Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Tuesday, July 26, 2011

Pengenalan Ekonomi Islam 2

Sikap Umat Islam kini dalam melaksanakan Ekonomi Islam

Umat Islam di dunia ini seramai 900 juta orang yang merangkumi 45 buah negara merupakan satu jumlah yang amat besar. Malangnya kebanyakan negara tersebut masih lagi mengunakan ideologi ekonomi kapitalis, sosialis dan lain-lain lagi. Kefahaman mereka mengenai ekonomi Islam agak kurang menyebabkan umat Islam mundur.

Pada awal kurun ini ilmu ekonomi Islam mula dikaji selidik oleh para cendiakawan dan para ulamak muslim dalam merangka ekonomi Islam yang lebih konkrit selepas kebanyakan negara Islam mencapai kemerdekaan. Sistem ekonomi barat yang tidak mementingkan aspek kemanusian, akhlak memaksa cendiakawan Muslim bertambah yakin bahawa ekonomi Islam merupakan alternatif terbaik bagi umat Islam dalam mencapai kebahagian hidup yang hakiki. Bagi dunia Islam pendidikan ilmu ekonomi Islam telah mula diperkenalkan dan proses membina masyarakat berteras aspek-aspek ekonomi Islam mula mendapat perhatian. Sumber-sumber ilmu ekonomi Islam amat banyak tetapi terbiar sehinggalah pada waktu ini munculnya cendiakawan Muslim mula meneroka dan menggali khazanah ilmu ekonomi Islam yang telah lama tersohor. Beberapa persidangan mengenai ekonomi Islam telah diadakan seperti:

Persidangan antarabangsa yang pertama dalam ekonomi Islam yan diadakan di Mekah di bawah anjuran Universit Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Febuari 21-26 1976, kertas kerja persidangan ini telah dibukukan dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka daripada sebahagian dari kertas kerja persidangan tersebut.

Persidangan ekonomi Islam yang diadakan di London pada Julai 1977 anjuran Majlis Islam Eropah (Islamic Council of Europe) dan kertas kerjanya telah dicetak pada tahun 1979 oleh Majlis Islam Eropah dengan tajuk “The Muslem World and the future Economic order”.

Persidangan Ekonomi Islam anjuran Liga Negara-negara Arab pada 9 hingga 11 Febuari 1983 yang diadakan di Universiti Jordan, Amman.

Persidangan kedua ekonomi Islam yang diadakan di Islamabad, Pakistan pada 19 hingga 23 Mac 1983 anuran Universiti Islamabad dengan kerjasama Pusat Antarabangsa Penyelidikan Ekonomi Islam di Jeddah.

Persidangan Metodologi Ekonomi dalam Islam antara teori dan pelaksanaan yang diadakan di Kaherah pada 9 hingga 12 April 1983 anjuran Universiti Mansurah Mesir.

Pesidangan Antarabangsa Ekonomi Islam yanga diadakan di Paris pada April 1983.

Persidangan-persidangan yang diadakan oleh Lujnah Penyelidikan Islam Universiti al-Azhar juga membincangkan topik ekonomi Islam, peranan zakat, penyelidikan harta dan lain-lain. Persidangan ini telah diadakan semenjak tahun 1964 dan sebanyak sembilan persidangan telah diadakan. Antara pembentang kertas kerja yang berkaitan dengan ilmu ekonomi Islam seperti Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr. Ali Abdul Wahid Wafi dan lain-lain.

Persidangan Lujnah Fiqh Islami kali ke sembilan yang diadakan di Dubai pada 1hb-6hb Zulkaedah 1515 bersamaan 1hb-6hb April juga telah membahaskan mengenai ekonomi Islam mengenai saham, pertukaran wang, perjualan emas, penggunaan cek dan sebagainya. Sebelum ini Persidangan Antarabangsa Fiqh Islami kali pertama diadakan di Paris pada 1951, kali kedua di Damsiq pada April 1961, kali ketiga di Kaherah pada Mei 1967, kali keempat di Tunis pada Januari 1975 dan kali kelima di Riyadh pada November 1977.

Di dalam negara-negara Islam,Malaysia agak kehadapan dalam isu-isu ekonomi Islam dengan penubuhan institusi-institusi ekonomi yang sekarang menampakkan hasilnya yang memuaskan sepeti Bank Islam, Takaful Islam, Baitul Mal, Tabung Haji, YPEIM dan lain-lain. Malah subjek ekonomi Islam juga telah diajar di peringkat sekolah menengah dan Universiti berbanding dengan negara-negara lain yang masih lagi mengajar ekonomi sosialis dan kapitalis. Subjek ekonomi tidak diajar dengan lengkap dan “comperative” dengan sistem yang lain.

Universiti al-Azhar mengajar subjek ekonomi Islam sebagai satu subjek selepas rombakannya pada tahun 1961 dalam Kuliah Perdagangan dan Kuliah Syariah (bahagian siyasah syari’yyah diperingkat pengajian tinggi) Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah juga mengajar subjek ini sejak penubuhannya pada tahun 1964.(10) Walaubagaimanapun ia tidak dapat menghasilkan pakar-pakar dalam bidang ekonomi sehingga rombakkan telah dibuat selepas Muktamar Ulamak Muslim di Kaherah pada September 1972 mengenai pentingnya ekonomi Islam diajar di kolej-kolej serta universiti di negara-negara Islam.

Selepas Muktamar Antarabangsa Ekonomi Islam di Mekah pada 1976, barulah perubahan-prubahan bagi mengajar pelajaran ekonomi Islam semakin berhasil dengan rombakan di Universiti al-Azhar dengan mengadakan pengajian diperingkat ijazah lanjutan dalam bidang ekonomi Islam(11) dan juga Universiti Raja Abdul Aziz, Jeddah, Universiti Jordan Amman, Universiti Umm Durman Khartoum, Universiti Karachi di Karachi, Universiti Punjab di Lahore. Di Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa telah memperkenalkan subjek ilmu ekonomi Islam sejak awal penubuhannya.

Satu persidangan siyasah syari’yyah telah diadakan pada 23 & 24 Januari 1995 anjuran kerajaan negeri Terengganu juga telah membincangkan mengenai ekonomi di Malaysia. Antara pembentang kertas kerja ialah Datuk Syed Othman Al Habshi dan Datuk Dr Abdul Halim Ismail.

Bagi menjayakan prinsip ekonomi Islam, ia memerlukan beberapa aspek berikut:
  1. Ia memerlukan kepada pakar-pakar perunding mengenai ekonomi Islam sehingga dapat mengeluarkan kaedah serta jalan penyelesaian berdasarkan asas-asas syariat Islam.
  2. Memerlukan ijtihad yang baru dalam perkara-perkara yang tidak pernah disentuh oleh fuqaha dahulu atau timbulnya perkara yang memerlukan kepada ijtihad kerana perubahan masa, tempat dan keadaan sosial. Ijtihad serta pendapat ulamak dahulu mungkin berdasarkan situasi zamannya, maka perkara itu telah berubah. Pada zaman sekarang satu kaedah fiqh menyatakan perubahan hukum berdasarkan perubahan masa dan tempat.
  3. Mereka hendaklah menjelaskan konsep ekonomi Islam dengan jelas. Pada hari ini kebanyakkan orang menggambarkan bahawa Islam hanya menyatakan persoalan riba semata-mata tanpa ada jalan penyelesaian bagi perniagaan dan perdagangan dalam Islam.



Perkembangan Pembelajaran Ekonomi Islam dan buku-buku rujukan terpenting

Pada awal permulaan Islam, perkembangan ekonomi Islam agak terhad iaitu hanya berkisar mengenai pertanian dan pedagangan. Ulamak-ulamak pada masa ini hanya mengeluarkan hukum pada masalah yang tertentu sahaja.

Perkembangan ekonomi Islam semakin berkembang pesat apabila negara Islam semakin luas, maka lahirlah ulamak-ulamak yang mengarang kitab-kitab mengenai muamalat perdagangan dan jual beli pada kurun kedua hijrah. Walaubagaimanapun, ia bukanlah satu subjek yang khusus malah ia terangkum dalam bab feqah yang lain.

Kitab-kitab feqah turath yang membicarakan mengenai persoalan ekonomi dan muamalat:

Fiqh Maliki
  1. Al-Mudawanah al-Kubra-Imam Malik bin Anas, diriwayat oleh Imam Shahnun.
  2. Bidayaul Mujtahid Wa Nihayatul Muqtasid-Imam Abu Walid Muhammad bin Rush.(w595)
  3. Al-Jamei Al-Ahkam al-Quran- Imam Abdullah Al-Qurtubi (w671)
  4. Syarah al-Kabir –Imam Ahmad Al-Dardir.(w1201 H)
  5. Hasiyah al-Dasuki – Muhammad bin Ahmad bin Arfah al- Dasuki (w 1230 H)

Fiqh Hanafi
  1. Al-Ahkam al-Quran- Abu Bakar ar-Razi Al-Jasas.(w370 H)
  2. Mabsud – Imam Syamsuddin Syarhasi (w483 H)
  3. Tuhfatul Fuqaha – Imam Alauddin As-Samarqandi (w540 H)
  4. Bada’iq As-Sana’iq Fi Tertib Syara’iq – Imam Alauddin Al-Kasani (w587)
  5. Radu al-Muktar ala Dar al- Muktar – Ibnu Abidin (1252 H)

Fiqh Syafie
  1. Al-Umm – Imam Muhammad bin Idris As-Syafie (w 201 H)
  2. Al-Ahkam al-Sultaniah – Abu Hassan Al-Mawardi (w 450 H)
  3. Al-Majmuk – Imam Nawawi (w 657 H), Imam Subki dan Imam Mutie’
  4. Al-Asbah Wan Naza’ir – Imam Jalaluddin As-Sayuti (w 911)
  5. Mugni Muhtaj syarah Minhaj – Syarbini (w 977 H)
  6. Nihayatul Muhtaj Ila Syarah al-Minhaj – Imam Ar-Ramli (w1004 H)

Fiqh Hambali
  1. Al-Ahkam al-Sultaniah – Abu Yala’ Al-Hanbali (w 458 H)
  2. Al-Mugni – Imam Ibnu Muhammad bin Qudamah (w 620 H)
  3. Al-Fatwa Al-Kubra – Imam Taqiuddin bin Taimiyah (w 728 H)
  4. ‘Ilam Al-Mawaqi’ien – Imam Ibnu Qaiyim (w 751 H)

Fiqh Perbandingan
  1. al-Mahally – Imam Abi Muhammad Hazim Az-Zahiri al-Andalusi (w 456H)
  2. Ar-Raudah Al-Nada’ir – Imam Syarifuddin as-San’ani (w 1221 H) iaitu syarah kepada kitab Majmuk Fiqh al-Kabir karangan Imam Zaid bin Ali (w 132 H) merupakan kitab bagi fiqh Zaidiah.

Kitab turath yang berkaitan dengan ekonomi Islam
  1. Kharaj-Abu Yusuf Yaakub bin Ibrahim Al-Kufi al-Ansari(w172H). Beliau mengarang kitab ini atas permintaan khalifah Harun ar-Rasyid bagi pengurusan perbendaharaan wang negara.
  2. Kharaj- Yahya bin Adam al-Qarsy (w 203H)
  3. Amwal- Abu Ubai Qassim bin Salam (w 224 H)
  4. Amwal- Al-Hamid bin Zanjawiyah (w 251H)
  5. Futuhul Buldan- Ahmad bin Yahya Jabir- dikenali dengan Balazari (w 329 H)
  6. Muqadimah- Abdul Rahman Abu Zaid Waliuddin bin Khaldun (w 808 H)



Asas-asas ekonomi Islam

Asas-asas ekonomi Islam atau keistimewaannya bolehlah dirumuskan kepada 3 perkara:
  1. Gabungan antara perkara yang tetap dengan perkara yang berubah.
  2. Gabungan antara dua maslahah iaitu antara maslahah individu dan maslahah umum.
  3. Gabungan antara maslahah kebendaan dan keperluan kerohanian.
Ekonomi Islam dari usul merupakan “Iqtisad Ilahi” (Ekonomi yang bertunjangkan sistem tuhan) manakala dari segi pelaksanaan merupakan “Iqtisad wada’ie” iaitu ekonomi yang menggabungkan antara asas yang tetap dengan perkara pelaksanaan yang berubah.

Asas yang tetap iaitu dari segi asas-asas yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Usul-usul ini tidak berubah walaupun berlakunya perubahan tempat dan masa.

Asas yang berubah dan berkembang iaitu cara pelaksanaan berdasarkan usul-usul yang tetap yang boleh berubah kerana faktor persekitaran, tempat dan masa yang dikenali sebagai “sistem ekonomi Islam” seperti ijtihad Saidina Umar bin Khatab yang menganggap tanah pembukaan di Syam dan Iraq sebagai pemilikan negara dan tidak lagi menyerahkan tanah tersebut kepada individu pembukanya sebagai harta rampasan perang iaitu Ghanimah.

Dari keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa ekonomi Islam terdiri daripada tiga aspek terpenting:
  1. Ekonomi Islam iaitu ekonomi Ilahi dari segi ideologi dan wada’ie dari segi pelaksanaannya.
  2. Ekonomi Islam bersesuaian untuk semua tempat, masa dan tidak terikat dengan peringkat tertentu dari segi sejarah.
  3. Peraturan ekonomi Islam berlainan dengan kelainan tempat dan masa, ia tidak terikat dalam bentuk dan saiz yang tertentu.
Dari sini adalah satu kesilapan jika sekiranya ada suara-suara yang ingin mengembalikan ekonomi Islam seperti zaman khulafa Al-Rasyidin sedangkan zaman kita bukanlah zaman khulafa’ al-Rasyidin, masalah baru yang timbul memerlukan ijtihad dan pelaksanaan yang berlainan dengan zaman-zaman yang sebelumnya. Perubahan pelaksanaan mungkin juga boleh berlaku dalam satu masa tapi berlainan tempat umpamanya pelaksanaan di Malaysia berkemungkinan berlainan di negara-negara yang lain.

Sememangnya pelaksanaan ekonomi Islam pada zaman khulafa merupakan contoh berdasarkan asas syarak tetapi ia bersesuaian pada masa itu. Apabila pertumbuhan telah berkembang, maka pelbagai bentuk dan saiz yang memerlukan kepada kaedah dan cara metodologi yang baru.

Perbezaan-perbezaan pelaksanaan dibolehkan asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip syariat yang asas bagi sistem ekonomi Islam. Segala bentuk ijtihad yang ingin dikeluarkan mestilah merujuk kepada syariat Islam dan  hukum yang berkaitan dengannya.

Gabungan antara dua maslahah iaitu maslahah individu dan maslahah masyarakat memerlukan keseimbangan diantara keduanya disamping kepentingan negara. Negara memerlukan pendapatan yang tinggi melalui hasil kekayaan sumber asli, cukai, zakat dan pinjaman dan pengagihan yang saksama di kalangan anggota masyarakat bagi memenuhi keperluan asas bagi mereka. Seseorang itu bebas memiliki harta tetapi ia terikat dengan kepentingan umum yang seharusnya ditunaikan. Keseimbangan antara dua kepentingan ini amat penting bagi menjamin taraf hidup dan jaminan sosial yang kuat. Sesungguhnya umat Islam merupakan umat yang sederhana, seimbang dan pertengahan dalam semua bidang hidup. Kepentingan ekonomi dalam setiap individu dan masyarakat seharusnya ada keseimbangan dengan mengikut keutamaan dari segi dharuri, Hajiyyat dan Tahsinat dan menjaga kuliyyat al-khamsah iaitu agama, diri, akal, keturunan dan maruah.

Ekonomi Islam tidak menjadikan kepentingan individu sebagai matlamat dan menafikan hak-hak kepentingan umum seperti ekonomi kapitalis atau hanya mementingkan aspek kepentingan umum sehingga menolak kepentingan individu dalam menikmati taraf hidup yang sempurna seperti ekonomi sosialis. Ekonomi Islam adalah menjaga perseimbangan antara kedua kepentingan tersebut seperti ungkapan dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: 

“Kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya” (al-Baqarah 279)



Seimbang antara kerohanian dan kebendaan

Manusia diciptakan oleh Allah swt mempunyai sifat sukakan harta kekayaan. Al-Quran telah menceritakan perkara itu dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak, harta benda yang banyak yang berpikul-pikul, daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang hebat lagi terlatih dan binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) Allah telah menyediakan tempat yang sebaik-baiknya untuk kembali (iaitu syurga).” (Al-Imran 14)

“Dan sesungguhnya manusia sangat bakhil kerana terlalu sayangkan harta.”(al-Aadiyaat 8)

Kedua-dua ayat ini menjelaskan mengenai sifat manusia yang terlalu sayangkan harta benda yang menyebabkan mereka telah lalai dalam proses membina diri melalui tazkiyatun nafs. Berlaku tidak keseimbangan antara amalan kerohanian dengan pencarian harta kekayaan. Mereka terlalu asyik mencari harta kekayaan sehingga lupa untuk bersyukur kepada Allah melalui sembahyang, berdoa, bersedekah dan melakukan amalan kebajikan untuk masyarakat dan negara. Allah sangat gembira jikalau hambaNya yang mempunyai harta kekayaan tetapi ianya tidak melalaikan ia dari sentiasa mengingati Allah. Firman Allah bermaksud: “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah, daripada membayar zakat. Mereka takut kepada satu hari pada hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang.”(an-Nur 37)

Oleh kerana manusia dijadikan oleh Allah yang mengandungi unsur-unsur kerohanian dan kebendaan, ia memerlukan perseimbangan antara kedua-duanya. Islam mencantumkan aspek kerohanian dan material kehidupan ini dengan begitu lengkap dan kukuh yang menjadi sumber kekuatan bersama bagi menuju kesejahteraan dan kebahagian hidup manusia. Pemisahan antara dua aspek ini akan mengakibatkan kepincangan hidup manusia. Pada hakikatnya, tidak ada pembahagian dan pemisahan antara aspek kerohanian dan material dalam Islam. Kedua-duanya hendaklah selari dan seimbang. Oleh itu masyarakat Islam akan mencapai kejayaan sekiranya mereka mencapai tahap semaksima dari segi kerohanian dan memenuhi keperluan asas kehidupan dengan sempurna dan lengkap secara seimbang. Keperluan, asas yang diperlukan oleh manusia adalah yang terdiri dari aspek pekerjaan, tempat tinggal yang sempurna, makanan dan pakaian yang mencukupi dan pendidikan bagi mengembangkan bakat yang tersedia ada dalam setiap individu.



Saranan-saranan bagi menjayakan ilmu Ekonomi Islam

Merumus semula metodologi ilmu ekonomi Islam yang bersesuaian pada konteks masa kini berdasarkan dari segi persekitaran, masa dan tempat.
Melaksanakan perbelanjaan perbandingan antara sistem ekonomi yang lain dengan ekonomi Islam dari segi ideologi, cara pelaksanaan dan keistimewaaannya.
 
Mengkaji segala khazanah ilmu silam yang berkaitan dengan fiqh muamalat dan mengeluarkan pendapat-pendapat mereka bagi menyediakan satu sukatan pelajaran yang sempurna bagi memahaminya.
 
Menyediakan para cendiakawan muslim pakar dalam bidang ekonomi dengan memberi galakkan kepada mereka bagi membuat penyelidikan.
Menubuhkan pusat-pusat penyelidikan ekonomi, menggalakkan kerjasama dalam bidang penyelidikan ilmu ekonomi antara universiti-universiti dan mengkaji tesis M.A dan PhD dalam bidang ekonomi.


Keistimewaan Ciri-Ciri Ekonomi Islam.

Antara ciri ekonomi Islam ialah:
1.Rabbani
2.Kemanusiaan
3.Akhlak
4.Seimbang


Ekonomi yang bertunjangkan ciri rabbani.

Ekonomi Islam adalah bertunjangkan ciri rabbani kerana ia adalah dari Allah, matlamatnya untuk Allah dan wasilahnya berpandukan syariat Islam. Segala kegiatan ekonomi dari aspek pertumbuhan, penghasilan, pengeluaran, pertukaran dan pembahagian bersandarkan asas-asas ciri rabbani dan objektifnya adalah untuk menuntut keredhaan Allah. Firman Allah yang bermaksud “Dialah yang menjadikan bumi ini mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya, dan hanya kepadaNyalah kamu kembali setelah dibangkitkan.” (al-Mulk 15)

Seorang muslim akan berasa kegiatannya untuk mencari nafkah adalah bagi mencari keredhaan Allah dan menambahkan ketaqwaan kepadaNya. Oleh itu  ia sentiasa beriltizam dengan manhaj rabbani dalam berniaga, bercucuk tanam dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat  di bumi” (al-Baqarah 168)

Mereka meraikan kurniaan Ilahi secara seimbang dan sederhana, tidak terlalu boros dan tidak pula terlalu bakhil. Mereka mengikut manhaj rabbani seperti terkandung dalam al-Quran dengan firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap memasuki masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang boros. Katakanlah siapakah yang mengharamkan  rezeki yang baik? Katakanlah siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah  yang telah dikeluarkan untuk hambaNya dan siapakah pula yang mengharamkan rezeki yang baik? Katakanlah: “Sesungguhnya itu disediakan bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus untuk mereka sahaja di hari Qiamat.” (al-A’raf 31-32) Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu jadikan tangan kamu terbelenggu pada leher kamu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal” (al-Isra’ 29)

Ketika mereka menikmati kurniaan Tuhan mereka bersyukur dan menyatakan itu adalah rezeki dari Allah untuk hamba-hambaNya yang soleh. Allah telah merakamkan kisah Saba’yang dikurniakan nikmat yang banyak. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda kekuasaan Tuhan di tempat kediaman mereka iaitu dalam kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri kepada mereka dikatakan: “makanlah olehmu dari rezeki yang dianugerahkan oleh Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepadaNya. Negeri kamu adalah negeri yang baik dan Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Pengampun” (as-Saba’ 15)

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami kurniakan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar kepadaNya sahaja kamu menyembah” (al-Baqarah 172)

“Dan diberikanNya kamu rezeki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur”. (an-Anfaal 26)

Mereka sentiasa mengikut manhaj rabbani dalam jualbeli dan pertukaran harta benda, mereka tidak berusaha dalam perkara yang haram, tidak menzalimi orang lain, tidak menipu, tidak mencuri, tidak memberi rasuah atau menerimanya. Bekerja dalam lingkungan yang jelas halal, menjauhi yang jelas haram dan sentiasa berhati-hati dalam perkara syubhat. Firman Allah yang bermaksud “ Padahal Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba” (al-Baqarah 275)

“Wahai orang yang beriman, jangan kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”. (an-Nisa’ 29)

Apabila memiliki harta, mereka tidak megah dan berlagak sombong malah sebahagian hartanya dibelanjakan kearah kebaikan. Allah telah merakamkan kisah Qarun yang angkuh selepas Allah mengurniakannya kemewahan. Firman Allah yang bermaksud: “ Sesungguhnya Qarun itu adalah termasuk dalam kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka dan kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta-harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang-orang yang kuat –kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri” (al-Qashash 76)

Maka Qarun menjawab dengan angkuh, firman Allah yang bermaksud: “Qarun berkata: “Sesungguhnya aku diberi harta itu kerana ilmu yang ada pada aku”. (al-Qashash 78)


Akidah merupakan asas bagi pembangunan ekonomi.

Tauhid merupakan prinsip dan asas yang amat penting dalam Islam. Ia merupakan kepercayaan seorang hamba kepada Allah Yang Maha Esa. Apabila tauhid ini tersemat di dalam hati manusia maka akan terjalinlah hubungan erat antara hamba dengan penciptaNya dan menafikan sebarang perhubungan yang serupa dengannya. Keunikan hubungan ini ialah pengakuan seorang hamba untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa  dan segala bentuk kehidupan dunia ini adalah untuk mencari keredhaan Tuhannya dan menolak sebarang kemungkinan untuk memperakui kewujudan apa jua yang lain yang patut disembah.

Prinsip Tauhid ini menjadikan seorang hamba sentiasa akur terhadap kekuasaan Tuhan, ia bertambah yakin bahawa segala ketentuan adalah rezeki dari Allah dan menyerahkan segala ketentuan adalah dari Allah dan menyerahkan segala urusan kepada Tuhannya setelah ia berusaha dalam mencari rezeki di dunia ini dan kepada Allah tempat pergantungan dan petunjuk.

Prinsip Tauhid ini juga bermakna membebaskan manusia dari sebarang ikatan atau pergantungan kepada manusia yang lain. Seorang hamba akan yakin dengan pergantungannya kepada Allah. Prinsip ini terbina dalam dua aspek terpenting iaitu hubungan hamba dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Hubungan ini perlu diasaskan kepada tauhid supaya wujud kesejahteraan hidup yang bertunjangkan kepada sistem nilai dan akhlak yang mulia. Apabila tauhid ini terpancar dari hati sanubari seseorang hamba maka ia akan menekankan aspek keadilan, kesamarataan, persaudaraan, kejujuran, belas kasihan, keutamaan kebaikan sosial dari individu, menghormati harta milik orang lain, sentiasa bersyukur atas nikmat Tuhan dan segala keputusan diputuskan melalui syura.

Prinsi Tauhid ini juga menjelaskan hubungan antara manusia dengan alam sekeliling hendaklah dalam bentuk memelihara alam semulajadi yang merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Walaupun manusia boleh menggunakan sumber alam ini untuk membangunkan ekonomi dan pembangunan negara, ia tidak boleh disalahgunakan. Cara ia menggunakan sumber alam ini hendaklah atas prinsip tauhid. Manusia tidak boleh memusnahkan alam semulajadi sesuka hatinya seperti yang dilakukan oleh manusia kini. Unsur-unsur kejadian alam ini merupakan tanda kekuasaan Allah bagi manusia merenung dan berfikir. Hanya melaui prinsip tauhid ini manusia tidak akan melakukan pencerobohan terhadap alam semulajadi kerana alam ini merupakan milik Tuhan yang dijadikan oleh Allah untuk manusia menggunakannya dengan sebaik mungkin. Dalam menjaga hubungan dengan Allah, manusia juga harus memelihara hubungan dengan alam sekeliling. Ini bukan bermakna manusia harus memuja alam semulajadi seperti yang dilakukan oleh golongan animistik.

Secara ringkasnya akidah Islam dibina atas ciri-ciri berikut:

a) Percaya beriman kepada Allah, Tuhan yang menciptakan alam ini, tidak ada penyembahan kecuali kepadaNya, pertolongan dan hidayah adalah dari Allah. Tidak harus bagi makhluk ini mengambil selain dari Allah menjadi pemimpin dan pelindungnya.
 
Bahawa manusia ini bukan sahaja terdiri dari jasad yang terdiri dari angota badan seperti tulang, daging dan darah malah terdapat ruh yang tinggi dalam diri manusia. Oleh itu, manusia terdiri dari jasad dan kerohanian yang semestinya seimbang.
 
Manusia keseluruhannya adalah hamba-hamba Tuhan Yang Maha Esa, mampunyai kesamaan dalam hak-hak asasi, kebebasan memiliki harta dan perbezaan warna kulit dan bangsa hanya untuk mengeratkan persaudaraan, tidak ada kelebihan warna kulit dengan yang lain, tidak ada kelebihan bangsa atas bangsa yang lain kecuali dengan taqwa yang membentuk budi pekerti yang mulia dan perwatakan yang baik.
 
Allah telah mengutuskan para Rasul dengan membawa risalah kebenaran bagi memberi petunjuk kepada seluruh manusia dengan perundangan yang adil dan syariat yang lengkap lagi sempurna untuk kebahagian manusia dan alam sejagat.
 
Kehidupan manusia bukan hanya sekadar makan atau minum seperti haiwan tetapi mereka mempunyai tugas untuk beribadat kepada Allah, mengerjakan kebaikan semata-mata untuk keredhaan Tuhan dan menjauhi segala perkara mungkar, maksiat dan keji. Mereka sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan sentiasa sabar dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.
 
Kematian bukanlah perkara yang terakhir bagi manusia dan penamat bagi kewujudan manusia malah ia merupakan proses perpindahan untuk kehidupan yang lebih kekal dan abadi. Di sana manusia akan dihitung segala amalan dan diberi ganjaran dan balasan terhadap pekerjaan yang dilakukan di atas bumi ini.

Atas dasar inilah, sistem ekonomi Islam bertapak iaitu bertunjangkan tauhid kepada Allah. Ekonomi Islam bermatlamat bagi mencapai kesejahteraan hidup dengan memenuhi keperluan hajat manusia tetapi ia tidak merestui bahawa kehidupan ini merupakan matlamat bagi segala-galanya kerana kehidupan akhirat lebih abadi untuk manusia yang beriman kepadaNya. Oleh itu, manusia harus melakukan kebajikan yang kekal sehingga hari kiamat seperti mewakafkan harta, bersedekah, mendirikan masjid, sekolah atau tempat-tempat kebaikan supaya amalan pahala itu sampai kepadanya walaupun ia telah mati.

Ahmad Sauqi pernah bersyair yang bermaksud:

Terlintas pada hatinya seseorang pernah berkata kepadanya:
 
Sesungguhnya kehidupan ini hanya sesaat dan sedetik,
Jadikanlah dirimu selepas mati dikenang,
Maka kenangan bagi manusia merupakan kehidupan yang kedua.

Kepentingan pendidikan iman amat penting dalam proses pembinaan ekonomi sehingga seorang muslim itu merasai bahawa ia akan bertanggung jawab terhadap segala harta yang digunakan, bertanggungjawab terhadap memberi bantuan kepada orang miskin dan fakir. Iman juga merupakan benteng yang kukuh bagi menghalang seseorang muslim melakukan perkara yang haram seperti memakan harta anak yatin secara batil, memberi dan menerima rasuah serta riba.

Seorang muslim yang beriman sentiasa berwaspada terhadap segala pekerjaannya dalam mencari nafkah supaya tidak terjerumus dalam perkara haram. Jika tubuh badan dan darah dagingnya tumbuh dari hasil yang haram sudah tentu nerakalah tempatnya.

Disana ada perbezaan yang besar antara yang melihat harta untuk kepentingan dirinya, menganggap dialah yang menghimpunkan harta, menganggap dia yang mengembangkan penghasilan harta dan  menganggap dialah yang layak menggunakan harta tersebut…dengan seorang yang melihat dirinya sebagai “khalifah Allah” bagi memakmurkan harta, harta pada hakikat adalah kepunyaan hak milik Allah, ia hanya diberi amanah bagi mengurus dan memanfaatkan harta untuk manusia keseluruhannya.

Bagi orang yang menganggap harta untuk kepentingan diri, mereka dengan penuh sombong berkata: “Ini adalah harta aku” dengan orang yang beriman lagi merendah diri sambil berkata: “ini adalah kurniaan Allah kepada aku”.

Perbezaaan antara Qarun yang berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku” (al-Qashash 78) dengan nabi Sulaiman yang bersyukur atas nikmat Tuhan: “Inilah termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba aku, apakah aku bersyukur atau mengingkari akan nikmatNya. Dan barangsiapa yang bersyukur untuk kebaikan dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.(al-Naml 40)




My Prayer, Life and Death… for Allah

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman