Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Friday, March 04, 2011

AQIDAH YANG SAHIH

Pengertian aqidah:

Kalimah aqidah berasal daripada Bahasa Arab yang berakar umbi daripada kalimah: عقد ، يعقد ، عقدا وعقيدة yang bermakna ikat (dengan ketat), mengikat dan ikatan yang kukuh, juga bermakna perjanjian.

Di sudut istilah, Aqidah Islamiyyah telah diberi beberapa takrif oleh beberapa orang sarjana Islam. Namun boleh dikatakan kesemua takrif itu menjurus kepada satu asas iaitu: membenarkan dan mengiktiraf dengan sepenuh hati tanpa sebarang pengubahsuaian atau kompromi terhadap Allah dan rasul-Nya yang tersemat erat di dalam hati sanubari.

Nama-nama lain:
Sejak zaman berzaman, para sarjana Islam telah memberikan berbagai nama ke atas topik aqidah ini. Antara istilah yang digunakan ialah:
1. Al-Fiqh Al-Akbar: Sebuah karya Abu Hanifah telah menggunakan istilah ini untuk makna aqidah.
2. Al-Iman: Antara mereka yang menulis topik ini dengan istilah ini ialah: Abu ‘Ubaid Al-Qasim Bin Sallam, Ibn Abi Syaibah Al-’Absi, Ibn Taimiyyah dan Dr. Naim Yasin .
3. As-Sunnah: Antara yang menggunakannya ialah: Ahmad Bin Hanbal, Ahmad Bin Muhammad Bin Hani’ Al-Athram, Abu Daud As-Sajastani, Al-Hafiz Abu Bakr Ad-Dhahhak dan At-Tabrani.
4. As-Syari’ah: digunakan oleh Al-Ajurri untuk kitabnya.
5. At-Tauhid: digunakan oleh Abdullah Bin Ishaq Bin Mandah
6. Al-I’tiqad: digunakan oleh Al-Lallaka’i dan Al-Baihaqi.

Selain daripada nama-nama ini, istilah lain yang turut digunakan ialah: Usul Ad-Din dan Ilmu Kalam atau Al-Falsafah Al-Ula.

Istilah Usul Ad-Din agak kurang tepat digunakan; kerana persoalan aqidah adalah persoalan keyakinan dan kepercayaan hati. Justeru ada di antara keyakinan itu yang bukan perkara pokok atau asas. Sebaliknya hanya perkara cabang yang bukan sahaja boleh bahkan sudah diperselisihkan oleh sesama sarjana Ahl As-Sunnah.

Contohnya: berapa kalikah Rasulullah S.A.W mi’raj, dengan ruh sahajakah atau dengan jasad baginda sekali?

Berapa tahunkah al-Mahdi dan nabi Isa akan berada di atas muka bumi? Dan macam-macam persoalan yang timbul. Begitu juga di dalam amalan bukan semuanya perkara cabang. Ada yang menjadi teras dan asas agama seperti syahadah, solat dan seumpamanya.

Penggunaan istilah ilmu Kalam dan Falsafah lebih tidak tepat jika dibandingkan dengan Usul Ad-Din dalam membicarakan topik aqidah. Ini kerana ilmu Kalam mempunyai sejarah, asas-asas, titil tolak dan manhajnya yang tersendiri.

Ia bukan berasal dari Islam, sebaliknya adalah ilmu yang diimport asas-asasnya dari tamadun-tamadun dunia seperti, Greek kuno, Parsi, India, Cina dan lain-lain. Apa yang paling penting, kandungan ilmu Kalam tidak menepati kebanyakan kandungan ilmu Aqidah Islamiyyah.

Perbezaan antara aqidah dan ilmu Kalam:

A) Kandungan ilmu Kalam:

1. Tidak menjunjung manhaj as-salaf as-soleh yang ditegakkan di atas nas-nas daripada Al-Kitab dan as-sunnah
2. Mendakwa bahawa golongan as-salaf as-soleh khususnya para sahabat, tidak meluangkan masa untuk mengkaji isu-isu aqidah; lantaran kesibukan mereka berjihad dan mengembangkan Islam. Selain itu mereka ini tidak memiliki kekuatan intelektual yang mencukupi untuk merenung dan mengkaji.
3. Meninggikan status akal dan menjadikannya penilai utama kepada isu-isu alam ghaib dan syahadah. Selain itu ia juga mengutamakan akal daripada beberapa nas syarak serta mentakwilkan nas mengikut apa yang sesuai dengan akal.
4. Beriltizam dalam memperincikan penolakan terhadap tasybih dan tamthil (penyerupaan dan pengumpamaan sifat Allah dengan makhluk), tetapi menyebut secara ijmal (umum dan rambang) dalam hal ithbat (menetapkan sifat bagi Allah). Manhaj Al-Quran ialah mengithbatkan sifat-sifat Allah secara tafsil (terperinci) dan menolak penyerupaan dengan makhluk secara ijmal. Demikianlah jalan para rasul.
5. Meletakkan dalil-dalil naqli (Al-Quran dan as-Sunnah) di bawah penguasaan dalil-dalil aqli dan falsafi.
6. Menggunakan perumpamaan di antara Al-Khaliq (Allah) dengan makhluk.
7. Mengada-adakan istilah-istilah yang tiada kaitan dengan makna yang sebenar.
8. Sekadar pengkajian yang berbentuk falsafah, riadhah akal dan bukannya kajian untuk beriman.

B) Kandungan aqidah yang sebenar:

1. Al-Quran adalah sumber bagi dalil-dalil naqli dan akli.
2. Menurut jejak langkah dan kefahaman golongan salaf di dalam mentafsirkan nas.
3. Beriman terhadap perkara-perkara ghaib adalah sekadar apa yang datang dengan perkhabaran yang benar (Al-Quran dan al-hadith yang thabit).
4. Membahagikan (di sudut pengajian) tauhid kepada 3, iaitu: Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma’ wa as-Sifat.
5. Mengithbatkan nama-nama dan sifat-sifat Allah tanpa sebarang persoalan: bagaimana? (kayf?)
6. Menghimpunkan antara ithbat dan tanzih (mensucikan Allah daripada disamakan dengan makhluk atau sebarang sifat kekurangan).
7. Menghadkan penggunaan akal serta tidak bersandar kepadanya dalam perkara-perkara yang di luar kemampuannya.
8. Menolak takwilan-takwilan ilmu Kalam yang tersasar dari kebenaran.
9. Allah taala memiliki perumpamaan dan contoh yang tertinggi lagi terbaik.
 10. Menetapkan batas makna bagi istilah-istilah yang diperselisihkan maknanya, dan menentukan maknanya. Contohnya: lafaz Tauhid di sisi Ahl As-Sunnah ialah: “mengithbatkan ketuhanan hanya bagi Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya di dalam pengabdian”. Tetapi bagi golongan ilmu Kalam, maknanya ialah: “apa yang tiada sifat bagi-Nya, tidak diketahui apapun daripada-Nya tanpa sesuatu serta tidak boleh dilihat”.
11. Meyakini bahawa al-Quran itu seluruhnya adalah Bahasa Arab yang jelas dan boleh difahami oleh ahlinya.
12. Mengithbatkan bahawa isu-isu cabang dalam aqidah dengan khabar ahad yang diterima, secara membenarkannya dan beramal dengannya.
13. Penilaian kebaikan dan keburukan adalah urusan akal (yang dipandu syarak), tetapi pahala dan dosa adalah urusan syarak. Allah taala yang menunjukkan kepada manusia agar mengakui kebaikan sifat: adil, memelihara kehormatan, benar dan lain-lain. Begitu juga dengan sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat tadi. Dosa dan pahala pula adalah berkait rapat dengan suruhan dan tegahan Allah.
14. Nas naqli yang sahih akan menyepakati akal yang jelas.
15. Tidak boleh mengkafirkan orang Islam hanya kerana suatu kesalahan atau dosa yang dilakukannya.

Kepentingan aqidah:

1. Aqidah yang sejahtera lagi jitu dapat menghimpunkan manusia dan mempertautkan hati mereka.
2. Aqidah yang benar menjadi neraca timbang yang tepat dan mapan dalam menentukan kedudukan seseorang di sisi syarak.
3. Slogan: “kembali kepada Islam” bermakna kembali kepada asasnya iaitu: aqidah yang benar, di mana dari situ baru berbuah amal yang soleh.

wa.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman