Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Thursday, November 10, 2011

Ugutan buat Aziz Bari belum berdosa



Oleh: Subki Latif



Prof Dr Aziz Bari yang digantung jawatannya di UIAM dengan tali reput, kini menerima pula surat ancaman ke atas jiwanya bersama sebutir peluru. Kes itu telah dilaporkannya ke balai polis.


Semua bersetuju bahawa surat ancaman beracun itu adalah satu jenayah oleh pengirimnya baik seorang mahu pun secara berkumpul. Laporan itu perlu untuk rekod polis.

Tetapi dari pandangan Islam, sebarang niat jahat seperti yang dibuat oleh si pengirim peluru dan surat ancaman kepada Dr Aziz Bari itu belum dikira berdosa.

Malaikat yang tahu akan niatnya dan tahu dia mengantar peluru itu kepada Aziz belum mencatitnya sebagai satu dosa. Walau pun ugutan itu sah satu ancaman dan jenayah. Tetapi ia berdosa baik kecil mahu pun besar apabila niat itu dilaksanakan.

Berbeza dengan niat baik, seperti komen Aziz tentang penglibatan Raja dalam isu yang menyebabkan dia menerima peluru dan surat ugutan, jika niatnya baik untuk membuat komen itu dia dapat satu pahala. Tetapi apabila komen itu dibuatnya, dia dapat satu lagi pahala.

Bagaimana pun pengirim peluru yang sudah dikira satu jenayah, belum lagi berdosa, tetapi apabila peluangnya untuk melaksanakan niatnya, tiba-tiba dia tidak jadi melakukannya malah ia menyesal atas niatnya itu kerana takutkan Allah, maka dia dicatit sebagai orang yang beruntung. Orang yang beruntung sudah tentu ada pahala.
Apa pun surat beracun untuk Aziz itu adalah mencerminkan bentuk orang dan masyarakat yang dibentuk oleh kemerdekaan negara yang sudah 54 tahun itu.

Dengan amalan demokrasi yang sekian lama, kemajuan pendidikan pesat hingga wujud berpuluh universiti awam dan swasta, perkhidmatan polis yang bertambah canggih, pembangunan Islam menelan berbilion ringgit, sepatutnya tidak ada lagi orang berfikir seperti orang-orang istana sekeliling Melaka dulu yang memfitnahkan Hang Tuah.

Dengan perkembangan terbuka sejak mereka, tiada lagi orang yang berfikiran sempit seperti itu. Ia mungkin dibuat oleh rasa cinta dan setia yang terlalu tinggi tentang raja. Tindakan seperti itu menjadikan dia lebih setia kepada Raja dibandingkan dengan Aziz.

Raja dan kerajaan tidak akan seronok dengan tindakan mengugut terhadap Aziz itu. Ia boleh menyebabkan orang terasa, inikah rupa rakyat yang dapat dilahirkan di bawah payung raja dan istana? Inikah bentuk rakyat yang diwujudkan oleh kerajaan?

Ia sama saja dengan tindakan orang-orang yang mengusung kepala lembu dari masjid ke pejabat Menteri Besar Selangor satu masa dulu. Mungkin ada tujuan yang baik tetapi mengusung kepada lembu mnyebabkan semua orang lain merasa malu.

Ia amat jauh dari keinginan Perdana Menteri Najib Razak untuk mengisi transformasi politik dan lain-lain berpaksi kepada kaedah maqasit syariah. Antara lima cabang maqasid syariah itu adalah menjaga nyawa manusia.

Dengan seluruh manusia berhak hidup sehinggalah tiba ajalnya. Bukan mengancam keselamatan dan jiwa Aziz Bari.

Sudah begitu banyak kita bertemu dengan mati yang dibuang dan mayat ditemuai bergelimpangan di sana sini. Semuanya ini tidak mencerminkan negara menuju pelaksanaan maqasid syariah.

Penghantaran surat berpeluru kepada Aziz ada bukti tiada langsung bau ajaran maqasid syariah itu.
Langkah menggantung jawatan Aziz oleh UIAM sudah dikira tindakan seperti tindakan raja dan pembesar Singapura membunuh Hang Nadim yang menyelamatkan rakyat dari serangan todak. Pentadbiran UIAM telah malu dan menyesal atas perbuatannya ala pembesar Singapura purba itu.

Tetapi ia disambut pula oleh tukang bodek yang membabit kemuliaan istana sedang tindakannya tidak menyenangkan istana dan semua pihak bagi menjaga dan memelihara kedaulatan istana.
Raja dan kerajaan tidak berbangga adanya orang seperti itu. Ia tidak membantu raja dan kerajaan menjadi pemerintah dan pentadbir yang berdaulat dan berwibawa. Tetapi ia akan menambahkan masalah sosial dan negara.

Kalau berlaku sesuatu kepada Aziz, maka natijahnya sama seperti menghadapi isu Altantuya yang terus tidak selesai. Ketua Polis Negara tidak seronok, Peguam Negara tidak seronok dan semuanya tidak seronok. Cukuplah dengan satu kes Altlantuya Shaariibuu. Jangan ada lagi kes seperti itu.

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman