihara kemuliannya. Allah s.w.t. menghalalkan dan mengharuskan suami mendatangi isterinya di malam-malam Ramadan. Ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t: Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), Iaitu waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa. (al-Baqarah: 187). Bulan ini adalah bulan didik nafsu dan menundukkannya pada perkara-perkara yang perlu ditahan. Jika helah dicari untuk memuaskan nafsu dengan mengorbankan didikan rabbani, sebenarnya kita kalah dan tersungkur dengan kehendak nafsu dan terkuburlah kehendak tuhan. Sebab itulah Allah menjanjikan pahala puasa dibayar oleh-Nya, kerana orang yang berpuasa itu meninggalkan makannya, minumnya dan syahwatnya kerana Allah s.w.t. Semuanya itu ditinggalkan kerana Allah? Takkanlah satu permintaan dan harapan itu dihampakan di bulan al-Mubarak ini? Ikut nafsu tanpa dikawal kita akan kecundang, ikut bicara hati nurani yang beriman pasti bertemu cinta maha pencipta. Rujukan: Al-Fiqhu Manhaji Manhaj Fiqh Syafie |
Post Top Ad
Your Ad Spot
Friday, July 29, 2011
Larangan Bersetubuh Pada Siang Ramadan
[1] Memerdekakan seorang hamba jika ada sama ada lelaki atau wanita dengan syarat hamba itu hamba yang beriman (Islam) dan tiada sebarang kecacatan yang menghalang hamba itu bekerja dan berusaha spt buta, lumpuh dan sebagainya.
[2] Berpuasa 2 bulan hijriah berturut-turut sekiranya ketiadaan hamba untuk dibebaskan atau tidak mampu untuk mendapatkan hamba disebabkan fakir dan sebagainya.
[3] Memberi makanan kepada 60 orang miskin setiap orang secupak makanan asasi negeri berkenaan. Di negara kita, makanan asasi itu tentunya beras. Mengikut ukuran hari ini, kadar satu cupak beras lebih kurang 650 gram (Selain itu, Imam Abu Hanifah juga mengharuskan kaffarah dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu). Memberi makanan ini dibuat jika tidak mampu berpuasa 2 bulan berturut-turut.
[4] Kaffarah tersebut hendaklah dilakukan mengikut urutan. Oleh itu tidak boleh memilih mana-mana kaffarah kecuali jika tidak mampu melakukan kaffarah yang sebelumnya. Jika tidak mampu melakukan semua kaffarah, ia akan menjadi hutang dan mesti dilakukan apabila mampu kelak. Kaffarah kerana membatalkan puasa bulan Ramadhan adalah wajib atas suami sahaja di samping menqadha hari yang terbatal. Isteri tidak wajib kaffarah walaupun dia sedang berpuasa dan hanya perlu menqadha’ sahaja puasa yg tertinggal akibat dari jimak tersebut. Sebagaimana harus kita mewakilkan kepada orang lain untuk mengagihkan zakat kita, maka sama juga dengan kaffarah; harus kita mewakilkan orang kepercayaan kita untuk menyampaikan kaffarah kita kepada orang miskin. Yang penting wang/harta untuk kaffarah itu datang dari kita.
Tags
Batal#
Fiqh Ibadah#
Larangan#
Ramadhan#
Sah#
Share This
About Ustaz Hashim Almaranji
Sah
Labels:
Batal,
Fiqh Ibadah,
Larangan,
Ramadhan,
Sah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post Top Ad
Your Ad Spot
Author Details
Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat.
No comments:
Post a Comment