Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Wednesday, May 25, 2011

Interaksi Dalam Tanzim


Dalam berinteraksi dengan sesebuah organisasi, pastilah banyak halangan yang akan kita hadapi. Oleh yang demikian, kita memerlukan ilmu yang cukup untuk dapat mewujudkan suasana amal kolektif yang ideal.
Adalah sesuatu yang mustahak untuk kita memahami adab-adab dalam berinteraksi dengan organisasi sebagai panduan untuk kita praktikkan bersama.


"Sesungguhnya jika engkau tidak bersama mereka, maka engkau tidak akan  bersama orang-orang selain mereka. Sementara jika mereka tidak bersamamu, mereka tetap wujud bersama yang lain."

Ungkapan di atas menyedarkan kita tentang keperluan kita akan sebuah organisasi dan untuk sentiasa berada dalam ruang lingkupnya kerana apabila kita tidak lagi bersama mereka, tidak mungkin kita bergaul dengan orang-orang yang mempunyai tahap kebaikan di bawah dari mereka, sementara organisasi dan mereka yang ada di dalamnya akan terus wujud dan berjalan samada dengan kita atau tanpa kita.
Secara terangnya , masuk dan keluarnya kita dari sebuah organisasi tidak akan memberi pengaruh yang kuat apalagi sampai mampu menggoncangkan organisasi tersebut.
Dengan kata lain, jika kita keluar dari organsasi tersebut, kitalah yang rugi sementara bagi organisasi, boleh dikatakan hampir tidak ada kerugian kerana begitu ramai lagi mereka yang bersedia untuk menggantikan kita.

Oleh kerana itu, keberadaan kita di dalam sebuah organisasi adalah anugerah Allah yang mesti disyukuri dan dipelihara.
Salah satu usaha untuk  menjaga kurniaan penyertaan kita dalam organisasi ini adalah dengan sentiasa berinteraksi secara intensif dengan dakwah itu sendiri dan semua elemen-elemen dakwah atau elemen organisasi.
Yang terpenting dari semua itu tentu sahaja adalah dengan dakwah atau organisasi itu sendiri, kemudian dengan murabbi serta dengan sesama sahabat seperjuangan dan juga dengan mutarabbi.

A. INTERAKSI DENGAN DAKWAH 

PERTAMA : Melepaskan diri dari segala keterikatan dengan institusi-institusi atau organisasi-organisasi lainnya (terutama apabila diminta oleh kepimpinan organisasi untuk melakukan itu).
Salah satu rukun ba'iah adalah ‘tajarrud’ yang memberi maksud bahwa kita memberikan kesetiaan, keterikatan dan ketaatan secara total kepada organisasi.
Adalah difahami bahwa kadang-kadang kita memiliki kritikan-kritikan yang konstruktif terhadap organisasi, di mana ia bukanlah kerana kita tidak ‘tsiqah’ kepada organisasi itu atau sudah cenderung kepada organisasi lain.
Namun, apabila organisasi telah membuat penilaian di mana kita dikehendaki  memutuskan ikatan dengan yayasan atau organisasi tertentu yang mungkin boleh menjejaskan halatuju organisasi, maka sayugialah kita menerima dan mentaati kecuali apabila organisasi menugaskan kita untuk tetap di sesebuah lembaga atau organisasi tertentu untuk tujuan tertentu.

KEDUA : Menghidupkan kebiasaan-kebiasan Islam.
Tujuannya adalah agar kita tetap terpelihara di dalam ruang lingkup organisasi dengan hidayah yang diberikan oleh Allah. Di antara usaha untuk terus meningkatkan kualiti keislaman dan keimanan adalah dengan sentiasa menghidupkan kebiasaan-kebiasaan Islam seperti menyebarkan salam, membaca doa-doa harian, mendahulukan anggota tubuh yang kanan dan lain-lain.
Ini adalah kerana, hanya dengan berusaha untuk meningkatkan kualiti diri sahajalah, kita akan tetap terjaga kebersamaannya dengan organisasi dengan keserasian kebaikan yang dimilikinya.

KETIGA : Berkenalan dengan para pendakwah dengan pengenalan yang sempurna dan sebaliknya mereka juga mengenal kita dengan sempurna.
Selain untuk menunaikan hak-hak dan kewajiban ukhuwah, perkenalan yang intensif dan sempurna dengan para pendakwah akan membuatkan kita saling bercermin diri dan meningkatkan keperibadian kita. Lebih-lebih lagi interaksi dengan saudara-saudara kita yang lebih dahulu memasuki organisasi dibandingkan dengan  kita. Bukankah Rasulullah saw bersabda :
“Mu'min adalah cermin bagi saudaranya”.
KEEMPAT : Menunaikan kewajiban-kewajiban harta seperti zakat, infaq, kerjasama kewangan dan lain-lain.
Tidak dipertikaikan lagi bahwa masalah ekonomi, mata pencarian atau kewangan adalah perkara-perkara yang penting yang perlu diperhatikan oleh anggota organisasi.
Untuk menunaikan kewajiban harta di dalam Islam dan organisasi seperti zakat, infaq, kerjasama kewangan dan lainnya tentu sahaja perlu diwujudkan dahulu asas-asas atau ciri-ciri “Mampu bekerja” di dalam diri anggota tersebut.
KELIMA : Menyebarkan dakwah di setiap tempat dan membentuk keluarga-keluarga dakwah.
Pembentukan peribadi muslim di dalam organisasi dimaksudkan bukan sahaja untuk membentuk seorang muslim menjadi soleh semata-mata bahkan juga mesti menjadi  ‘musleh’.
Jadi, bukan sekadar mengusahakan nilai-nilai kebaikan yang melekat dalam dirinya, melainkan juga mengusahakan agar keluarga dan masyarakatnya pun diwarnai oleh nilai-nilai kebaikan tersebut. Bahkan lebih dari itu, ia perlu pula berusaha menjadikan keluarganya juga sebagai pendukung-pendukung utama dalam dakwah.

KEENAM : Mengenali harakah-harakah Islam.
Keberadaan kita sebagai anggota di dalam organisasi ini tentu sahaja membuatkan kita semakin mengenali organisasi kita, sejarah, visi dan misinya, tokoh-tokohnya dan lain-lain sebagai sebuah harakah Islam. Namun sebagai bahan perbandingan, kita perlu juga  mengenali harakah-harakah Islam yang lainnya.
Tujuan mengenali harakah-harakah lainnya adalah bagi :
  1. Mengambil kebaikan dari harakah lain.
  2. Meninggalkan dan jika mampu meluruskan kekurangan dan keburukan dari harakah lain.
  3. Berusaha saling bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati dan saling berlapang dada dalam hal-hal yang diperselisihkan untuk menjaga tali silaturahim dan komunikasi paling minima antara kepimpinan harakah.
B. INTERAKSI DENGAN KEPIMPINAN

Kepimpinan dalam dakwah memiliki hak :
  1. Seorang ayah dari sudut ikatan hati.
  2. Seorang ustaz dalam hal penyampaian ilmu.
  3. Seorang syeikh dalam memberikan tarbiyah ruhiyah.
  4. Seorang komandan dalam menentukan atau memberikan polisi-polisi umum di lapangan dakwah.
Dalam proses interaksi dengan kepimpinannya, seorang anggota organisasi dituntut supaya mampu merealisasikan hubungan dengan baik sebagai tanda kewujudan kepimpinan yang terdekat dengannya.
Di antaranya ialah memperhatikan hak-hak kepimpinan seperti yang tersebut di atas. Selain itu juga, ia hendaklah berusaha untuk memenuhi perkara-perkara berikut :

PERTAMA : TAAT.

Seorang anggota hendaklah sentiasa taat melaksanakan perintah-perintah dan arahan-arahan kepimpinan samada dalam keadaan senang atau susah begitu juga ketika dalam keadaan bersemangat atau dalam keadaan terpaksa kecuali perintah maksiat kerana tidak boleh mentaati makhluk dalam keadaan bermaksiat kepada Allah swt.
Organisasi, dalam merealisasikan tujuannya pastilah memerlukan pengikut yang taat dan memahami akan tuntutannya. Ini menjadi sebab kenapa Imam Hasan Al Banna meletakkan syarat bagi mereka-mereka yang ingin bekerja dalam organisasi ini iaitu sepuluh rukun : Faham, Ikhlash, Amal, Jihad, Pengorbanan, Taat, Tajarrud, Tsabat, Ukhuwwah, Tsiqah.
Tuntutan sedemikian adalah sesuatu yang logik dan bukan suatu yang diada-adakan kerana organisasi musuh yang bertaraf antarabangsa sekalipun menuntut perkara yang sama dan bahkan kadang-kadang tidak masuk akal misalnya, para agen ‘Mossad Yahudi’ tidak akan segan-segan untuk membunuh anggotanya jika terbukti ia telah berkhianat kepada organisasi mereka.

Namun organisasi dakwah tidaklah sampai sedemikian di mana sesiapapun boleh masuk dan juga tidak akan menahan mereka yang mahu keluar darinya. Masing-masing akan memetik buahnya sendiri, baik di dunia mahupun di akhirat.
Organisasi kita mempunyai tujuan yang amat mulia di mana perjuangannya melibatkan antara generasi dalam rentang waktu yang tidak terbatas dalam menegakkan ketinggian kalimah Allah sehingga dunia ini kiamat. Hanya tentera Allah swt sahajalah yang mampu menegakkannya, bukan orang yang berjiwa kecil.

KEDUA : TSIQAH
Seorang anggota dikatakan ‘tsiqah’ kepada kepimpinannya jika ia memiliki ketenangan dan ketenteraman jiwa terhadap apa-apa yang datang dari pihak kepimpinan, iaitu  tenteramnya jiwa dengan seluruh yang keluar darinya dan ia tidak pernah ragu-ragu terhadap arahan yang datang darinya.
Ibarat seorang tentera yang merasa puas dengan komandannya dalam hal kapasiti kepimpinannya mahupun keikhlasannya dengan kepuasan yang mendalam yang menghasilkan:
  1. Rasa cinta.
  2. Penghargaan.
  3. Penghormatan.
  4. Ketaatan.
“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap sesuatu keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. (QS An Nisaa’ : 65)
Pemimpin adalah unsur penting dalam dakwah dan tidak ada dakwah tanpa kepimpinan. Kadar ‘tsiqah’ yang timbal balik antara pemimpin dengan yang dipimpin menjadi neraca yang menentukan sejauh mana:
  1. Kekuatan sistem organisasi.
  2. Ketahanan perancangannya.
  3. Keberhasilannya mewujudkan tujuan.
  4. Keteguhannya dalam menghadapi tentangan.
‘Tsiqah’ kepada pemimpin adalah segala-galanya dalam keberhasilan dakwah. Untuk mengetahui kadar ketsiqahaan dirinya terhadap mas’ulnya, bertanyalah kepada diri sendiri dengan tulus mengenai beberapa perkara berikut:
  1. Sejauhmana kita mengenali mas’ul tentang riwayat hidupnya.
  2. Kepercayaan terhadap kapasiti dan keikhlasannya.
  3. Kesediaan menerima perbezaan pendapat dengan mas’ul apabila mas’ul telah memberi perintah atau larangan yang berbeza dengan pendapat kita.
  4. Kesiapan untuk meletakkan seluruh aktiviti dakwahnya dalam kendalian mas’ulnya.
KETIGA : ILTIZAM.
Seorang anggota mestilah berusaha untuk menjaga serta meneruskan iltizam atau komitmennya kepada kepimpinan dan organisasi dengan jalan keterbukaan dalam memberi informasi akan keadaan dirinya secara objektif sehingga terjaga pula hubungan ruhiyah dan amaliyah dalam ruang lingkup berorganisasi.
Sebenarnya bergerak dalam suatu organisasi adalah tugas, tanggungjawab dan amanah yang mesti dipikul oleh pemimpin beserta seluruh anggotanya.
Kesemuanya mesti dikoordinasikan secara rapi ibarat sebuah bangunan yang kukuh. Tidak boleh saling membiarkan, berperilaku bahaya atau saling membahayakan. Tidak menyimpang dari organisasi atau hilang dari peredaran organisasi dalam kurun waktu tertentu. Mesti ada jalinan komunikasi yang efektif serta terus menerus bergaul mesra.

Ustaz Mustafa Masyhur pernah memberi ‘taujihat’ yang luar biasa:
“Mutu organisasi bergantung kepada mutu ‘harakah’ (gerakan), mutu ‘harakah’bergantung kepada mutu ‘musyarakah’ (pergaulan), mutu ‘musyarakah’bergantung kepada mutu ‘muhawarah’ (komunikatif, saling mempunyai sikap keterbukaan) dan mutu ‘muhawarah’ bergantung kepada bagaimana mutu ukhuwahnya (persaudaraannya)‌”.
KEEMPAT : MEMILIKI SIKAP ‘IHTIRAM’ (MENGHORMATI) KEPIMPINAN.
Memuliakan dan menghormati mas’ul tidak semata-mata didasarkan kepada diri mas’ul itu semata-mata tetapi kerana dirinya dipandang sebagai lambang organisasi yang mengibarkan bendera Islam untuk menyerukan hidayah kepada umat manusia. Setiap gerakan yang merugikan kedudukan pemimpin akan merusak citra dan keutuhan organisasi.
Bukanlah suatu ciri ‘feudalisma’ jika kita menghormati orang atasan kita yang memang layak dihormati apalagi ia sekaligus berfungsi sebagai orang tua, guru, syeikh dan ketua.
Bukankah Islam mengajarkan kita menghormati orang yang lebih tua dari kita dan banyak memberikan kebaikan untuk kita seperti orang tua, guru, syeikh dan ketua.

KELIMA : MEMBERI NASIHAT, MASUKAN, SARANAN DAN KRITIKAN SECARA HALUS DAN SEMBUNYI-SEMBUNYI DAN TIDAK SECARA TERBUKA.
Memang tidak boleh dimungkiri lagi bahwa kepimpinan adalah juga manusia biasa yang mempunyai kekurangan dan kelemahan, namun bila kita ingin mengkritik atau memberi nasihat, hendaklah dengan memperhatikan adab agar martabat atau kemuliaannya sebagai kepimpinan tidak terjejas di hadapan orang lain.
Di antara sifat mu’min adalah suka nasihat menasihati dengan kebenaran dan saling berwasiat dengan kesabaran. Ketinggian kedudukan mas’ul tidak boleh menjadi penghalang untuk itu dalam rangka untuk memperbaiki amal dan menghindarkan hal-hal yang negatif. Tidak boleh merasa berat dalam memberi nasihat, begitu juga mas’ul mesti berlapang dada dan bersyukur dalam menerimanya.

“Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya, ‘untuk siapa?’ Rasulullah saw menjawab, ‘Bagi Allah, RasulNya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan orang orang awamnya’”‌ (HR Muslim)
Adapun adab yang mesti kita jaga dalam memberi nasihat kepada mas’ul adalah dengan memilih ketepatan suasana dan cara.
Paling tidak ada tiga perkara yang perlu diperhatikan :
  1. Berilah nasihat dalam bentuk yang paling baik dan nasihat tersebut hendaknya diterima menurut bentuknya.
  2. Menasihatinya secara diam-diam bererti telah menghormati dan memperbaikinya kerana jika kita menasihatinya dengan cara terang-terangan di hadapan orang ramai, seolah-olah kita telah memalukannya dan merendahkannya.
  3. Tatkala memberi nasihat, hati atau niat kita tidak boleh berubah walau sehelai rambut pun. Tidak merasa lebih mulia atau menganggap diri seperti guru sehingga menjadikan objek nasihat seolah-olah seorang pesakit yang penuh dengan kekurangan. Rasa cinta dan hormat kepadanya tidak boleh berkurang sedikitpun.
Ya Allah, sesungguhnya kami bersyukur berada di dalam suatu organisasi dakwah yang mempunyai ikatan yang kukuh antara anggotanya dengan kepimpinannya. Bersihkanlah hati kami serta luruskanlah tujuan kami sehingga kami mampu berinteraksi dengan baik di antara elemen-elemen yang wujud di dalam organisasi ini dengan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan dalam Islam sehingga setiap anggota mendapat manfaat yang besar dari organisasi ini yang akan menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk bumi dan mendokong DeenMu di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman