Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Tuesday, July 26, 2011

Ibadah Pengidap Kencing Tidak Lawas

Sebahagian dari masyarakat umat Islam ada yang menghidapi penyakit kencing tidak lawas yang kemudiannya menyebabkan timbul keraguan dalam menjalani ibadat solat.  Terdapat kes-kes seperti selepas usai solat fardu masih kedapatan sedikit air kencing (air itu tidak terkena pakaian) di permukaan lubang kemaluan.   Persoalannya adakah sah solat yang telah dilakukan itu?.  Adakah  perlu seseorang berwuduk semula untuk mengulangi solat dan adakah seseorang itu perlu membalut kemaluannya untuk mengelak daripada air itu terkena pakaian solat atau air itu dimaafkan apabila terkena pakaian solat?

Antara syarat sah sembahyang di dalam Islam ialah sucinya pakaian dan tubuh badan daripada sebarang jenis najis. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran Al-Karim:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 

Bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang bersih; sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur”. [Surah Al-Maidah: 6]
Demikian juga firman Allah SWT:
 وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Bermaksud: “Dan pakaianmu bersihkanlah”. [Surah Al-Muddathir: 4]

Sementara Sunnah Nabawiah pula menjelaskan kepentingan dan keperluan bersuci daripada air kencing dan membersihkannya daripada pakaian dan tubuh badan. Antaranya Rasulullah SAW menggesa: “Bersucilah olehmu daripada air kencing”.

Di samping itu, terdapat sebuah hadith yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW melalui dua buah kubur dan bersabda: “Sesungguhnya keduanya diazabkan, seorang daripadanya kerana tidak membersihkan air kencingnya dan seorang lagi kerana mengadu domba”.

Berdasarkan nas-nas yang dikemukakan ini dan juga nas-nas lain (yang berkaitan), fuqaha’ Islam bersepakat menyatakan bahawa wudhu’ itu terbatal dengan keluarnya sesuatu daripada qubul ataupun dubur secara mutlak ketika dalam keadaan sihat. Manakala jika keluar pada waktu berpenyakit seperti dedas, mereka yang menghidapi penyakit ini diletakkan dalam kategori yang diuzurkan. Fuqaha’  dari mazhab Syafi’e dan Hanbali juga menetapkan agar mereka yang berpenyakit seperti ini mengikat atau menutup lubang (tempat keluar air kencing) bagi menghalang keluarnya air kencing tersebut. Itupun berdasarkan kepada kadar kemampuan yang dimiliki olehnya. Ini bertujuan mengelakkan daripada air kencing tersebut mengenai pakaiannya atau mengenai masjid serta mengurangkan najis yang keluar.

Dalam hal ini juga, para fuqaha’ berselisih pendapat berkenaan dengan had atau kadar yang dikatakan dedas itu sehingga pengidapnya dikatakan berada dalam keadaan uzur.

Dalam Mazhab Maliki, dedas itu berlaku ketika waktu sembahyang atau sebahagian daripadanya. Ia juga tidak menentu dan tidak mampu untuk disembuhkan dengan rawatan yang dijalani. Dalam Mazhab Hanafi pula dikatakan orang yang mempunyai penyakit kencing dedas ini dan tidak mampu menahannya dikatakan sebagai orang yang diberikan keuzuran. Sabit uzurnya itu bermula apabila berterusan keluarnya air kencing dalam tempoh satu waktu yang penuh bagi satu-satu solat fardhu. Manakala dalam Mazhab Imam Ahmad dikatakan uzur apabila berlanjutan keluarnya air kencing tanpa putus dalam satu waktu yang luas untuknya bersuci dan sembahyang.

Hukum yang diuzurkan ini menurut Mazhab Hanafi, hendaklah mereka yang berpenyakit itu berwudhu’ bagi setiap waktu solat. Dia juga boleh sembahyang fardhu dan sunat dalam waktu tersebut. Apabila keluarnya waktu itu, wudhu’ dalam waktu sebelumnya itu batal dan perlu berwudhu’ kembali setelah daripada itu.

Mengikut mazhab Syafi’e pula, seseorang itu hendaklah berwuduk selepas masuk waktu solat bagi setiap solat fardhu (samada solat tunai atau qadha’) dan boleh diteruskan dengan solat sunat rawatib bagi solat fardhu itu. Setelah itu, wuduknya terbatal.

Dalam Mazhab Maliki wuduk bagi orang yang dedas tidak batal selagi tidak kencing dengan cara yang yang normal, pendapat Mazhab Hanbali lebih kurang sama dengan dengan Mazhab Maliki dari segi asasnya.


My Prayer, Life and Death… for Allah

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman