2- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (أبو داود)
2 - Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? " Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dan mulutku ini melainkan yang benar. "
(Abu Daud)
Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa:
(1) Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda.
(2) Baginda mengizinkan supaya Hadis-hadis ini ditulis.
(3) Segala yang disampaikan oleh Baginda adalah benar.
(4) Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalahanggapan yang tidak berasas.
Huraiannya:
Pertama - Penulisan Hadis-hadis Nabi.
Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah Taala membawa syariat Islam kepada seluruhumat manusia, Baginda adalah sebagai seorang mahaguru yang diberi tugas mengajar, maka segala yang terbit dari Baginda, sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pun taqrirnya (ketiadaan larangannya)
mengenai perkara-perkara syariat adalah semuanya berupa pelajaran dan tiap-tiappelajaran itu ada sahaja orang yang menerimanya.
Sebahagian besar dari sahabat-sahabat Baginda menerima hadis-hadis itu dengan menghafaznya dalam dada masing-masing. Dalam pada itu ada juga sahabat-sahabat yang pandai menulis, mereka tulis hadis-hadis itu setelah menerimanya dan Baginda. Tetapi walau bagaimanapun, bagi sahabat-sahabat Nabi, cara menghafaz hadis-hadis itu lebih teguh dari cara menulisnya, danlebih terkawal dari kesilapan, kerana tabiat semula jadi orang-orang Arab itukuat ingatan, tambahan pula mereka bersifat adil disebabkan kekuatan imannya.
Dari usaha sahabat-sahabat Baginda dalam hal penulisan hadis-hadis itu, maka banyaklah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang telah terkumpul dalam tulisan pada masa hayat Baginda.
Mengenal masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda sila lihat lampiran (A).
Kedua - Baginda mengizinkan supaya hadis-hadisnya ditulis.
Penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. itu bukanlah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda secara rahsia, tetapi dilakukan setelah merekamendapat kebenaran dari Baginda. Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat keadilan mereka, tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubung dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. khasnya dan dengan perkara-perkara agama amnya, dengan tidak mendapat kebenaran dari Baginda.
Ketiga - Segala yang disampaikan oleh Baginda dari Allah Taalatetap benar.
Apa juga yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak harus diragu-ragukan, kerana semuanya benar dan wajib diturut serta dijadikan pelajaran oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifatnya seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk menyampaikan hukum-hukum Islam kepada umat manusia, sudah tentu dipeliharanya dari perkara-perkara yang boleh menghalangi tugasnya dan yang boleh merosakkan apa yang hendak disampaikannya itu.
Keempat - Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah tidak benar.
Ada anggapan - dari pihak musuh-musuh Islam - bahawa apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. itu tak boleh dipegang dan tak boleh ditulis semuanya, kerana Baginda, kata mereka, ada sifat-sifat yang boleh jadi tidak mestibetul segala yang diterangkan, seperti perasaan marah dan perasaan suka, sedang perasaan-perasaan ini kerap kali dapat mempengaruhi jiwa seseorang hingga tergelincir dari jalan yang betul.
Anggapan yang demikian telah timbul pada masa hayat Baginda lagi, dan Baginda sendiri telah menerangkan tentang salahnya anggapan itu, dengan menyuruh menulis apa yang Baginda sampaikan.
Anggapan yang nyata salahnya itu adalah secara langsung menyentuh kedudukan kerasulan Baginda, kerana sebarang keraguan tentang kebenaran kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. bermakna ragu-ragu terhadap kerasulan Baginda.
Ada juga anggapan bahawa kesilapan berlaku pada penyampaian Rasulullah s.a.w. dengan alasan Baginda pernah lupa.
Benar, Baginda pernah lupa, tetapi dengan itu tidak boleh difaham bahawa Baginda boleh berlaku lupa pada segala perkara yang hendak disampaikannya. Lupa yang pernah terjadi ialah lupa yang diperintahkan Baginda melakukannya untukmenimbulkan sesuatu hukum, seperti lupa Baginda dalam sembahyang darimembaca "Tahiyyat Awal" lalu menerbitkan hukum "Sujud Sahwi" secara amali.
Sayugia diingat, bahawa perkara yang tidak harus Rasulullah s.a.w. berlaku silap padanya ialah perkara-perkara yang dibawanya dari Allah Taala. Ada pun perkara-perkara keduniaan, atau pun perkara-perkara kehidupan sehari-hari, boleh jadi Baginda berlaku silap padanya dan boleh jadi Baginda tidak mengetahuinya, sebagaimana Baginda sendiri pernah bersabda, maksudnya: "Kamu lebihmengetahui mengenai perkara-perkara keduniaan kamu."
"Perkara-perkara keduniaan" itu ialah perkara-perkara yang dapat diketahui oleh manusia dengan kajian sendiri, dengan tidak berdasarkan wahyu. Mengenai perkara-perkara yang demikian, terpulanglah kepada seseorang membuat kajian sendiri, atau mempelajari sendiri dengan apa cara dan sejauh mana pun, asalkan tidak bertentang dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang telah sabit.
Tentang sabda Baginda: "Kamu lebih mengetahui mengenal perkara perkara keduniaan kamu" itu - maka itu adalah untuk mengajar manusia bahawa apa yang mereka gunakan dan cara-cara perusahaan dan alat-alat pertukangan terserahlah kepada pengetahuan dan pengalaman mereka, dan
Tuhan tidak menyekat atau melarang mereka menjalankannya selagi hukum-hukum syarak tidak dilanggar, dan akhlak yang mulia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
Tugas Rasulullah s.a.w. tidaklah seperti tugas guru-guru sekolah dan pakar-pakarperusahaan dan perindustrian. Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan untuk mengajar satu persatu mengenal ilmu pengetahuan yang berhubung dengan cara-caramengambil faedah dan alam langit dan bumi serta segala isinya untukkehidupan dunia. Kalau terdapat dalam apa yang disampaikan mengenai yang demikian maka itu hanyalah untuk dijadikan bukti yang menunjukkan wujudnya Allah Taala dan kekuasaanNya serta kebijaksanaan dan kemurahanNya.
Ada pun ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan angkasa lepas meliputi matahari, bulan dan bintang; dan yang berhubung dengan bumi dan khazanah-khazanah yang terpendam di dalamnya; demikian juga ilmu pengetahuan yang bersabit dengan pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya, maka semuanya itu tidaklah termasuk dalam tugas Rasulullah s.a.w. untuk menerangkan satu persatu bahkan terserahlah kepada manusia mencari dan menyelidiknya, kerana Tuhan telah jadikan manusia berakal fikiran serta memberikannya tenaga dan usaha ikhtiar untuk mencapai pengetahuan dan kepandaian bagi mendapat kesempurnaan hidupnya.
Lampiran (A):
Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.:
Mengenai masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda, ada beberapa hadis yang melarang menulisnya, dan ada pula beberapa hadis yangmengizinkan.
Di antara hadis-hadis yang melarang itu ialah:
Pertama - Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu menulis (hadis-hadis) dariku dan (dengan yang demikian) sesiapa yang telah menulis dariku selain dari Al-Qur'an, maka hendaklah ia memadamnya .."
Kedua - Hadis dari Abu Said Al-Khudri juga, katanya: (Pada suatu hari) kami sedang duduk menulis apa yang kami dengar dari Rasulullah s.a.w., lalu Baginda keluar mendapatkan kami sambil bertanya: "Apa yang kamu tulis itu?" Kamimenjawab: "(Kami menulis) Apa yang telah kami dengar dari Rasulullah". (Mendengar jawapan kami itu) Baginda bersabda, maksudnya: "Patutkah kamu menulis (sesuatu yang lain) bersama-sama dengan kitab Allah (Al-Qur'an)? Tulislah kitab Allah itu sahaja dan bersihkanlah dia (dari yang lainnya)." Maka kami pun mengumpulkan (hadis-hadis Nabi) yang telah kami tulis itu pada satutanah lapang, kemudian kami
membakarnya. Setelah itu kami bertanya kepada Baginda dengan berkata: "YaRasulullah! bolehkah kami menyampaikan hadis-hadis yang kami dengar dari tuan kepada orang lain?" "boleh" jawab Baginda.
Di antara hadis-hadis yang mengizinkan pula ialah:
Pertama - Hadis (Nombor 2) yang tersebut dalam bab ini.
Kedua - Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Abu Hurairah, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. beroleh limpah kurnia Allahmenguasai tanah suci Makkah al-Mukaramah, tampillah Baginda berpidato kepadaorang ramai .. lalu bangun Abu Shah sambil berkata: "Bolehkah tuan (membenarkan sesiapa) menulis untukku (apa yang tuan sabdakan itu) YaRasulullah? " Baginda menjawab, maksudnya: "Tulislah kamu untuk Abu Shah."
Pendapat Sahabat-sahabat Nabi:
Dengan adanya hadis-hadis yang melarang dan mengizinkan itu, maka sahabat-sahabat Nabi tidak sekata mengenai masalah penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., tetapi kebanyakannya mengharuskan dan telah pun menulisnya.
Pendapat Alim Ulama':
Alim Ulama' dan Ahli Hadis telah menyesuaikan di antara hadis-hadis yang melarang dan yang mengizinkan penulisan hadis-hadis Nabi itu dengan beberapacara dan alasan:
Pertama - Larangan itu adalah khas mengenai waktu turunnya Al-Qur'an kerana dibimbangkan Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya, dan hadis-hadis yang mengizinkan itu pula adalah untuk keadaan yang tidak dibimbangkan.
Kedua - Larangan itu adalah khas mengenal penulisan hadis bersama-sama Al-Qur'an pada satu lembaran, kerana biasanya mereka mendengar hadis yangmentafsirkan sesuatu ayat Qur'an maka dengan itu harus mereka akan terlangsung menulisnya bersama-sama kandungan ayat itu, lalu mereka dilarang dari melakukan yang demikian kerana ditakuti kesamaran. Tentang hadis-hadis yang mengizinkan pula maka itu hanyalah untuk ditulis dalam lembaran yang berasingan yang tidak mengandungi sesuatu dari Al-Qur'an.
Ketiga - Bahawa larangan itu adalah khas mengenai penulisan Wahyu (Al-Qur'an) yang biasanya mereka tulis dalam lembaran-lembaran surat untuk disimpan dirumah Nabi s.a.w.; oleh itu, kalaulah mereka diharuskan menulis hadis nescaya Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya. Tetapi selain dari itu adalah diizinkan.
Keempat - Bahawa larangan itu adalah bagi orang yang dipercayai terselamat dari lupa, dan dipercayai tentang kekuatan ingatannya menghafaz apa yang didengarnya, serta ditakuti ia akan bergantung bulat-bulat kepada tulisan apabila iamenulis. Sebaliknya diizinkan bagi orang yang ditakuti lupanya.
Kelima - Hadis-hadis larangan itu mungkin sebahagian dari hadis-hadis yang dimansuhkan oleh hadis-hadis yang lain; boleh jadi pada mulanya Rasulullah s.a.w. melarang menulis sabda-sabdanya, kemudian Baginda memandang patut ditulis kerana diketahui bahawa hadis-hadis makin sehari bertambah jumlahnya dan tak dapat dihafaz.
No comments:
Post a Comment