Post Top Ad
Your Ad Spot
Tuesday, September 06, 2011
Mencipta Reputasi Bersih Selepas Ramadhan
Ramai manusia binasa disebabkan ketidak-mampuan menahan dorongan nafsu. Gambaran mengenai hal tersebut boleh diperhatikan dari lintasan dan lipatan sejarah, dan kebudayaan manapun. Bahkan dalam penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S, Al Quran telah memberikan petunjuk tersebut betapa sukarnya nenek moyang kita ini berusaha mengendalikan nafsu. Allah Taala berfirman, “Wahai, Adam. Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga ini. Makan dan minumlah sepuas-puasnya. Tetapi awas, janganlah engkau berdua makan buah dari pohon ini. Jika engkau berdua memakannya, bererti engkau berdua melanggar perintahKu dan engkau berdua telah menganiaya terhadap dirimu sendiri”. - Al Baqarah:35
Namun, pujuk rayu nafsu berhasil membuatkan Nabi Adam dan isterinya Hawa’ melanggar larangan tersebut. Mereka berdua kemudiannya menuju ke bumi, tempat di mana kelak ramainya manusia hidup penuh permasalahan, konflik, iri hati dan dengki. Keturunan Nabi Adam, Qabil juga dikisahkan tidak mampu mengendalikan nafsu sehingga dia sanggup membunuh saudaranya Habil. Kejadian ini menjadi sejarah terjadinya tragedi pembunuhan pertama di muka bumi.
“Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah. Maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi” – Al Maidah:30
Kisah-kisah di atas memberi gambaran betapa nafsu manusia pada akhirnya seringkali menghancurkan diri sendiri. Disebut oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, ketika beliau mengisi majlis wacana ‘Fitnah : Ancaman Umat Akhir Zaman’, “Ulama menganggap fitnah paling besar adalah syirik, manifestasi daripada manusia yang menolak Tuhan dan agama sedangkan yang menjadikan manusia lurus hidupnya adalah agama. Apabila mereka mengenepikan agama, akhirnya manusia bertindak berdasarkan NAFSU. Maka fitnah itu datang daripada NAFSU”.
Manakala Rasulullah S.A.W mengajar umatnya mengendalikan nafsu dengan cara melakukan puasa. Rasulullah S.A.W bersabda, "Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan berpuasalah ia dapat memelihara daripada kejahatan" – Riwayat An Nasa'ie dan Abi Daud.
“Berpuasalah pada bulan kesabaran dan tiga hari setiap bulan akan menghapuskan dosa dan harru sodr ”. – Riwayat Ibn Hibban.
Ramadhan, Bulan Pembangun Jiwa
Di sinilah motifnya mengapa bulan Ramadhan mendapat jolokan-jolokan nama yang sangat indah seperti Syahrul Quran, Syahrul Jihad, Syahrul Furqon, Syahrul Itqan, Syahrul Mubarak, Syahrun Najah, Syahrul Muwasah, Syahrur Rahmah, Syahru Nahdhah wal Bina’, Syahrul Iradah wal Bina’, Madrasah At Taqwa, Mahrajan Al Ibadah dan banyak lagi, sesuai dengan peranan bulan ini yang mewajibkan kepada seluruh umat Islam berpuasa untuk mengawal nafsu dari melanggar perkara yang menjadi peraturan di dalam bulan tersebut.
Di bulan Ramadhan juga, jasad kita kembali disegarkan. Menurut para ahli perubatan bahawa amalan puasa mampu meneutral-kan kimia-kimia dalam tubuh. Sekaligus ia membina kesihatan yang optimum untuk melakukan amal ibadah.
Di bulan Ramadhan, keluarga Muslim juga dieratkan dengan jamuan berbuka, makan sahur bersama, dan sebagainya. Umat Islam secara keseluruhan menggunakan seluruh kesempatan yang ada melakukan ibadah, bergotong-royong membersihkan surau atau masjid, memberi infaq, zakat dan sadaqah, juga saling bersilaturahim kerana masing-masing berjemaah ketika solat tarawih dan melakukan tadarrus.
Begitupun secara prinsipnya, Ramadhan bukanlah satu-satunya bulan untuk beribadah, bahkan ibadah di dalam Islam itu tidak dibatasi oleh masa dan tempat. Sebab itulah perlu ditegaskan di sini bahawa sesiapa yang beribadat bersungguh-sungguh dalam bulan Ramadhan dan meninggalkan kesungguhan tersebut selepas Ramadhan, sesungguhnya yang disembahnya adalah Ramadhan bukan Tuhan kepada Ramadhan.
Adapun Allah mengkhususkan Ramadhan sebagai bulan kita melatih menunda kepuasan, sehingga nantinya kita dapat menyelaraskan jiwa, emosi dan perasaan. Ini bermakna, pengendalian nafsu dengan berpuasa di bulan Ramadhan bukan hanya bersifat fizikal namun spiritual-nya. Namun, ramai yang beranggapan puasa itu sifatnya fizikal, menahan lapar dan dahaga, iaitu berhenti makan dan minum. Oleh sebab itu ada yang berpuasa tetapi tetap melakukan perkara-perkara dosa seperti mengumpat, mencaci, membawa berita-berita dusta dan sebagainya. Justeru itu, fahamilah bahawa Allah menjadikan bulan Ramadhan memiliki fungsi-fungsi membangun jiwa dan mencapai TAQWA.
Melaksanakan segala tuntutan di bulan Ramadhan itu ibarat orang menanam pokok. Matlamat yang utama adalah untuk menghasilkan buah yang gred-nya terbaik. Rasa buah ada yang masam, ada juga yang manis. Untuk memastikan bahawa buah itu benar-benar sedia dipetik, enak rasanya, harum baunya, maka iringilah setiap tuntutan Ramadhan itu dengan amalan-amalan bersifat nawafil.
Ramadhan itu juga ibarat dataran laut yang terbentang luas dalam. Ada yang melihat cebisan-cebisan sampah dan buih-buih di permukaannya. Ada yang melihat ikan dan hasil laut bagi mereka yang berusaha mencarinya, dan jika bernasib baik mereka mendapat mutiara yang tinggi nilainya. Namun, ada juga yang mampu memperoleh “emas hitam” (petroleum) di dalamnya, yang kemudian ia mendapat manfaat oleh jutaan manusia.
Begitu juga waktu-waktu yang kita hadapi selama setahun itu, Allah Taala kurniakan satu bulan madrasah bernama Ramadhan. Kehidupan setahun kita di dunia ini ibaratnya sebuah telefon bimbit yang kita gunakan seharian, ia tidak akan mampu bertahan apabila digunakan berhari-hari sehinggalah baterinya di-cas kembali. Lalu manusia mengembalikan fitrah kekuatan mereka sejurus tempoh Ramadhan ini ditempuhi.
Begitulah juga Ramadhan yang kita perjuangkan selama sebulan, adalah bekal menghadapi bulan-bulan yang berbaki selama setahun. Kita berehat di sebuah transit Sayyidus Syuhur bernama Ramadhan, untuk meneruskan baki perjalanan yang panjang menuju iman. Oleh kerana itu, Jibril A.S memberikan amaran kepada sesiapa yang dijemput sampai ke bulan Ramadhan tetapi sambutannya hanya sekadar melepas batuk di tangga, keperibadiannya tidak meningkat dan berubah, tetap di takuk lama. Maka kata Jibril A.S kepada orang ini, “Rugi dan malanglah sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya”, kemudian Baginda S.A.W meng-aminkannya. – Musnad Imam Ahmad
Jadilah Rabbani, Bukan Ramadhani
Realiti yang kita dapat lihat di kala Ramadhan tiba, manusia berduyun-duyun memenuhi masjid, beriktikaf, bertilawah, bertarawih, bertahajjud dan seribu macam lagi kebaikan. Semuanya berebut-rebut mendapatkan peluang di dalam bulan Ramadhan. Namun, adakah stamina yang dijana di dalam bulan Ramadhan terus dipacu untuk menjadi modal beribadah di bulan-bulan seterusnya? Atau dengan terbenamnya matahari pada petang 30 Ramadhan turut sama membenamkan semangat beribadah dan kembali bertuhankan nafsu?
Ini bukanlah apa sebenarnya yang diingini daripada madrasah Ramadhan. Rahmat Allah Taala tidak pernah terputus dan berhenti dengan berlalunya bulan Ramadhan. Seorang sufi bernama Sheikh Bisyr Al Hafi pernah mencemuh senario umat Islam yang hanya melipat-gandakan amalan di bulan Ramadhan dan tidak pula di bulan-bulan yang lain. Katanya, “Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengetahui hak Allah kecuali di bulan Ramadhan. Orang soleh akan selalu bersungguh-sungguh beribadah sepanjang tahun”.
Adakalanya segelintir para selebriti wanita memakai hijab anggun di bulan Ramadhan, bila berakhirnya Ramadhan hijab mereka-pun hilang ditiup taufan.
Inilah juga yang selalu dikesalkan oleh Para Salafussoleh (orang soleh terdahulu), di antara umat Islam ada yang beribadah dibulan Ramadhan seolah-olah bertuhankan Ramadhan, bukannya Tuhan yang mencipta alam. Semoga kita dijauhkan dari sifat buruk tersebut, Amin. Dari hal seumpama, Imam Hasan Al Basri R.H menegaskan, “Sesungguhnya Allah tidak membatasi amal seorang Mukmin dengan suatu waktu tertentu selain kematian”. Kemudian beliau membaca firman Allah Taala, Surah Al Hijr ayat ke-99, “Dan sembahlah Rabb-mu sampai kematian mendatangimu”. – Latho 'ifu 'l Ma'arif: 261.
Maka, untuk mencapai martabat rabbani yang disebut oleh Para Salafussoleh, mestilah intinya berasaskan istiqomah, iaitu berterusan dalam melakukan amal ibadah. Hakikatnya, istiqomah itu bukan mudah dicapai oleh mana-mana manusia, bahkan Rasulullah S.A.W sendiri merasakan beratnya istiqomah sehingga ketika diturunkan ayat tentang perintah istiqomah, rambut Baginda beruban.
Ayat itu berbunyi, “Maka istiqamahlah kamu, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”. – Surah Hud:112.
Ketika menafsirkan ayat ini, Sayyid Qutb dalam Tafsir Fii Zhilalil Quran mengetengahkan sebuah hadis Nabi yang berbunyi, “Surat Hud telah membuat rambutku beruban” – Sayyabatni Hud.
Baginda S.A.W turut menyebut dalam sepotong hadith yang direkodkan dari Ibn Abbas R.A, “Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman”.
Lalu, bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujungnya sebagai bulan kebaikan kepada bulan-bulan yang lain? Perhatikanlah sabda Rasulullah S.A.W, “Amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus (istiqomah) meskipun sedikit” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Jangan Ghuluw Dalam Beragama
Di dalam surah Hud ayat yang ke-122 yang telah dipaparkan tadi, ada menyebutkan bahawa istiqomah janganlah kemudiannya diiringi dengan sikap ghuluw (melampau). Di bulan Ramadhan, sikap melampau dalam beragama itu dirawat seawal teguran Nabi S.A.W kepada perbuatan berpuasa yang berlebih-lebihan. Rasulullah S.A.W telah mengingatkan kita tentang amalan sunat bersahur dan melewatkannya, serta amalan sunat berbuka serta menyegerakannya.
Hadis yang menyuruh kita menyegerakan berbuka berbunyi, “Agama kita akan teguh nyata selama mana orang ramai menyegerakan berbuka puasa kerana sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani itu melewatkannya” – Riwayat Bukhari dan Muslim
Manakala hadis yang menyuruh kita melewatkan sahur berbunyi, “Kami pernah bersahur bersama Nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh) dan kadarnya (di antara sahur dan solat subuh) adalah menyamai bacaan 50 atau 60 ayat Al Quran” – Riwayat Imam Bukhari
“Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur” –Riwayat Imam Muslim
Begitu signifikan sekali perintah menjamah sahur serta menyegerakan berbuka puasa, hingga kedua-duanya dikaitkan dengan soal jati diri, pembeda di antara Muslim dengan Yahudi dan Nasrani. Dalam erti kata yang lain, Baginda S.A.W menggambarkan kepada kita bahawa melebihkan waktu berpuasa dengan melampaui masa yang ditetapkan, menyerupai kecenderungan Ahli Kitab, Yahudi dan Nasrani yang suka bersikap overdose dalam beragama.
Begitulah juga dalam ritual harian di bulan Ramadhan, kita bangkit melakukan solat tarawih di mana Rasulullah S.A.W sendiri tidak pernah menentukan bilangan rakaatnya yang sebenar. Maka, janganlah ada di kalangan kita yang berpencak lidah hanya disebabkan bilangan rakaat solat tarawih. Lakukanlah semampunya, demi mencapai redha Allah Taala. Justeru di bulan Ramadhan, perbaikilah kecenderungan diri kita yang sering menganggap perkara-perkara yang berat dan susah itu sebagai jalan menuju TAQWA.
Baginda Nabi telah menerangkan bahawa sebaik-baik amalan adalah amalan yang mematuhi had minimum juga had maksimum-nya. Amalan yang sederhana malah sedikit tetapi konsisten itulah yang terbaik. Kita semua bercita-cita memperoleh martabat istiqomah, kerana hal itu membuatkan kita memiliki tiga keistimewaan sebagaimana yang dijanjikan Allah, iaitu; (1) Keberanian. (2) Ketenangan; Dan (3) Optimis.
Ketiga-tiga ciri ini disebut di dalam Surah Fussilat ayat 30, “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Tuhan kami adalah Allah’ kemudian mereka ISTIQOMAH, maka Malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, ‘Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.
Mudah-mudahan Ramadhan yang kita lalui ini berhasil menjadikan kita seorang Alumni University Of Ramadhan yang cemerlang. Dan dengan ciri-ciri istiqomah yang kita lalui sepanjang Ramadhan, insya Allah akhirnya nanti kita mampu mencipta reputasi yang BERSIH setelah merayakan kemenangannya. - TARBAWI
Tags
Akhlaq#
Ibadat#
Ramadhan#
Share This
About Ustaz Hashim Almaranji
Ramadhan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post Top Ad
Your Ad Spot
Author Details
Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat.
No comments:
Post a Comment