Membangun kekuatan dakwah yang mutlak memerlukan perajurit yang memiliki visi perjuangan yang jelas kerana kefahaman dan persepsi seseorang sangat memberi pengaruh kepada sikapnya. Asas kepada sebuah bangunan dakwah yang kukuh ada tiga (3) iaitu:
1. Kefahaman terhadap visi perjuangan.
2. Kekuatan niat yang mengiringinya.
3. Kekuatan amal yang dilaksanakan.
Ketiga-tiga asas di atas akan memberi aliran semangat yang tidak pernah kenal lemah bagi para pendakwah.
KEFAHAMAN TERHADAP VISI PERJUANGAN
Tanpa memiliki fikrah yang jelas, dakwah akan:
1. Kehilangan ‘bashirah’.
2. Miskin ketajaman langkah.
3. Mudah terjebak oleh suasana yang menipu.
4. Dilanda fitnah.
Perjalanan dakwah yang panjang, diikuti oleh karakteristik fasa yang dilaluinya mestilah disedari oleh setiap pendakwah. Tidak sedikit orang yang gugur di jalan dakwah kerana tidak faham dengan langkah-langkah dan strategi umum dakwah di mana:
1. Wujud ketidaksabaran dan sikap tergesa-gesa yang mendorong seseorang untuk memetik buahnya sebelum masak.
2. Ada juga sebaliknya iaitu yang justeru seolah-olah terseret dan tidak mampu mengikuti sifat dinamik dakwah.
3. Kurangnya kreativiti, inovasi, apalagi kerja kuat dalam kerja dakwah. Kadangkala, ada yang terlampau ‘jumud’ sehingga sentiasa menunggu untuk diperintah, bagaikan gong yang tidak akan berbunyi jika tidak dipukul.
Selain memahami ‘khittah’ (perancangan) dakwah, para pendakwah juga mesti memahami dengan jelas apa sahaja rintangan dan halangan yang akan dihadapi dalam dakwah. Perjuangan dakwah mempunyai khazanah pengalaman yang berharga di mana selain jalannya yang panjang, ianya juga bukan jalan yang ditabur dengan bunga dan intan berlian bahkan ianya umpama hutan belantara yang penuh dengan duri dan binatang buas. Selain itu, seorang pendakwah juga mestilah memahami petunjuk-petunjuk atau ‘manhaj’ dakwah. Apabila kefahaman tentang fikrah dakwah ini telah dimiliki, maka kewajiban lain adalah menjaga agar kefahaman yang baik itu tetap stabil. Ertinya, dalam menghadapi berbagai persoalan, seorang pendakwah tidak akan terjerumus kepada pendapat individu yang bertentangan dengan ‘grand design’ yang telah ditetapkan oleh perancangan dakwah.
Namun demikian, kelurusan visi dakwah juga mesti terus diasah melalui interaksi yang lebih mendalam dengan komuniti dakwah. Informasi sekitar langkah dan urusan dakwah seharusnya diterima melalui alur dan sumber yang jelas. Dalam sesebuah organisasi dakwah, ada saluran informasi yang betul di mana ini adalah salah satu pelajaran dari firman Allah swt: “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Padahal kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya dapat mengetahui dari mereka.”(QS An-Nisaa’: 83)
Sikap ini penting dijaga agar bangunan dakwah tidak hancur berantakan. Seorang penyair pernah bermadah: "Jika ada seribu pembangun, seorang penghancur sahaja sudah cukup. Bagaimana dengan seorang pembangun apabila dibelakangnya ada seribu penghancur?”
KEKUATAN NIAT YANG MENGIRINGI
Ikhlas niat adalah sebuah kekuatan yang hebat bagi perjuangan para pendakwah. Ia berjuang hanya mengharapkan apa yang ada disisi Rabbnya bukan selain itu kerana jika tidak, ia pasti akan kecewa dan tidak akan mendapat hasilnya. Seorang pendakwah mestilah sentiasa sensitif dalam niatnya agar jangan sampai keikhlasan hati dalam berdakwah dikotori oleh:
1. Kekuasaan.
2. Harta benda.
3. Lawan jenis.
Keikhlasan niat mestilah dijaga dari sebelum melakukan sesuatu sehinggalah setelah melakukan perbuatan tersebut di mana seluruh fokus kehidupannya hanyalah untuk Allah swt kerana Allah swt hanya menerima amal sesiapa yang menghajatkan diri kepadaNya semata-mata dan Allah swt tidak memerlukan sekutu apapun dalam setiap perbuatan manusia. Orang yang faham mestilah sentiasa ikhlas terhadap kefahaman ilmunya sedangkan orang yang ikhlas mestilah faham dalam mengamalkan apa yang difahaminya sehingga akan lahirlah amal yang ‘hebat’ kerana ditegakkan oleh kefahaman dan ikhlas. Ketika seseorang mempersembahkan sesuatu hanya khusus bagi orang yang dicintainya, ia tentulah akan mempersembahkan yang terbaik dan paling istimewa untuknya; bukan yang biasa-biasa sahaja, apalagi yang berkualiti buruk.
Demikian pula orang yang ikhlas yang mempersembahkan amalnya hanya untuk Allah, Penciptanya di mana ia hanya akan mempersembahkan amalan terbaik dan paling istimewa untuk-Nya. Akhirnya, ikhlas sesungguhnya akan membuahkan ihsan, yakni melakukan amalan terbaik sesuai dengan yang apa yang Allah kehendaki. Jika dikaitkan dengan aktiviti dakwah, dakwah yang ikhlas adalah dakwah:
1. Yang berkualiti.
2. Yang terbaik.
3. Yang optimum.
Seorang pendakwah yang ikhlas akan sentiasa melakukan dakwah yang berkualiti, yang terbaik dan optimum untuk dipersembahkan kepadaNya. Ringkasnya, ia akan memiliki ihsan dalam dakwahnya. Sebaliknya, pendakwah yang tidak ikhlas atau kurang ikhlas, amal dakwahnya hanya ‘biasa-biasa’ sahaja, seolah-olah amal dakwahnya bukan kerana Allah. Seorang ulama’ pernah menulis beberapa ciri pendakwah yang tidak atau kurang ikhlas dalam dakwahnya seperti berikut:
1. Hanya memberikan waktu yang tersisa bagi dakwahnya.
2. Bermalas-malasan dalam menunaikan amanah dakwahnya.
3. Sesekali berdakwah, tetapi seringkali meninggalkan dakwah.
4. Jika ada ruang dan kesempatan, ia akan berusaha untuk melemparkan beban kewajiban dakwah kepada orang lain lalu berlepas diri dari dakwah.
5. Dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam merancang dan melaksanakan amanah dakwah serta tidak berusaha untuk menghasilkan dakwah yang terbaik dan optimum.
6. Mudah putus asa, bahkan gugur di jalan dakwah ketika dihadapkan dengan berbagai rintangan dakwah.
Dengan merenungkan keenam ciri-ciri di atas, seseorang yang mengaku dirinya sebagai pendakwah tentulah boleh menilai apakah dakwahnya merupakan dakwah yang ikhlas atau tidak. Dengan itu, ia akan dapat memastikan apakah selama ini amalan dakwahnya diterima oleh Allah swt ataupun tidak. Jika tidak, betapa ruginya kerana Allah dan RasulNya telah menempatkan dakwah pada kedudukan yang sangat terpuji. Lebih dari itu, dakwah adalah ‘fardhu’ bagi kaum muslimin. Bahkan dakwah adalah kewajiban yang mesti dilakukan dan tidak boleh diganti dengan sesuatu ‘kafarah’ apapun jika ditinggalkan. Adalah wajar jika para Nabi dan para Rasul Allah menjadikan dakwah sebagai teras hidup mereka. Diceritakan bahwa Nabi Nuh as berdakwah tidak kurang dari 950 tahun dan usaha itu ia lakukan siang dan malam. Demikian juga yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah saw selama 23 tahun sejak baginda diangkat sebagai Utusan Allah. Ini sekaligus menunjukkan betapa ikhlasnya para Nabi dan Rasul Allah dalam melaksanakan aktiviti dakwah mereka. Jika tidak mana mungkin mereka mempertaruhkan usia, tenaga, fikiran, harta bahkan nyawa mereka di jalan dakwah.
KEKUATAN AMAL YANG DILAKSANAKAN
Amal yang benar adalah hasil dari ilmu yang benar dan keikhlasan niat. Hendaknya seorang pendakwah menjaga sikap istiqamah dan keseimbangan dalam beramal. Amal yang sedikit lebih baik daripada amal yang banyak tapi tidak berterusan dan ia juga mesti seimbang serta sekata dalam perlaksanaan amal-amal Islam serta tidak mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya. Selain itu seorang pendakwah mestilah mempunyai kesungguhan dalam amal dakwahnya di mana ia memiliki kerelaan untuk bekerja kuat serta sanggup menderita demi sesuatu yang diyakininya sebagai kebenaran.
Manusia yang memiliki akal akan mengerti tentang berharganya cincin berlian di mana mereka sanggup berkelahi untuk merebutkannya tetapi anjing yang berada dekat dengan cincin berlian itu tidak akan pernah menghargai cincin berlian itu sebaliknya ia akan terus berlari mengejar tulang yang ada di situ lalu mencari tempat untuk memuaskan kerakusannya. Apabila kita memandang sesuatu benda bernilai itu sangat berharga, maka kita akan rela berkorban dan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk:
a. Mendapatkannya.
b. Menjaganya.
c. Mempertahankannya.
Sebaliknya, jika kita memandang sesuatu benda tersebut tidak cukup berharga untuk kita perjuangkan, maka jangan harap kita akan tergerak untuk berkorban dan berjuang dengan penuh kesungguhan. Hingga pada akhirnya kesungguhan dalam dakwah memang bergantung kepada:
1. Bagaimana persepsi pendakwah terhadap dakwah itu sendiri.
2. Seberapa pentingnya dakwah tersebut bagi pendakwah itu.
3. Seberapa sesuainya dakwah untuk diperjuangkan dengan penuh kesungguhan.
Namun di sana ada masa-masanya ketika komitmen seorang pendakwah dibenturkan dengan berbagai kesukaran dan masalah maka, itulah saatnya untuk mengetahui akan kualiti kesungguhannya.
KESEDARAN AKAN BEBAN DAN AMANAH DAKWAH
Dalam banyak kegiatan dakwah, ketika kita melakukan penilaian terhadap setiap kegiatan dalam organisasi kita, ada satu masalah klasik yang sentiasa menghantui kita dalam setiap hasil penilaian tersebut iaitu masalah sumber tenaga pendakwah di mana ia bukanlah sebuah masalah, namun ia justeru merupakan fitrah dari dakwah itu sendiri.
Ini tidaklah bermaksud untuk mencari pembenaran ke atas kekurangan yang ada pada kerja-kerja dakwah, tapi untuk mempertegaskan bahwa dalam sejarah perjalanan dakwah, jumlah ‘rijal’ yang menyeru kepada kebaikan dan kebenaran sentiasa jauh lebih sedikit dari orang-orang yang memerlukan dan harus ‘diselamatkan’ oleh dakwah. Keadaan ini kerap kali meletakkan kita pada posisi yang tidak mempunyai pilihan lain atau perlu menetapkan pilihan yang serba sukar. Begitu banyak amanah yang harus dipikul sementara sumber tenaga manusia begitu terbatas samada:
a. Jumlahnya yang tidak mencukupi.
atau
b. Kualitinya yang tidak merata dan seimbang.
Dalam konteks ini, pengertian amanah yang ‘overload’ pada seorang pendakwah menjadi persoalan yang sering diperdebatkan. Bukankah dakwah itu sendiri memang berat? Bukankah sudah menjadi kepastian bahwa bagi seorang pendakwah, bebannya lebih besar dari kebanyakan orang sehingga sudah tidak pada tempatnya lagi jika seorang pendakwah masih mengharapkan waktu senggang dan kesenangan-kesenangan seperti orang-orang lain yang tidak memikul amanah dakwah?
Kesenangan dan hiburan bagi pendakwah hanyalah untuk memulihkan stamina agar dapat terus melangkah di jalan yang panjang ini dan perasaan kebersamaan para pendakwah adalah hiburan dan kesenangan bagi mereka samada kebersamaan dalam menanggung beban, tertawa bersama dan menangis bersama di mana ianya adalah sebahagian dari kebahagiaan di atas jalan dakwah.
Kesungguhan seorang pendakwah akan mendorongnya untuk sensitif dan responsif terhadap permasalahan dakwah. Ia akan merasakan bahwa permasalahan dakwah adalah juga masalah peribadinya, kerana ia sangat menyedari bahwa setiap orang bertanggungjawab atas dirinya sendiri. Allah azza wa jalla akan meminta pertanggungjawaban dari setiap peribadi atas semua yang dilakukan dan yang tidak dilakukannya. Amanah-amanah yang merupakan sebahagian dari projek dakwah dan beban organisasi, ketika tidak dilaksanakan dengan baik atau terabai, akan menjadi tanggungjawab dari setiap individu pendakwah sebagai sebahagian dari organisasi itu sendiri.
Ketika Bani Israil diperintahkan untuk tidak mencari ikan di hari Sabtu, sebahagian dari mereka cuba untuk melanggar perintah ini dengan memasang perangkap ikan di hari Jumaat dan mengambil hasil tangkapannya pada hari Ahad. Sebahagian yang lain tetap mentaati perintah Allah, memberikan peringatan kepada saudara-saudaranya yang melanggar namun peringatan mereka diremehkan dan bahkan dikatakan bahwa pelanggaran itu bukanlah urusan mereka. Orang-orang yang memberikan peringatan ini, mengatakan bahwa mereka memberikan ‘taushiyah’ itu agar mereka mempunyai hujjah atau bukti di hadapan Allah bahwa mereka telah melakukan sesuatu semampu mungkin dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, walaupun hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan.
Kisah tersebut mengajarkan kepada kita bahwa kewajiban berdakwah tidaklah gugur hanya kerana mad’u kita menolak dakwah ini. Ia tidak pula gugur kerana saudara-saudara kita meninggalkan dakwah, melalaikan amanah-amanahnya dan meninggalkan kita berjuang sendirian kerana masalah dakwah adalah masalah pertanggungjawaban kita seorang diri di hadapan Allah sehingga kita mempunyai hujjah dihadapan Allah bahwa kita telah melakukan yang terbaik yang kita boleh dan biarkanlah Allah, para rasul dan orang-orang yang beriman yang menilai kerja kuat kita.
Ada satu ungkapan yang indah untuk direnungkan: “Organsisai itu terdiri dari 1. Material. 2. Sumber Tenaga Manusia. 3. Nilai.
Jika nilai menjadi orbit material dan sumber tenaga manusia maka organisasi itu sihat.
Jika manusia yang jadi orbit nilai dan material, maka organisasi itu sudah sakit.
Jika material yang yang jadi orbit manusia dan nilai, maka organisasi itu mati”.
Ya, Allah tambahkanlah untuk kami keikhlasan niat, kedalaman ilmu, kelapangan hati, kebersihan jiwa, kejernihan fikiran, lautan kesabaran, samudera kelembutan serta indahnya cinta dan kasih sayang dalam ukhuwah dalam kami memikul amanah dakwah dan tarbiyah di jalanMu sehingga kami mendapat keridhaanMu di akhirat nanti.
Ameen Ya Rabbal Alameen
No comments:
Post a Comment