EDYMART KEDAI ONLINE

Thursday, April 14, 2011

Hubungan antara Tasawuf dengan Akidah dan Syariat



Oleh: Ust Hashim al-Maranji

Tasawuf sering dikaitkan dengan fahaman “hakikat itu isi dan syariat itu kulit”. Lantaran itu segolongan orang yang merasakan diri mereka ahli tasawuf mengambil sikap memandang remeh kepada syariat dan meringan-ringankan malah cuai dan mengabaikannya. Begitu juga tasawuf sering dikaitkan dengan fahaman “gugur taklif” di mana menurut fahaman ini seseorang itu apabila sampai ke satu tingkatan yang tinggi dalam hubungan dengan tuhan akan gugur kewajiban melaksanakan syariat. Lantaran itu mereka tidak lagi melaksanakan solat dan kewajiban-kewajiban agama yang lain kerana merasa cukup dengan niat dan gerak hati semata-mata. Mereka beranggapan bahawa orang-orang yang melaksanakan kewajiban agama tersebut adalah terhijab dan bersifat kulit semata-mata.

Fahaman ini bukanlah fahaman tasawuf yang sebenar. Ia adalah fahaman golongan Batiniyyah yang diserapkan ke dalam pemikiran tasawuf. Tokoh-tokoh tasawuf telah menjelaskan kebatilan fahaman ini dalam karya-karya mereka dan meletakkan garis panduan mengenainya. Mereka menetapkan bahawa antara prinsip utama tasawuf ialah keterikatan dengan hukum-hukum syariat.

Dalam peristilahan ilmu tasawuf, syariat itu merujuk kepada pengertian suruhan atau perintah melaksanakan ubudiyyah dan perlaksanaan manusia terhadap perintah tersebut. Mengenai perkara ini al-Qushayri menyebut bahawa syariat itu ialah perintah supaya melaksanakan ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah)…, syariat itu datang dengan mentaklifkan makhluk (manusia)…, syariat itu ialah beribadat kepada Allah…, syariat itu ialah perlaksanaan terhadap apa yang diperintahkan. Syariat juga adakalanya diguna pakai di kalangan ahli tasawuf dengan maksud Al-Qur’an dan juga al-Sunnah. Oleh itu keterikatan dengan syariat bermaksud penjagaan terhadap suruhan dan larangan Allah dan tidak menyalahi Al-Qur’an dan juga sunnah.

Ulamak tasawuf menyatakan dengan tegas bahawa syariat itu adalah asas atau dasar utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan sama sekali dalam perjalanan menuju kepada Allah. Terdapat ramai dari kalangan mereka yang menegaskan tentang perkara ini antara mereka ialah Sahl ibn `Abd Allah al-Tustari, al-Junayd al-Baghdadi, Abu Yazid al-Bistami, `Abd al-Qadir al-Jailani, `Abd al-Wahhab al-Sha`rani dan lain-lain. Mengenai perkara ini al-Tustari menyatakan bahawa “dasar-dasar kami ada tujuh perkara iaitu berpegang dengan kitab Allah (Al-Qur’an ), mengikuti sunnah rasul-Nya S.A.W, memakan yang halal, tidak menyakiti makhluk, menjauhi dosa-dosa, taubat dan menunaikan hak” (Shaikh Abdul Qadir, 2010).

Al-Junayd pula menegaskan bahawa “mazhab kami ini terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah”. al-Bistami pula telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa sufi itu ialah orang yang mengambil kitab Allah dengan tangan kanannya dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan tangan kirinya (berpegang dengan kedua-duanya). Al-Jailani pula mengajarkan “terbanglah kepada Allah dengan dua sayap iaitu al-Kitab dan al-Sunnah, dan masuklah (hadrah)-Nya sedangkan tangan engkau berada pada tangan Rasul S.A.W”. Al-Sha`rani pula menyebut “sesungguhnya tarekat ahli sufi itu ditimbang (diukur) dengan Al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menimbang emas dan permata. Oleh itu orang yang menjalaninya memerlukan neraca syarak pada setiap gerak-gerinya”. Selanjutnya beliau berkata “sesungguhnya hakikat tarekat ahli sufi itu ialah ilmu dan amal, tulang dan dagingnya adalah syariat dan hakikat, tidak hanya dengan salah satu dari kedua-duanya sahaja.” (Shaikh Abdul Qadir, 2010)

Bagi ulamak tasawuf, terjadinya perkara-perkara yang luar biasa yang menjadi sebahagian daripada tanda-tanda kewalian, menjadi tidak bermakna jika wujud kepincangan dalam persoalan syariat ini. Shaykh Abu Yazid al-Bistami ialah antara tokoh tasawuf yang banyak menyentuh tentang perkara ini. Beliau pernah berkata bahawa “sekiranya engkau melihat kepada seorang laki-laki yang diberikan kekeramatan sehingga dia dapat terbang di udara, maka janganlah engkau terpedaya dengannya sehinggalah engkau melihat bagaimana engkau mendapatinya di sisi suruhan dan larangan tuhan, menjaga batasan dan menunaikan syariat”. Beliau juga diberitakan pernah mengajak murid-murid beliau untuk pergi menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian yang mana dia adalah seorang yang zuhud. Apabila orang tersebut keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, maka Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata “bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu”?(Shaikh Abdul Qadir, 2010)

Menurut ulamak tasawuf lagi seseorang itu tidak akan sampai kepada Allah seperti yang dikehendaki dalam ilmu tasawuf tanpa syariat.   Shaykh Abu al-Husayn al-Warraq ada menyebut tentang perkara ini. Beliau berkata bahawa “seseorang hamba itu tidak sampai kepada Allah kecuali dengan (kehendak dan ketentuan) Allah dan dengan membetuli nabi S.A.W pada syariat baginda. Sesiapa yang menjadikan jalan yang membawa kepada sampai (kepada Allah) dengan tidak mengikuti nabi, maka dia akan sesat dalam keadaan dia menyangka dia mendapat pertunjuk”. Shaykh al-Junayd al-Baghdadi juga ada menyatakan perkara yang sama iaitu “tarekat-tarekat (jalan-jalan) semuanya tertutup bagi makhluk kecuali bagi orang yang menjejaki (mengikuti) rasul S.A.W, menuruti sunnah baginda, dan melazimi jalan baginda, maka sesungguhnya jalan-jalan kebaikan seluruhnya terbuka baginya”.

Imam Malik, sebagaimana yang diriwayatkan, ada menyebut tentang keperluan syariat ini sebagaimana kata-kata beliau yang bermaksud “sesiapa yang mengikut tasawuf tanpa fikah, maka sesungguhnya dia menjadi zindik, sesiapa yang mengamalkan fikah tanpa tasawuf maka sesungguhnya dia menjadi fasik, sesiapa yang menghimpunkan antara kedua-duanya maka sesungguhnya dia telah mencapai hakikat”(Syaikh ‘Abdul Qadir, 2010).

Orang yang berpegang dengan tasawuf (hakikat) semata-mata tanpa fikah (syariat) menjadi kufur dan zindik. Ini kerana dia hanya memandang kepada hakikat atau urusan ketuhanan semata-mata tanpa melihat kepada perintah Tuhan supaya melakukan ibadah dan usaha hamba melaksanakannya. Lantaran itu dia mengatakan manusia itu digagahi dengan ketentuan Ilahi tanpa ada sebarang pilihan bagi dirinya dalam melakukan sesuatu perbuatan sama ada ketaatan atau maksiat. Iktikad seumpama ini adalah kufur dan zindik kerana ia menafikan syariat (perintah Allah dan usaha hamba) dan ia dikenali sebagai iktikad jabariyyah. Manakala orang yang berpegang dengan fiqh semata-mata tanpa tasawuf menjadi fasiq kerana lahiriah sahaja yang melaksanakan tuntutan syariat tetapi batinnya itu kosong dari ketakwaan, keikhlasan dan kehadiran hati, malahan batinnya itu dipenuhi dengan berbagai sifat kecelaan yang merosakkan amalannya tanpa disedari. Orang yang berkeadaan demikian adalah dikira sebagai fasiq kerana kerosakan batinnya itu.

Imam al-Qushayri pula menjelaskan bahawa “setiap syariat yang tidak dikuatkan dengan hakikat adalah tidak diterima dan setiap hakikat yang tidak dihubungkan dengan syariat adalah tidak terhasil”.Hal yang sama juga ditegaskan oleh al-Tusi di mana beliau menjelaskan bahawa “yang zahir (syariat) itu tetap memerlukan yang batin (hakikat) dan yang batin itu pula tetap memerlukan yang zahir”. Penjelasan dua orang tokoh besar sufi ini cukup membuktikan bahawa antara syariat dan hakikat (tasawuf) ada hubungan yang sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan (Muhammad Fuad, 2009)

Kemestian mengikut syariat dalam tasawuf adalah sesuatu yang bersifat berterusan walaupun hakikat sudah tercapai. Ini menepati apa yang disebut secara terang dalam Al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan sembahlah (beribadah kepada) Tuhan engkau sehinggalah kematian mendatangi engkau”. Demikian juga ia bertepatan dengan pendirian para ulamak tasawuf seperti Shaykh al-Junayd al-Baghdadi, Shaykh `Abd al-Qadir al-Jailani dan lain-lain. Shaykh al-Junayd menganggap iktikad gugurnya syariat dengan tercapai hakikat sebagai satu perkara yang sangat berat (kufur) yang melebihi kesalahan mencuri dan berzina. Shaykh al-Jailani pula menegaskan tentang perkara tersebut dengan menyatakan bahawa “meninggalkan ibadah-ibadah yang difardukan adalah zindiq, melakukan perkara-perkara yang dilarang adalah maksiat, dan tidak akan gugur kewajiban-kewajiban dari seseorang itu dalam apa juga keadaan” (Shaikh Abdul Qadir, 2010)

Dalam persoalan hubungan di antara syariat dan hakikat ahli tasawuf sependapat menyatakan bahawa tidak ada pertentangan atau percanggahan di antara kedua-duanya. Perkara ini antara lain dapat dilihat pada penegasan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Sa`id al-Kharraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Mengenai perkara ini al-Kharraz menegaskan bahawa setiap yang batin (hakikat) yang bercanggahan dengan yang zahir (syariat) maka ia tidak benar. Begitu juga al-Jailani menyatakan perkara yang sama iaitu “setiap hakikat yang tidak disaksikan (dibuktikan) dengan syariat maka ia adalah zindiq” (Shaikh ‘Abdul Qadir, 2010).


Metodologi Islam yang paling umum sekali adalah tahap syariatnya. Syariat adalah satu jalan yang luas untuk umat Islam secara umum. Melalui syariat manusia dididik dan diberitahu tentang kehendak Ilahi dalam skop hukum-hukum dan sebagainya. Pelaksanaan syariat akan menjamin kesejahteraan manusia dengan mendekatkan manusia kepada Allah. Syariat Ilahi mengandungi petunjuk dan perintah kehendak Ilahi dalam segala aspek kehidupan seorang manusia. Tetapi syariat yang begitu luas ini juga tidak terlepas dari memiliki satu ibadah yang sangat “berpusat”. Intisari syariah adalah sebuah ibadah yang merangkumi segala macam ibadah. Dan ibadah yang “meliputi” ini adalah solat. Kerana ia meliputi dan mengandungi segala ibadah yang lain seperti puasa, zakat dan haji dan sebagainya. Begitu juga berdasarkan kepada riwayat hadis Nabi S.A.W - penerimaan ibadah manusia semuanya bergantung pada penerimaan ibadah solat. Imam Ghazali rahmatullah ‘alaihi telah menukilkan beberapa riwayat tentang kelebihan dan kepentingan solat dalam kitab “Ihya ‘Ulumiddin” sebagai satu contoh betapa tasawuf berkait rapat dengan persoalan syariat:
“…..dan (Nabi) pernah bersabda : Tidak ada sesuatu yang Allah telah memfardukan ke atas ciptaan-Nya setelah tauhid yang amat dicintai-Nya (lebih) dari solat. Seandainya Allah lebih mencintai suatu (amalan) lebih dari solat, sudah pasti para malaikat Nya – yang di antara mereka ada yang ruku’ dan sujud dan berdiri dan duduk- akan beribadah kepada Nya dengan (amalan) itu.”

Kemudian dalam riwayat yang lain pula:
"Dan diriwayatkan bahawa: Sesungguhnya perkara pertama sekali yang akan mendapat tumpuan pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya ia didapati sempurna maka ia akan diterima begitu juga dengan amalan-amalan selainnya. Sekiranya ia terdapat kekurangan padanya maka ia akan ditolak begitu juga dengan amalan selainnya.”

Riwayat di atas mengisyaratkan kepada beberapa perkara yang unik mengenai solat. Pertama, solat adalah ibadah yang akan mendapat tumpuan yang paling utama. Ini hanya menunjukkan ketinggian nilai solat dalam pandangan Allah S.W.T.  Kedua, riwayat ini juga menjelaskan sekadar manakah ketinggian nilai solat ketika ia menyatakan bahawa penerimaan segala amal ibadah yang lain itu bergantung pada penerimaan solat. Perkara yang sangat menarik sekali ketika Imam Ghazali membuat satu kenyataan dari wahyu. Kenyataan ini mengisyaratkan kepada matlamat solat. Tentu sekali ketika solat adalah ibadah yang sangat tinggi nilainya, matlamat solat sudah pasti mempunyai nilai yang lebih tinggi dari solat itu sendiri. Imam Ghazali melanjutkan lagi dalam Ihya ‘Ulumiddin:
“Ketahuilah sesungguhnya dalil-dalil untuk perkara tersebut (yakni perhubungan solat dengan khusyuk dan hudhur al-qalb) itu banyak sekali. Dan di antaranya adalah firman Allah S.W.T: “Tegakkan solat untuk mengingati Aku”. Zahir dari (fi’il amr di sini) adalah hukum wujub. Dan ghiflah (kelalaian) itu bertentangan dengan zikir (peringatan). Maka sesiapa yang lalai dalam seluruh solatnya bagaimanakah ia boleh dikatakan sebagai seseorang yang menegakkan solat? Dan firman Allah S.W.T : “Jangan kamu menjadi golongan yang lalai (ghafileen)!” Ini adalah satu larangan dan zahir (hukumnya) adalah tahrim (yakni kelalaian dalam solat itu haram)…………”

Walaupun Imam Ghazali mengutip ayat tersebut sebagai dalil perhubungan solat dengan khusyuk tetapi ayat tersebut secara langsung telah menyatakan matlamat solat iaitu “zikri” yang sebenarnya adalah “zikrullah”. Solat dilakukan semata-mata untuk mengingat Allah S.W.T. Kesejatian solat bergantung pada “zikrullah”. Solat yang kosong dari zikrullah tentu sekali tidak sesuai dinamakan solat. Bahkan bukan nama sahaja tetapi ia bukan lagi hakikat solat. Zikrullah adalah intisari solat. Sekiranya solat adalah ibadah yang meliputi segala ibadah dan hadir dalam segala ibadah dalam aspek yang tertentu, sudah pasti zikrullah juga tidak boleh dipisahkan dari segala ibadah. Maka itu para ahli tasawuf sering mengungkapkan bahawa zikir adalah “roh al-‘ibadah”.

Seringkali disalah fahami oleh golongan “mustaswifin” (mereka yang mengakui diri sebagai ahli tasawuf) bahawa tasawuf itu adalah satu dimensi yang terpisah dari syariat. Sehingga mereka telah meremehkan syariat dan ada juga yang melucutkan syariat. Dari sudut lain pula ada pula yang menganggap bahawa ajaran tasawuf tidak seimbang dengan doktrin Islam. Kerana ia membicarakan hal kebatinan yang mendalam sedangkan akidah secara umum sama sekali bertentangan dengan tasawuf.  Salah fahaman ini adalah satu tragedi alam kerohanian. Mereka tidak dapat menempatkan dimensi zahir dan batin (jasmani dan rohani) pada tempatnya. Mereka telah menepikan zahir dan berpegang hanya kepada batin. Perbuatan sebegini sebenarnya telah mengakibatkan kehancuran realiti batin yang sejati.

Zahir dan batin adalah dua makna yang tidak boleh dipisahkan. Allah S.W.T itu az-Zohir dan juga Al-Batin. Meminjam istilah mantik- kedua-dua zahir dan batin terletak dalam topik “nasab al-arba’” di bawah kategori “muthadho’ifain”. Yakni dua makna yang saling bersamaan seperti atas dan bawah. Tidak mungkin ada atas sekiranya tidak ada bawah. Dan sebaik sahaja ada atas secara pasti ada bawah. Di dalam mantik - atas dan bawah adalah dua perkara yang relatif atau “nisbi”. Tetapi hakikat zahir dan batin adalah dua realiti hakiki yang bukan nisbi. Dalam makna atas dan bawah, atas itu bukan bawah dan bawah juga bukan atas. Tetapi dalam hakikat zahir dan batin pula, zahir adalah batin dan batin adalah zahir. Melucutkan zahir itu serupa dengan melucutkan batin.

Ketika Allah S.W.T memanifestasikan diri-Nya dengan nama az-Zohir, Dia telah menyatakan dirinya dalam ciptaan-Nya sama ada dalam tahap “mikro kosmik” atau “alam soghir (kecil)” ataupun dalam tahap “makro kosmik” atau “alam kabir (besar)” dan kedua-dua tahap ini akan menyatakan memanifestasikan Allah S.W.T yang al-Batin setakat keluasan kewujudan masing-masing. Manifestasi tersebut sebenarnya adalah saluran dan pembukaan ke al-Batin. Tanpa manifestasi tersebut sudah pasti al-Batin akan selamanya kekal dalam batin.

Sebaik sahaja seseorang itu telah berjaya menyaksikan al-Batin, ini tidak bermaksud yang dia boleh meninggalkan az-Zohir. Bahkan dia seharusnya sampai ke tahap kesempurnaan dengan mengembalikan dirinya ke tahap kesedaran setelah kehancuran yang diistilahkan sebagai tahap “ash-Shahwu ba’d al-mahwu” ataupun “al-Baqa’ ba’d al-Fana’”. Sekali lagi ditegaskan apabila dia melucutkan az-Zohir dia juga telah melucutkan al-Batin. 

Dalam konteks pembicaraan kita di sini, tasawuf adalah perjalanan yang akan mengarahkan manusia dari bumi az-Zohir ke dalam lautan al-Batin. Tentu sekali manusia akan menyelami lautan tersebut dalam dimensi kerohaniannya. Sementara itu dia masih lagi tertakluk dalam “sangkar” fizikal dan zahirnya. Sebagaimana Al-Imam Ghazali pernah mengungkapkan: “Aku seekor burung, dan badan-ku adalah sangkarnya tetapi aku telah terbang meninggalkannya sebagai kesan.”
Al-Arif yang sejati yang telah mempunyai kesedaran yang sepenuhnya mengenai hakikat akan meletakkan segala tahap pada yang sepatutnya. Tahap zahir mempunyai hukumnya tersendiri dan tahap batin begitu juga. Kesedaran terhadap tahap zahir tidak akan bercanggah dengan kesedaran terhadap tahap batin. Ketika itulah dia dikatakan telah memiliki “dzul ‘ainayn” yakni “dua mata – zahir dan batin”. Tasawuf sebenarnya akan memberikan keseimbangan sambil menghubungkan zahir dengan batin.

Kefahaman doktrin di tahap zahir akan mengalami satu peningkatan yang sangat mendalam sekali ketika seseorang telah melalui jalan tasawuf. Dan doktrin di tahap batin itu sama sekali tidak akan bercanggah dengan doktrin di tahap zahir. Begitu juga berkaitan dengan unsur metodologi. Yang mana tasawuf akan mempertingkatkan kesedaran metodologi ke tahap yang lebih tinggi dan mendalam sekali. Dengan ibarat lain tasawuf akan membenarkan serta merealisasikan doktrin dan metodologi kepada tahap yang lebih hidup dan sejati. Seumpama air yang akan memberi kehidupan kepada pohon.
Tasawuf memberi satu tumpuan yang sangat “berpusat” dan “fokus” terhadap kalbu manusia sehingga membolehkan ia untuk meneroka perjalanan kerohanian dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi hingga sampai kepada puncak tingkatan realiti. Al-Qur’an menyebut tentang keyakinan (al-yaqin), dan ketiga-tiga tahap keyakinan dalam Al-Qur’an adalah keyakinan yang khas yakni ia adalah keyakinan yang mempunyai realiti dan kebenaran. Kesemuanya adalah yakin yang “لا ريب فيه”, tetapi keyakinan yang terletak pada darjat yang berbeza. Tasawuf akan membawa manusia kepada tahap keyakinan yang kemuncak iaitu “haqq al-yakin” dengan kontemplasi yang mendalam kepada intisari doktrin iaitu “لا اله إلا الله”. Sebenarnya ia akan mempertingkatkan darjat tauhid seseorang manusia berdasarkan keyakinan tersebut. Kalimah tauhid tidak akan hanya berada dalam tahap kefahaman intelektual sahaja tetapi ia akan ternyata dalam tahap kewujudan manusia. Ia akan meliputi seluruh kewujudan manusia dan meleburkan dia ke dalam lautan Ilahi yang mutlak. Daripada tauhid ilmiah kemudian ke tauhid ‘ainiyyah dan akhirnya ke dalam tauhid haqqiyyah.

Sebahagian ulamak telah menggambarkan satu tamsil yang menarik berkaitan dengan darjat yakin. Mereka mengatakan bahawa yakin boleh digambarkan seperti berikut:
Ilmu yakin adalah seumpama seseorang melihat asap dan kemudian meyakini akan kewujudan api. Ini adalah satu darjat keyakinan yang bersifat ilmiah semata berdasarkan hukum sebab dan musabab. Ia hanya memberikan satu ilmu yang konseptual mengenai kewujudan api. Manakala ‘Ainul yakin adalah seumpama seseorang itu langsung melihat api. Keyakinan ini adalah keyakinan yang terhasil dari penglihatan secara langsung dan ia tentu sekali lebih meyakinkan dari darjat pertama. Sementara Hak al-Yakin pula adalah seperti seseorang yang berada di dalam api. Keyakinannya terhadap api tentu sekali tidak dapat dinafikan. Kerana dia sendiri sedang terbakar dalam kehangatan berada dalam api.
Perumpamaan seperti ini sebenarnya menjelaskan darjat yakin dari aspek perasaan dan pengalaman manusia yang mempunyai keyakinan tersebut. Daripada tahap pengetahuan manusia mula menyaksikan dan akhirnya dia akan terlebur di dalam hakikat. Keyakinan manusia terhadap intisari doktrin iaitu tauhid - juga akan melalui tiga darjat ini. Dalam tahap ilmu yakin manusia hanya memiliki satu kefahaman ilmiah mengenai keesaan Allah S.W.T. Tetapi pada tahap ‘ainul yakin manusia tersebut akan mula menyaksikan keesaan Allah S.W.T yang lebih dikenali dalam tasawuf sebagai makam “musyahadah” setelah “mukasyafah”. Dia akan menyaksikan hakikat keesaan Allah S.W.T bukan dengan mata fizikalnya tetapi dengan “mata metafizik” atau “mata hati”. Cahaya  Ilahi akan memancar di segenap pelosok ciptaan sehingga manusia tadi hanya akan melihat ketunggalan Ilahi di mana sahaja.

Zikir mungkin saja digunakan untuk beberapa makna, adakala ia bermaksud “sebutan”, adakala ia bermaksud “berdoa” adakala ia bermaksud “mengingati” adakala ia juga bermaksud satu kontemplasi yang mendalam berserta dengan tumpuan yang tidak terputus. Semua makna ini merupakan zikir amalan ahli sufi. Zikir tidak terhenti hanya pada tahap sebutan nama-nama Allah atau puji-pujian Allah tetapi ia telah direalisasikan dalam seluruh jiwa dan kewujudan “dzakir (ذاكر)” sehingga dia dapat merasakan kehadiran Allah S.W.T “bil wijdan”.

Tasawuf memberikan satu tumpuan yang sangat tinggi dan khusus pada tauhid. Sehingga penumpuan seperti ini akan meningkatkan keimanan dan keyakinan seseorang manusia terhadap tauhid.   Sebagaimana yang telah dikatakan bahawa peranan unsur metodologi tasawuf adalah untuk memastikan bahawa manusia akan sampai kepada Allah S.W.T- dengan meleburkan kehendak manusia ke dalam kehendak Allah S.W.T. Di peringkat syariat, seorang mukalaf akan melihat dirinya sebagai seorang yang berkewajipan (takalluf) melaksanakan tugas dan perintah Ilahi. Dia akan berusaha untuk menundukkan kehendaknya kepada kehendak Allah S.W.T yang termaktub dalam bentuk syariat. 

5.                  Kesimpulan dan Penutup 
    Tasawuf merupakan salah satu dari tiga tiang asas agama Islam. Ia merupakan dimensi kerohanian bagi agama ini. Dengannya Iman dan keyakinan menjadi lebih kuat, perlaksanaan terhadap tuntutan syariat menjadi lebih sempurna dan penghayatan nilai-nilai akhlak menjadi lebih berkesan. Tanpanya iman hilang kemanisannya, amal ibadah hilang khusyuknya dan akhlak hilang kemurniannya. Ia seumpama kawalan keselamatan dan perhiasan bagi sesebuah rumah yang menjadikannya lebih selamat dan bernilai tinggi. Memiliki keimanan semata-mata tanpa keIslaman dan keihsanan adalah seumpama memiliki tapak rumah. Sekalipun pemiliknya ada tempat bertapak namun dia terdedah kepada kepanasan matahari dari basahan hujan. Memiliki keimanan dan keIslaman semata-mata pula tanpa keihsanan adalah seumpama memiliki tapak dan rumah yang tidak siap dan tidak sempurna. Sekalipun pemiliknya ada tempat berteduh namun ia terdedah kepada kecurian dan rumahnya tidak bernilai tinggi. Manakala ihsan pula adalah seumpama rumah yang lengkap dan berhias yang bukan sahaja selamat dihuni malah bernilai tinggi.

    Dari penjelasan yang telah dibuat dapat disimpulkan bahawa tasawuf merupakan makam Ihsan yang menjadi sebahagian daripada rukun agama. Tasawuf mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan akidah di mana akidah itu adalah asasnya dan tasawuf itu berfungsi menjadikannya murni dan kukuh.  Demikian juga tasawuf itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan syariat di mana syariat itu adalah laluan untuk mencapai tasawuf dan tasawuf itu pula berfungsi memantapkan lagi perlaksanaan terhadap syariat. Syariat tidak boleh dipisahkan daripada tasawuf dan tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya. Tasawuf bukanlah suatu keanehan dan kepelikan tetapi ia adalah makam `ubudiyyah.

    Banyak lagi yang perlu dibicarakan, dan banyak lagi yang perlu diteroka. Tasawuf bukanlah satu hakikat yang perlu dibicarakan tetapi ia adalah satu realiti yang perlu dirasakan. Ia adalah jalan bagi mereka yang kehausan seperti apa yang dikatakan Maulana Rumi: “Bukan hanya yang dahaga mencari air tetapi air juga mencari yang dahaga.”

    Wallhu a'lam

    BIBLIOGRAFI
    Abu Urwah (1989), Sistem-Sistem Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
    Dr Abd Malik Abd Rahman As-Sa'adi (2002). Salah Faham Terhadap Bid'ah ( al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islami ad-Daqiq).  Kuala Lumpur: Darul Nu'man.
    Mohd. Sulaiman Hj. Yasin (1989). Mengenal Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Menteri, Jabatan Perdana Menteri.
    Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (2009). Agamamu Dalam Bahaya (terjemahan Intabih diinuka Fi Khatrin karangan Al-Allamah Abu Abdullah 'Alawi al-Yamani). Selangor: Sofa Production.  
    Prof Dr Ali Jum’ah (2008). Penjelasan Terhadap Masalah-masalah Khilafiah Al-Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al-Mafahim.  Selangor:  Penerbitan Dar Hakamah. 
    Prof Dr H Abuddin Nata (1996). Akhlak Tasawuf. Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.
    Prof H.A Ribay Siregar (1996). Tasawuf dari Sufisme Klasik ke Neo Sufiesme. Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.
    Syaikh Abdul Qadir Isa (2010). Hakekat Tasawuf. Jakarta: Qisthi Press.
    Terjemahan Shahih Muslim (1980). Jakarta: Pustaka al-Husna.
    Terjemahan Al-Qur’an

    __________________________________________________________________________
    "Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Adalah Untuk Allah Tuhan Semesta Alam"

    0 Responses to “Hubungan antara Tasawuf dengan Akidah dan Syariat”

    Post a Comment