Akhir-akhir ini banyak kes membunuh diri dari kalangan Muslim, lalu saya ditanya apakah boleh kita melaksanakan solat jenazah ke atas mereka atau dibiarkan begitu sahaja??
Bunuh diri termasuk perbuatan dosa besar. Para Ulamak Ahlussunnah sepakat bahawa pelaku dosa besar tidak kafir tetapi fasik. Mereka juga sepakat bahawa jenazah orang kafir dan munafiq tidak disolati. Hal ini berdasarkan firman Allah :
وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَىٰ قَبْرِهِ ۖ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ
“…dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka,. (QS At Taubah: 84)
Adapun jenazah orang fasik (pelaku dosa besar ) maka para Ulamak berbeda pendapat mengenai hukum mensolatkan jenazahnya.Ada tiga versi pendapat Ulamak mengenai hukum mensolatkan jenazah orang fasik :
1. Jenazah orang fasik tidak disolati. Ini adalah pendapat sebagian ulamak seperti Umar bin Abdul Aziz, Abu Yusuf, dan al-Auza’i (r).[1]
2. Yang tidak shalat hanya Imam atau Khalifah atau pemimpin kaum saja. Ini adalah pendapat Madzhab Hanbali, dan dipilih oleh Syaikh Nashiruddin al Abaaniy (r).[2]
3. Jenazah Orang fasik tetap wajib disolati.Ini adalah madzhab Imam Malik, Syafi’i, Abu Hanifah, dan jumhur (majoriti) ulamak . [3].
Sebab Perbedaan Pendapat Dan dalil Pendapat Masing-masing:
Adapun sebab yang menjadi faktor terjadinya perbezaan pendapat di kalangan Ulamak tentang masalah ini adalah adanya beberapa hadis yang seakan-akan bertentangan satu sama lain.Ada hadis yang menunjukkan bolehnya menyalatkan siapa saja yang mengucapkan Laa Ilaaha Illa llaah, namun adapula hadis yang menunjukkan bahawa Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam enggan mensolatkan jenazah orang yang mati bunuh diri.
Hadis 1.
Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda:
صلّوا خلف من قال لا إله إلاّ الله وصلّوا على من قال لا إله إلاّ الله
“Shalatlah kamu di belakang siapa saja yang mengucapkan laa ilaaha illallah dan shalatilah siapa saja yang mengucapkan laa ilaaha illallah” (HR Ad-Daruquthni dan Ath-Thabrani).[4]
Imam Syaukani (r) berkata, “Shalat jenazah atas orang fasik telah ditunjukkan oleh hadis shallu ‘ala man qaala laa ilaaha illallah sebagaimana yang telah dibahas sebelumnya pada bab Maa Ja`a fi Imamah al-Fasiq sebagai salah satu bab mengenai shalat jamaah.” [5].
Ulamak Madzhab Syafi’i berpendapat : “Shalat jenazah wajib atas setiap orang Muslim, seberapapun besarnya kedurhakaan dan kefasikannya”.[6].
Hadis ke-2.
Hadis Jabir bin Samurah Radhiyallaahu ‘anhu yang menyatakan,
أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلّم برجلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمشَا قِصٍ فلم يصلِّ عليهِ
“bahawa ada jenazah seorang laki-laki mati bunuh diri dengan pedang dihadapkan kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam maka Beliau Shallallaahu ‘alaihi wasallam tidak mensolatkannya.” (HR Muslim) [7].
Dalam riwayat Imam Ahmad dinyatakan :
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلّم لمْ يُصلِّ على رجلٍ قتَل نفسه
“Bahawa Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam tidak menyolati seorang laki-laki yang (mati) membunuh dirinya”. (HR Ahmad).
Dalam riwayat lain :
أَنَّ رَسُوْل الله صلى الله عليه وسلّم أبى أن يصلى على رجل قتل تفسه
“Bahawa Rasulullahi shallallaahu ‘alaihi wasallam enggan mensolatkan orang yang mati membunuh dirinya”. (HR Muslim (978), Tirmidziy (1068), Nasaai (4/66), Al Baihaqiy:4/19) [8]
Hadis Jabir Samurah ini dijadikan dalil oleh Ulamak yang berpendapat tidak bolehnya mensolatkan jenazah orang yang mati bunuh diri.
Berkata Ibnul Qayyim al Jauziyah (r): “Ajaran Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam adalah bahawa beliau tidak menshalati orang yang bunuh diri dan penghhianat/penipu (dalam hal harta rampasan perang).[9].
Hadis Jabir di atas juga dijadikan dalil oleh Ulamak Hanbali yang berpendapat bahawa pemimpin tidak perlu mensolatkan jenazah orang yang mati bunuh diri.Berkata Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman al Bassam (r): Ulamak Madzhab Hanbali berpendapat ‘’Boleh mensolatkan mayat pelaku maksiat ,kecuali penghianat (berkaitan harta rampasan perang) dan orang yang bunuh diri. Pemimpin Negara dan wakilnya tidak perlu mensolatkan orang itu,sebagai hukuman untuk mereka dan peringatan untuk yang lain. Selain pemimpin Negara tetap mensolatkannya”….Imam Ahmad berkata:”Kami tidak menjumpai (dalil) yang menjelaskan bahawa nabi tidak mensolatkan seorang kecuali penghianat/penipu dan orang yang bunuh diri”[10]
Imam Tirmidzi (r) mengulas hadis Jabir bin Samurah di atas (atau yang semakna dengannya) dengan mengatakan,”…Para ulamak (ahlul ‘ilmi) telah berbeda pendapat dalam masalah ini. Sebagian mereka berkata,”Disolati setiap siapa saja yang shalat menghadap kiblat, juga setiap orang yang bunuh diri. Inilah pendapat Sufyan Ats-Tsauri dan Ishaq. Ahmad berkata,’Imam [khalifah] tidak mensolatkan orang yang bunuh diri, sedangkan selain imam mensolatkannya.” [11].
Adapun bagi para pemimpin atau tokoh masyarakat (al-fudhalaa`), seperti imam (khalifah) atau para ulamakk (ahlul ‘ilmi wa ad-diin), maka boleh mereka tidak mensolatkan jenazah orang-orang fasik itu, sebagai hukuman (‘uqubah) dan pelajaran (ta`diib) atas jenazah yang bersangkutan, sekaligus sebagai celaan/kecaman (zajran) agar orang banyak tidak menirunya. (Imam Shan’ani, Subulus Salam, II/99; Nashiruddin Al-Albani, Ahkamul Jana`iz, [Riyadh : Maktabah al-Maarif], 1992, hal. 108-109).
Dalilnya antara lain hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhaniy RA, bahawa seorang laki-laki dari kaum muslimin meninggal dunia di Khaibar dan hal itu telah diberitahukan kepada Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW berkata,"Solatilah teman kamu itu!" Maka berubahlah wajah orang-orang kerana perkataan Rasuluillah itu. Maka tatkala Rasulullah melihat keadaan mereka itu, berkatalah Rasululah,"Sesungguhnya temanmu itu telah mengambil harta secara curang di jalan Allah." Maka kami pun memeriksa harta laki-laki tadi dan kami dapati ada sebuah untaian mutiara (kharaz) milik kaum Yahudi senilai dua dirham." (HR Khamsah, kecuali Tirmidzi) (Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, hal. 746).
Ada juga ulamak berpendapat sikap Rasulullah enggan solatkan jenazah orang yang bunuh diri adalah untuk menunjukkan perbuatan bunuh diri jangan dikasih simpati, sebagaimana dalam riwayat lain Rasulullah menolak untuk mensolatkan orang yang menanggung beban hutang.
Para ulamak memberikan perincian:
1. kalau orang yang bunuh diri tersebut mengingkari haramnya bunuh diri sebelum meninggal, misalnya ditemukan dalam tulisannya bahawa dia membunuh dirinya dengan keyakinan bahawa bunuh diri adalah halal, atau ada tanda-tanda bahawa ia telah murtad (keluar dari Islam) sebelum bunuh diri, maka tidak boleh disolati.
2. Kalau tidak ada tanda-tanda pengingkaran, atau dia tidak tahu bahawa bunuh diri itu tidak diperbolehkan agama, maka ia tetap dihukumi sebagai muslim dan wajib disalati, sebagaimana orang yang terkenal jahat atau banyak melakukan maksiat dan meninggal dunia sebelum taubat, tetap wajib disolati.
Kesimpulan :
Dari seluruh huraian di atas, jelaslah bahawa jenazah orang yang bunuh diri tetap wajib disolati oleh kaum muslimin. Hanya saja bagi para pemimpin dan pemuka masyarakat, sebaiknya tidak mensolatkannya, sebagai celaan(zajr), hukuman (uqubah) kepada jenazah yang bersangkutan dan peringatan agar orang banyak tidak melakukan dosa yang serupa.[12].
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (r) berkata: “Bahawa orang yang mati bunuh diri statusnya sama dengan orang yang sering meninggalkan shalat dari sisi hukum mensolatkan (jenazah) nya.Jika tidak mensolatkannya dapt memberi efek jera, pelajaran kepada masyarakat,dan sebagai peringatan bagi orang lain agar tidak meremehkan shalat dan tidak bunuh diri ,maka lebih baik rtidak menyalatkan .Tetapi jika menyalatkannya pun tidak apa-apa.[13].
Wallahu a’lam
[1].Ash Shan’aniy, Subulussalam 2/99.
[2].Al Bassam, Taudhihul Ahkam 3/202,Syaikh Nashiruddin al Al Baniy rahimahullah, Ahkamul Janaiz
[3].Ash Shan’ani, Subulus Salam, II/99). (Imam Syaukani, Nailul Authar, hal. 746; Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, I/253
[4].Hadis dhaif, diriwayatkan oleh Ad Daruquhtniy (2/52) dengan sanad yang semuanya lemah. Lih Ibnu Rusyd Bidayatul Mujtahid 1/253.
[5]. ].Imam Syaukani, Nailul Authar, hal. 746).
[6]. (Syaikh al Bassam, Taudhihul Ahkam hal:201).
[7]. (Imam Sha’ani, Subulus Salam, 2/99, Syaikh Al Bassam, Taudhihul ahkam 3/199)
[8].Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid Wa Nihayatul Muqtashid 1/253.
[9].Al Bassam, Taudhihul ahkam 3/201.
[10].Ibid
[11]. Syaikh Nashiruddin Al-Albani, Ahkamul Jana`iz, hal. 110.
[12].(Imam Shan’ani, Subulus Salam, 2/99; Nashiruddin Al-Albani, Ahkamul Jana`iz, , hal. 108-109)
[13].Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah Majmu’ Fatawa :24/288).
"Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Adalah Untuk Allah Tuhan Semesta Alam"
No comments:
Post a Comment