Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Saturday, April 23, 2011

Sumbangan Islam terhadap perubatan


SUMBANGAN ISLAM TERHADAP DUNIA PERUBATAN

Pengenalan

Perubatan, sebagaimana yang wujud hari ini, tidak berkembang dalam masa yang singkat tetapi ia adalah kemuncak daripada usaha jutaan manusia yang sebahagiannya kita kenal dan sebahagiannya pula tidak kita kenali. Obor ketamadunan termasuk perubatan bermula sejak ribuan tahun yang lalu. Ia berpindah daripada satu generasi ke satu generasi dan daripada satu negara ke satu negara yang lain.Bergantung kepada siapa yang mengambil tanggungjawab murni ini yang kadang-kadang menyerlah dan ada masanya ia hampir malap tetapi ia tidak pernah mati.Seandainya ia berkubur, sukarlah untuk memulakannya semula. Ia sinonim dengan kehidupan manusia kerana Allah menjadikan manusia dengan sifat yang lemah, ada masanya sihat dan ada kalanya sakit.

Adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi apabila umat Islam telah memberikan sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang terutama daripada sudut intelektualisme serta sains dan teknologi ketika masyarakat dunia, khususnya masyarakat Barat masih berada di era kegelapan antara kurun ke-7 hingga ke-13 dan era penemuan antara 1400M hingga 1600M. Islam adalah cara hidup yang bersifat syumul dan bukannya fahaman agama yang sempit sentiasa menyarankan umatnya membina kehidupan yang sejahtera, selesa dan sihat selain daripada menyediakan asas, falsafah dan hukum yang berkaitan dengan kesihatan, penjagaan kesihatan dan pemakanan.

Sejarah Perubatan Islam

Bermula dengan kaedah pengubatan sejak zaman Rasulullah dikenali sebagai perihal pengubatan nabi (Tib An-Nabawi), bidang perubatan berkembang melalui beberapa tahap dan peringkat zaman iaitu zaman penterjemahan pada kurun ke-7 dan ke-8, zaman keemasan sekitar antara kurun ke-9 hingga kurun ke-13 dan zaman kemerosotan apabila perubatan dan cabang sains yang lain menjadi tidak giat dan menurun selepas kurun ke-13. Zaman penterjemahan membabitkan buku-buku perubatan dalam bahasa asing diterjemahkan ke bahasa Arab. Pemerintah Islam seperti Khalifah Al-Makmun Al-Abassi begitu komited dengan usaha penterjemahan dengan membayar emas kepada penterjemah berdasarkan berat timbangan teks penterjemahan.Di antara penterjemah awal terkemuka ialah Jurjis Ibn Bakhtisliu, cucu lelakinya Jibril, Yuhanna Ibn Masawaya dan Hunain Ibn Ishak; sebahagian besarnya orang Kristian tetapi dihormati dan dilayan dengan baik oleh Pemerintah Islam, kemudian disusuli oleh penterjemah lain seperti Jabir Hayyan, Thabit Qurrah dan Abu Yusuf Al-Kindi. Kemudian, muncullah tokoh-tokoh perubatan Islam terbilang dalam aftalmologi (mata), pembedahan, perubatan dalaman, farmakologi dan farmasi serta pelbagai pengkhususan yang lain.Penulisan ini akan memfokuskan tentang pencapaian cemerlang dan sumbangan umat Islam dalam bidang perubatan membabitkan sekurang-kurangnya beberapa orang tokoh mengikut peringkat zaman. Mereka bukan sahaja menyumbang kepada umat Islam tetapi menjangkau seluruh warga sejagat terutamanya masyarakat Barat.

Tokoh-Tokoh Perubatan Terbilang

1. Al-Razi ( 841M - 926M )
Nama penuhnya Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi dikenali sebagai Razes oleh dunia Barat, dilahirkan pada tahun 865M di pekan Ray dekat Tehran, Iran. Pada mulanya beliau mempelajari muzik yang menjadi minat awalnya. Selepas itu, beliau mempelajari bidang falsafah, matematik, kimia, astronomi dan perubatan. Beliau lebih menyerlah dalam pengajian perubatan.Beliau pernah menuntut dengan Hunayn Ibn Ishaq, khususnya berkaitan perubatan dan berguru dengan ramai bekas anak murid Hunayn Ibn Ishaq, juga turut mahir dalam ilmu-ilmu daripada tamadun Yunani, India dan Parsi. Beliau juga menuntut di bawah tunjuk ajar Ali Ibn Raban. Pada peringkat awalnya beliau menjadi ahli perubatan istana kepada Sultan Saleh Al-Mansur, penguasa Khorosan, kemudiannya berpindah ke Baghdad sebagai Ketua ahli perubatan Hospital Baghdad di samping sebagai doktor peribadi Khalifah dan kemudiannya mengetuai para ahli perubatan Hospital Muqtadari. Dari semasa ke semasa beliau banyak berpindah ke banyak bandar terutamanya antara Ray dan Baghdad. Beliau mempunyai asas yang baik dalam ilmu fizik dan kimia di samping ilmu perubatan.

Pengalaman beliau semasa bertugas di Hospital Muqtadari telah menjadi batu loncatan bagi beliau menumpukan minat dalam bidang perubatan.Malah beliau menjadi pakar perubatan dalam usia yang muda dan mendapat perhatian bukan sahaja daripada pesakit malah daripada penuntut-penuntut perubatan seluruh pelosok Asia.

Beliau pernah menulis lebih daripada 200 buku yang diterjemahkan ke bahasa Latin, Perancis, Itali, Hebrew dan Greek. Separuh daripada jumlah tersebut adalah berkenaan perubatan manakala 21 pula berkaitan ilmu kimia.Kitab-kitab Al-Razi yang terkenal seperti Jami’ Fi Al-Tibb, Al-Mansuri, Al-Hawi, Al-Murshid, Al-Judari wa Al-Hasabah, Al-Muluki, Maaqalah fi Al- Hasat fil Kulli wa Al-Mathana, Kitab Al-Qalb, Kitab Al-Mafasil, Kitab Al-‘Ilaj Al-Ghoroba, Bar Al-Sa’ah dan At-Takhseem wa At-Takhseer.

Salah satu buku utamanya ialah ‘Al-Mansuri’ sebuah kitab yang membicarakan tentang etika profesional perubatan yang didedikasikan kepada Sultan Al-Mansur. Kitab ini mengandungi 10 jilid dengan huraian panjang lebar ( treatises) dan mengandungi semua aspek kesihatan dan penyakit termasuk pengetahuan perubatan tamadun Yunani-Arab. Beberapa jilidnya diterbitkan secara berasingan di Eropah Beliau mendefinisikan perubatan sebagai, “suatu seni penjagaan kesihatan badan, dalam memerangi penyakit dan memulihkan kesihatan pesakit.” Beliau membicarakan 3 aspek perubatan iaitu kesihatan awam, perubatan pencegahan dan rawatan penyakit tertentu. Beliau menyenaraikan 7 prinsip penjagaan kesihatan, iaitu;
· Kesederhanaan dan Keseimbangan ketika bergerak dan rehat.
· Kesederhanaan ketika makan dan minum.
· Pembasmian sikap berlebihan dalam perkara yang berkaitan dengan kesihatan.
· Pembaikan dan peraturan tempat tinggal atau kediaman
· Pengelakan tabiat buruk yang berlebihan sebelum menjadi tidak terkawal
· Penyenggaraan keharmonian dalam cita-cita dan keputusan yang dibuat
· Pencapaian sikap tidak banyak bercakap dengan tabiat yang baik termasuk latihan gerak badan.

Di dalam kitab ‘Al-Murshid’, Al-Razi menekankan aspek kepentingan terapi. Beliau menerangkan mengenai pelbagai jenis demam termasuk demam berterusan, demam berulang dan demam melampau. Beliau menyatakan demam merupakan tanda kepada suatu penyakit atau demam itu sendiri merupakan satu jenis penyakit. Dia adalah orang pertama dalam sejarah yang memperkenalkan raksa sebagai ubat terapeutik yang kemudiannya diamalkan di Eropah. Beliau menyedari seseorang tidak mahu sakit dan jika sakit, ingin pulih secepat mungkin. Walau bagaimanapun jika pesakit tidak mempunyai kekuatan atau kemahuan untuk sembuh, doktor tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk menolongnya. Al-Razi menekankan keperluan seseorang doktor mempelajari perubatan secara berterusan dan menyarankan para doktor merekodkan semua pemerhatian mereka. Beliau juga menyarankan supaya para doktor berbincang tentang masalah perubatan dan menyelesaikan permasalahan tersebut tanpa bergantung kepada orang untuk mencari penyelesaian.

Sebuah lagi buku yang dihasilkan oleh Al-Razi ialah ‘Al-Hawi’ yang bermaksud teks lengkap merupakan sebuah ensiklopedia perubatan paling lengkap. Ia mengandungi 22 jilid malah menjadi buku teks utama di sekolah perubatan di Paris, Perancis terutamanya Jilid ke-9 berkaitan farmakologi.

Al-Razi amat terkenal kerana kejayaan beliau mengenal pasti penyakit campak (smallpox) dan perbezaannya dengan penyakit cacar air (measle). Ini dimaktubkan dalam bukunya ‘Al-Judari wa Al-Hasabah’. Penghuraiannya ( treatise) mengenai hal campak dan cacar telah diterjemahkan ke bahasa Latin pada tahun 1565M dikenali sebagai “de Peste or de Pestilentia.” Ia merupakan karyatama dalam perubatan klinikal yang menjelaskan tentang perbezaan klinikal secara jelas mengenai kedua jenis penyakit tersebut dan hingga kini tidak ada lagi orang lain yang menokok tambah penghuraian berkenaan. Beliau juga pengasas perubatan psikosomatik yang menggabung unsur kerohanian dan psikologi dalam ilmu proses penyembuhan.

Kaedah perubatannya yang popular ialah kesihatan melalui pemakanan yang betul, sihat dan seimbang. Ini digabungkan dengan penekanan kesihatan mental. Kebanyakan ubatnya diuji terlebih dahulu terhadap haiwan eksperimentasi bagi mengkaji tahap keberkesanan dan kesan sampingannya.Al-Razi merupakan pakar bedah pertama menggunakan opium sebagai ubat tahan sakit dan bius. Dalam mengamalkan perubatan, beliau turut memperkayakan pengetahuan dan pada tahun-tahun terakhirnya melibatkan diri dalam sains eksperimentasi dan teori.

Sumbangan beliau terhadap dunia perubatan begitu agung dan selayaknya dibandingkan dengan Ibn Sina.

2. Al-Zahrawi ( 936 – 1013 M)

Nama penuhnya Abul Qasim Khalaf Ibn Abbas Al-Zahrawi. Di Barat dikenali dengan pelbagai nama seperti Abulcasis ( bapa ilmu pembedahan ), Abulcases, Bulcasis, Bulcasim, Bulcari, Alzahawi, Ezzahrawi, Zahravius, Alcarani, Alsarani, Aicaravi, Alcavarius, Alsahrawi dan lain-lain lagi. Beliau dilahirkan diZahra, pinggir Cordova (6 batu dari Cordova) dan menuntut di Universiti Cordova yang ditubuhkan sejak satu setengah abad. Pada masa itu Cordova mempunyai sejuta penduduk. Ia merupakan ibu negara Al-Andalus (Sepanyol), sebuah kota yang dikenali sebagai pusat kebudayaan dan sains di puncak kegemilangannya di Eropah. Dua tahun sebelum beliau meninggal dunia, kota Al-Zahra melalui zaman malapnya menyebabkan amat sedikit diketahui tentang beliau.Muhammad Ibn Hazm, seorang sarjana Andalusia (993-1064 M) menyebutkan nama Al-Zahrawi sebagai pakar perubatan dan bedah paling ulung di seluruh Sepanyol tetapi biografi beliau hanya di tulis dalam buku Al-Hummaydi Jadwat Al-Muqtabis ( Kisah Warga Andalusia) kira-kira 6 kurun selepas kematiannya.Beliau merupakan pakar bedah terulung pada zaman kegemilangan Islam dan pernah dilantik sebagai pakar bedah diraja bagi Raja Al-Hakam II di Sepanyol.

Sumbangan beliau terhadap dunia perubatan boleh dilihat daripada riwayat hidupnya yang menunjukkan beliau memperhambakan diri menyumbang pengetahuan bagi kemajuan sains perubatan secara amnya dan pembedahan secara khususnya. Menurut riwayat beliau menulis sebanyak 4 buah kitab. Salah satunya bertajuk ‘At-Tastif Liman Ajiz’an Al-Ta’lif’ yang disifatkan sebagai ensiklopedia pembedahan zaman pertengahan yang terbaik. Ia digunakan di Eropah sehingga abad ke-17. Beliau menekankan kepentingan sains asas, beliau menyatakan, “....sebelum menjadi pengamal perubatan, seseorang perlu membiasakan diri dengan sains anatomi (kaji bina tubuh manusia) dan fungsi organ bertujuan memahaminya serta mengenali bentuknya di samping hubung kait dan batasan antara organ berkenaan. Dia juga perlu tahu mengenai tulang, saraf, otot-otot, jumlah mereka, awalan dan sisipannya, saluran darah dan pembuluh, dari mula hingga akhirnya. Perkara yang berkaitan asas anatomi dan fisiologi amat penting.”

Kitab beliau ‘At-Tasrif’ setebal 30 jilid (tidak kurang daripada 1500 muka surat) merupakan hasil himpunan pengetahuan dan pengalamannya mempelajari, mengamalkan dan mengajar ilmu pembedahan. Kitab ini menjadi ensiklopedia yang menyentuh bab pembedahan, perubatan, ortopedik, oftalmologi, farmakologi, pemakanan dan sebagainya. Meskipun beliau tidak banyak merantau tetapi beliau menjadi pakar perubatan mangsa peperangan dan kemalangan.

Di dalam buku ini juga beliau membahasakan para pelajar dengan panggilan ‘anak-anakku’ sebagai tanda sikap prihatin beliau terhadap kebajikan mereka. Beliau menekankan tentang aspek hubungan baik doktor dan pesakit serta memenangi hati pesakit tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Beliau meminta muridnya membuat diagnosis yang tepat serta memberi rawatan berkesan dan menggesa muridnya mengamalkan perubatan beretika dan bukan menumpu pada faedah kebendaan yang dibuat oleh beberapa doktor lain di zamannya. Kitab ini juga memperincikan mengenai sebab dan tanda sesuatu penyakit di samping beliau menyelitkan teori penjagaan anak, remaja, dewasa dan warga emas. Dalam bab farmakologi dan terapi, beliau memuatkan perkara berkaitan ubatan jantung, laksatif, sains kosmetik, anti muntah, pemakanan, ehwal perubatan, kaedah pemberian ubat, berat dan sukatan.

KESIMPULAN

Daripada apa yang telah dipaparkan oleh sejarah, ternyata tamadun Islam telah memberikan sumbangan yang bukan sedikit dalam bidang perubatan. Tokoh perubatan dan hasil kerja mereka menjadi rujukan penting dan utama dalam dunia perubatan umat Islam dan Barat terutama Eropah. Ia akan terus menjadi catatan sejarah dunia dan menjadi punca kepada perubatan moden.
  1. Al-Quran dan Terjemahan.
  2. Rasid Muhamad, Matra Tamadun Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kuala Lumpur ,1996, m.s. 183-197.

1 comment:

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman