EDYMART KEDAI ONLINE

Thursday, April 14, 2011

Tasawuf Menurut Pandangan Islam



Oleh: Ust Hashim al-Maranji

Hakikat bahawa Al-Qur’an adalah sumber utama ilmu dan amalan tasawuf tidak dapat dinafikan.  Al-Qur’an menyatakan dengan jelas bahawa Allah S.W.T. tidak dapat diserupakan dengan sesuatu,  dalam konteks yang lain Al-Qur’an menyatakan tentang Allah S.W.T. itu Maha Melihat lagi Maha Mendengar.   Semua ini merupakan suatu hikmat ketuhanan yang tertinggi yang telah dibawa oleh Baginda Rasulullah S.A.W melalui wahyu Ilahi, iaitu Al-Qur’an.  Kemudian umat Islam membaca ayat suci yang menyuruh mencari Tuhannya,  kerana Dialah sumber segala cahaya di langit mahupun di bumi.   Namun jika umat Islam membaca ayat  tersebut, lalu meniru gaya hidup yang telah dianjurkan dengan satu kaedah yang telah diatur susun oleh ilmu dan amalan tasawuf, tentu bukan menjadi satu kesalahan.  Sebagai contoh, Al-Qur’an menganjurkan agar hidup jangan terlalu mencintai dunia kerana hal itu menyebabkan kotor dan mencemarkan perjalanan roh yang sifatnya sedia suci,  lalu diajarkan dalam ilmu tasawuf dengan satu metodologi yang dikenali sebagai zuhud.  Begitulah seterusnya.  Jika hal ini terjadi dalam kehidupan umat Islam tidak bermakna ia menganut suatu ajaran baru,  yang dimasukkan ke dalam ajaran Islam sebagai sisipan (Prof Dr H. Abuddin, 1996).  Pendekatan Imam Ghazali memberikan jaminan untuk mempertahankan prinsip bahawa Allah dan penciptaan-Nya adalah dua hal yang berbeza sehingga satu sama lain tidak mungkin bersatu (Prof H.A. Rivay, 1996).

Dari keterangan di atas tidak mungkin sama sekali untuk kita menyatakan bahawa keseluruhan hal tersebut adalah suatu penambahan dari ajaran orang sufi. Namun secara yakin boleh kita nyatakan di sini ia adalah suatu tafsiran yang mereka telah simpulkan dari satu keyakinan bahawa Allah S.W.T. itu bersifat dengan sifat wujud yang hakiki dan Allah S.W.T. itu diyakini terlalu hampir dengan mereka seperti yang diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya,
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Qaf:16)

Sebenarnya Islam merupakan agama tauhid, manakala semua aspek Islam, sama ada dari sudut ajaran serta amalannya adalah melambangkan kepada prinsip yang asasi tersebut.  Disiplin ilmu dan amalan tasawuf  merupakan aspek yang paling mendalam dari dimensi yang batin terhadap wahyu yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W 
Tasawuf adalah kaedah atau cara yang terbaik untuk merealisasikan prinsip tauhid yang terkandung dalam ajaran Islam tersebut.  Oleh kerana itu, sebagai seorang yang Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. dan Rasul Nya, maka kemuncak dari keislaman dan keimanan tersebut akan dapat dilihat secara sehabis-habis universal oleh perlambangan terhadap ungkapan kalimah syahadah لا اله إلا الله محمد رسول الله .  Namun dalam hal ini, seperti yang di catatkan oleh sejarah, hanya ahli sufi dengan disiplin ilmu dan amalan tasawuf sahaja yang dapat merealisasikan rahsia dari tuntutan tauhid tersebut.  Merekalah yang mengetahui makna lafaz ini (tauhid) dengan pemahaman yang benar secara zahir dan batin. Atau dengan lain perkataan, dapat melihat Allah S.W.T. di mana-mana juga. 

Pada hakikatnya, keseluruhan dari inti pati amalan yang terkandung dalam ajaran tasawuf yang bersifat perjalanan kerohanian melalui disiplin tarekat itu sebenarnya mempunyai misi tersendiri untuk menyembuhkan manusia dari berbagai bentuk penyakit batiniah.  Dengan demikian manusia akan berada pada landasan yang benar untuk menuju ke martabat insan kamil.  Hanya dengan cara mencapai taraf kesempurnaan diri yang sebenar, barulah seseorang yang salik itu boleh menjadi suci dan bersih di sisi Tuhannya.  Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T dengan firman-Nya 
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِين
Maksudnya: "Dan orang  yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya  Kami akan memimpin mereka ke jalan    Kami (yang menjadikan  mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha memperbaiki amalannya. " (al-Ankabut: 69)

Agama Islam secara umumnya menjadi lengkap dengan adanya tiga perkara iaitu Islam, iman dan ihsan yang merupakan tiga rukun agama. Kedatangan Jibril ‘Alaihissalam menemui Nabi S.A.W dan seterusnya bertanyakan baginda tentang Islam, iman dan ihsan dalam peristiwa yang terkenal itu adalah bertujuan mengkhabarkan tentang rukun agama yang terdiri dari tiga perkara tersebut. Perkara ini dapat diperhatikan pada penjelasan Nabi S.A.W yang bermaksud “sesungguhnya dia itulah Jibril yang datang kepada kamu bagi mengajarkan kepada kamu agama kamu”.

Ketika Nabi S.A.W ditanya tentang Islam baginda menjelaskan bahawa ia adalah mengucap dua kalimat syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu. Apabila Nabi S.A.W ditanya tentang iman baginda menjelaskan bahawa ia adalah percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan percaya kepada ketentuan Allah sama ada baik atau buruk. Apabila Nabi S.A.W ditanya pula tentang ihsan baginda menjelaskan bahawa ia adalah beribadat kepada Allah seolah-olah melihat-Nya sekiranya tidak melihat-Nya maka Allah itu melihat hamba-Nya. Keseluruhan rukun Islam adalah merujuk kepada amalan lahiriah manusia sedangkan rukun iman pula merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan hati, manakala ihsan pula merujuk kepada penyaksian hati yang membawa kepada pencapaian hakikat keikhlasan.

Pengamalan terhadap rukun Islam diistilahkan sebagai syariat atau makam Islam. Manakala peningkatan tahap kebersihan dan kejernihan rohani yang dicapai hasil daripada pengamalan terhadap syariat itu diistilahkan sebagai tarekat atau makam Iman. Tarekat itu pula membawa kepada sesuatu yang diistilahkan sebagai hakikat atau makam Ihsan. Hakikat itu secara keseluruhannya bermaksud pencapaian dan penyaksian rohani terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadat. Hakikat atau makam Ihsan inilah merupakan inti pati tasawuf (Prof. H.A. Rivay, 1996).

Dengan kata lain syariat atau makam Islam itu ialah ibadat kepada Allah yang berasaskan keyakinan terhadap-Nya semata-mata. Tarekat atau makam Iman itu ialah gerakan rohani iaitu peningkatan tahap kehadiran hati dan kebersihan batin yang berlaku di sebalik ibadat tersebut. Manakala hakikat, makam Ihsan atau tasawuf itu pula ialah penyaksian hati terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah sehingga fana´ dalam penyaksian tersebut. Hakikat adalah hasil atau natijah yang diperoleh daripada tarekat dan tarekat itu pula adalah natijah yang didapati daripada syariat.

Ahli tasawuf menggunakan istilah yang berbagai-bagai dalam menggambarkan ketiga-tiga perkara ini. Antaranya, ada yang menjelaskan syariat itu sebagai `ibadah, tarekat itu `ubudiyyah dan hakikat itu `ubudah. Ada juga yang menggambarkan syariat itu sebagai khidmah (praktik atau amali), tarekat itu qurbah (pendekatan diri) dan hakikat itu wuslah (pencapaian rohani). Ada juga yang menyebut syariat itu sebagai ibadat, tarekat itu hudhur (kehadiran hati) dan hakikat itu syuhud (penyaksian rohani). Apa yang jelas, kepelbagaian istilah tersebut adalah merujuk kepada perkara yang sama. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa tasawuf ialah makam Ihsan yang merupakan hasil daripada perlaksanaan terhadap syariat secara yang lebih murni, teratur, terfokus, terpimpin dan istiqamah yang menatijahkan peningkatan tahap kejernihan rohani iaitu apa yang disebut sebagai tarekat.

1.1              Pandangan Ibnu Khaldun Tentang Tasawuf
Mengikut Ibnu Khaldun: Tasawuf itu adalah tergolong dalam ilmu-ilmu syariat yang timbul kemudian di dalam Islam. Asalnya ialah bahawa perjalanan golongan ahli tasawuf ini tetap ada pada ahli salaf, pada para sahabat, para tabiin, dan pada golongan selepasnya, iaitu perjalanan ahli hak dan hidayah.   Asalnya berupa penumpuan kepada ibadah, inqita’ ilallah, menepikan keindahan dan perhiasan dunia (yang melalaikan), zuhud daripada kelazatan, keseronokan dan kedudukan, dan juga pengasingan diri dalam khalwat dan ibadah (Abu Urwah, 1989).

Dengan pengertian seperti itu, tasawuf harus dipandang daripada segi makna dan isi kandungan pengajarannya tanpa melihat kepada nama-nama yang diberikan.   Makna tasawuf meliputi apa yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahabat, tabiin dan pengikut kemudiannya yang berpandukan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah.  Tasawuf sebagai satu disiplin ilmu samalah dengan kedudukan ilmu yang lain seperti ulum Qur’an, Ulum Hadis, Usul Fiqh dan lain-lain. Ilmu-ilmu ini disusun selepas zaman Nabi S.A.W untuk memudahkan umat Islam memahami dan beramal dengannya. Manakala lahirnya istilah tarekat atau jalan yang berkaitan dengan tasawuf adalah sama seperti lahirnya aliran ilmu kalam dan mazhab. Tarekat-tarekat ini diasaskan oleh para ulamak bertujuan mewujudkan sistem pembinaan akhlak dan adab serta beberapa amalan rohani bersumberkan Al-Qur’an dan As-Sunah (Abu Urwah, 1989)

1.2              Pandangan Mufti Mesir, Prof. Dr. Ali Jum’ah Mengenai Tarekat Sufi dan Tasawuf
Mufti Mesir, Prof. Dr. Ali Jum’ah (2008) apabila ditanyakan mengenai tarekat sufi dan tasawuf. Maka beliau telah mengatakan begini: Tasawuf adalah kaedah pendidikan kerohanian dan perilaku yang membentuk seorang Muslim hingga mencapai tingkat ihsan, yang didefinisikan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud : "Bahawa kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu."  Jadi tasawuf adalah program pendidikan yang menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa manusia daripada seluruh penyakit-penyakitnya yang menjauhkan manusia dari Allah S.W.T dan membetulkan kelakuan dan perilaku yang menyimpang dalam segala hal yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah S.W.T, hubungan sesama manusia dan dengan ego diri. Tarekat tasawuf adalah lembaga yang melaksanakan pembersihan jiwa dan pelurusan perilaku tersebut. Manakala syeikh adalah khadim atau ustaz yang bertugas melakukan hal itu bersama penuntut atau murid.  Jiwa manusia pada tabiatnya merupakan tempat yang di dalamnya terhimpun pelbagai penyakit-penyakit seperti sombong, ujub (bangga diri/bongkak), angkuh, ego, kikir (kedekut), marah, riak (menunjuk-nunjuk), dorongan maksiat dan derhaka, hasrat memuaskan diri dan membalas dendam, benci, dengki, menipu, tamak, dan loba.  Allah S.W.T berfirman dalam mengungkapkan perkataan isteri al Aziz (penguasa Mesir) yang bererti : “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), sebab sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “ (Surah Yusuf:53).   Oleh itu, orang-orang yang awal daripada para pendahulu kita bersikap arif dan cerdas memandang pentingnya pendidikan akhlaq dan membersihkan peribadi daripada penyakit-penyakit ego agar dapat berjalan selaras dengan masyarakat dan beruntung di dalam melangkah menuju Tuhannya.

Mengikut Dr. Ali lagi, tarekat tasawuf mesti dilengkapi dengan beberapa syarat antara lain:   Pertama: Berpegang teguh dengan al-Qur’an dan Sunnah sebab tarekat tasawuf itu adalah kaedah al-Qur’an dan Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi al-Qur’an dan Sunnah, maka bukan bahagian dari tarekat, bahkan tarekat sendiri melarang dan menolak perkara itu.  Kedua : Tarekat tidak mengajarkan ajaran-ajaran yang terpisah dari syariat, tetapi ke arah mempersiapkan manusia menuju kepada intinya. Tasawuf mempunyai tiga fenomena pokok yang seluruhnya dilandaskan di atas ajaran al-Qur’an al Karim iaitu :
  • Menumpukan perhatian terhadap keadaan jiwa, mengawasinya dan membersihkannya dari unsur tercela. Allah S.W.T berfirman yang bererti : "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya, rugilah bagi orang-orang yang mengotorinya (jiwa itu)." (Surah asy-Syams :7-10)

    • Banyak berzikir dan mengingat Allah S.W.T. Allah S.W.T berfirman yang bererti : "Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikirlah sebanyak-banyaknya".(Surah al-Ahzab : 41).  

                  Nabi S.A.W bersabda yang bererti:"Sentiasa basahkan lidahmu dalam berzikir mengingati Allah S.W.T”(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah, Hibban dan al-Hakim)

      • Zuhud terhadap dunia dan tidak bergantung dengannya, dan cinta terhadap akhirat. Allah S.W.T berfirman yang bererti : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka (kesenangan-kesenangan duniawi yang bersifat sementara dan tidaklah kekal). Dan, sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am :32).
      Adapun tentang syeikh yang menerangkan secara terperinci mengenai pelajaran zikir-zikir kepada para murid; membantu mereka di dalam membersihkan karenah-karenah (perilaku) jiwa dan sifat tercela dan menyembuhkan hati mereka dari penyakit-penyakit , maka dia adalah seorang 'pelayan' atau ustaz yang dapat melihat kaedah mana yang lebih sesuai dengan penyakit hati pada peribadi diri, keadaan tertentu, dengan murid atau penuntut.

      Berdalilkan hadis, Dr. Ali (2008) menyatakan: Adalah merupakan Sunnah Rasulullah S.A.W memberikan nasihat kepada setiap manusia tentang apa yang mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T sesuai dengan keadaan dan konsep jiwa yang berbeza-beza. Seseorang datang kepada Baginda S.A.W bertanya : "Wahai Rasulallah, sampaikan kepada-ku tentang perkara yang menjauhkan diriku dari kemarahan Allah." Nabi S.A.W menjawab, "Janganlah marah!" (Hadis Riwayat Bukhari dan Tirmidzi).

      Seorang lelaki yang lain lagi datang kepada Rasulullah S.A.W dan berkata: "Sampaikan kepada-ku tentang perkara yang aku jadikan pegangan.” Nabi S.A.W berkata kepadanya, "Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim).

      Demikian juga, kehidupan para Sahabat RA (semoga Allah S.W.T meredai mereka). Di antara mereka ada yang memperbanyakkan solat malam, ada yang memperbanyakkan membaca al-Qur’an , ada yang memperbanyakkan jihad, ada yang memperbanyakkan zikir dan ada yang memperbanyakkan sedekah.   Ini semua tidak bererti mesti meninggalkan urusan dunia. Ada ibadah tertentu, yang diperbanyakkan oleh orang yang menempuh jalan kepada Allah S.W.T. Di atas penjagaan dan dasar itu, kita juga menyaksikan pintu-pintu syurga pun banyak dan bermacam-macam. Akan tetapi, pada akhirnya semua itu hanya tempat masuk yang banyak dan berbeza-beza, sedangkan syurga itu sendiri satu :
      Nabi S.A.W bersabda yang bererti: "Bagi setiap ahli (orang yang menekuni) suatu amal ada pintu dari pintu-pintu syurga yang dinamakan dengan amal tersebut. Dan bagi orang-orang yang berpuasa ada pintunya yang mereka akan dipanggil dari sana. Pintu itu disebut ar-Rayyan." (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim-teks hadis daripada riwayat Imam Ahmad RA)

      Demikian juga tarekat-tarekat menjadi banyak dan bermacam-macam pintu-pintu masuk dan kaedah-kaedah sesuai dengan syeikh dan muridnya sendiri. Di antara mereka ada yang lebih mengutamakan dan memperhatikan puasa, dan ada yang mengutamakan al-Qur’an lebih banyak dengan tanpa mengabaikan puasa. Begitulah seterusnya.

      Keterangan yang telah dikemukakan di atas menjelaskan tentang tasawuf yang sebenar, tarekat yang sahih, dan syeikh yang teguh dengan syariat dan sunnah. Kita sedia maklum mengenai tarekat itu sendiri ada bermacam-macam jenis tarekat atas beberapa faktor yang mendorong disebabkan oleh bermacam-macam corak pendidikan dan tarbiah serta berbeza-beza kaedah dalam usaha untuk sampai ke arah tujuan. Namun, semuanya adalah dalam satu tujuan, sebab Allah S.W.T  yang menjadi tujuan semuanya.

      Di sini kami tekankan bahawa keterangan tersebut tidak menyesuaikan kebanyakan orang-orang yang menghukum dirinya bertasawuf,  iaitu mereka yang mengotori wajah tasawuf daripada kelompok orang-orang yang tidak ada agama dan tidak memiliki kesolehan; orang-orang yang berjoget-joget pada acara-acara peringatan dan maulid-maulid dan mereka melakukan perbuatan orang-orang yang jadzab (hilang kesedaran) dan pengamal perkara khurafat. Ini semuanya bukan tasawuf dan sama sekali tidak tergolong daripada tarekat tasawuf.

      Sesungguhnya tasawuf yang kami ajak untuk mengikutinya adalah tidak ada hubungannya dengan fenomena-fenomena negatif dan buruk yang dilihat kebanyakan orang. Tidak boleh bagi kita mengenal tasawuf dan menarik kesimpulan tentangnya daripada sebahagian orang-orang yang bodoh (jahil mengenai tasawuf) yang mengaku tasawuf. Akan tetapi, semestinya kita bertanya kepada para ulamak yang memberikan pujian terhadap tasawuf sehingga kita mengerti sebab pujian mereka terhadapnya (tasawuf).

      Terakhir kami berikan jawapan kepada orang-orang yang bertanya, "Kenapa kita tidak belajar sahaja etika-etika (adab-adab) perilaku dan pembersihan jiwa itu dari Al-Qur’an dan Sunnah secara langsung?."

      Jawapan kami: Ini adalah ungkapan yang pada zahirnya mengandungi rahmat, sedangkan di sisi batinnya mengandung azab. Sebab, sesungguhnya kita tidak mempelajari rukun-rukun solat, perkara-perkara sunat dan perkara-perkara makruh di dalamnya dengan membaca al-Qur’an dan Sunnah. Akan tetapi, kita mempelajari semua itu dari bidang ilmu yang disebut ilmu fikah.

      Para ahli fikah telah mengarang buku-buku dan menyimpulkan seluruh hukum-hukum itu dari al-Qur’an dan Sunnah. Lalu bagaimana seandainya muncul di tengah-tengah kita orang yang mengatakan bahawa kita harus mempelajari fikah dan hukum hakam agama daripada al-Qur’an dan Sunnah secara langsung? Sedangkan kamu tidak akan menjumpai seorang alim pun yang mempelajari fikah dari al-Qur’an dan Sunnah secara langsung.

      Demikian juga, terdapat perkara-perkara yang tidak disebutkan di dalam al-Qur’an dan Sunnah. Perkara-perkara itu mesti dipelajari dari syeikh dengan cara bertalaqi; tidak layak dengan mencukupkan diri hanya dengan al-Qur’an seperti ilmu Tajwid. Sedangkan, di dalam perkara-perkara itu harus kukuh mengikuti istilah-istilah khusus dengan kefahaman ilmunya. Misalnya mereka mengatakan: "Mad Lazim itu enam harakat." Siapakah yang menjadikan mad itu sebagai Mad Lazim? Mereka adalah ulamak-ulamak dalam bidang ini. Begitu juga ilmu tasawuf adalah bidang ilmu yang diletakkan oleh para ulamak tasawuf sejak era Junayd al-Baghdadi rahimahullah dari abad ke 4 hingga masa kita sekarang.

      Manakala kehidupan zaman yang sudah rosak sehingga moral pun turut menjadi rosak, dengan sebahagian tarekat-tarekat tasawuf juga rosak, sehingga mereka bergantung dengan fenomena-fenomena yang bertentangan dengan agama Allah S.W.T. Allah S.W.T akan membela tasawuf dan para pengikutnya; Dia akan memelihara mereka dengan kuasa-Nya. Allah S.W.T berfirman yang bererti: "Sesungguhnya Allah S.W.T membela orang-orang yang telah beriman. Dan, Allah S.W.T tidak menyukai tiap-tiap orang yang mengkhianati lagi mengingkari nikmat" (Surah al-Hajj:38)

      Semoga apa yang telah kami kemukakan cukup untuk menjelaskan tentang makna tasawuf, tarekat, syeikh dan sebab wujudnya bermacam jenis tarekat. Demikian juga, tentang persoalan kenapa kita mempelajari perilaku dan pembersihan akhlak dari bidang ilmu yang dinamakan tasawuf itu; kenapa kita mengambilnya dari para syeikh dan tidak secara langsung mengambilnya dari Al-Qur’an dan Sunnah. Kita memohon kepada Allah S.W.T semoga membuka mata kita terhadap perkara-perkara agama kita dan Allah S.W.T Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.

      Demikianlah penjelasan yang panjang oleh Dr. Ali mengenai tasawuf dan tarekat menurut pandangan Islam (Prof Dr Ali, 2008).


      1.3              Pendapat Imam 4 Mazhab Tentang Tasawuf
      Imam Malik ibn Anas merupakan salah seorang dari kalangan Imam Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Beliau hidup pada kurun ke-2 dan wafat pada tahun 179 Hijrah. Beliau berkata: Sesiapa yang belajar ilmu fikah tetapi tidak belajar ilmu tasawuf, maka ia adalah fasik. Sesiapa yang belajar ilmu tasawuf tetapi tidak belajar ilmu fikah maka ia adalah zindik, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya, maka ia adalah ahli hakikat (Shaikh Abdul Qadir, 2010)

      Orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai adab dan keikhlasan, kadang kala akan menyebabkan ia menjadi fasiq. Mempelajari adab dan banyak berzikir tanpa mengetahui ilmu, kadang kala akan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir zindik. Manakala orang yang menghimpunkan di antara ilmu dan adab serta zikir-zikir sahajalah, yang mengetahui hakikat agama ini.

      Sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Syafie:   Aku telah mendampingi ahli sufi, maka aku telah mendapat faedah daripada mereka dua kalimah. Mereka menyatakan: "Waktu itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.  Sekiranya diri kamu tidak disibukkan dengan perkara kebenaran, maka ia akan menyibukkan kamu dengan perkara-perkara yang batil.” (Shaikh Abdul Qadir, 2010 dan dalam Ta’yid al-Haqiqah oleh Imam Suyuti, hal.15)

      Imam Ahmad ibn Hanbal mewasiatkan kepada anaknya, Abdullah dengan berkata: "Wahai anakku! Hendaklah kamu duduk bersama kaum ini (ahli sufi) kerana mereka telah melebihi kami dengan banyaknya ilmu, muraqabah, khasyah (takut kepada Allah), zuhud dan cita-cita(himmah) tinggi.” (Muhammad Fuad, 2009 dan dalam Tanwir al-Qulub oleh Syeikh Amin al-Kurdi, hal.405).

      Para ulamak yang berkecimpung dalam arena kesufian adalah ramai. Di antaranya, Imam al-Ghazali, Imam Abu Nu'aim, al-Hafiz Ibn al-Solah, Imam al-'Izuddin ibn Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam al-Subki dan lain-lain.  Bahkan Abu Nu'aim menyebut dalam kitab al-Hilyah, bahawa imam ahli sufi juga terdiri daripada imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal.   Cukuplah mereka sebagai ikutan (qudwah) kaum Muslimin sama ada di timur mahu pun di barat dan pengikut mereka pula adalah dari kalangan Ahli Sunnah wal Jama'ah.

      ________________
      "Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Adalah Untuk Allah Tuhan Semesta Alam"

      0 Responses to “Tasawuf Menurut Pandangan Islam”

      Post a Comment