Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Thursday, July 07, 2011

Bersahabat Dengan Jin Menurut Pandangan Islam

Ada orang bertanya bolehkah manusia berkawan dengan jin islam@khadam yang taat kepada Allah untuk jaga keselamatan diri dan keluarga dari disihir orang. Apa-apa pun semuanya dari pertolongan Allah juga, cuma mereka ni perantara kita dgan Allah SWT sahaja. Yang menentukan hanya DIA. DIA yang berkehendak kena sihir ke tidak. Adakah dibolehkan?

Alam hidup jin berbeza dengan alam manusia. Kita tidak boleh melihat mereka dengan mata kasar tetapi mereka boleh melihat kita. Sejarah kewujudan jin ini diketahui sekembalinya Rasulullah SAW dari Taif selepas hampa kerana kerja dakwahnya ditolak oleh penduduk Bani Thaqif di situ. Dalam perjalanan pulang, baginda berhenti solat di satu tempat sambil membaca surah Jinn. Peristiwa itu kemudiannya membawa kepada pengislaman sekumpulan jin berkenaan yang asyik mendengar Nabi membaca al-Quran. Sebab itu, sehingga kini ada Masjid Jin di Mekah sebagai mengenang peristiwa tersebut. Ini juga bererti terdapat jin Islam dan jin kafir. Persoalan yang timbul bolehkah manusia menjalin hubungan dengan jin?

Hubungan jin dan manusia ini kalau pun boleh ia adalah amat sukar kerana manusia dan jin tidak serasi. Manusia diciptakan daripada tanah sedangkan jin daripada api. Malah tabiat dan amalannya juga jauh berbeza. Walaupun ada jin Islam, ia mungkin Islam dari segi akidah tauhid tetapi dari segi tingkah laku, makan minum dan rupanya ia amat jauh berbeza dengan manusia. Makhluk ini tidak tahu budaya manusia dan perbuatan seperti memindahkan manusia dari rumah ke hutan, misalnya, adalah biasa dilakukan oleh jin dan ia tidak dianggap salah. Hubungan dengan jin boleh berlaku melalui beberapa amalan khurafat oleh golongan yang berkehendakkan bersahabat dengan jin. 

Antara amalan tersebut adalah menjamu pulut semangat, tepung tawar, puja pantai dan puja semangat padi. Satu lagi unsur penting yang terlibat dalam proses ini adalah pemujaan termasuk menyembelih binatang dengan bacaan mentera tertentu.
 
Golongan ini mempercayai jin boleh berbuat sesuatu yang mustahil, mengetahui segala perkara sedangkan apa yang mereka minta itu di luar keupayaan jin. Ini sebenarnya menambahkan lagi kesusahan kepada manusia selain menyesatkan daripada jalan yang benar dan terpesong daripada hidayat. Kalau kita boleh berinteraksi dengan jin pun, kita ragu entah betul atau tidak apa yang disampaikannya. Bahasa yang digunakan juga mungkin berbeza dengan percakapan harian kita.  Hakikat Jin lebih takut kepada manusia sebagaimana yang disebut oleh Imam Mujahid: "Sesungguhnya jin-jin itu sama takut kepada manusia sebagaimana manusia itu takut kepada jin." 

Imam Harun bin Abdullah Al-Bazar pernah meriwayatkan suatu kisah yang dialami Abu Syura'ah, katanya: "Pada suatu malam Syeikh Yahya bin Al-Jazzat melihat aku sedang ketakutan, sehingga aku tidak berani memasuki lorong. Maka beliau berkata, "Sesungguhnya sesuatu yang kamu takuti itu lebih takut kepadamu." Ada riwayat lain oleh Ishak bin Ibrahim dari Muhammad bin Jabir dan Hamad dari Mujahid, katanya: "Jin itu lebih takut kepada manusia berbanding takutmu kepada jin. Oleh itu bila kamu diganggu jin, maka janganlah kamu lari. Sebab bila engkau lari ketakutan, maka jin itu akan menjadikan dirimu sebagai kenderaannya."

Oleh itu jelaslah bahawa jin sebenarnya takut kepada manusia. Untuk lebih jelasnya berikut adalah beberapa keterangan Al-Qur'an berhubung dengan tunduknya jin kepada manusia.
 
"Dan Kami telah tundukkan (kepada Sulaiman) segolongan syaitan-syaitan yang menyelam (ke dasar laut) untuk mengerjakan perintahnya; dan adalah Kami memelihara mereka iiu. " (Al-Anbiya': 82).

"Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung, lalu mereka itu berbaris dengan tertib." (An-Naml: 7).

"Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di bawah kekuasaan (Sulaiman) dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Jin-jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur." (Saba: 12-13).

Oleh itu ada golongan yang memberi alasan dan berhujah membolehkan membela/bersahabat dengan jin ini sebagaimana hubungan Nabi Sulaiman dengan jin. Benarkah?

 
Membela atau bersahabat dengan jin untuk mendapatkan sesuatu daripadanya adalah salah dalam Islam. Apa yang berlaku pada zaman Nabi Sulaiman, baginda telah diperintahkan melalui wahyu Allah kepadanya di mana dengan menggunakan khidmat jin, beliau memindahkan istana Puteri Balqis. Kita tidak boleh menerimanya kerana Nabi Sulaiman tidak meninggalkan syariatnya sebagaimana yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad.

Islam melarang bersahabat dengan jin walaupun untuk mendapat maklumat atau menggunakan khidmatnya untuk masyarakat atau untuk membantu kita mengatasi masalah perbuatan sihir dan sebagainya. Perkara ini boleh berlaku tetapi ia masih memerlukan kepada aspek pemujaan sebagai penghubung untuk memanggil jin-jin. Jin pun ada nafsu yang mahu dirinya dipuja. Proses interaksi ini juga bukan semudah yang disangka dan kaedah pemujaan beginilah yang dibimbangi oleh membawa kepada syirik. Apabila kita memuja jin, mereka akan menjadi lebih sombong dengan kesesatannya lebih-lebih lagi apabila sampai ke tahap jin disembah sebagai Tuhan kerana manusia mencari perlindungan daripada mereka.
 
Kegiatan pawang, ahli nujum dan sesetengah bomoh jin yang mengubati pesakit melalui jin adalah sebahagian amalan yang menyusah dan menyesatkan hidup manusia sendiri. Malah perbuatan bertenung nasib itu adalah salah satu dosa besar dalam agama. Saya tidak nafikan ada juga bomoh yang betul tetapi jin selalunya akan berbohong terutama apabila gagal menunaikan permintaan manusia. 

Bagaimana kita dapat mengelakkan diri dari gangguan jin ialah dengan mengamalkan ayat-ayat al-Qur'an antaranya:

1. Ayat Kursi

Abul Qasim meriwayatkan yang bersumberkan Ubai bin Ka'ab, bahawa ayahnya ada bercerita mengenai setor tempat menyimpan buah-buah yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap hari setor itu dijaga namun setiap hari pula ada saja barang-barang yang hilang. Pada suatu malam ia mengelilingi setor itu dan menjumpai seekor haiwan yang kecil dan aneh bentuknya. la bertanya kepada haiwan itu, "Apakah engkau manusia atau jin?" Haiwan itu mengakui bahawa dirinya adalah jin. Ditanyanya lagi, "Mengapa engkau mencuri harta milikku?" Jawabnya, "Telah sampai berita kepadaku bahawa engkau adalah orang yang suka bersedekah.

Aku ingin sekali mendapat bahagian dari sedekahmu itu." Maka ditanyanya lagi, "Apakah yang dapat menyelamatkan kami dari gangguanmu?" Jawab jin itu, "Ayat Kursi yang terdapat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 255." Pada pagi harinya Ka'ab datang ke rumah Nabi s.a.w. dan menceritakan kejadian tersebut. Rasulullah membenarkan ucapan jin itu. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam kitabnya "Al-Mustadrak."

 
2. Bismillah
 
Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis yang bersumberkan Malik bin Hamzah bin Abi Usaid, katanya: "Pada suatu hari Abi Usaid memungut hasil kebunnya dan disimpannya di suatu tempat. Tiba-tiba ada jin yang berbuat jahat dan mencurinya, lalu Abu Usaid melaporkan kejadian itu kepada Rasulullah. Jawab Nabi, "Itu adalah jin jahat yang selalu keluar malam untuk mengganggu manusia. Oleh itu dengarkanlah gerakan jin itu, kemudian bila engkau telah mengetahui akan kedatangannya, maka bacalah "بسم الله الرحمان الرحيم"
 
Ternyata apa yang diajarkan Rasulullah kepada Abi Usaid adalah berkesan sehingga jin itu lari tonggang-langgang.

 
3. Ta'awuz
 
Allah SWT  berfirman: "Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-A'raf: 200). Dalam hadis-hadis disebutkan memohon perlindungan Allah dan pengaruh dan godaan jin atau syaitan adalah dengan cara membaca "اعوذ بالله من الشيطان الرجيم"

 
4. Surah Al-Falaq dan An-Nas
 
Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis dari Al-Jarir dari Abu Nadharah yang diterimanya dari Abu Said al-Khudri katanya, "Rasulullah selalu memohon perlindungan kepada Allah dari godaan dan pengaruh jin dengan membaca Surah Al-Falaq dan An-Nas." (dikenali sebagai mu'awwizatain)

 
5. Surah Al-Baqarah
 
Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Suhail dari ayahnya dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jangan kamu jadikan rumahmu seperti kuburan, dan sesungguhnya rumah yang di dalamnya dibacakan Surah Al-Baqarah, maka syaitan pasti tidak berani mendekat."

 
6. Akhir Surah Al-Baqarah

Membaca akhir Surah Al-Baqarah adalah meringankan kaum Muslimin yang tidak mampu membaca Surah Al-Baqarah secara keseluruhan. Maka baginya cukup dengan membaca sebahagian dari Surah tersebut, iaitu dua ayat yang paling akhir sesuai dengan hadis berikut.
 
Daripada Ibnu Mas'ud Al-Ansari yang diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membaca dua ayat dari akhir Surah Al-Baqarah pada suatu malam, maka dua ayat itu sudah mencukupinya." 
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Al-Hakam dari Abu Zar bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah telah menutup Surah Al-Baqarah dengan dua ayat yang diberikan kepadaku dari gedung rahmat-Nya yang berada di bawah 'Arasy, maka pelajarilah dua ayat itu dan ajarkanlah kepada isteri dan anak-anakmu, kerana dua ayat itu merupakan rahmat."

 
7. Ayat "Hamim" Al-Mukmin
 
At-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Abi Bakar yang diterimanya daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membaca Surah Hamim Al-Mukmin sehingga kalimat "اليه المصير" (ayat 1-3) dan ayat Kursi pada waktu pagi, maka akan selamat hingga ke petang. Dan barangsiapa membaca keduanya pada waktu petang, maka akan selamat hingga pagi."

 
8. Zikir
 
Hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membaca "لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير" sebanyak seratus kali, 'maka orang itu setaraf dengan orang yang membebaskan sepuluh hamba dan ditulis baginya seratus kebajikan dan dihapuskan baginya seratus keburukan serta bacaan itu sebagai perisai bagi syaitan pada hari itu hingga ke petang.


9. Berwudhu' dan Solat
 
Air sembahyang (wudhu') dan solat adalah dua senjata yang sanggup menghalangi pengaruh dan gangguan jin. Orang yang sentiasa tidak pernah tinggal air sembahyangnya maka orang tersebut akan terhindar dari sebarang perbuatan buruk sama ada yang berasal daripada jin mahupun manusia. 
Kekuatan air sembahyang juga mampu meredakan kemarahan sebagaimana hadis Nabi s.a.w.: "Jika kamu sedang marah, pergilah ambil air sembahyang."
Sebab marah itu adalah sifat syaitan. Syaitan diciptakan daripada api, sedang api) bila disiram air akan mati, terutama air sembahyang.

 

Persahabatan Dengan Jin Islam


Berkaitan dengan persoalan bersahabat dengan Jin Islam yang taat, apa yang kita perlu fahami bahawa berinteraksi atau bergaul dengan jin merupakan sesuatu yang mengandung bahaya besar, dan ia merupakan salah satu pintu keburukan dan kerosakan. Cukuplah dalam hal ini bahawa kemusyrikan tidaklah masuk ke dalam diri manusia kecuali melalui jalan mereka (jin), sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW tentang pengajaran Allah kepada hamba-hamba-Nya, ”Dan sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hamba-Ku seluruhnya dalam keadaan lurus maka kemudian datanglah syaitan dan menyimpangkan mereka dari agama mereka. Dia mengharamkan bagi mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka serta memerintahkan mereka agar menyekutukan-Ku dengan apa-apa yang tidak Aku turunkan kepadanya suatu penjelasan.” (HR. Muslim)

Walaupun di antara golongan jin ada yang beriman dan muslim sebagaimana di antara mereka juga ada yang kafir dan fasiq namun kerana mereka tidak dapat dilihat secara zahir akan menyebabkan manusia tidak tenteram atau tidak menentu terhadap siapa pun diantara mereka (jin) dan menjadikan manusia khuatir dengan tipu daya mereka, yang boleh menyesatkan manusia kerana mereka boleh menyamar sebagai beriman sedangkan mereka kafir, fasiq atau munafiq seperti yang ada pada manusia, malah tidak mendatang manfaat seperti yang difirmankan Allah SWT:


وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan. (Surah Al Jin 72 : 6)

Untuk itu fatwa ahli ilmu mengharamkan adanya saling memberikan dengan jin dan bergaul dengan mereka secara mutlak—baik terhadap jin yang mukmin maupun kafir diantara mereka—dan yang penting adalah tidak mempermudahkan permasalahan ini serta sebagai tindakan mencegah (preventif) dari terbukanya pintu fitnah dan kecemasan, dan memelihara hati manusia untuk tetap terisi oleh fitrah imaniyah.

Di dalam al Mausu’ah al Fiqhiyah (14/18) : “Adapun meminta pertolongan kepada selain Allah SWT, baik kepada manusia atau jin, apabila meminta pertolongan kepada jin maka hal ini terlarang, kerana boleh mengakibatkan kemusyrikan dan kekufuran, sebagaimana firman Allah ta’ala yang bermaksud:
"Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." (Surah Al Jin 72 : 6)


Syeikh al Albani didalam kitabnya “As Silsilah ash Shahihah” (pada hadis no. 2760) mengatakan,”Dan sisi ini, sebahagian orang secara demonstratif mengubati manusia, yang umumnya mereka disebut dengan “Doktor Rohani (bomoh)” baik dengan cara-cara kuno berupa berhubungan dengan kawannya dari golongan jin—sebagaimana pernah dilakukan pada masa jahiliyah—atau dengan cara yang saat ini dikenal dengan menghadirkan arwah, dan sejenisnya, menurutku, “Hipnotis”, maka sesungguhnya itu semua merupakan cara yang tidak disyariatkan kerana hal itu kembali kepada meminta tolong kepada jin yang merupakan sebab kesesatan orang-orang musyrik, sebagaimana disebutkan didalam Al Qur’an al Karim yang bermaksud: “Dan sesungguhnya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, Maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah Al Jin : 6)

Setengah orang yang meminta bantuan kepada golongan jin beranggapan mereka meminta pertolongan kepada jin-jin yang soleh di antara mereka maka ini adalah anggapan yang tidak betul, kerana mereka tidaklah mungkin—umumnya—bercampur dan berinteraksi dengan jin-jin itu sehingga dapat menyingkap kesolehan atau kerosakan mereka. Kita mengetahui melalui pengalaman bahawa kebanyakan manusia yang bersahabat atau berteman rapat dengan jin-jin ternyata pada akhirnya anda mendapatkan kejelasan bahawa jin-jin itu bukanlah termasuk dari yang soleh, firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
"Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Ayat di atas membicarakan tentang manusia yang kita boleh nampak, oleh itu bagaimana pula terhadap jin yang Allah SWT sebut:
يَابَنِي ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
"Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya `auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman."


Kesimpulannya, cukuplah kita hanya berlindung dengan Allah, meminta dengan Allah dan tidak perlu meminta perlindungan dari makhluq Allah sebagai perantara kita dengan Allah. Perbuatan menjadikan perantara ini boleh menyebabkan kita melakukan perbuatan syirik, wal'iyazubillah.


Wallahu A’lam

 
My Prayer, Life and Death… for Allah

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman