Apabila isu Wahhabiyyah timbul di tengah masyarakat hari ini, ia membawa saya mengimbau kenangan pahit saya melihat perpecahan yang menimpa pelajar Malaysia di Jordan pada akhir 90’an. Perbalahan tentang soal Salaf dan Khalaf telah mengucar kacirkan kehidupan pelajar dan ia terus berlarutan hingga ke hari ini. Pada masa itu, saya bermastautin di Ireland dan datang ke Jordan pada musim panas.
Semasa di Ireland, saya ada seorang housemate berbangsa Perancis yang baru 9 bulan masuk Islam. Dia masuk Islam selepas terpikat dengan falsafah, dan keindahan syair-syair Jalaluddin ar-Rumi. Jadi, orangnya agak ‘sufi’ dan jiwanya halus. Sedikit malang, dalam usia Islamnya yang begitu muda, dia telah dirunsingkan dengan suntikan maklumat supaya di dalam perjalanan Islamnya, beliau hendaklah berhati-hati sebab jika tersilap, akan terjebak ke belenggu Wahhabiyyah!
Suatu hari, dia bersembang dengan saya secara peribadi, “Hasrizal, saya ada berita baik. Tapi tidaklah begitu baik.”
Hairan saya mendengarnya lalu saya bertanya, “Sofyane, kenapa awak berkata begitu? Saya kurang faham apa yang awak maksudkan.”
Katanya, “isteri saya mengandung dan tidak lama lagi saya akan menjadi bapa!”
Wah, ini sepatutnya menjadi berita gembira. Saya ingin dapatkan kepastian daripada Sofyane mengapa beliau menyambut berita gembira ini dengan kesugulan yang sedemikian rupa. Sofyane sering bercerita kepada saya betapa sunyinya hidup isteri beliau yang ditinggalkan di Paris kerana beliau terpaksa menghabiskan sisa pengajian di Ireland. Tentunya dengan kehadiran cahaya mata, ia bakal menjadi penyeri rumah tangga mereka.
Sofyane menerangkan bahawa beliau gembira apabila mendapat tahu isterinya mengandung. Tetapi dia dihantui rasa bimbang hingga menjadi paranoid. Katanya, dia orang sufi, suka kepada zikir-zikir dan amat meminati Jalaluddin ar-Rumi. Dia takut apabila anaknya menjadi dewasa, anaknya akan jadi Wahabi dan mengkafirkan dia kerana ‘sufi’nya dia!
Ya Allah, jantung saya bagai mahu terputus mendengarnya.
“Sofyane, saudaraku. Apa yang kamu cakap ini? Mengapa sampai begitu sekali kamu berfikir?” saya pula yang kebingungan
Itulah kali pertama beliau menyebut tentang Wahhabiyyah kepada saya. Hal ini menyebabkan saya kaget dan apabila disiasat, rupa-rupanya Sofyane telah diberikan berbelas keping artikel tentang kesesatan dan bahaya Wahhabiyyah. Walhal ketika itu dia baru sahaja belajar bertatih di dalam ilmu Fardu Ain nya.
Artikel tentang Muhammad bin Abdul Wahhab yang datang dari Najd, kota sumber fitnah, kisah beliau menghalang orang ziarah makam Rasulullah SAW, dan pelbagai lagi artikel yang mendukacitakan saya, berada di tangannya. Sofyane keliru, dan kekeliruannya dikongsi bersama oleh ramai saudara baru di Eropah, lantaran kesilapan umat Islam sendiri. Mengajak orang masuk ke rumah ikut tingkap, dan bukannya pintu. Isu Wahhabiyyah hanyalah satu cabang dari Islam. Ia umpama jendela untuk kita melihat beberapa sudut Islam dan bukannya pintu keluar masuk Islam.
Ya, itu satu kenangan silam saya tentang Wahhabiyyah, dan saya tetap berpendapat, hanya penjenayah sahaja yang masuk ke rumah ikut TINGKAP dan bukannya PINTU.
ERA PRA KEMBARA ILMU
Semasa di Malaysia kira-kira pada tahun 1992, saya pernah membaca sebuah buku kecil di dalam Perpustakaan Tun Datu Haji Mustafa, iaitu perpustakaan sekolah saya (SMA Izzuddin Shah, Ipoh). Buku tu telah menyenaraikan Wahhabiyyah sebagai salah satu ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Ketika itu, saya terima sahaja hal tersebut tanpa melihat apa signifikannya. Apabila saya berangkat ke Jordan dan memulakan pengajian, kepala saya bersifir mudah sahaja. Saya Syafie di dalam Fiqh, saya Asya’irah di dalam Akidah. Wahhabiyyah pula terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah. Itu semacam satu kepercayaan by default yang kita dapat dari silibus pelajaran di Malaysia.
Tetapi syukur, saya tidak pernah mengunci mana-mana pintu untuk menilai pandangan yang pelbagai. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sistem pengajian di Jordan amat terbuka dan kami sentiasa diajar secara perbandingan (comparative). Ia tidak memaksa seseorang menukar pegangan, sebaliknya ia memberi peluang kepada kita untuk melihat sesuatu isu dari horizon yang lebih luas dan sudut yang berbeza. Warga Syafi’iyyah berpeluang mengkaji bahan mazhab lain. Asyairah pula dapat meneliti bahan Maturidiah dan Salafiah.
Sistem pengajian yang seperti ini berpotensi untuk melahirkan pelajar yang dinamik, berfikiran terbuka dan tidak dibelenggu oleh ketaksuban yang merugikan. Namun, apa yang paling penting, Jordan mewajibkan pelajarnya hadir ke setiap kelas. Kalau 6 kali pelajar tidak hadir ke kelas, mereka mahrum (disekat) daripada menduduki peperiksaan akhir. Ini memaksa pelajar untuk terus membiasakan diri dengan suasana kelas. Kita banyak berdamping dengan pensyarah. Maka selain ilmu yang diajar, pelajar juga mendapat tempias akhlak, khususnya akhlak kita dalam membawa ilmu berkenaan.
Jadi, apabila kita konsisten ke kelas, pemikiran kita sentiasa dididik agar bermanhaj. Saya masih ingat, semasa di dalam subjek Hadith al-Ahkam, kami berbalah dengan pensyarah tentang sejauh mana perbahasan para Fuqaha’ berkaitan masalah kewajipan suci daripada kedua-kedua hadas apabila hendak memegang mushaf al-Quran. Akhirnya kami sekelas diberi masa seminggu untuk pergi ke perpustakaan dan mengumpulkan semua dalil yang diguna pakai oleh ulama semua mazhab di dalam bab ini. Sama ada dalil al-Quran, Hadith, Qiyas, kaedah Usul Fiqh atau apa sahaja, semuanya dikumpulkan dan dianalisa satu persatu di dalam kelas.
Ini merupakan teknik yang sangat baik. Ia mengajar kita untuk bersikap adil terhadap ilmu, Insya Allah. Syaratnya, anda ke kelas!
Sebahagian daripada tuntutan silibus pengajian di Jordan, saya dikehendaki membaca buku daripada pelbagai aliran. Saya dikehendaki membaca pelbagai buku seperti Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah oleh Dr. Ramadan Saeed Al-Buthi dan Maqalaat al-Islamiyeen oleh Imam Abu al-Hasan Ashaari. Dalam masa yang sama, saya juga dikehendaki membaca, memahami dan boleh membahaskan buku-buku karangan ulama yang dilabelkan Wahhabiyyah (walaupun mereka lahir, hidup dan mati beratus tahun sebelum kemunculan Muhammad bin Abdul Wahhab) seperti Ibn Taimiyyah dengan bukunya Al-Ubudiyyah, Fatwa Al-Humawiyah Al-Kubra dan sebagainya. Tidak lupa, buku anak murid Ibn Taimiyyah iaitu Ibn Qayyim al-Jauziyyah, malah tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri.
Berbekalkan fikiran saya tenang, adil terhadap ilmu dan kebenaran, maka demi Allah, saya tidak nampak dari sudut manakah, kesemua buku yang saya sebutkan tadi (sama ada aliran Salaf mahu pun Khalaf), yang membolehkan saya menghukum Wahhabiyyah, ‘Asyairah mahu pun Maturidiah terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
KESIMPULAN YANG SIHAT
Saya amat selesa dengan nasihat pensyarah-pensyarah kami semasa di Jordan. Kata Dr. Abdullah Mustafa Zeib al-Fawwaz dan Dr. Abd el-Rahman Ibrahim Abd el-Halim Zaid el-Kilani, “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan YAKIN kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!”. Saranan yang sama saya peroleh daripada tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna yang berjIWA DA’IE walaupun FAQIH pada akal dan pengkhususan bidang mereka. Tokoh-tokoh seperti ini lebih berusaha mencari dan menyebarkan titik persamaan di antara manhaj yang pelbagai itu, berbanding dengan perbezaan yang rationya terlalu kecil dan boleh ditolak ansurkan.
CINTA OTHMANIYYAH BENCI WAHABI?
Saya juga seorang pengkaji Sejarah Khilafah Othmaniyyah. Semenjak di tahun kedua pengajian saya di Jordan, saya sudah melengkapkan diri dengan segala ilmu alat yang perlu ke arah mendalami Sejarah Othmaniyyah.
Saya berusaha mempelajari Bahasa Turki, belajar Bahasa Othmaniyyah (Osmanlica), belajar cara membaca manuskrip Othmaniyyah, berbelas kali berulang-alik ke Turki, berkeluarga angkat bangsa Turki, tinggal serumah dengan kawan-kawan Turki, memasak masakan Turki, malah mengigau di dalam Bahasa Turki! Cuma berkahwin sahaja yang tidak dengan orang Turki sahaja yang saya tidak buat!
Alhamdulillah, selepas pelbagai dugaan dan rintangan, kini saya berada di IIUM, menyambung pengajian saya di peringkat Sarjana, di bidang yang amat saya minati ini.
Saya cintakan Sejarah Othmaniyyah Saya serahkan diri kepada bidang ini secara bersungguh-sungguh terutamanya selepas melihat gambar Sultan Abdul Hamid II dibaling dengan batu oleh puak sekular di Istanbul. Terutamanya selepas saya bertemu dengan catatan Sultan Abdul Hamid II “I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so, I am certain that some foreign historians will do me justice”.
Akan tetapi apabila saya banyak menghabiskan masa membaca karangan-karangan ulama di zaman mutakhir kerajaan Othmaniyyah, saya dibebankan dengan timbunan penulisan mereka yang mencela dan mencaci Muhammad bin Abdul Wahhab. Ya, semacam sudah ada satu trend. Lazimnya, kalau mahu cinta kepada Othmaniyyah, perlulah bermusuh dengan Wahhabiyyah.
Syukur kepada Allah, dengan bekalan manhaj ilmu yang diajar semasa di Jordan, saya boleh mencipta C ketika pilihan yang popular hanyalah A dan B.
Saya amat mencintai Sejarah Othmaniyyah tetapi cinta saya bukan buta. Saya bersedia untuk mengiktiraf sudut-sudut hitam Sejarah Othmaniyyah, termasuklah kelakuan-kelakuan buruk Gabenor Othmaniyyah yang bertugas di Tanah Arab.
Peristiwa seperti penyalahgunaan kuasa Gabenor Othmaniyyah di Tanah Arab, malah bencana seperti Armenia Massacre 1895, harus dianggap sebagai peristiwa yang berpunca daripada aliran Turanism yang taasub Turki dan anti Othmaniyyah yang Islamiah. Ia bukan polisi Kerajaan ‘Islam’ Othmaniyyah. Tidak mungkin Sultan Osman dan Sultan Muhammad al-Fatih merestuinya.
Gerakan Muwahhidin yang dipimpin oleh Muhammad bin Abdul Wahhab muncul pada tahun 1811M sedangkan ketika itu, Khilafah Othmaniyyah sedang berdepan dengan ancaman dalaman dari kumpulan the Young Ottoman, pemuda Islam Liberal Othmaniyyah yang baru pulang dari Eropah. Desakan mereka supaya undang-undang negara dirombak, memaksa Othmaniyyah mengecilkan kuasa Khalifah dan seterusnya mengisytiharkan Tanzimat pada tahun 1839, iaitu versi undang-undang negara yang memperkenalkan sistem Sultan Berperlembagaan. Di sinilah detik-detik kemasukan anasir bukan Islam, merebak luas di dalam masyarakat Othmaniyyah, sedangkan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab sukar untuk dilihat hubung kaitnya dengan sumbangan kepada kehancuran Othmaniyyah pada tahun 1924 tersebut. Terlalu jauh pada jarak dan masa.
Oleh yang demikian, dakwaan yang mengatakan bahawa Gerakan Wahhabiyyah telah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah, adalah suatu kenyataan yang menyimpang dari fakta sejarah. Apatah lagi, apabila kenyataan ini disiarkan secara meluas di media massa tempatan, saya kabur tentang motifnya. Apakah kenyataan ini mahu ‘memancing’ pihak kerajaan supaya menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang ke atas Wahhabiyyah di atas dasar Wahhabiyyah boleh menjatuhkan kerajaan pemerintah sebagaimana Wahhabiyyah pernah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah?
Pada saya, kefahaman seperti ini tidak berasas. Asas sejarah tiada, asas politik pun tidak ada. Setakat pengetahuan saya yang terhad ini, antara gerakan yang benar-benar memainkan peranan menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah adalah gerakan revolusi Mustafa Kemal Ataturk yang telah didahului oleh penyebaran fahaman Nasionalisme melalui kemunculan kumpulan the Young Ottoman, the Young Turk dan parti Ittihad ve Terakki. Kerana Nasionalisme, pelbagai daerah seperti Armenia, Bulgaria dan Tanah Arab memberontak. Semuanya didorong oleh perasaan satu bangsa yang lebih tinggi dari bangsa yang lain, lalu berlaku manipulasi sentimen kebangsaan oleh Lawrence of Arabia terhadap Syarif Hussin bin Ali sehingga tercetusnya Revolusi Arab 1916. Ia tiada kena mengena dengan reformasi Islam yang diperkenalkan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab lebih 100 tahun sebelumnya.
Malah jika dapat disabitkan dalam Sejarah tentang adanya tindakan menentang Khilafah Othmaniyyah oleh Muhammad bin Abdul Wahhab, ia akan duduk di bawah pemberontakan rakyat tempatan di Tanah Arab yang tidak bersetuju dengan penyalahgunaan kuasa Gabenor Othmaniyyah yang ditugaskan di Tanah Arab semata-mata. Ia bukan polisi negara, tetapi penyelewengan pegawai yang bertindak menurut kehendak peribadi.
Untuk justifikasi penentangan ini, sama ada oleh Muhammad bin Abdul Wahhab, mahu pun kumpulan-kumpulan lain, kita harus akur bahawa “untuk sekumpulan manusia yang sejahtera Akidah dan Fiqhnya membuat pembacaan politik yang salah, ia adalah sesuatu yang boleh diterima akal”. Akidah yang sejahtera serta Fiqh yang luhur oleh Muhammad bin Abdul Wahhab, bukan jaminan untuk beliau dan gerakannya membuat bacaan politik yang tepat. Namun, kesilapan pendirian politik, tidak mungkin dijadikan alasan untuk memangkah Akidah dan Fiqh Wahhabiyyah.
SULTAN ABDUL HAMID II DAN GERAKAN WAHABI
Malah saya sendiri gembira apabila Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terperinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkan untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!”, jawab orang Badwi itu tadi.
Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya, “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab, “inilah dia syeikh aku, yang duduk di dalam kubur ni!”
Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata, “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkan lah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang sudah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)
Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)
Ini adalah sebahagian daripada catatan tentang Muhammad bin Abdul Wahhab yang saya baca dari sumber sejarah Othmaniyyah. Banyak lagi yang boleh dikaji, termasuklah di dalam koleksi nasihat Snouck Hurgronje kepada Pegawai-pegawai Belanda yang berpuluh jilid di Perpustakaan IRCICA di Yildiz Sarayi, Istanbul.
Sehingga ke era pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1908) sentimen menyalahkan gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai punca keruntuhan Khilafah Othmaniyyah, TIDAK BERLAKU.
GOLONGAN YANG MEMUSUHI WAHABI
Namun saya pasti, golongan yang memusuhi Wahhabiyyah ini ramai.
Pertamanya adalah Syiah. Mereka amat benci kepada Wahhabiyyah, mungkin bermula dengan kebencian mereka terhadap Sheikh al-Islam Ibn Taimiyah yang telah menulis kitab Minhaaj as-Sunnah. Buku ini terus berfungsi zaman berzaman sebagai benteng yang mempertahankan kemurnian Aqidah ahl-Sunnah wa al-Jamaah daripada pencemaran Tauhid, Fiqh dan Akhlak oleh dakyah Syiah.
Keduanya, tradisi pengajian Islam oleh warga pondok dan pesantren di Kepulauan Melayu melalui susur galur Makkah al-Mukarramah. Saya masih cuba memahami, apakah perselisihan faham di antara Sidi Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Makkah ketika itu yang tidak sependapat dengan Muhammad bin Abdul Wahhab, berpindah kepada anak-anak muridnya yang kemudian pulang ke Kepulauan Melayu dan menjadi pemimpin ilmu serta masyarakat. Ada ruang kabur di situ yang mesti diselesaikan, kerana mungkin ada warisan kesilapan fakta yang berlaku di sana, generasi demi generasi.
Golongan ketiga yang memusuhi Wahhabiyyah adalah golongan Islam Liberal. Mungkin pendekatan Wahhabiyyah yang sinonim dengan ketegasan mereka di dalam pemahaman teks al-Quran dan al-Hadith telah menyesakkan dada golongan Islam Liberal yang mahu melepaskan diri daripada cengkaman tradisi Islam yang mereka anggap sebagai ‘penghalang kemajuan dan kebebasan beragama’.
Dan terkini, golongan yang memusuhi Wahhabiyyah adalah Amerika dan konco-konconya apabila Wahhabiyyah dikaitkan sebagai fahaman anutan Osama bin Laden serta Abu Bakar Al-Bashir. Maka sifir mereka ialah:
Wahhabiyyah = Osama bin Laden = Abu Bakar al-Bashir = Nordin Mat Top = Dr Azahari = Terrorist!
Sifir ini memang luar biasa, namun hanya sehari selepas Dr Uthman el-Muhammadi mengungkapkan kebimbangannya terhadap Wahhabiyyah di Mingguan Malaysia (26 November 2005), sifir ini muncul dengan panas lantas pelbagai spekulasi luar biasa timbul.
PERLU DIPERJELASKAN
Adalah amat penting untuk saya jelaskan di sini, saya bukan berusaha mempertahankan Wahhabiyyah kerana taasub saya kepadanya atau mana-mana kumpulan. Tetapi apa yang ingin diketengahkan adalah soal kewajipan kita memenangkan AL-HAQ iaitu KEBENARAN, mengatasi sahsiah dan sentimen hawa nafsu semata.
Sama ada kritikan itu ditujukan kepada Wahhabiyyah, Ahli Khalaf mahu pun Salaf atau sesiapa sahaja, ia mestilah dibuat berasaskan bukti yang sahih lagi teruji.
Semasa Puteri Saba’ mendengar berita kedatangan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salam ke negaranya, beliau telah membuat suatu kenyataan yang dirakamkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
“Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina …”
Lantas Allah SWT mengiyakan spekulasi Puteri Saba’ dengan firman-Nya:
“… dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” (al-Naml : 34)
Kenyataan tentang tabiat raja-raja itu disebut oleh seorang penyembah matahari, seorang perempuan Musyrik. Tetapi oleh kerana kenyataan itu benar, Allah SWT memuliakan kebenaran lantas mengiyakan kenyataan tersebut. Demikianlah Islam memuliakan KEBENARAN, dan sebarang sikap yang mengutamakan SELAIN KEBENARAN, adalah tercela dan membinasakan agama. Kebenaran pula, dibuktikan serta dipertahankan dengan HUJAH, dan bukannya SYAKHSIAH atau andaian kosong.
Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami upaya mengikutnya. Perlihatkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan kurniakan kepada kami kekuatan untuk menghindarinya, Amin.
No comments:
Post a Comment