Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Monday, September 05, 2011

Puasa 6 Syawal

1. Asas kepada amalan puasa enam hari pada Bulan Syawwal ini ialah sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).
 2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat. Dalam al-Muwatta riwayat al-Imam Malik bin Anas disebutkan:
“Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu. Ilmuwan memakruhkan puasa tersebut. Mereka bimbang kebidahannya. Bimbang golongan jahil mengaitkannya dengan Ramadan”. (al-Muwatta’, 1/330 –bil: 857. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maksudnya, beliau menyatakan makruh sebab beliau tidak melihat ahli ilmuwan di Madinah ketika itu mengamalkannya dan bimbang puasa tersebut dianggap wajib oleh mereka yang jahil. Adapun riwayat hadis di atas yang menggalakkan puasa enam hari Syawwal dianggap tidak kukuh disebabkan rawi Sa’d bin Sa’id bin Qais adalah masalah hafalan maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian (infirad) dalam riwayat. Di samping itu al-Imam Malik mengukurnya dengan amalan ilmuwan Madinah pada zamannya yang beliau dapati tidak mengamalkannya.

3. Namun hadis ini dianggap sahih oleh majoriti ilmuwan hadis. Walaupun Sa’d bin Said bin Qais mempunyai sedikit masalah, tetapi hadis ini ada mutaba’ah (jalur rawi yang lain) seperti Sofwan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadis ini sahih dari segi ilmu hadis. Ketika mengulas kenyataan al-Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) berkata:
“Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).
Maksud al-Imam al-Nawawi, kita tidak patut meninggalkan sesuatu sunnah Nabi s.a.w hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia telah terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuwan hadis dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut. Inilah pendirian sepatutnya terhadap sunnah-sunnah Nabi s.a.w. Jika para ulama di Madinah pada masa al-Imam Malik bin Anas yang ketika masih ramai tabi’in dan sarjana-sarjana besar tidak dijadikan hujah bagi menolak amalan sunnah, apakah kita hari ini kita menolak sesuatu hadis hanya kerana orang Malaysia tidak mengamalkannya, atau ulama Malaysia tidak mengamalkanya? Sudah pasti itu dilakukan, maka terhapuskan banyak sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

4. Berasaskan hadis ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.

5. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.

6. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).

7. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).
8. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).
9. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda:“saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!). Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.

10. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. 

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman