Post Top Ad
Your Ad Spot
Thursday, April 21, 2011
Oleh: Abul a'la al-Maududi
Pendahuluan
Syahadah Al-Haq atau Pengakuan Sebenar Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan
Muhammad Adalah Utusan Allah adalah suatu seruan yang dikemukakan oleh Sayyid Abu al-A’la al-Maududi dan ditujukan untuk seluruh manusia. Melalui seruan ini beliau menjelaskan kepada masyarakat tentang dakwah Islamiyyah. Di samping turut menampilkan pendekatan yang digunakannya bagi mengetengahkan keistimewaan dakwah ini dan membawa manusia berkongsi bersama segala keindahannya.
Dakwah ini dilakukan semata-mata kerana Allah dan rasulNya. Dakwah ini merupakan suatu risalah yang sesuai dengan keadaan dan persekitaran manusia. Dengan memahami hakikat ini mudah-mudahan manusia memahami tanggungjawab berat yang diletakkan di bahu mereka. Justeru terdorong untuk bekerja dengan lebih bersemangat dan produktif. Mudah-mudahan Islam mereka bukan lagi bersifat teori tanpa praktikal.
“Syahadah Al-Haq” bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat.
Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa
manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Dengan kata lain mereka perlu menjelaskan ke seluruh alam, kebenaran yang bakal memimpin mereka menggunakan jalan yang lurus, cara yang betul dan amalan yang berkekalan. Manusia akan diberikan balasan berdasarkan amalan mereka. Mereka juga akan dihukum berdasarkan kejahatan dan amalan keji yang dilakukan mereka.
Dar al-Su’udiyyah Li al-Nasyr Wa al-Tauzi’ amat berbesar hati kerana dapat memberi sumbangan dalam
memperkayakan khazanah Islam melalui penerbitan buku ini. Semoga buku ini akan menjadi penyuluh menerangi jalan umat Islam. Semoga dengan adanya buku ini segala kejahatan dan kesesatan akan lenyap. Segala-galanya ini hanyalah kerana Allah.
Syahadah Al-Haq
(Ucapan ini disampaikan oleh al-Maududi, Pemimpin Jama’ah Islam, di dalam suatu majlis yang diadakan di Bandar Sayyal Kaut, salah sebuah bandar di Barat wilayah Punjab. Melalui ucapan ini alMaududi menjelaskan erti dakwah Islamiyyah. Di samping menjelaskan kepada sidang hadirin pendekatan secara teori dan praktikal yang digunakan oleh Jama‘ah Islam.)
Segala puji bagi Allah yang memiliki segala sifat-sifat sebagai pencipta dan pemerintah di alam semesta ini. Tuhan yang segala hukumnya terlaksana di langit dan di bumi. Semuanya terlaksana melalui kebijaksanaan dan qudratNya yang merangkumi sekalian yang ada, dengan rahmat dan ilmuNya. Dialah Allah yang Maha Pencipta, Maha Esa dan Maha Tinggi yang mencipta manusia dan mengurniakan mereka segala kelebihan ilmu dan akal. Dialah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Dialah yang mengutus para utusan dari sisiNya bagi membimbing dan memimpin manusia ke arah jalan yang baik dan terpimpin. Dialah yang menurunkan kitab-kitab yang mengandungi hidayah, cahaya dan bimbingan untuk manusia yang bertakwa.
Selawat dan salam dihadiahkan kepada hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih yang diutus sebagai pembawa berita gembira dan bencana. Mereka diutus sebagai penunjuk jalan bagi manusia, menerangi jalan yang lurus dan menunjukkan jalan yang sejahtera dan adil bagi bangsa manusia. Mereka mengajar manusia tujuan mereka dicipta oleh Allah. Mereka mengajar manusia cara hidup yang baik dan betul di dunia ini. Segala cahaya hidayah dan akhlak baik yang anda lihat pada hari ini di muka bumi ini sebenarnya adalah hasil usaha mereka. Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah yang telah mengutus para utusanNya kepada kita, jika tidak kerana usaha mereka yang berterusan dan berharga dalam mengembangkan dakwah dan hidayah ini, sudah tentu pada hari ini tidak wujud cahaya hidayah dan kerdipan bintang yang bersinar dan bergemerlapan di dada langit. Oleh itu, seluruh manusia terhutang budi dengan pengorbanan, kurniaan dan jasa mereka yang tidak terbayar walau betapa banyak balasan yang diberikan selama-lamanya.
Saudara! Sudah menjadi sebahagian daripada amalan kami untuk membahagikan setiap majlis dan perhimpunan kami kepada dua bentuk. Pertama, kami sebagai anggota Jama‘ah Islamiyyah bermuzakarah dengan membentangkan segala kerja dan usaha yang telah kami lakukan. Kami berbincang tentang strategi dan langkah yang perlu kami ambil untuk mengembangkan dakwah. Kedua, kami jemput penduduk setempat di mana kami adakan perhimpunan. Melalui perhimpunan ini kami akan jelaskan kepada penduduk setempat tentang dakwah Islamiyyah. Kami juga akan jelaskan kepada mereka pendekatan yang kami pilih dan kami guna dalam usaha kami untuk menyebar dan mengembangkan keistimewaan dan kelebihan dakwah yang abadi ini.
Majlis yang tuan-tuan hadiri melalui jemputan anggota jama‘ah ini merupakan bentuk kedua yang saya sebutkan tadi. Jadi sekarang ini kami ingin jelaskan kepada hadirin sekalian tentang dakwah yang kami laungkan kepada seluruh manusia, semoga semuanya beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Dakwah kami ini ditujukan kepada semua, baik buat mereka yang telah beriman dengan Allah dan rasulNya, juga buat mereka yang masih belum berpeluang untuk beriman. Kami tujukan dakwah ini kepada mereka semua semata-mata kerana Allah dan rasulNya. Kami tujukan risalah yang khusus untuk apa jua keadaan dan situasi mereka. Malangnya dalam majlis yang berbahagia ini tidak kelihatan golongan kedua yang saya nyatakan tadi. Semua ini disebabkan oleh kepincangan dasar yang telah diamalkan oleh raja dan pemerintah kita di dalam tempoh lapan kurun yang silam dalam menjalinkan hubungan dengan penduduk negeri ini. Mereka tidak melaksanakan dengan baik undang-undang Islam dalam konteks hubungan antara kaum. Mereka juga tidak memberikan layanan sepertimana sepatutnya diberikan oleh seorang pendakwah dan penakluk kepada seorang ahli zimmi. Tidak sepertimana layanan yang pernah diberikan oleh generasi Arab dahulu kepada orang-orang bukan Islam di Iraq, Syam dan sebagainya yang tunduk di bawah kuasa mereka. Malah kita sendiri tidak boleh nafikan bahawa kita turut terlibat, kerana kita sendiri melayan mereka seolah-olah mereka adalah bangsa asing yang berbeza sama sekali dari segi darah, bahasa dan budaya. Tidak hairan jika Islam pada pandangan mereka adalah agama yang khusus untuk satu bangsa atau satu keturunan bukan satu agama untuk seluruh manusia. Kesannya, sebilangan besar hamba-hamba Allah terpinggir daripada dakwah yang benar ini. Mereka juga tidak bersedia untuk mendengar sesiapa sahaja yang ingin menyampaikan kepada mereka tentang risalah abadi yang telah didatangkan oleh Allah yang merupakan tuhan kita, tuhan mereka dan tuhan bagi segala-galanya. Mereka tidak bersedia mendengar risalah para rasul dan para nabi yang datang untuk membimbing kita dan juga mereka, menuju ke arah kejayaan dan kebahagiaan. Oleh itu saya berhasrat dalam ucapan saya ini saya akan tumpukan kepada beberapa aspek dakwah ini yang penting untuk dihayati oleh umat Islam.
Dakwah yang kita tujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu mereka apabila mereka mendakwa mereka beriman dengan Allah dan hari akhirat, dan apabila mereka mengaku akur dengan segala perintah Allah dan rasulNya. Tidak mungkin mereka boleh berpeluk tubuh daripada memikul tanggungjawab ini dengan hanya mengaku beriman atau mendakwa diri mereka sebagai muslim. Hanya bergantung kepada pengakuan dan cakap kosong dalam hal ini tidak cukup. Sebenarnya apabila kamu mengakui Allah sebagai tuhan dan Islam sebagai agama kemudian kamu lafazkan syahadah yang sebenar (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah), kamu sepatutnya merasai tanggungjawab yang perlu kamu laksanakan sebaik sahaja kamu melafazkan syahadah ini. Kamu juga perlu fikirkan apakah yang dapat kamu lakukan untuk menunaikan tugas penting ini. Jika kamu tidak laksanakan kewajipan kamu ini atau kamu tidak berusaha untuk melaksanakannya kamu sebenarnya menempah akibat buruk perbuatan kamu dan kamu akan rugi di dunia dan di akhirat.
..bersambung...
Tags
Akidah#
Share This
About Abuyya dan Ummi
Akidah
Labels:
Akidah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post Top Ad
Your Ad Spot
Author Details
Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat.
No comments:
Post a Comment