Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Wednesday, April 06, 2011

Menyingkap Rahsia Israk Mikraj-Bhg 2

Menjadi Imam Di Masjid al-Aqsa.

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Rasulullah mendapati para Nabi dan Rasul sebelum baginda sedang bersolat di sana. Lantas baginda turut bersolat menjadi imam bagi para Nabi dan Rasul tersebut. [Shahih Muslim, hadis no: 172] Rahsia di sebalik ini disingkap oleh Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi:

“Para Nabi solat di belakangnya (Muhammad). Hal ini merupakan pemberitahuan mengenai ciri universal risalah baginda, keabadian kepimpinannya, kepiawaian ajaran-ajarannya serta kesesuaiannya dalam pelbagai ruang dan waktu.

al_aqsa_mosque.jpgPeristiwa Isra’ telah terjadi dan telah mengisytihar bahawa Muhammad bukanlah dari kalangan para pemimpin atau para pemuka yang kemampuan dan perjuangan mereka tidak melampaui batas suku dan negeri. Bahawa Muhammad bukanlah sosok para pemimpin suatu komuniti yang hanya menyenangkan suku-suku yang melahirkan mereka dan lingkungan tempat asal mereka. Akan tetapi Muhammad berasal dari kalangan Nabi dan Rasul Allah yang membawa risalah langit ke bumi, membawa risalah Pencipta kepada yang dicipta, membahagiakan manusia dalam pelbagai suku dan golongan, dalam pelbagai masa dan generasi.” [al-Sirah al-Nabawiyah, ms. 162]

Setelah menjadi imam, Rasulullah di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke lapisan-lapisan langit. Di sini timbul satu persoalan, mengapa baginda di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa dan bukannya tempat lain, seumpama Masjid al-Haram? Rahsia pertama yang dapat ditangkap ialah bagi membuktikan kemuliaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Namun terdapat rahsia kedua yang dapat disingkap, iaitu sebagai sindiran kepada kaum-kaum sebelum itu yang titik paksi mereka ialah Masjid al-Aqsa.

Sama-sama diketahui bahawa bumi Palestin ialah tempat diutus beberapa Rasul dan Nabi sebelum Rasulullah. Akan tetapi umat setempat telah menentang ajaran yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi tersebut. Sudah menjadi ketetapan Allah bahawa sesiapa yang menentang ajaran-Nya dan ajaran Rasul-Nya, maka mereka akan dibalas dengan kehinaan. Maka dengan itulah mereka disindir dan dihina, di mana peristiwa Isra’ dan Mi’raj menjadi kebanggaan kepada umat Muhammad dan bukan kepada diri mereka.

Di sini kita wajib mengambil iktibar bahawa kemuliaan atau kehinaan sesuatu umat bergantung kepada ketaatan atau penentangan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Jika taat, hasilnya ialah kemuliaan. Jika tentang, akibatnya ialah kehinaan. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan.” [al-Mujadalah 58:05]

Dalam perjalanan Isra’ tersebut, Rasulullah bertembung dengan beberapa lelaki yang menggigit bara api di dalam mulut mereka. Baginda bertanya: “(Wahai Jibrail), siapakah mereka?” Jibrail menjawab: “Mereka itu ialah para khatib di dunia yang menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang mereka lupa akan diri mereka sendiri; padahal mereka semua membaca Kitab (al-Qur’an), tidakkah mereka berakal (untuk memikirkannya)?” [Musnad Ahmad, hadis no: 12211 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth. Ia merujuk kepada ayat 44 surah al-Baqarah]

Perkara di atas tidak hanya khusus kepada para khatib kerana dalam al-Qur’an Allah mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff 61:2-3]




"Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Adalah Untuk Allah Tuhan Semesta Alam"

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman