PENGENALAN EKONOMI ISLAM
Islam merupakan agama samawi yang lengkap meliputi segala aspek dalam pelbagai samada dari aspek kerohanian, kebendaan dan jasmani. Islam bukan sahaja merupakan akidah semata-mata tetapi ia juga meliputi peraturan mengenai politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Rasulullah saw sendiri melaksanakan pemerintahan di Madinah Al-Munawwarah yang meliputi aspek-aspek ekonomi seperti mengadakan pasar muamalat secara Islam. Dari sini ekonomi Islam telah berkembang berdasarkan syariat Islam bagi membentuk peradaban dunia yang beretika dan berakhlak tinggi. Islam menyediakan sebuah sistem ekonomi yang sempurna di dalam mempergunakan sumber-sumber yang dikurniakan oleh Allah bagi memenuhi keperluan-keperluan yang dikehendaki oleh semua manusia, serta menyediakan keadaan-keadaan yang dapat menjadikan kehidupan ini lebih selesa. Islam menganggap kekayaan sebagai satu amanah dari Allah dan mestilah digunakan dengan baik kerana ia adalah satu ujian akidah dan pemilikan manusia hanya sebagai pemegang amanah, yang diamanah dengan tujuan mencapai objektif-objektif Allah. Dua objektif yang terpenting ialah kesejahteraan manusia sejagat dan keadilan sosioekonomi.
Ekonomi Islam
Kedatangan Islam sejak 14 kurun yang lalu telah membawa asas-asas dan panduan yang lengkap bagi membentuk dan melaksanakan ekonomi Islam walaupun nas-nas al-Quran mengenainya adalah secara umum kecuali nas-nas mengenai harta pusaka yang diturunkan secara detail dan lengkap. Ekonomi ini telah dilaksanakan pada pemerintahan baginda Rasulullah, pemerintahan para khulafa’ al-Rasyidin dan pemerintahan selepas itu. Maksud ekonomi Islam ialah pembinaan etika pengurusan ekonomi yang bertepatan dengan syarak dan asas-asas ekonomi.
Dari segi istilah ekonomi Islam terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:
Pertama : Asas-asas tetap yang dikenali sebagai ‘ideologi’ yang merupakan asas-asas yang telah dijelaskan dalam al-Quran yang sewajibnya manusia patuhi. Ia merupakan perkara yang tetap dan tidak akan berubah walaupun dengan perubahan masa, keadaan dan tempat.
Kedua : Asas-asas yang berubah yang dikenali ‘sistem pengurusan’. Prinsip ini berdasarkan etika pengurusan ekonomi dan peraturannya. Ia merupakan pola-pola yang yang boleh berubah mengikut situasi keadaan, masa dan tempat serta keperluan masyarakat dan negara. Perkara ini adalah berkaitan dengan cara perlaksanaan, pengurusan bagi membina ekonomi Islam dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat yang sentiasa berubah.
Asas-asas yang tetap
Asas yang tetap ialah perkara yang pokok dan asas yang telah ditetapkan oleh syarak melalui al-Quran dan as-Sunnah yang semestinya dipatuhi oleh umat Islam sepanjang masa dan tempat. Ia dikenali sebagai “Ideologi ekonomi Islam” (Mazhab Iqtisodi al-Islami). Di antara perkara yang tetap yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah mengenai ekonomi ialah :
1.Tuhan ialah Pemilik.
Segala harta perbendaharaan di semesta alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya diberi amanah untuk memelihara dan menjaganya.
Firman Allah yang bermaksud : Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi” (al-Najm 31)
“Dan nafkahlah sebahagian dari harta kamu yang Allah telah jadikan kamu menguasainya” ( al-Hadid 7)
“Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di bawah perut bumi” (Taha 6)
Kefahaman manusia mengenai konsep harta yang diamanah oleh Allah untuk mereka menguruskannya merupakan aspek yang terpenting yang menjadikan manusia perlu sentiasa beriltizam dengan manhaj Ilahi. Apabila konsep “Allah ialah Pemilik” sudah tersemat dalam hatinya, maka akan lahir golongan yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan kerana kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh Allah. Ia juga merasa mulia kerana sebahagian daripada harta kekayaan Tuhan telah diserahkan kepadanya untuk diuruskan. Perlu diingatkan bahawa kesemua harta , tubuh, badan, jasad dan ruh adalah ciptaan Allah dan hak miliknya. Allah bebas memberi dan menarik segala harta jika Ia kehendaki.
Berapa ramai orang yang miskin telah menjadi kaya dan orang yang kaya menjadi miskin. Kesemua ini adalah tertakluk kepada kekuasaan dan kehendak Allah yang Maha Perkasa. Manusia hanya mempunyai tekad, usaha dan azam dalam mencari perkara yang ingin diperolehi dalam hidpnya. Dengan usaha dan tekad yang gigih manusia akan dapat sesuatu hasil dari harta kekayaan Tuhan.
Walaupun manusia mengatakan bahawa harta yang diperolehi hasil titik peluhnya tetapi sebenarnya adalah pemberian dari Tuhan untuk menguji samada manusia itu bersyukur atau tidak. Melalui keazaman dan tekad manusia menjuruskan segala usaha untuk menggunakan tubuh badan dan pancaindera yang merupakan ciptaan Tuhan dan harta Allah untuk mencari kekayaan di dunia ini. Oleh itu segala harta kekayaan yang dimiliki oleh manusia adalah milik Allah yang diamanahkan untuk kita mengurus, memelihara dan berbelanja dengan sederhana sambil bersyukur. Di hari akhirat Allah akan menanyakan setiap hambaNya mengenai harta kekayaan, dari mana dia memperolehi dan kemana dibelanjakannya.
2.Jaminan harta kepada setiap individu dan masyarakat.
Firman Allah yang bermaksud “Tahukah kamu orang yang mendustan agama itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (al-Maa’un 1-3)
“Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia sebahagian tertentu bagi orang yang miskin yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa yang tidak mahu meminta” (al-Maarij 24-25)
3.Menegakkan keadilan sosial dan perseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat.
Ekonomi Islam berteraskan keadilan dan seimbang, tidak ada jurang yang begitu jauh antara oarng miskin dengan orang kaya. Persaudaraan yang dipupuk oleh Islam akan berhasil sekiranya perseimbangan dan agihan kekayaan adalah saksama dikalangan masyarakat. Pendapatan dan pengagihan yang ketidaksamaan yang berleluasan sudah tentu akan merosakkan persaudaraan umat Islam. Islam amat menekankan keadilan sosial dan perseimbangan ekonomi supaya setiap individu dijamin dapat menikmati taraf hidup yang sempurna sejajar dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah yang bermaksud “Supaya harta itu jangan hanya beredar diantara orang-orang kaya sahaja dikalangan kamu” (al-Hasyr 7)
Ayat ini menerangkan bahawa tidak harus harta kekayaan itu hanyaa berlegar dalam satu bilangan yang kecil tanpa kelompok yang lain.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Ambillah harta dari orang kaya dikalangan kamu dan diberikan kepada orang-orang miskin.”(1)
Adalah menjadi tanggungjawab ketua negara bagi menjamin setiap individu mendapat taraf hidup yang sempurna, memberi bantuan kepada yang kurang mampu.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Tanggungan yang ditinggalkan oleh orang yang telah pergi akan menjadi tanggungjawab kita.”(2)
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang yang dijadikan oleh Tuhan pentadbir tentang hal ehwal orang-orang Islam, tetapi dia terus tidak mengambil peduli terhadap keperluan mereka dan kemiskinan mereka, Tuhan juga tidak akan memperdulikan keperluan dan kemiskinannya.”(3)
Baginda juga pernah bersabda: “Pemerintahan negara menjadi pembantu orang yang tidak ada pembantunya.”(4)
Sebuah masyarakat Islam ialah hidup dalam keadaan bantu-membantu dalam sistem ekonomi dan menjamin taraf hidup yang sempurna bagi semua anggota masyarakat. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang yang makan hingga kekenyangan sedangkan jiran tetangganya kelaparan bukanlah merupakan seorang Islam yang sejati.”(5)
Malah Islam menganggap manusia sebagai satu keluarga, hidup dalam keadaan tolong menolong antara yang kaya dengan yang miskin supaya tidak berlaku jurang yang jauh antara keduanya. Islam tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin, yang tinggi dengan yang rendah, atau yang putih dengan yang hitam. Mereka adalah sama di hadapan Tuhan dan di hadapan Hukum yang diturunkan olehNya. Tidak harus ada diskriminasi dari segi kaum, bangsa, warna kulit atau kedudukan. Kriteria yang tunggal bagi menilai diri manusia ialah watak peribadi yang mulia dan sumbangannya terhadap Islam dan kemanusiaan.
Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak akan melihat muka kamu atau kekayaan kamu, Dia akan melihat hatimu dan perbuatanmu.”(6)
“Orang yang paling mulia antara kamu adalah yang berbudi pekerti terbaik.”(7)
Saidina Umar sangat prihatin dalam persoalan keadilan pengagihan harta, setiap orang mempunyai hak yang sama dalam kekayaan masyarakat dan beliau sentiasa memastikan setiap individu masyarakat menerima bahagiannya. Pernah satu ketika beliau telah keluar malam dan didapati satu keluarga dalam keadaan kelaparan lantas beliau menanggung makanan dan diberikan kepada keluarga tersebut.
Saidina Ali telah menyebutkan bahawa “Tuhan telah mewajibkan terhadap orang yang kaya untuk memberi kepada mereka yang miskin apa yang mencukupi untuk mereka. Jika yang miskin kelaparan atau bertelanjang tanpa pakaian atau dalam keadaan kesusahan, ini adalah kerana yang kaya telah merampas hak mereka, dan memang layaklah jika Tuhan menuduh mereka yang bertanggungjawab terhadap perampasan ini dan menghukumi mereka.”
Para Ulamak telah hampir sebulat suara berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat Islam pada keseluruhannya, terutama sekali tanggungjawab yang kaya khususnya untuk menjaga keperluan asas bagi mereka yang miskin, dan jka yang berada tidak memenuhi tanggungjawab mereka meskipun mereka mampu berbuat demikian, negara haruslah memaksa mereka.
Oleh itu, pemerintah harus memastikan keadilan memberi hak kekayaan di kalangan anggota masyarakat dan adalah tanggungjawab orang kaya menolong orang yang miskin dengan bersedekah atau memberi zakat dan lain-lain lagi.
4.Menghormati harta-harta yang dimiliki oleh pemiliknya.
Islam mengharamkan mencuri, merompak harta orang lain tanpa ada keiizinan syarak, malah Islam menyuruh kita menghormati dan memelihara harta milik orang lain. Firman Allah yang bermaksud : “Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka kerjakan dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (an-Nisa’ 32)
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah.” (al-Maidah 38)
Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Setiap muslim atas muslim yang lain haram ke atasnya darah, harta dan maruah.”(8)
Sabda Rasulullah yang bermaksud “Sesiapa yang terbunuh bagi mempertahankan hartanya adalah syahid”. (9)
5.Kebebasan yang terikat dalam memiliki harta.
Seseorang itu bebas memiliki harta sebanyak mana yang mungkin tetapi hendaklah dengan cara yang dibenarkan oleh syariat Islam, ia tidak boleh memiliki harta dengan cara riba, peras ugut dan memakan harta anak yatim dan mengambil secara batil. Firman Allah yang bermaksud “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil” (al-Baqarah 188)
“Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (al-Baqarah 275)
6. Memakmurkan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh.
Firman Allah yang bermaksud “Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurNya” (Hud 61)
“Dan Dia menundukkan untuk kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semua (sebagai rahmat) daripadaNya” (al-Jaatsiyah 13)
“Dan carilah kurnian Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung” (al-Jumua’h 10)
7. Melarang dari membazir dan menyeru bersedekah.
Segala harta yang dimiliki hendaklah dibelanjakan secara sederhana, tidak terlalu bakhil dan tidak terlalu boros. Ia sentiasa membelanjakan harta untuk jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan” (al-Isra’ 27)
“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta mereka yang ada dalam kekuasaan kamu yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.” ( an-Nisa’ 5)
Aspek-aspek yang berubah
Aspek-Aspek yang berubah ialah khas dalam bentuk pelaksanaan dan pengurusan bagi menjayakan asas-asas ekonomi Islam dalam masyarakat yang berubah-ubah. Ia meliputi aspek perancangan, tindakan dan cara penyelesaian yang terbaik dalam masyarakat dan negara. Di antaranya ialah:
-
Menerangkan kadar kapasiti kos taraf hidup untuk setiap individu masyarakat. Perkara ini sentiasa berubah mengikut keadaan dan tempat. Pemerintah berhak menentukan kadar kos-kos tersebut.
-
Memastikan keadilan dalam pengagihan harta, menjaga perimbangan ekonomi dalam masyarakat supaya tidak berlaku jurang yang tinggi.
-
Memastikan pengeluaran yang cukup untuk keperluan masyarakat dan negara.
Menerangkan aspek-aspek jual beli yang dibenarkan oleh syara’ dan menjauhkan aspek penindasan dan riba.
Pelaksanaan teori ekonomi tersebut memerlukan kepada ijtihad semasa disebabkan perubahan tempat, masa dan perubahan sosial dan maklumat tetapi hendaklah mengikut dua aspek asas iaitu:
Pertama : Beriltizam dengan asas-asas ekonomi Islam berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
Kedua : Hendaklah mengambil hukum mengikut cara yang ditetapkan oleh ulama’ feqah seperti Qias, Istihsan, Istishab dan sebagainya.
Berdasarkan nas-nas yang berkaitan dengan ekonomi agak sedikit dan umum maka didapati para khulafa’ dan imam mujtahidin mengambil pendekatan berdasarkan situasi keadaan masyarakat ketika itu untuk maslahah umat.
Di sini kita dapati bahawa ekonomi Islam adalah gabungan antara aspek-aspek yang tetap yang dikenali sebagai “Ideologi Ekonomi” yang terdiri daripada asas-asas serta usul pokok yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah seperti menghormati harta orang lain, tidak mencuri, tidak berbelanja boros dengan aspek yang berubah-ubah yang dikenali sebagai “Sistem Ekonomi” yang sentiasa berubah-ubah mengikut cara pelaksanaan dan pengendaliannya.
Rujukan:
(1) Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
(2) Abu Daud, Sunan Abu Daud, cetaka Isa Halabi, Kaherah jilid 2 hal. 124
(3) Abu Daud, op. Cit jilid 1 hal. 481
(4) Ibid, jilid 2 hal. 122
(5) Al-Bukhari, Al-Adabul Mufrad, hal. 52:112
(6) Muslim, Shahih Muslim, jilid 4 hal. 1987:34
(7) Al-Bukhari, Shahih Bukhari, jilid 8 hal. 15
(8) Riwayat oleh Muslim
(9) Diriwayatkan oleh Nasa’ie
My Prayer, Life and Death… for Allah
No comments:
Post a Comment