Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Monday, May 02, 2011

Catatan Konvokesyen Kolej Darul Hikmah ke-19

Oleh: al-Maranji

Berikut ialah teks ucapanku sesudah menerima anugerah 'Citra Cendekia' pada majlis Konvokesyen Kolej Darul Hikmah ke-19 di Institut KWSP, Bangi Selangor pada 30 April 2011.


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Yang Dimuliakan TH Ahmad Azam  b. Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pengarah Bina Ilmu

YBhg Dato’ Dr Sidiq b. Fadhil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah

YBhg Dr. Mohd Razali b. Idris, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Yang Berusaha TH Mohd Fuad b. Bahari, Ketua Eksekutif Kolej Dar al-Hikmah

Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli Lembaga Pengelola Kolej Dar al-Hikmah

Barisan akademik dan pengurusan Kolej Dar al-Hikmah

Dhif2 Kehormat,

Yang diraikan teman-teman para graduan,

Ibubapa dan para tetamu yang dihormati sekelian.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas segala limpah kurnia dan inayahNya yang mengizinkan saya untuk berucap mewakili para graduan di Majlis Konvokesyen Kolej Dar al-Hikmah yang ke 19 ini.  Majlis yang penuh dengan tradisi keilmuan ini amat bermakna kepada kami sebagai graduan. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.


Hadirin Sekelian,

Ilmu bermaksud tibanya makna yang benar dalam diri seseorang. Ini bererti bahawa seseorang yang mempunyai ilmu, ia akan mencapai sesuatu kebenaran yang akan membuahkan keyakinan ke dalam dirinya. Melalui ilmu pengetahuan, seseorang itu dapat membebaskan dirinya dari belenggu kejahilan, kesangsian, kekeliruan, keraguan dan was-was. Sesuatu yang benar itu adalah datangnya daripada Allah s.w.t. Justeru itu ilmu adalah menjadi milik Nya.  Allah s.w.t. mencipta manusia pertama iaitu Nabi Adamalaihissalam sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi. Sesuai dengan fitrah kejadian dan keistimewaan tarafnya yang telah dikurniakan akal untuk memikul tanggungjawab tersebut, Allah s.w.t. telah mengajar ilmu pengetahuan kepadanya, sehingga beliau dapat menyebut semua nama benda yang telah diajarkan kepadanya.


Mafhum firman Allah s.w.t. dalam al-Quran :

“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudianmengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: Sebutkanlah kepada Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang yang benar.” (Surah al-Baqarah : ayat 31)


Kemudian Allah s.w.t. mengajarkan ilmu pengetahuan tersebut kepadaNabi Muhammad s.a.w. melalui wahyu yang terkandung di dalamal-Quran. Dalam al-Quran Allah s.w.t. telah berfirman :

علم الانسان ما لم يعلم

“Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.” (Maksud surah al-Alaq : ayat 5)

Di samping itu Allah juga telah menyatakan hanya orang yang berilmu akan dapat memahami perumpamaan yang Allah buat dalam al-Quran sbgmana yg difirmankan Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 43,

وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.


Justeru itu kehadiran Kolej Dar al-Hikmah menepati aspirasi membudayakan ilmu terutamanya ilmu Islam.  Lebih menarik apabila pendekatan Kolej Dar al-Hikmah menjuruskan kami menjadi para pendakwah dan murabbi dalam masyarakat di samping menyumbang khidmat bakti dalam bidang masing-masing. Itulah kelebihan Kolej Dar al-Hikmah berbanding dengan IPTA atau IPTS lain.


Hadirin Sekelian,

Saya amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah citra cendikia al-hikmah kali ini. Saya hanyalah pemegang amanah anugerah ini bagi teman-teman semua. Kita semua adalah milik Allah. Kejayaan kita adalah milik Allah kerana diri kita, tenaga, akal dan kepandaian semuanya hak Allah.    


Hadirin sekalian,

Dalam mencapai sebuah kejayaan, perkara yang paling sukar tentunya adalah ketika memulakannya. Langkah pertama pastinya menuntut daya usaha, keazaman dan pengorbanan yang bukan sedikit. Namun, jika kita tidak berani melangkah manakan kita mampu untuk bertatih seterusnya mengorak langkah yang lebih jauh. Berbekalkan semangat waja diiringi doa dan restu orang tersayang di sekeliling kita, masing-masing kita cekalkan diri dan bulatkan tekad di hati untuk meraih kejayaan yang cemerlang. Sebagai pelajar/siswa, saya dan teman-teman graduan yang ada hari ini tidak dapat lari dari pelbagai cabaran, dugaan dan halangan yang terpaksa ditempuhi sebelum kami dapat berada di dewan ini malah ada di antara kami yang terpaksa ‘syahid’ di perjalanan atas pelbagai sebab. Ia suatu yang perit dan memedihkan. Saya sendiripun hampir saja gugur selepas semester 3.  Tapi atas dorongan teman-teman sebahagian kami dapat meneruskan pengajian. Itulah rempah ratus dalam menimba ilmu.


Hadirin sekelian,

Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dengan ucapan jazakumullahu khairan kepada pihak Kolej Dar al-Hikmah, Dato’ Presiden & ALP serta Pengurusan KDH  yang telah memberi peluang kepada kami menimba ilmu di sini.  Sekalung penghargaan kepada semua pensyarah yang kami sayangi yang telah bertungkus lumus untuk memberikan kefahaman kepada kami walaupun terpaksa berhadapan dengan pelajar2 warga lama seperti saya dengan pelbagai karenah yang kadang-kadang menguji kesabaran para pensyarah, apapun kami pohon “halalkan segala ilmu yang para asatizah telah curahkan kepada kami.” Kami inginkan keberkatan ilmu yang kami perolehi.

Kami juga juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada orang tersayang terdiri dari ibu bapa, suami dan isteri, anak-anak yang banyak menyuntik semangat, berkorban, bersabar dengan kami sehingga kami menamatkan pengajian ini.  Tanpa iringan doa restu dan dorongan daripada kalian, kami tidak mungkin mampu berada di sini, apatah lagi berada di atas pentas ini.


Hadirin sekelian,

Kehadiran kalian pada hari ini menambahkan lagi rasa gembira dan ia amat bererti kepada kami semua. Segala penat lelah dahulu bagaikan tidak terasa lagi kerana sokongan yang kalian berikan. Walaupun kejayaan pada hari ini tidak dapat membalas jasa dan pengorbanan kalian yang begitu banyak pada kami, namun kami berharap kalian dapat tersenyum syukur kerana kejayaan ini bukanlah kejayaan kami semata-mata bahkan ia adalah kejayaan kalian juga. Kepada rakan-rakan seperjuangan, ingatlah bahawa perjuangan kita masih belum selesai. Kita harus terus berusaha memajukan diri demi membela nasib keluarga, agama, bangsa dan negara.

Walaupun kami akan meninggalkan kampus ini, tetapi semangat dan jiwa kami masih akan terus berada di sini. Di mana sahaja kami berada, kami tetap alumni Kolej Dar al-Hikmah yang menjadi duta dan rakan setia Kolej ini. Justeru, kami berjanji akan turut serta bersama Persatuan Alumni Kolej Dar al-Hikmah dalam usaha menyumbang bakti kepada kecemerlangan Kolej Dar al-Hikmah.

Kolej Dar al-Hikmah tetap di hati.”

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan graduan sekalian. Semoga kita bersedia menghadapi cabaran mendatang dan perubahan dengan berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijadikan pedoman dan batu sempadan agar kita tidak hanyut dalam arus kemodenan. Gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta sahsiah diri demi kecemerlangan yang diimpikan.

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman