Justeru itu semangat berjama’ah yang ditanam oleh Allah SWT melalui perintah dan tuntutan terhadapnya juga terkandung maksud atau matlamat yang tertentu untuk dipertanggungjawabkan ke atas batu jemala jama’ah Islam.
Untuk menjelaskannya lagi sayugialah diketahui, matlamat jama’ah Islam sepanjang zaman ialah seperti berikut:
1. Mengabdikan diri kepada Allah SWT
2. Mempelopori kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar
3. Menyampaikan risalah Islam kepada manusia seluruhnya
4. Menghapuskan fitnah dari berkuasa di muka bumi ini
Adapun matlamat-matlamat ini tetap tidak berubah walaupun pada masakini adanya matlamat-matlamat lainnya di mana setelah berlakunya fenomena-fenomena yang tertentu yang menuntut kepada pembaharuan. Namun keterangan selanjutnya bukanlah di sini tempatnya.
Mengabdikan diri kepada Allah SWT
Firman Allah SWT :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Az-Zariyat : 56)
Menyembah Allah s.w.t dengan pengertian menjadi hamba kepada Allah dengan memberi ketundukan kepadaNya dalam semua aspek kehidupan dan menjauhi Taghut yang mendorong manusia menjadi hamba kepada keduniaan. Di mana ianya adalah di antara penyakit yang sangat berbahaya yang berpunca daripada aqidah yang tercemar walhal kita diciptakan untuk bertanggungjawab (menyempurnakan tugas-tugas yang telah ditetapkanNya) sebagai hamba kepadaNya. Sesungguhnya kehidupan dan kematian adalah ujian. Setiap perbuatan akan mendapat pembalasan dari Yang Maha Pencipta.
Mempelopori kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar
Firman Allah SWT :
Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
(Ali Imran : 110)
Demikianlah kemuliaan dan keistimewaan yang telah diberikan oleh Allah Ta’ala kepada ummat Islam selagi mereka tetap setia menjalankan tugasnya yakni melaksanakan tiga dasar Islam yang utama itu, iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan serta beriman kepada Allah Azza Wa Jalla dengan sebenar-sebenarnya.
Sayugia diketahui pula, perbuatan orang-orang munafik adalah menyalahi matlamat dan pelaksanaannya oleh golongan yang beriman.
Firman Allah :
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.
(At Taubah : 67)
Menyampaikan risalah Islam kepada manusia seluruhnya
1. Firman Allah SWT :
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(As-Syura : 21)
2. Firman Allah :
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
(Al A’raaf : 54)
3. Firman Allah lagi:
Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
(Al Ahzab : 3)
Jelasnya adalah haram sama sekali memberi hak Allah Yang Maha Mentadbir (Rubuubiah) kepada individu, masyarakat atau mana-mana kekuasaan dimuka bumi ini.
Matlamat menyampaikan risalah Islam kepada manusia seluruhnya supaya tunduk dan patuh kepada pentadbiran sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT adalah bererti menyebarkan rahmat ke seluruh alam. Perjuangan menegakkan agama Islam yang syumul (iqamat al din) ini pasti mendapat kurniaan kejayaan dari Allah Yang Maha Kaya. Di mana terangkum dalam kejayaan itu ialah keselamatan, kedamaian dan kesejahteraan sepertimana terkandung di dalam maksud kalimah Islam itu sendiri.
Menghapuskan fitnah dari berkuasa di muka bumi ini
Firman Allah SWT :
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa yang mereka kerjakan.
(Al-Anfal ayat 39)
Al Qur’an telah menjelaskan bahaya fitnah dan halangan dakwah Islamiah oleh kuasa-kuasa kuffar yang mereka adakan di sepanjang jalan dalam menyekat dakwah Islamiah. Sejarah lampau perkembangan dakwah semenjak pengutusan para Anbiya’ terdahulu lagi sentiasa ditentang dan cuba dimusnahkan oleh golongan ini.
Secara sinopsis atau ikhtisar sejarah dakwah pada zaman Rasulullah SAW. Yahudi Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’ serta golongan musyrikin pernah menjadi penghalang kepada dakwah Islamiah pada waktu tersebut. Di mana mereka sentiasa bermain tipu muslihat kemudian menentang secara nyata. Mereka bersatu untuk mencabut akar aqidah ummat Islam serta perkembangan Islam. Mereka adalah golongan musuh yang sangat keras menentang sebagaimana terungkap di dalam al Quranul Karim.
Namun dengan petunjuk Allah kepada Nabi SAW sebagai pemimpin jama’ah Islam ketika itu, ummat Islam sentiasa berjaya melepasi segala halangan dan rintangan yang menghalangi mereka. Kemenangan yang diharapkan oleh gerombolan-gerombolan musuh di dalam peperangan demi peperangan akhirnya hanya mendapat kekalahan dan kekecewaan apabila berdepan dengan tentera Islam yang dipandang mereka dari segi fizikalnya lemah dan serba kekurangan.
1. Firman Allah :
Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. oleh itu janganlah engkau (Wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain. Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung - sesudah kaum Nabi Nuh itu - telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. maka (lihatlah) Bagaimana kesan azabKu!
(Al Mu’min : 4-5)
2. Firman Allah :
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam) itulah petunjuk yang benar". dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
(Al Baqarah : 120)
3. Firman Allah :
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.
(Al Maa’idah : 82)
Sayugia difahami permusuhan pihak-pihak musuh terhadap kaum Muslimin sebenarnya terbit hasil dari permusuhan mereka terhadap agama Islam yang dianuti kaum Muslimin itu sendiri. Mereka amat dengki dan membenci Islam serta memusuhinya kerana ia (Islam) menghapuskan setiap dakwaan dan dakyah kotor mereka, sekaligus membongkarkan komplot jahat dan tipu daya yang cuba dilakukan oleh mereka. Mereka menganggap Islam adalah batu penghalang utama mereka. Tidak ada yang berdiri untuk melawan segala makar jahat yang direncanakan mereka melainkan agama Islam dan kebenarannya. Sesungguhnya mereka adalah golongan yang amat haloba dengan dunia.
Firman Allah :
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik.
(Al Baqarah : 96)
Untuk menjelaskan lagi hal ini, renungilah ungkapan dalam untaian kata-kata oleh Ruba’i ibnu Amir kepada Rustam; panglima perang Parsi :
جئنا لنخرج الناس من عبادة العباد الى عبادة الله الواحد القهار، ومن جور الأديان الى عدل الاسلام
Kami telah datang untuk membebaskan manusia dari pengabdian kepada sesama manusia kepada perhambaan (dan kebaktian) kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dan (membebaskan manusia) dari kezaliman agama-agama yang lain kepada keadilan agama Islam.
No comments:
Post a Comment