Manusia sebagai pengurus harta milik Tuhan.
Telah diterangkan sebelum ini, bahawa segala apa yang di bumi ini dan di langit adalah hak milik Allah. Manusia hanya diberi amanah untuk memelihara, memiliki dan mengurus mengikut manhaj Ilahi. Antara manhaj Rabbani ini ialah kepercayaan seorang hamba bahawa ia hanya sebagai pengurus, penjaga dalam harta milik Tuhan. Firman Allah yang bermaksud: “Allahlah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia telah mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai buah-buahan menjadu rezeki untuk kamu, dan Dia telah menundukkan bahtera bagi kamu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendakNya dan Dia telah menundukkan pula bagi kamu sungai-sungai. Dan Dia telah menundukkan bagi kamu matahari dan bulan yang terus menerus beredar dalam orbitnya dan Dia telah memberikan kepada kamu malam dan siang. Dan Dia telah memberikan kepada kamu keperluan dari segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat mengiranya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah.”(al-Ibrahim 32-34)
Tidakkah kita melihat bahawa tumbuhan yang tumbuh adalah dari kekuasaan Tuhan. Seorang petani hanya mengusahakan tanaman tersebut sekadar kemampuannya. Allah yang berkuasa menurunkan air dari langit, meyuburkan tanah, memberikan udara dan cahaya matahari sehingga tumbuhan itu menjadi subur. Berapakah usaha manusia berbanding dengan kuasa yang dilakukan oleh Allah untuk menumbuhkan tanaman tersebut. Firman Allah yang bermaksud: “Maka terangkanlah kepadaKu tentang apa yang kamu tanam? kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkanya? Kalau Kami kehendaki benar-benar maka Kami jadikan dia kering dan hancur maka jadilah kamu hairan dan tercengang sambil berkata: “Sesungguhnya kami benar-benar menderita kerugian” bahkan kami menjadi orang yang tidak mendapat hasil apa-apa. Maka terangkanlah kepadaKu tentang air yang kamu minum. kamukah yang menurunkannya dari awan atau Kami yang menurunkan? Kalau Kami kehendakki nescaya Kami jadikan ia masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur”.(al-Waqiah 63-70)
“Maka hendaklah manusia itu memerhati makanannya, sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air dari langit kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun yang lebat dan buah-buahan serta rumput-rumputan untuk kesenangan dan untuk binatang-binatang ternakan kamu”.(‘Abbasa 24-32)
“Dan suatu tanda kekuasaan Allah yang besar bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan. Dan Kami jadikan kepadanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan kepadanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan dari buahnya dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur”. (Yaasin 33-35)
Allah swt yang menumbuhkan segala tumbuhan yang ada di bumi ini. Dialah yang menyuburkan tanah yang kering dengan menurunkan hujan dan mata air lalu tumbuh buah-buahan untuk dinikmati oleh manusia. Mengapakah manusia tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan malah ada yang merasa bongkak dengan kekayaan yang dimilikinya tanpa mahu berbelanja pada jalan Allah bagi meninggikan kalimahNya. Matlamat hidup kita adalah untuk beribadat manakala harta kekayaan adalah wasilah bagi kita untuk mencapai kebahagiaan dalam beribadat. Mana mungkin seorang yang tidak mempunyai harta untuk menunaikan haji di Mekah, mendermakan wang bagi membina masjid dan tempat-tempat kebajikan. Perkara ini memerlukan kepada harta dan wang.
Apabila manusia mengetahui bahawa harta pada hakikatnya adalah milik Allah, ia hanya sebagai penjaga dan pegurus harta tersebut, maka akan lahir sifat-sifat muslim yang sejati dalam konteks pembangunan ekonomi, antaranya ialah:
Ia sentiasa berwaspada dalam mengurus harta, tidak terlalu sombong, bongkak dengan harta kekayaan kerana ia yakin harta itu adalah milik Tuhan yang berkuasa menariknya dalam bila-bila masa sahaja jika Ia kehendaki. Mereka tidak berkata seperti kata-kata orang kafir “inilah harta hak aku” atau kata-kata Qarun “Sesungguhnya aku diberi harta itu kerana ilmu yang ada pada aku”(al-Baqarah 78) malah mereka sentiasa berkata seperti kata-kata nabi Allah Sulaiman “Ini adalah kurniaan tuhanku”(al-Naml 40)
Pernah seorang badawi muslim ditanya mengenai ternakan untanya: siapakah yang memiliki unta ini? Beliau menjawab dengan penuh adab seorang muslim: “Ia adalah milik Allah yang dianugerahkan kepada aku”. Betapakah mulia sifat orang mukmin yang sentiasa bersyukur atas nikmat Tuhannya yang tidak terhingga untuk dihitung.
Ia sentiasa membelanjakan harta untuk jalan Allah, menolong orang-orang miskin dan orang yang kurang bernasib baik. Mereka sentiasa berlumba-lumba kearah kebaikan dan kebajikan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan mengapakah kamu tidak menafkahkan sebahagian harta kamu pada jalan Allah yang mempusakai langit dan bumi?” (al-Hadid 10) Hati mereka sentiasa terbuka menerima perintah Tuhan yang memiliki perbendaharaan langit dan bumi dengan mengikut syariat yang berkaitan dengan peraturan dan hukum mengenai harta. Pada zaman Rasulullah saw, para sahabat bertanya kepada Rasulullah “Bagaimanakah kami hendak lakukan harta-harta Allah pada milik kami, bagaimana hendak dinafkahkan? Berapakah nilainya yang perlu dinafkahkan dan kepada siapa?”
Dari Anas bin Malik berkata: Telah datang seorang dari Bani Tamim kepada Rasulullah, maka ia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bagi aku harta yang banyak, memiliki keluarga dan tanaman serta harta, maka beritahulah bagaimana hendak aku lakukan? Dan bagaimana aku hendak nafkahkannya? Maka berkata Rasulullah saw: Keluarlah zakat, sesungguhnya ia adalah pembersih yang membersihkan engkau dan berikanlah kepada keluarga kamu dan kenalilah hak-hak orang miskin, jiran dan orang yang meminta.”(12)
Dalam surah al-Baqarah terdapat dua ayat yang menyebutkan mengenai pertanyaan orang muslim mengenai harta yang hendak dinafkahkan. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka bertanya kepada kamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibubapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.”(al-Baqarah 215)
“Dan mereka bertanya kepada kamu apa yang mereka nafkahkan, katakanlah: “yang lebih dari keperluan.”(al-Baqarah 219)
Ia merupakan sandaran syariat dan teori asas kepada pemerintah negara untuk mewajibkan perkara yang perlu untuk dikenakan cukai kepada orang yang mampu bagi menampung keperluan orang-orang yang memerlukan bantuan atau untuk mencapai maslahah umum bagi agama dan negara.
Balasan orang kaya yang tidak menunaikan amanah dalam menjaga dan mengurus harta benda.
Orang yang tidak menunaikan amanah dalam menjaga dan mengurus harta benda maka Allah akan berkuasa menarik balik kekayaannya, menghancurkannya atau menukarkan kepada orang lain jika ia tidak bersyukur. Mereka yang tidak menolong saudara muslim dengan bersedekah dan menunaikan hajat mereka maka Allah tidak akan menjadikan penolong kepadanya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Dan Allah akan menolong hambaNya selama hamba itu menolong saudaranya.”(shahih)
Al-Quran telah merakamkan kisah Qarun yang bongkak dengan hartanya,
melampau dalam kekayaannya. Sesungguhnya kaumnya telah memberi nasihat tetapi ia tidak mempedulikannya. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk dalam kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka dan kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu kebahagiaan negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagiaan kamu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu berbuat kerosakkan dibumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada pada aku. Dan apakah ia tidak mengetahui bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka. Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia, moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun. Sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar. Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagi kamu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh dan tidak diperolehi pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar. Maka kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang yang dapat membela dirinya.”(al-Qashash 76-81)
Al-Quran juga merakamkan kisah dua orang pekebun dalam surah al-Kahfi. Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua lelaki, kami jadikan bagi seorang di antara keduanya yang kafir dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kebun anggur itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua kebun itu kami buatkan ladang. Kedua buah kebun itu menghasilkan buahnya dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun dan kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya yang mukmin ketika ia bercakap-cakap dengan dia: “Harta aku lebih banyak dari harta kamu dan pengikut-pengikut aku lebih kuat.” Dan dia memasuki kebunnya sedang dia menzalimi dirinya sendiri, ia berkata: “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari qiamat itu akan datang dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu. Kawannya yang mukmin berkata kepadanya sedang ia bercakap-cakap dengannya: “Apakah kamu fikir kepada Tuhan yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku percaya bahawa: “Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku. Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebun kamu “masya Allah” tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah? Jika kamu anggap aku lebih kurang daripada kamu dalam harta dan anak. Maka mudah-mudahan Tuhanku akan memberi kepada aku kebun yang lebih baik daripada kebun kamu ini dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan (petir) dari langit kepada kebun kamu hingga kebun itu menjadi tanah yang licin atau airnya menjadi surut ke dalam, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi. Dan harta kekayaannya dibinasakan lalu ia membolak-balikkan kedua tangannya tanda menyesal terhadap biaya yang telah dibelanjakannya untuk itu, sedang pokok anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata: “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan tuhanku.” Dan tidak ada bagi dia segolongan pun yang akan menolongnya selain Allah dan sekali-kali ia tidak dapat membela dirinya. Disana, pertolongan itu hanya dari Allah Yang Hak Dia sebaik-baik pemberi pahala dan sebaik-baik pemberi balasan. Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia) kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi kemudian tumbuh-tmbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”(al-Kahfi 32-45)
Pemerintah berkuasa mengambil tindakan undang-undang kepada rakyat yang membelanjakan harta dengan membeli arak, dadah dan enggan membayar zakat. Kesemua ini termasuk dalam perkara ta’zir yang pemerintah berhak membuat undang-undang jika dirasakan sesuai dengan keadaan dan tempat. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu serahkan orang yang belum sempurna akalnya, harta mereka yang ada dalam kekuasaanmu yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berikanlah mereka belanja dan pakaian dari hasil harta itu dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.”(an-Nisa’ 5)
Dalam ayat ini menerangkan bahawa orang yang menjadi penguasa berhak menyekat jika mereka tidak dapat mengurus harta dengan baik. Begitu juga, si bapa berkuasa menyekat dengan memberi kuasa sepenuhnya dalam berbelanja jika didapati si anak itu tidak dapat mengurus perbelanjaan dengan baik.
Di akhirat, setiap orang akan ditanya mengenai harta, di mana ia membelanjakannya dan bagaimana ia menguruskan harta-harta tersebut. Bagi orang yang melakukan penyelewengan dalam mengurus harta serta melakukan kezaliman, penindasan dan penipuan kepada orang lain terhadap harta mereka maka ia akan menerima balasan dari Allah dengan azab yang pedih.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkanya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat seksa yang pedih pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam api neraka jahanam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka lalu dikatakan kepada mereka: “Inilah harta benda kamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang akibat dari apa yang kamu simpan itu.” (al-Taubah 34-35) Ekonomi yang berasaskan prinsip dan ciri-ciri rabbani ini menjadikan seseorang itu sentiasa berwaspada dalam megurus harta kekayaan, sentiasa membelanjakan harta dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak, berlumba-lumba kearah kebaikan dan kebajikan, menolong anak yatim, orang miskin dan fakir.
Mereka yang berniaga tidak hanya berfikir mengenai untung rugi, tidak mengetahui melainkan percakapan perkiraan, tetapi mereka mengharap lebih dari itu iaitu keredhaan Allah dan keberkatan hidup dalam melaksanakan amanah harta tersebut sambil bersyukur ke hadrat Ilahi. Dengan bertunjangkan tauhid, mereka memakmurkan bumi ini dengan penghasilan ekonomi yang berdasarkan syariat Islam. Mereka menjadi kaya bukan kerana penindasan, penipuan, kezaliman, peras ugut dan perompakan terhadap orang lain.
Setiap hari mereka memohon petunjuk kepada Allah supaya harta-harta itu tidak melalaikan mereka dari mengingati Tuhan semesta alam.
b) Ekonomi yang berteraskan akhlak.
Keistimewaan sistem ekonomi Islam dengan sistem ekonomi yang lain ia tidak memisahkan antara ekonomi dengan akhlak seperti ia tidak memisahkan antara ilmu dengan akhlak, tidak memisahkan antara politik dengan akhlak kerana akhlak merupakan tunjang kepada kehidupan seseorang bagi mencapai kebahagiaan yang hakiki.
Risalah Muhamadiah adalah untuk membentuk akhlak manusia seperti ungkapan nabi saw yang bermaksud “ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”
Oleh itu, matlamat ekonomi ini mestilah seiring dengan matlamat bagi membentuk akhlak yang mulia. Manusia terikat dengan akhlak dan iman dalam proses pertumbuhan ekonomi. Mereka tidak boleh melakukan penyelewengan, pembaziran, penipuan demi untuk kemajuan ekonomi. Ekonomi yang berteraskan akhlak merupakan ekonomi yang akan membawa kesejahteraan alam sejagat dan keberkatan hidup seterusnya akan melahirkan masyarakat yang bermoral.
Ekonomi yang terikat dengan akidah, contoh tauladan akhlak yang mulia seiring dengan prinsip syariat Islam. Di sini beberapa contoh ekonomi yang bertunjangkan aspek akhlak:
Berterusan kaum musyrikin mengerjakan haji di Baitullah di Mekah sehingga tahun ke-9 hijrah. Kaum musyrikin ini mengerjakan tawaf dengan bertelanjang. Oleh itu Rasulullah ingin membersihkan Kaabah dari perkara yang dilakukan oleh golongan musyrikin ini lalu mengutus Saidina Ali kepada Saidina Abu Bakar yang menjadi ketua pada tahun sembilan hijrah supaya mengisytiharkan bahawa selepas tahun ini tidak dibenarkan kaum musyrikin mengerjakan haji dan tawaf dalam keadaan telanjang.
Tidak diragukan bahawa dengan tidak membenarkan golongan musyrikin mengerjakan haji merupakan kerugian kepada umat Islam dari segi ekonomi tetapi mereka dalah bertanggungjawab untuk memelihara kesucian Kaabah dan terikat dengan keimanan dan prinsip syariat.
Firman Allah yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati masjid haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khuatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepada kamu dari kurniaaNya jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (al-Taubah 28)
Peristiwa ini menjelaskan bahawa mereka yang menganggap dengan melarang golongan musyrikin mengerjakan haji dan umrah akan menjejaskan ekonomi orang Islam dan pendapat wang kemasukan akan berkurangan disebabkan mereka tidak lagi mengerjakan haji tetapi ingatlah bahawa Allah yang memberikan kurniaanNya serta kekayaan kepada sesiapa yang dikehendaki. Ini menjelaskan ikatan sistem ekonomi dengan prinsip akhlak dari segi luarannya, memanglah merugikan orang Islam tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.
2- Begitu juga tidak boleh lagi orang Islam atas nama pelancongan membenarkan minuman keras, mendirikan tempat-tempat pelacuran, perjudian, kasino dan menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah. Sekiranya kamu khuatir kemiskinan sesungguhnya Allah akan mengkayakan kamu dari kurniaanNya jika kamu benar-benar beriman kepadanya.
Antara adat golongan jahiliyah bagi mendapatkan sesuatu keuntungan dalam perniagaan dan perdagangan mereka sanggup menggadai maruah anak-anak perempuan mereka untuk ditiduri oleh orang lain sebagai habuan keuntungan. Mereka juga memberi habuan dengan meniduri perempuan pelacur atau melakukan perzinaan semata-mata untuk mendapat keuntungan. Kedatangan Islam mengharamkan kesemua perkara tersebut dengan menegah golongan musyrikin melakukan perkara tersebut kepada anak-anak perempuan mereka semata-mata untuk mendapat keuntungan.
Firman Allah yang bermaksud “ Dan jangan kamu paksa perempuan-perempuan kamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri menginginkan kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi.” (al-Nur 33)
Tidak dinafikan bahawa manusia tidak mempunyai had waktu untuk berniaga. Mereka bebas berniaga pada setiap waktu dan hari. Dalam Islam perniagaan yang dijalankan hendaklah tidak melalaikan seseorang dari mengingati Allah terutama pada hari Jumaat apabila mendengar seruan sembahyang Jumaat hendaklah setiap muslim meninggalkan jualbeli. Mereka hendaklah bersegera mengingati Allah dan menunaikan fardhu sembahyang jumaat. Begitu juga dalam urusan keduniaan yang lain harus ditinggal apabila tiba waktu sembahyang Jumaat. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan jualbeli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”. (al-Jumaat 9)
Al-Quran mengingatkan manusia bahawa jangan mendahulukan perniagaan dan permainan dari sembahyang dan amalan fardhu. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri berkhutbah. Katakanlah “Apa yang di sisi Allah adalah lebih baik daripada permainan dan perniagaan dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki”. (al-Jumu’ah 11)
Mengharuskan minuman keras adalah menguntungkan bagi setengah orang kerana mereka mempunyai laba perniagaan dalam kilang arak dan juga membolehkan mereka mengutip cukai dari hasil penjualannya, ia juga membawa keuntungan dari segi eksport dan import dalam negara tetapi Islam melarang minuman keras, membina kilang dan memprosesnya. Keuntungan yang didapati hanya dari segi kebendaan tetapi minuman keras boleh merosakkan kesihatan badan manusia, merosakkan fikiran manusia yang boleh mengancam keamanan masyarakat dan ketenteraman negara bagi melahirkan masyarakat yang kuat. Oleh itu, Islam mengharamkan minuman keras serta penghasilan dari keuntungan yang sedikit di dunia ini kerana akibatnya lebih besar untuk menghancurkan masyarakat manusia keseluruhannya. Begitu juga dengan penjualan dadah adalah amat berbahaya kepada masyarakat dan negara kerana dadah boleh melumpuhkan cita-cita generasi mendatang.
Oleh demikian, Islam tidak membenarkan manafaat keuntungan ekonomi secara cepat yang boleh merosakkan kehidupan manusia dan negara. Demi untuk mengejar keuntungan yang sedikit adakah kita sanggup untuk menghancurkan kekuatan masyarakat dan negara? Dadah dan arak akan melumpuhkan masyarakat, menjadikan kehidupan mereka tidak bermakna serta tidak mempunyai ciri-ciri kemanusiaan. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka bertanya kepada kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”.(al-Baqarah 219)
Pembinaan tempat pelancongan, tempat pelacuran, perjudian dan kasino untuk mengaut keuntungan dan kebendaan adalah amat bertentangan dengan prinsip pembinaan akhlak manusia yang mulia. Demi untuk mengaut keuntungan peribadi yang sedikit, maka kita melakukan kerosakan terhadap masyarakat dan negara kerana pelacuran dan perjudian menjadikan masyarakat hidup dalam khayalan dan lemah sedangkan kita menginginkan masyarakat yang kuat, dinamis dan makmur.
Islam juga melarang umat Islam melakukan pembaziran dalam berbelanja dan terlalu bakhil. Islam membentuk umat supaya berakhlak dalam berbelanja secara sederhana. Allah swt menyifatkan orang yang sederhana dalam berbelanja sebagai ‘ibadurrahman (hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang) yang layak tinggal dalam syurga kelak. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.”(al-Furqaan 67)
Ekonomi dalam Islam merangkumi aspek-aspek akhlak dan nilai-nilai murni. Ikatan ekonomi dan akhlak merupakan ikatan yang kukuh dan kuat yang bersandarkan prinsip syariat islam. Keuntungan ekonomi mestilah menepati nilai-nilai kemanusiaan berteraskan akhlak yang mulia. Islam tidak membenarkan hanya untuk mengejar keuntungan kita melakukan penipuan, kezaliman, penindasan, penyelewengan dan rasuah yang akan merosakkan kehidupan manusia yang sejahtera.
Ekonomi yang berteraskan kemanusiaan
Bahawa matlamat ekonomi Islam adalah untuk melahirkan kehidupan yang makmur dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Ciri kemanusiaan dalam ekonomi ini adalah berseiringan dengan ciri rabbani yang telah diterangkan sebelum ini. Antara ciri-ciri kemanusiaan iaitu kebebasan dan kemuliaan manusia, melaksanakan keadilan sesama manusia, persaudaraan dan pertolongan, belas-kasihan terhadap setiap manusia terutama orang miskin, fakir, anak yatim, orang yang dalam perjalanan dan janda-janda yang kematian suami dan sesiapa yang kurang bernasib baik untuk menyara keluarganya.
Dari sini Islam mengakui hak kebebasan seseorang itu untuk memikul harta, memeliharanya dari diceroboh dan dirampas orang lain. Islam sering menyeru umatnya sentiasa bekerja dan berusaha bagi menjamin kebahagian hidup. Makna kemanusiaan dalam ekonomi ini adalah untuk melahirkan kehidupan yang bahagia dan makmur. Pekerjaan dan usaha yang dilakukan itu dianggap sebagai ibadat dan jihad dalam Islam
Kehidupan yang bahagia terbina dalam dua aspek terpenting yang saling kait satu dengan lain iaitu unsur kebendaan dan unsur kerohanian.
Unsur kebendaan dalam kehidupan bahagia.
Islam mengharuskan umatNya menikmati segala perkara yang ada di dunia ini dari perkara-perkara yang baik. Ini bertentangan dengan setengah agama yang mengharamkan segala perkara baik yang dikurniakan oleh Allah untuk dinikmati oleh manusia. Firman Allah yang bermaksud : “Wahai manusia sekalian, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata”. (al-Baqarah 168)
Allah yang menghalalkan perkara yang baik dan mengharamkan perkara yang keji seperti firman Allah yang bermaksud: “Mereka menanyakan kepada kamu, apakah yang dihalalkan bagi mereka? Katakanlah : “Dihalalkan bagi kamu yang baik-baik”. (al-Maidah 4)
Allah menggambarkan sifat para rasul dan keistimewaan risalahNya yang dikenali oleh ahli taurat dan injil. Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang yang mengikut rasul, nabi-nabi yang ummi yang nama mereka didapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di posisi mereka, menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk”. (al- ‘Araaf 157)
Pada zaman Rasulullah saw tersebarnya fikiran di kalangan para sahabat yang mengharamkan memakan daging, tidur atas katil dan berkahwin dengan perempuan, maka turunlah ayat yang menjelaskan perkara ini. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari yang Allah rezekikan kepada kamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya”. ( al-Maidah 87-88)
Al-Quran dan as-Sunnah telah menyebutkan perkara-perkara yang baik dari kebendaan yang harus manusia menikmatinya, di antaranya ialah:
Perkara baik dari segi makan dan minum.
Islam mengharuskan umatnya menikmati makanan dan minuman yang baik lagi halal seperti makan daging, buah-buahan serta minuman seperti susu, madu dan lain-lain lagi. Kenikmatan makanan dan minuman yang dinikmati oleh manusia itu merupakan kurniaan Ilahi yang harus kita bersyukur kepada Allah. Firman Allah: “dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepada kamu”. (al-Maidah 88)
“Makanlah olehmu dari rezeki yang dianugerahkan oleh Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepadaNya”. (al-Saba’ 15)
Perkara baik dari segi pakaian dan perhiasan.
Islam menyuruh umatnya berpakaian bagi menutup aurat yang merupakan perkara dharuri manakala perhiasan merupakan perkara tahsinat. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan”. (al-‘Araaf 26)
Sesungguhnya Allah itu sangat sukakan kepada kecantikan seperti hadis shahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Mas’ud bertaka: Bersabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik, dan sukakan kecantikan”. Apabila kita berpakaian hendaklah kemas, teratur dan elok dipandang. Gambaran yang menyatakan umat Islam hanya hidup dalam keadaan melarat dengan pakaian yang bercarik, kotor adalah bukan ajaran Islam. Islam sentiasa menyuruh umatnya sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas dalam berpakaian.
Perkara baik dari segi tempat tinggal
Rumah merupakan tempat tinggal dan penginapaan manusia adalah tempat merehatkan manusia dari keletihan bekerja dan tempat bagi melahirkan kasih sayang keluarga. Tempat tinggal yang baik lagi strategik amat perlu bagi setiap individu manusia yang inginkan ketenangan dan kebahagian. Rumah yang bahagia akan melahirkan masyarakat yang bahagia dan penyayang. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah yang menjadikan bagimu rumah-rumah sebagai tempat tinggal”. ( al-Nahl 80)
Allah telah menceritakan kisah kaum Samud yang mendirikan istana-istana yang indah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu dibumi. Kamu dirikan istana-istana ditanah-tanahnya yang mendatar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka itu ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerosakan”. (al-‘Araaf 74)
Rasulullah saw selalu berdoa kepada Allah supaya sentiasa memberi keselesaan dalam rumah sebab rumah merupakan tempat melahirkan kebahagiaan dalam keluarga. Sabda Rasulullah: “Wahai tuhanku, ampunkanlah dosaku, berikanlah keselesaan dalam rumahku dan berkatilah aku dalam urusan rezekiku”. (13)
Kenderaan.
Kenderaan merupakan alat perhubungan yang amat penting sejak zaman dahulu lagi. Perkembangan masa dan teknologi menjadikan manusia telah mencipta alat-alat kenderaan yang serba canggih untuk kemudahan manusia. Islam membenarkan umatnya memiliki kenderaan bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan telah menciptakan kuda, baghal dan keldai agar kamu menungganginya dan menjadikannya perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (al-Nahl 7)
Sesungguhnya binatang-binatang itu dijadikan Allah untuk kepentingan manusia bagi membawa barang-barang yang tidak sanggup dipikul oleh manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ia memikul beban-bebanmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya melainkan dengan kesukaran-kesukaran yang memayahkan diri”. (al-Nahl 8)
“ Allahlah yang menjadikan binatang ternak untuk kamu, sebahagiannya untuk kamu kenderai dan sebahagianyan untuk makan. Dan ada lagi manfaat-manfaat yang lain pada binatang ternak itu untuk kamu dan supaya kamu mencapai suatu keperluan yang tersimpan dalam hati dengan mengenderainya. Dan kamu dapat diangkut dengan mengenderai binatang-binatang itu dan mengenderai bahtera”. (al-Mukmin 79-80)
Pada zaman sekarang kenderaan yng direka adalah dari besi atau bahan galian yang merupakan ciptaan Tuhan. Oleh itu walaupun manusia sekarang tidak menggunakan binatang sebagai alat perhubungan tetapi kenderaan ini juga menggunakan sumber hasil ciptaan Tuhan terdiri dari bahan galian besi, minyak dan lain-lain lagi bagi membantu kereta, kapal terbang dan kapal laut.
Menikmati kehidupan suami/ isteri.
Menikmati kehidupan suami/ isteri adalah diharuskan dalam Islam. Dari sini akan lahir keluarga bahagia serta keturunan yang baik. Firman Allah yang bermaksud: “Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan jadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu anak-anak dan cucu-cucu dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah.”(al-Nahl 72)
Kehidupan suami/isteri akan menimbulkan kasih sayang, ketenangan dan mahabbah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”(ar-Rum 21)
Suami/isteri boleh melakukan hubungan jenis kerana ia merupakan fitrah manusia yang saling memerlukan. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu seperti ladang tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanammu itu bagaimana saja kamu kehendaki.”(al-Baqarah 223)
“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu, mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka.”(al-Baqarah 187)
Dalam melahirkan pasangan suami/isteri yang bahagia, ia seharusnya mengakui hak-hak yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Dunia ini merupakan kesenangan dan sebaik-baik kesenangannya ialah perempuan yang solehah.”(14)
Hiburan dan permainan.
Islam mengharuskan umatnya berhibur selagi tidak melalaikan dari mengingati Allah dan dalam lingkungan prinsip dan roh Islam. Islam juga menggalakkan umatnya bermain seperti menembak, menunggang kuda, berenang dan membuat latihan bersenam untuk menguatkan anggota badan dan menghiburkan hati.
Berhibur dengan mendengar lagu-lagu yang membangunkan jiwa untuk berjihad, menghiburkan hati dan menanamkan semangat untuk mempertahankan negara adalah diharuskan. Hiburan ini adalah merupakan keperluan kepada individu dan masyarakat yang seharusnya dilihat sebagai satu perkara yang baik sekiranya tidak bertentangan dengan ruh Islam dan tidak melalaikan hati yang mengingati Allah. Sekiranya lagu-lagu itu menyebabkan kita lupa kepada Allah, terlalu asyik dan khayalan dalam alam fantasi yang menyebabkan dirinya berakhlak buruk dan perwatakan yang kasar adalah haram.
Perkara baik dari segi kecantikan dan perhiasan.
Islam mengharuskan umatnya untuk mencantik dan berhias. Allah telah merakamkan sikap segolongan yang enggan mencantikkan diri malah mengharamkannya. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah di setiap memasuki masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah : “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambaNya dan siapa pulakah yang mengharamkan rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semua itu disediakan bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia khususnya mereka sahaja di hari kiamat. Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui”. (al-A‘araf 31-32)
Allah menyuruh anak Adam menggunakan perhiasan seperti mana Allah menyuruh makan dan minum bagi melengkapi kehidupan manusia. Perhiasan dan kecantikan menjadikan manusia itu sentiasa dalam keadaan kemas dan teratur malah Allah menghiaskan langit dengan kecantikan supaya menjadi keindahan kepada manusia apabila melihat dan merupakan tanda-tanda kekuasaan Ilahi. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah hiaskan langit yang terdekat dengan hiasan, iaitu bintang-bintang”. (al-Syafaat 6)
Ini merupakan pandangan Islam mengenai perkara baik yang diharuskan untuk manusia menikmati segala kurniaan Tuhan yang tidak terhitung untuk dikira. Oleh itu, ekonomi Islam berteraskan konsep kemanusiaan yang menepati kehendak naluri hati manusia yang berkehendakkan keselesaan hidup kerana manusia adalah terdiri daripada unsur ruh dan unsur kebendaan.
Zuhud yang dikenali dalam Islam bukan mengharamkan perkara yang baik, menolak keselesaan hidup atau mengasingkan diri dari memakmurkan bumi ini tetapi ia bermakna mengawal diri supaya tidak terlalu mengikut hawa nafsu, mementing dunia dari akhirat apabila bertembung antara dua kepentingan tersebut. Firman Allah yang bermaksud: “Maka berpalinglah (wahai Muhammad) dari orang yang berpaling dari ingatan kami dan tidak menginginkan kecuali kehidupan duniawi”. (an-Najm 29) “Dan mereka yang mengutamakan kehidupan dunia maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya”. (an-Nazi’aat 38-39)
Ada juga yang menganggap bahawa dunia ini sebagai tempat yang buruk dan menolak kehidupan dunia kerana mereka berdasarkan beberapa ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menggambarkan bahawa dunia tempat bagi orang kafir sahaja. Sebagai contoh mereka berdalilkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Dunia merupakan penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”. (Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah – 2956)
Bukan maksud dari hadis ini mengharamkan orang mukmin menikmati perkara-perkara baik malah ia merupakan antara amalan yang baik dan dikira sebagai amal soleh. Maksud hadis ini bahawa orang mukmin dalam dunia ini adalah terikat dengan tanggungjawab dan amanah yang mesti ditunaikan terikat dengan halal dan haram, tidak boleh melakukan kecuali dibenarkan oleh syarak. Berapakah banyak perkara yang kita idam hendak lakukan tetapi tidak dilaksanakan kerana perkara itu bertentangan dengan roh syariat Islam. Kita hanya mengharap keredhaan Tuhan. Inilah yang dimaksudkan dunia penjara bagi orang mukmin.
Maksud dengan syurga bagi orang kafir kerana mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa ada had batasan dan tidak terikat dengan mana-mana peraturan dan syariat.
Oleh yang demikian perkara yang baik yang diharuskan di sisi Islam adalah untuk menenangkan jiwa manusia, melahirkan rasa tenteram pada hati, menyuburkan perasaan kasih sayang dan lapangkan dada untuk melakukan perkara-perkara kebajikan.
Ekonomi yang berteraskan kesederhanaan.
Ekonomi Islam yang berteraskan kesederhanaan yan seimbang antara kerohanian dan keperluan kebendaan. Ekonomi Islam berbeza dengan ekonomi kapitalis yang mementingkan individu semata-mata dengan ekonomi sosialis yang mementingkan secara jamaah. Ekonomi islam adalah seimbang antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat dan negara. Seimbang antara keperluan dunia dan akhirat, seimbang antara roh dan jasad, seimbang antara akal dan hati, seimbang antara teori dan praktikal. Ekonomi Islam adalah seimbang antara kedua-dua aspek tersebut dengan memberi hak-hak yang secukupnya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia yang meletakkan neraca keadilan supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah timbnagan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu”. (ar-Rahman 7-9)
Ekonomi Islam merupakan sebahagian dari sistem kehidupan manusia yang diasaskan berdasarkan keseimbangan, kesederhanaan dan keadilan. Dalam bidang ekonomi Islam adalah seimbang antara modal dan kerja, seimbang antara penghasilan dan pengeluaran, seimbang antara pembahagian pengeluaran bersama. Di antara keseimbangan ekonomi Islam yang terpenting yang membezakan antara yang lain ialah :
Pertama : Berkaitan dengan harta; antara golongan agama, falsafah, ideologi yang mengharamkan penggunaan harta malah memerangi kehidupan dunia serta kenikmatannya dengan golongan yang menganggap harta sebagai matlamat hidup, mengumpul harta untuk kepentingan diri dan menjadikan dunia segala-galanya dalam hidupnya.
Kedua : Berkaitan dengan pemilikan; antara golongan yang membazir dalam berbelanja, mencari harta dengan penipuan dan kezaliman dengan golongan yang menganggap harta sebagai satu keburukan dan menjauhi diri dari memiliki harta.
Pendirian Islam mengenai dunia adalah pendirian yang seimbang dan sederhana dan menganggap harta itu sebahagian dari keperluan hidup manusia. Islam tidak cenderung kepada golongan yang menolak kesenangan dunia, menganggap dunia membawa kepada keburukan dan kecelakaan, melarang dari berkahwin dan melarikan diri daripada perkara yang baik yang diharuskan di sisi Islam seperti makan, minum, memakai pakaian dan lain-lain yang merupakan untuk keselesaan hidup.
Islam juga tidak cenderung kepada golongan yang menjadikan dunia ini sebagai matlamat segala-galanya malah menjadikan dunia ini sebagai tuhan mereka. Mereka ini tidak langsung berfikir tentang hari akhirat seperti yang digambarkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan tentu mereka akan mengatakan pula: “Kehidupan kita hanyalah di dunia saja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan.” (al-An’aam 29)
“Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan kami dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat kami, mereka itu tempatnya ialah neraka disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.”(Yunus 7-8)
Pendirian Islam adalah pendirian yang seimbang antara mereka, menganggap dunia merupakan ladang bagi akhirat, merupakan jalan bagi menuju ke arahnya, jalan yang penuh dengan kebaikan dan kebajikan hingga mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat seperti ungkapan doa yang selalu diucapkan oleh setiap orang muslim. Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara mereka yang berdoa: Wahai tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksaan neraka.”( al-Baqarah 201)
“Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”(Al-Imran 149)
Islam tidak memisahkan kehidupan dunia dengan agama, tidak memisahkan antara kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat bak pepatah mengatakan: “Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kamu hidup selamanya, dan beramalah untuk akhirat seolah-olah kamu hendak mati esok.”
Harta merupakan wasilah untuk manusia membuat kebaikan jika digunakan ke arah kebaikan dan harta bukan selama-lama merupakan kecelakaan kepada orang yang memilikinya. Al-Quran juga menyebutkan harta sebagai kebaikan seperti firmanNya yang bermaksud: “Mereka bertanya kepada kamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: Apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan hendaklah diberi kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”(al-Baqarah 215)
Rasulullah saw sentiasa berdoa supaya dijadikan di kalangan orang-orang yang kaya dan menjauhkan dirinya dari kemiskinan dan kefakiran. Islam bukan menyuruh umatnya hidup dalam keadaan kemiskinan, sentiasa mengharap pertolongan orang lain dan merempat di merata tempat mengharap belas kasihan orang. Anggapan yang menyatakan bahawa jika sekiranya ingin menjadi hamba yang soleh hendaklah hidup dalam keadaan kemiskinan, bukan syiar Islam. Orang kaya yang bersyukur lebih Allah kasihi dari orang miskin yang bersabar malah tangan yang menghulur adalah lebih baik dari tangan yang meminta. Oleh itu, tidak timbul persoalan yang mengatakan bahawa umat Islam perlu hidup dalam keadaan kemiskinan kerana ini merupakan ketentuan dari Allah. Para sahabat yang sepuluh orang yang dijamin oleh Rasulullah saw memasuki syurga adalah terdiri daripada golongan kaya seperti Abu Bakar As-Siddiq, Uthman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf. Harta yang dimiliki oleh mereka dibelanjakan ke arah kebaikan sambil menambahkan kesyukuran mereka kepada Tuhan yang memiliki alam semesta ini.
Sekiranya kita bersyukur atas nikmat kurniaan Ilahi, nescaya Allah akan menambahkan rezeki dan keberkatan kepada kita semua. Ini merupakan janji Allah kepada hamba-hambaNya yang bersyukur. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambahkan kepada kamu dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”(Ibrahim 7)
“Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan hukum Taurat dan Injil dan al-Quran yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka.”(al-Maidah 66)
“Jikalau sekiranya penduduk-peduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan ayat-ayat kami itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”(al-A’raaf 96)
Harta yang dimiliki oleh manusia itu adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji samada ia bersyukur atau tidak bersyukur.
Sesungguhnya kelebihan manusia bukan terletak pada kekayaan harta, pangkat atau kuasa tetapi terletak pada amal soleh, keikhlasan, ketaqwaan dan perwatakan yang mulia.
Harta yang dikurnia oleh Allah itu hendaklah dijadikan ia amal soleh yang berkekalan walaupun kita telah mati dengan membina masjid, rumah-rumah kebajikan, hospital, sekolah dan lain-lain yang memberi manfaat yang berkekalan hingga hari kiamat. Firman Allah yang bermaksud: “Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”(al-Kahfi 46)
Apabila kekuatan ekonomi umat Islam kukuh, maka matlamat utama manusia untuk beribadat dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lengkap. Manusia dijadikan oleh Allah untuk beribadat kepadaNya dan dijadikan ekonomi sebagai wasilah bagi manusia untuk mencapai kesenangan dan keselesaan dalam beribadat kepada Allah swt.
Secara kesimpulannya, ekonomi Islam yang bercirikan empat ciri tersebut adalah melahirkan golongan umat yang mempunyai kekuatan ekonomi yang berasaskan sistem nilai etika yang tinggi dan perwatakan yang baik lagi bersyukur untuk Tuhan Yang Maha Esa.
Rujukan:
(12) Berkata Al-Munzari: Diriwayatkan oleh Ahmad dan periwayatnya adalah shahih, begitu juga berkata Hashimi dalam “Mujmak Az-Zawahid”
(13) Diriwayatkan oleh Ahmad dan yang lain dari Abu Musa As-Sya’ari dan Turmuzi dari Abu Hurairah, Shahih jamie Shagir(1265)
(14) Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Nasa’ie dari Abdullah bin Amru dan Muslim dari Ibnu Umar, Shahih Jamie Shagir (3413)
My Prayer, Life and Death… for Allah
No comments:
Post a Comment