Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Monday, June 13, 2011

Penyakit Isti'jal (Gelojoh) mendorong al-futur


Seorang da'ie, hendaklah sentiasa mengawal dirinya dari bersikap Al  Isti'jal, atau dalam erti kata yang lain melakukan persediaan gerakan Islam ini perlu seperti lebah mentadbir sarangnya, di mana lebah terus berfungsi dan bergerak cergas tanpa sebarang pengabaian walaupun seketika sama ada  siang atau malam. Mereka sama sekali tidak mengabaikan setiap  peluang yang diperolehi. Apabila hasil diperolehi ia diterima dengan penuh ketenangan dan keselesaan. Jangan sama sekali bertindak gopoh ke atas sesuatu yang belum tiba masanya.

Sememangnya usaha memartabatkan Islam sering kali dicemari dengan pelbagai anasir asing yang pada hakikatnya di luar kerangka ajaran Islam itu sendiri. Kita biasa mendengar suara-suara bersemangat dan penuh emosi mencanangkan agar Islam kembali didaulatkan dengan apa cara sekalipun. Semangat berkobar-kobar untuk melihat Islam kembali tertegak dalam masa singkat lantas mendorong tingkah dan perilaku gopoh dan terburu-buru yang akhirnya mengundang fitnah dan kebinasaan.

Seperti yang disebut oleh Dr. Sayid Mohamad Nuh, isti’jal merupakan salah satu penyakit yang banyak diderita oleh para da’i, sehingga seringkali hal ini meskipun diiringi dengan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi. Gerakan Islam masa kini adalah tidak terkecuali dari menentukan kedudukan strategi menempuhi fenomena isti'jal ini. Marilah kita renungi kata-kata berikut yang penuh dengan cahaya di sepanjang jalan.

"Sesungguhnya medan untuk bercakap berlainan dari medan merancang, dan medan berkerja berbeza dengan medan bercakap, dan medan berjihad pula berbeza dengan medan beramal. Medan berjihad yang betul berbeza dengan medan berjihad yang salah. Agak mudah bagi kebanyakan orang untuk berteori dengan perancangan itu dan ini. Tetapi bukan semua teori yang berada di kepala mampu diukir ungkapannya melalui lisan. Dan sesungguhnya ramai yang mampu bercakap, tetapi agak sedikit dari kalangan mereka yang konsisten diperingkat amal dan tindakan. Dan ramai pula dari bilangan yang sedikit tadi mampu berkerja, tetapi sedikit pula dari kalangan mereka yang mampu menanggung bebanan jihad yang begitu berat, dan kerja-kerja yang begitu mencabar. Mereka inilah mujahid yang sebenar dan mereka terdiri dari bilangan yang kecil dari puak Ansar. Sungguhpun demikian, kadangkalanya mereka tersalah jalan, dan tidak menepati sasaran kiranya mereka tidak diberi pertolongan dari Allah. Dalam kisah Thalut akan menjelaskan lagi apa yang kami katakan".

"Maka bersedialah diri kamu dan dedahkannya dengan tarbiah yang betul dan ujian yang halus. Maka ujilah diri kamu dengan berkerja. Bekerja keras memang tidak menyeronokkan bahkan membebankan. Oleh yang demikian, hendaklah dihapuskan perasaan dan keinginan berehat serta cara hidup selesa. Kamu jangan sama sekali mensia-siakan setiap saat yang dimiliki tanpa berkerja. Maka pada ketika itu kamu akan mendapat pertolongan dan sokongan juga kemenangan dari Allah".

Sikap isti‘jal ditolak oleh agama, apatah lagi jika ia wujud dalam gerakan Islam ia mestilah ditangani sebaiknya. Rasulullah S.A.W pernah diminta oleh Khabbab bin Al Arat agar memohon kemenangan kepada Allah yang segera kepada Islam. Katanya,"Mengapa engkau Ya RasulAllah tidak mendoakan kita? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?"

Lantaran itu, Nabi dengan muka merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda,"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga menggelupas daging dari tulang dan dibelah dua badannya dengan gergaji, tetapi hal itu tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, Dia akan memberikan kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadaral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga pengembala tidak bimbang dengan jagaan kambing-kambingnya terhadap ancaman serigala, tetapi kamu minta disegerakan!" (Riwayat Bukhari).

Pertolongan Allah itu pasti dan dekat, tetapi ia mempunyai masa dan tempoh waktu tertentu yang hanya diketahui Allah. Sebab itulah Rasulullah sentiasa berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersabar dan mendidik mereka supaya memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum tiba masanya. Ini diperkuatkan dengan firman Allah Taala,"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214)

Al Isti'jal mempunyai rupa bentuk dan wajah yang bermacam-macam di antaranya:
1]. Mereka yang dilibatkan dengan jamaah dakwah sebelum sampai ke tahap wajar dan sebelum dikenal pasti tentang keilmuan, kemampuan dan persediaan mereka.
2]. Memertabatkan setengah-setengah pendakwah ke tahap yang tinggi sebelum mereka matang dan stabil keperibadiannya.
3]. Melakukan tindak tanduk liar walaupun kecil yang tidak berfedah dan merosakkan dakwah.

Sifat tergesa-gesa ini adalah sebahagian dari watak manusia, seperti yang dinyatakan Allah Taala :

“Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa” (Al Isra':11).

“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa” (Al Anbiya':37)

Oleh karena itu, isti’jal itu adalah suatu tabiat yang pasti ada pada seorang manusia. Begitupun, ada kalanya sifat ini dibolehkan apabila persiapannya telah matang dan telah menguasai medan serta mempertimbangkan masak-masak akibat-akibat yang akan terjadi, sebagaimana kisah nabi Musa A.S.

"Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaum-mu wahai Musa. Berkata Musa; Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada-Mu ya Rabb-ku supaya Engkau redha (padaku)" - (Toha:83-84)

Sebaliknya, jika ia hanya bermodalkan emosional, semangat dan dorongan jiwa yang tidak berteraskan hati yang ikhlas mengharap redha Allah, maka di sinilah isti’jal merupakan sebuah ‘penyakit’.

Memerhatikan tahapan masa merupakan sunnatullah atau proses tabi'ie yang Allah wujudkan sebagai salah satu cara untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan manusia. Sebab itulah sesuatu perkara tidak akan disegerakan sebelum cukup tempoh waktu yang telah ditentukan baginya. Sememangnya tanaman apabila dituai sebelum masak dan buah dipetik sebelum tiba waktunya, tidak akan menghasilkan manfaat yang diharapkan malah kadangkala mendatangkan mudarat dan tidak bermanfaat.

Begitu juga dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai dengan hanya bermodalkan semangat semata-mata. Ia juga bukan sekadar melayani gelodak emosi tanpa memperhitungkan natijah dan akibatnya. Sebaliknya penggarapan terhadap usaha pemartabatan Islam atau amal Islami harus dilakukan secara dewasa, matang dan penuh perhitungan.

Apa yang perlu diingati bahawa Al Isti'jal, tidak sepatutnya dibawa masuk sama sekali ke dalam manhaj gerakan Islam semasa. Petikan As Syahid Imam Hassan Al Banna ini seterusnya merupakan sebahagian dari manhaj gerakan Islam memperakui kenyataan di atas. Beliau memberikan peringatan khusus kepada golongan yang diistilahkan sebagai ‘al mutahammisun al muta‘jiluw (orang-orang yang terlalu bersemangat dan gopoh), di mana beliau tidak akan bersama dengan mereka yang mahu memetik buah sebelum benar-benar masak, aau menuai sebelum masuk musimnya;

"Wahai saudara-saudara kaum Muslim yang begitu bersemangat dan begitu tergesa-gesa. Dengarlah dari saya ucapan yang terulung dari mimbar muktamar kamu ini di mana jalan yang kamu terokai ini telah digariskan plan tindakannya serta agenda-agenda yang ditetapkan sempadannya. Saya sama sekali tidak akan melanggari sempadan ini, di mana saya begitu yakin bahawa ia merupakan jalan yang begitu selamat untuk sampai ke matlamat yang dituju".

Sememangnya jalan yang sedang dilalui ini agak jauh, tetapi disana tidak ada pilihan lain. Sesungguhnya ketrampilan seorang lelaki itu ialah melalui kesabaran, kesungguhan dan amal yang berterusan. Sesiapa sahaja dari kalangan kamu yang ingin memetik buah sebelum ia masak atau memetik bunga sebelumnya ianya mekar, maka saya sama Sekali tidak akan bersama dengannya. Orang yang bersikap demikian adalah lebih baik untuknya meninggalkan gerakan dakwah ini dengan menyertai gerakan dakwah yang lain. Bagi siapa yang terus bersabar bersama saya sehinggalah bertunas biji yang disemai dan tumbuh pokok yang ditanam, juga masak buah yang sedang memutik hingga sesuai untuk dituai, maka ganjarannya terpulanglah kepada Allah. Kita sama sekali tidak akan kehilangan ganjaran sebagai orang-orang yang berbuat baik. sama ada kita menang dan memperolehi kedaulatan atau kita syahid dan memperolehi kebahagian.

Saudaraku kaum Muslimin, kawallah dorongan perasaan dengan pertimbangan akal. Pastikan segala perancangan menepati hakikat dan realiti, dan hendaklah kamu mencari kebenaran di dalam khayalan (teori) yang melangit dan janganlah pula kamu terlalu cenderung kepada apa yang kamu ingini sehingga kamu mengabaikan (keputusan) yang lain tergantung-gantung. Kamu jangan sekali-kali bertembung dengan tabiat alam kerana ia tetap akan menang (melakukan perintah Allah secara istimrar).

Saudara kaum Muslimin, sesungguhnya kamu berusaha di jalan Allah dan mencari pahala serta inginkan keredhan-Nya. Kesemuanya itu adalah terjamin ke atas kamu selagi mana kamu ikhlas di dalam perlakuan dan tindakan. Allah sama sekali tidak membebankan tentang natijah atau hasil yang kamu capai. Tetapi apa yang dibebankan ialah kebenaran arah yang dituju (amal yang kita lakukan) dengan persiapan yang baik dan kemas. Selepas kita memenuhi semua tuntutan diatas, maka tindakan yang kita lakukan mungkin silap atau mungkin benar. Kiranya kita tersilap maka kita akan diberi ganjaran pahala sebagai amilin yang berjuang. Seandainya kita benar maka kita akan memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagai amilin yang berjaya dan menepati fungsinya".

Kata Imam Hassan Al Banna lagi,"Kamu hendaklah berkerja. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu. Allah sama sekali  tidak akan mengabaikan amalan kamu. Kejayaan hanya akan dicapai oleh mereka yang berkerja. Dan Allah sama sekali tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah begitu amat pengasih dan penyayang kepada sekalian manusia".

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman