Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Monday, June 13, 2011

PERLUKAH KITA BERMAZHAB???


Soalan : Mazhab-mazhab fikah yang dijadikan rujukan dan panduan sehingga sekarang ini, ditulis entah kurun ke berapa dan mazhab-mazhab tersebut telah melalui zaman yang terlalu jauh dengan masa kini. Bolehkah kita merujuk kembali kepada hukum-hukum fikah dalam mazhab-mazhab tersebut, sedangkan Rasulullah mengarahkan kita untuk merujuk kepada dua sumber utama dalam ajaran Islam, dan dengan Al Quran dan Sunnah itu sendiri kita mampu mencari jawapan pada hukum-hukum mengenai persoalan feqh. Semoga jawapan Dato' merungkai kekeliruan ini. Terima Kasih Dato'.
[Dijawab oleh Dato' Dr.Haron Din] - Kekeliruan anda adalah juga kekeliruan ramai orang sejak akhir-akhir ini. Mungkin kerana terpengaruh dengan kata-kata sesetengah ilmuan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda (mafhumnya) : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quranul Karim dan Sunnah-Sunnahku". (Hadis Sahih)

Mafhum secara mendatar kepada hadis ini memanglah sejajar kepada yang anda sebut, iaitu Nabi S.A.W menyuruh kita berpegang kepada Al Quran dan Sunnah, tidak yang lain. Tetapi adakah itu maksud sebenar yang dikehendaki oleh Baginda?

Jika hendak digunakan hadis sebegini untuk mengelirukan orang awam, memang mudah. Hujahnya, Nabi suruh ikut Al Quran dan Sunnah, mengapaperlu ikut ulama ataupun mazhab?

Perkara utama yang kita kena benar-benar faham, bahawa mazhab-mazhab fikah yang muktabar (boleh diterima pakai) adalah mazhab empat yang terkenal iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Mazhab-mazhab ini masih wujud. Ia diistilahkan sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ulama-ulama umumnya bersetuju dan mengakui bahawa keseluruhan mazhab ini tidak menyalahi Al Quran dan Sunnah.

Oleh kerana itu, mengikut mazhab bererti mengikut Al Quran dan As Sunnah, mengikut tafsiran mazhab-mazhab yang terbabit. Jangan sesekali anda menerima kata-kata bahawa berpegang dengan mazhab bererti membelakangi Al Quran dan As Sunnah. Tidak begitu dan sekali-kali tidak.

Berpegang dengan mazhab adalah juga memiliki maksud berpegang dengan Al Quran dan As Sunnah. Pengasas-pengasas mazhab fikah Islam, terdiri daripada ulama-ulama besar yang menghafaz Al Quran dan menghafaz banyak Hadis. Mereka amat mahir dengan Al Quran dan As Sunnah, ingatan mereka terhadap kedua-dua sumber ini amat menakjubkan.

Mereka dianugerahkan akal dan ingatan yang cukup hebat. Ketakwaan yang sungguh genuine (tulen). Mereka amat takut kepada Allah. Takut mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah.

Mazhab-mazhab ini adalah merupakan tafsiran kepada nas-nas hukum dan memperincikannya berdasarkan kefahaman mereka yang mendalam berdasarkan nas syarak. Kelainan dan berbezanya pendapat mereka antara satu sama lain dalam sesuatu masalah, menunjukkan kefahaman mereka kepada nas-nas syarak dan yang mereka berbeza pada umumnya berkaitan dengan soal furu' (cabang), serta dalam ruang lingkup yang dicapai akal mereka, memecahkan kebuntuan dalam menetapkan sesuatu hukum.

Perbezaan ini bukannya menyanggahi sesuatu hukum, malah melebar-luaskannya bagi kemudahan umat Islam mengamalkannya. Tugas mereka ini dipanggil sebagai ijtihad. Ijtihad mereka diperjelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis sahih Baginda (mafhumnya) : "Sesiapa yang berijtihad dan ijtihad mereka bertepatan dengan kehendak syarak, maka Allah memberikan kepadanya dua pahala. Seandainya ijtihad mereka tersasar dengan tidak sengaja maka Allah memberikan kepadanya satu pahala".

Malah ada kaedah yang menyebut bahawa : "Setiap yang berijtihad itu adalah betul".

Bukan sahaja mazhab-mazhab itu yang berbeza, malah antara para Sahabat Baginda sendiri pun menghadapi situasi yang sama iaitu berlakunya perbezaan pandangan sesama mereka, sedangkan mereka berpegang kepada punca hukum yang betul lagi sahih berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Inikan pula pada zaman tabi'en dan selepas tabi'en, iaitu zaman yang kemudiannya disebut atba' at tabi'en.

Tentulah akan berlaku perbezaan pendapat. Ini perkara biasa, seperti juga ulama zaman kita ini. Seluruh ulama berpandukan kepada satu sumber hukum yang sama iaitu Al Quran dan As Sunnah, akan tetapi kefahaman mereka dan tafsiran mereka berbeza. Maka perbezaan itulah dijadikan mazhab oleh orang-orang terdahulu.

Adapun sekiranya anda atau mana-mana orang mampu dan benar-benar mampu memahami Al Quran dan As Sunnah tanpa berhajat untuk merujuk pendapat mana-mana mazhab, maka anda boleh berijtihad sendiri dan mengeluarkan hukum sendiri.

Hukum itu disebut hukum ijtihad. Persoalannya, mampukah anda berbuat demikian?

Jika mampu silakan. Akan tetapi sekiranya kita masih meraba-raba mencari tafsiran dan tidak dapat kita pastikan tafsiran kita betul atau tidak, maka yang mudah dirujuk adalah kepada pendapat atau tafsiran yang wujud seperti dari sumber-sumber mazhab yang saya telah sebutkan.

Jika boleh melebihi mereka, maka teruskan berbuat demikian.

Yang nyata, keilmuan kita tidak sampai sebagaimana yang dimiliki oleh pelopor-pelopor mazhab ini. Kita jauh tertinggal dalam serba serbi. Ilmu kita terhad, akal kita terhad, kepakaran pula lintang pukang, kepintaran mendalami dan memahami nas-nas syarak sering terbantut. Macam-macam lagi kelemahan yang kita ada berbanding dengan ulama-ulama mazhab yang terdahulu.

Maka jalan yang selamat adalah, anda kajilah pandangan-pandangan dalam mazhab ini dan tarjih (pilih) yang mana kal kita yakin dengan hakikat hukum. Itulah dia mazhab, dan ia tetap relevan untuk pegangan kita sekurang-kurangnya sehingga ke hari ini. Mazhab-mazhab fikah dengan segala perbendaharaan hukum-hukum yang ada dalam kitab-kitab terdahulu, masih dilihat sebagai suatu khazanah ilmu yang tinggi nilainya.

Umat Islam pada setiap zaman diajak untuk menghasilkan hukum-hukum fikah berdasarkan kepada keperluan semasa, dengan berijtihad dengan hukum-hukum baru untuk diketengahkan kepada masyarakat. Jika ini boleh, maka semua pihak mengalu-alukan. Sekian, wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman