Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Thursday, April 14, 2011

TASAWUF : IKATAN BERSAMA AKIDAH DAN SYARIAH


Oleh: Ust Hashim al-Maranji

1.                  Pendahuluan
    Penulisan ini memfokuskan kepada tasawuf dan hubungannya dengan akidah dan syariat.  Oleh sebab perbahasan mengenai tasawuf amat luas, penulisan ini tidak membicarakan akar kata atau definisi tasawuf.  Walau bagaimanapun beberapa pengertian tasawuf dimasukkan dalam penulisan ini untuk mendapatkan gambaran makna tasawuf daripada sudut tasawur dan pengamalannya. 

    Tasawuf yang dimaksudkan di sini bukanlah kalimah tasawuf tetapi realiti tasawuf itu sendiri. Bahkan kalimah tasawuf itu sendiri telah didefinisikan oleh kaum sufi bukan secara literal semata-mata tetapi berdasarkan inspirasi kerohanian yang amat mendalam. Imam Ghazali telah mendefinisikan tasawuf sebagai: “peleburan jiwa ke dalam pengabdian dan ikatan kalbu dengan rububiyyah.”

    Seringkali tasawuf dianggap sebagai satu kurikulum tambahan dalam kehidupan manusia. Ia dianggap sebagai satu aktiviti sampingan yang diamalkan oleh sebahagian manusia yang berminat, sedangkan kedudukan tasawuf itu lebih daripada sangkaan dan tanggapan biasa. Ia tersemat sangat mendalam dalam kehidupan manusia. Ia adalah satu unsur yang amat penting yang akan merealisasikan kehidupan manusia sebagai insan sejati dan murni.   Kita boleh ibaratkan tasawuf adalah seperti air sedangkan akidah dan syariah adalah seumpama sebatang pokok yang berakar kuat dan bercabang tinggi. Pohon tersebut memerlukan kepada air untuk memberi kehidupan kepadanya bahkan kekekalan dan kelanjutan kehidupan pohon itu sangat bergantung kepada air yang meresapinya. Dan air yang dimaksudkan di sini adalah air yang diturunkan dari langit yang bersih dan suci. Dengan adanya air tersebut, yang datang dari alam samawi dan ketika ia meresap masuk ke dalam pohon itu, sekali gus ia akan menyebarkan kesucian samawi dalam seluruh bahagian pohon tersebut. Akhirnya pohon itu akan berakar kukuh dan cabangnya akan naik tinggi ingin mencapai langit kembali. Seolah-olah kerana pohon itu telah diresapi air samawi “انا لله”, ia didorong untuk kembali kepada sumber samawinya “انا لله وانا اليه راجعون”.

    2.                  Konsep dan Pengertian Tasawuf dan Tarekat 
      Pengertian tasawuf di sini dilihat daripada aspek ontologi tasawuf bukan secara makna literal kalimah tasawuf.   Memang diakui bahawa tidak terdapat satu kalimah pun di dalam Al-Qur’an itu yang menyebut perkataan tasawuf.  Namun terdapat banyak sekali ayat Al-Qur’an yang membawa maksud al-tasfiyah dan at-tazkiyah.  Kedua-dua makna tersebut adalah dasar dan inspirasi kepada ilmu dan amalan tasawuf itu.  Dalam Al-Qur’an terdapat banyak ayat yang menggalak, mendorong dan mengajak jiwa manusia supaya bersifat takwa, benar dan ikhlas, tawakal dan yakin, penyerahan diri dan pengabdian yang mutlak hanya kepada Allah S.W.T.   Oleh yang demikian kita dapati hampir separuh daripada isi kandungan Al-Qur’an itu menyentuh soal kejiwaan dan akhlak, keimanan dan keihsanan, ketinggian dan kesempurnaan insan di sisi Allah S.W.T.  Manakala sebahagian daripada kandungannya yang lain pula meliputi unsur ibadah, muamalah dan kisah umat terdahulu untuk menjadi peringatan dan pengajaran.

      Terdapat beberapa istilah yang secara zahir, mahupun maksud dan makna yang telah digunakan oleh Al-Qur’an sebagai bukti yang nyata bahawa inti pati ilmu dan ajaran tasawuf yang sebenar itu adalah bersumberkan daripada Al-Qur’an .  Di antara istilah tersebut ialah istilah taubat,  zuhud,  sabar,  syukur,  khauf,  raja’, reda dan istilah tawakal.   Semua istilah ini dikenali sebagai makamat dalam ajaran tasawuf.   Atau yang merujuk kepada maksud dari ayat Al-Qur’an seperti makrifah  dan isqat al-tadbir.

      Tasawuf selalu diberikan gambaran yang menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja terutamanya ketinggian akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah. Menggambarkan tasawuf dengan gambaran-gambaran tersebut ternyata tidak tepat dan tidak menyentuh inti pati sebenar dan menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: “Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

      Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulamak tasawuf sebagai muraqabah dan musyahadah dan ia mempunyai beberapa tingkatan tertentu. Pencapaian musyahadah ini akan membuahkan berbagai ahwal dan makamat. Dari sinilah timbulnya berbagai persoalan tasawuf yang dibicarakan secara panjang lebar oleh ahli sufi dalam karya-karya mereka.

      Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawuf itu ialah tercapai kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati daripada sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhias ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai ‘ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuang sesuatu yang lain daripada Allah dari lubuk hati dan zahir kebenaran Allah di hati itu (tajalli) sehingga ia dapat melihat dengan jelas tanda-tanda keagungan-Nya dan merasai kehebatan-Nya iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapai darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

      Pengertian tasawuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Syeikh `Abdul al-Qadir al-Jailani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah penyucian hati (tasfiyah) daripada sesuatu yang lain dari Allah. Syeikh Ahmad Zaruq telah meneliti definisi-definisi yang telah dikemukakan oleh para ulamak tasawuf dan membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa tasawuf telah dihuraikan, ditafsirkan dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu. Semua itu terhimpun atau merujuk kepada satu pengertian sahaja iaitu “benarnya tawajuh hati kepada Allah”. Permulaan tawajuh hati itu ialah terhasilnya kesedaran jiwa (intibah) yang membawa kepada taubat yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai makamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dari-Nya. Di sinilah terhasilnya musyahadah dan inilah kemuncak ihsan (Syaikh Abdul Qadir, 2010)

      Perlu diingat tasawuf bukanlah suatu mazhab kerana tasawuf merupakan suluk, adab dan jalan menuju Allah, melalui seseorang Masyaikh Murabbi (guru pendidik).

      Berikut adalah beberapa nukilan pengertian tasawuf dan tarekat mengikut para ulamak tasawuf, antaranya:
      Berkata Imam Junayd :  Tasawuf ialah menyucikan hati daripada tertambat dengan makhluk, meninggalkan perangai tabiat yang buruk, memadamkan sifar-sifat kemanusiaan (yang buruk), menjauhi dorongan nafsu, bersifat dengan sifat kerohanian, berpegang dengan hakikat segala perkataan, mengutamakan Allah pada setiap masa, menasihati seluruh umat, menyempurnakan janji kepada Allah dan mengikut syariat Rasulullah S.A.W

      Al-Tustari berkata:  Ahli sufi ialah orang-orang yang menyucikan dirinya daripada kekotoran, memenuhi fikirannya dengan bertafakur (memikirkan kebesaran Allah) dan memutuskan hubungan (hati) dengan manusia untuk menuju kepada Allah dan sama di sisinya antara emas dan lumpur (Muhammad Fuad, 2009 dalam Tazkirah al Au'liya' karangan al-'Atthor (1/364)).

      Daripada satu sudut yang lain, tasawuf mempunyai dua pengertian iaitu pengertian umum dan pengertian khusus. Pengertian umum bagi tasawuf secara keseluruhannya ialah satu bentuk ilmu tentang cara-cara mendidik dan membersihkan hati yang mana ia boleh diketahui menerusi pembelajaran dan pengkajian. Antara tokoh-tokoh tasawuf yang mendefinisikan tasawuf sebagai satu bentuk ilmu ialah Shaykh Ahmad Zaruq dan Haji Khalifah. Menurut Shaykh Ahmad Zaruq tasawuf itu ialah satu ilmu yang bertujuan memperbaiki hati dan mengkhususkan bagi Allah semata-mata tanpa sesuatu yang lain dari-Nya. Manakala Haji Khalifah pula mendefinisikan tasawuf sebagai satu ilmu yang dengannya diketahui cara peningkatan golongan manusia yang sempurna dalam mencapai tingkatan kebahagiaan mereka. 

      Manakala tasawuf dengan pengertiannya yang khusus pula merujuk kepada pencapaian hakikat-hakikat tasawuf tersebut sehingga ia menjadi suatu pengalaman bagi diri seseorang itu dan seterusnya menjadi sifat yang sebati dengan dirinya. Antara ahli tasawuf yang mendefinisikan tasawuf dengan pencapaian hakikatnya ialah Shaykh Junayd al-Baghdadi dan Shaykh Ma`ruf al-Karakhi.   Shaykh Junayd al-Baghdadi dalam mendefinisikan tasawuf ialah “bahawa yang sebenar (al-Haq) itu menghapuskan engkau dari diri engkau dan menghidupkan engkau dengan-Nya”. Keterangan beliau ini adalah mengisyaratkan kepada keadaan fana’ yang dirasai oleh hamba. al-Junayd juga pernah ditanya tentang tasawuf lalu menjawab “iaitu engkau berserta Allah tanpa sebarang ikatan”.Kenyataan beliau ini pula mengisyaratkan kepada kedekatan rohani dan pencapaian hakikat. Manakala al-Karakhi pula mendefinisikan tasawuf itu sebagai berpegang dengan hakikat dan tidak berkeinginan terhadap apa yang dimiliki oleh makhluk.

      Imam al-Ghazali telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau, tasawuf itu permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian (mauhibah). Ilmu itu membongkar apa yang dikehendaki, amal itu membantu dalam menuntut (apa yang dikehendaki), dan pemberian itu menyampaikan kepada kemuncak cita-cita. Gabungan kedua-dua pengertian tasawuf ini dapat dilihat dalam definisi beliau di atas di mana beliau telah membahagikan tasawuf itu kepada tiga peringkat iaitu permulaan (ilmu), pertengahan (amal) dan kesudahan (pemberian). Ketiga-tiga perkara tersebut terangkum dalam pengertian tasawuf. Demikian juga Shaykh Ibn `Ajibah di mana beliau juga telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau tasawuf itu adalah satu ilmu yang mana dengannya diketahui cara-cara berjalan menuju ke hadrah Allah, membersihkan batin daripada perkara-perkara keji dan menghiasinya dengan berbagai bentuk perkara kebaikan. Permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian Ilahi.

      Tasawuf yang sebenar ialah berusaha untuk memilih akhlak sepertimana akhlak Rasulullah SAW di dalam amalan, percakapan dan segala tindakan serta berpegang teguh dengan apa yang disampaikan oleh syarak iaitu dengan cara mematuhi segala perintah , menjauhi segala larangan dan menyerah diri kepada ketentuan qada' dan qadar. Ahli tasawuf yang benar ialah seorang yang tidak beramal dengan sesuatu yang bercanggah dengan aula (utama) di samping menjauhkan diri daripada perkara haram dan makruh.  Para ahli tasawuf juga tidak menjadikan tasawuf sebagai sumber rezeki dan kehidupan serta tidak menggunakan helah atau mengeluarkan kata-kata melebihi had yang dibenarkan oleh syarak. Dia juga tidak berhasad dengan dan membenci melainkan kerana Allah dan menghadapi kejahatan dengan kebaikan (Dr. Abd. Malik, 2002)

      Sekiranya sesuatu tarekat (nota 1)  bersifat seperti di atas maka ia di kira termasuk di dalam syariat kerana ia berakhlak dengan akhlak dan adab-adab Islam. Sekiranya ia bercanggah dengan apa yang disebut tadi contohnya : ahli tarekat itu mengeluarkan kata-kata yang tidak diperakui oleh syariat atau berlebih-lebih atau menyifatkan imam-imam tasawuf dengan sifat-sifat yang berlebihan seperti menganggap mereka itu sehingga melebihi taraf sebagai seorang manusia, atau mengambil kesempatan daripada tasawuf untuk mengaut harta dan sumber pendapatan hidup atau malas untuk bekerja sehingga dia bergantung pada orang ramai, maka tasawuf seperti ini adalah satu kejahilan. Adakala ia membawa kepada kesesatan dan bukannya tasawuf yang digariskan oleh syarak.  Di antara syarat-syarat yang mesti dimiliki oleh ahli tarekat adalah seperti ahli tarekat mestilah 'alim (pakar) dengan ilmu fikah dan syariat Islam atau sentiasa belajar dengan alim ulamak, beramal dengan ilmunya, beramal dengan adab-adab Islam dan sentiasa mendampingi orang-orang soleh untuk mencontohi mereka.   Sekiranya dia tidak memiliki satu sahaja daripada syarat-syarat di atas, maka dia bukanlah seorang sufi yang sebenar (Dr Abd Malik, 2002).

      [Nota 1: Tarekat berasal daripada bahasa arab طريقة (Toriqoh) bererti jalan, cara, aliran, metod.  Secara terminologi tarekat dimaknai sebagai “suatu sistem hidup bersama dan kebersamaan dalam keberagamaan sebagai upaya spiritualisasi pemahaman dan pengamalan ajaran Islam menuju tercapainya makrifatullah. Ringkasnya ia sebagai usaha kolektif dalam upaya tazkiyah an-Nafs dalam keberagamaan. (Prof. H.A. Ribay, 1996, hal.265)]

      Dalam kitab Al-Tobaqat al Kubra karangan Imam al Sya'rani (1/66),  Sahl al-Tustari menyebut tentang Usul Tasawuf yang mengandungi enam (6) perkara iaitu:
      • Berpegang dengan Kitab Allah dan mengikut Sunnah S.A.W
      • Memakan makanan yang halal.
      • Meninggalkan kezaliman.
      • Menjauhi maksiat.
      • Bertaubat.
      • Menunaikan segala hak kewajipan.

       _____________________


      "Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Adalah Untuk Allah Tuhan Semesta Alam"

      No comments:

      Post a Comment

      Post Top Ad

      Your Ad Spot

      Laman-Laman