Cinta dalam Islam adalah sesuatu yang unik, suci, jujur dan amanah. Ianya tidak akan ada melainkan dengan ikatan perkahwinan yang sah. Islam mengajar umatnya supaya bercinta dalam bentuk yang sah dengan penuh jujur, amanah, menjaga maruah dan beradab. Semuanya tidak wujud dalam cinta sebelum berkahwin. Daripada Ibn ‘Abbas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kami tidak melihat bagi dua orang yang berkasih sayang seperti perkahwinan. (Ibn Majah: no. 1847)
Cinta dan kasih di antara dua insan tidak dapat menandingi cinta hasil hubungan perkahwinan yang dibina menurut syarak. Cinta yang tidak kena pada tempatnya dan sebelum masanya dianggap sebagai penyakit merbahaya kerana ia lari dari sifat dan cara asalnya. Dalam satu hadis mengenai ada 3 perkara seseorang akan dapat merasai kemanisan iman iaitu apabila dia mencintai Allah dan Rasul melebih cinta kepada dirinya, dia tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah dan dia benci untuk melakukan maksiat sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka. Justeru itu sebelum menyintai seseorang atau sesuatu, hendaklah cinta dan kasihnya kepada Allah dan Rasul bertunjang teguh dalam diri. Jika ini berlaku, maka seseorang tidak akan berani menyintai sesuatu yang tidak harus baginya.
Cinta sebelum berkahwin mengundang pelbagai kemungkinan. Bermula dengan terpesona dengan wanita atau lelaki. Inilah yang dinamakan fitnah. Apabila penyakit terpesona ini terjadi ia merebak kepada temujanji (dating) atau chatting/twitting/facebooking etc lalu melarat kepada berdua2an (bercouple) dan bersunyian, kemudian menjadi lebih mesra, jadi gurauaa dan khayalan. Walaupun pada asalnya dia mempunyai niat yang baik namun, niat yang baik tidak sekali-sekali mengharuskan sesuatu yang tidak harus.
Terjeratnya seseorang dalam perangkap cinta mengundang pelanggaran batasan syariat antaranya:-
1 - Pandangan mata yang tidak terkawal akibat terfitnah dan terpesona panahan mata kekasih.
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Nur: 30)
2 – Terpikat dan terpesona dengan kata-kata dan suara yang lunak
Apa yang selalu berlaku di kalangan pasangan bercinta ialah suka berbual sehingga dalam perkara yang tidak mendatang manfaat sama ada secara bersemuka, talian telefon mahupun internet.
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)
Walaupun perintah menjaga kata ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. ia juga merangkumi ummatnya kerana mempunyai illah (sebab hukum yang sama, iaitu kata-kata yang manja dan lunak itu ada pada orang perempuan.
3 - Hati yang menyembunyi pelbagai perasaan
Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati. (Surah Ghafir: 19)
Allah s.w.t. mengetahui persuatan seseorang mencuri pandangan kepada orang yang bukan mahramnya, dan perasaan jahat atau baik yang yang tersembunyi di dalamnya.
4 - Hawa nafsu bergelora dalam diri
Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya; (Surah al-Nur: 33)
Perintah Allah s.w.t. supaya menjaga kesucian diri dan mengawal hawa nafsu dengan cara menjaga pandangan, bersabar dan berpuasa
Cinta sebelum berkahwin bukan satu jaminan kepada kebahagiaan akan datang. Alam percintaan adalah sesuatu ilusi, yang tidak realistik, penuh khayalan dan mengelirukan. Sekian ramai pasangan yang dilamun cinta mendirikan rumah tetapi usia perkahwinan mereka lebih singkat daripada tempoh bercinta. Tidak terkecuali orang yang bertunang terputus tunang di pertengahan jalan. Jika sudah terperangkap maka hendaklah menyegerakan perkahwinan kerana ia satu-satunya jalan pengubatannya.
Jika hati terpikat terhadap seseorang atau apabila sudah sampai masa untuk berkahwin, mintalah keluarga merisik calon. Ini lebih beradab dan bertanggungjawab daripada melakukan sendiri. Oleh kerana perkahwinan melibatkan banyak aspek kepentingan, tanggungjawab, persaudaraan dan kekeluargaan maka semestinya ia bermula dengan cara yang penuh hikmah, betul serta penuh ketaqwaan bukannya terikut-ikut dengan budaya asing. Perkahwinan bukan hanya didirikan atas dasar cinta sahaja tetapi tanggungjawab dan juga amanah.
abuyusoef wa ummu yusoef
10 mac 2011
No comments:
Post a Comment