Cara roh itu dipanggil atau dihadirkan oleh orang (tukang yang menghadirkannya) ialah melalui pembantunya yang telah dipukau sehingga pembantu itu tidak sedarkan dirinya. Pembantu akan bercakap-cakap atau menjawab soalan-soalan daripada tukang memanggil roh. Kononnya apa yang dicakapkan oleh pembantu itu ialah suara orang mati yang dipanggil rohnya. Suara yang dikeluarkan oleh pembantu ketika dalam keadaan terpukau itu adalah tidak sama dengan keadaannya waktu dia sedarkan dirinya. Ini membuktikan kononnya suara itu benar-benar suara orang mati yang dipanggil rohnya.Kemudian selepas memanggil roh, roh itu akan ditanya berdasarkan apa yang kita hajati, termasuk perkara seksa dan nikmat kubur bagi seseorang yang telah mati.
Benarkah dakwaan bahawa seseorang itu boleh memanggil atau menghadirkan roh orang yang telah mati? Tidak syak lagi perkara ini telah menyentuh perkara ghaib.
Adapun perkara yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib atau perkara-perkara aqidah adalah sama dengan perkara-perkara lain juga yang berkaitan dengan hokum-hakam dalam syariat yang kesemuanya itu sama-sama wajib dirujukkan kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya untuk mendapatkan keterangan dan penjelasan. Apabila ianya sabit disabitkan oleh keduanya atau salah satu daripada keduanya, maka sabitlah perkara itu, dan apabila ianya dinafikan oleh keduanya atau oleh salah satunya, maka ternafilah perkara itu, sebagaimana firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً (59)
(سورة النسأ:59)
Tafsirnya:”Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada uli al-amr (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya- jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah an-Nisa’: 59)
Roh adalah termasuk perkara yang gahib yang ditentukan oleh Allah Ta’ala dalam ilmuNya jua. Firman Allah Ta’ala:
عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (26) إِلَّا مَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (27)
(سورة الجن:26-27)
Tafsirnya: “Tuhanku sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhainya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).”
(Surah al-Jinn:26-27)
Firman Allah:
قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ (65)
(سورة النمل:65)
Tafsirnya: “Katakanlah lagi: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. Dan tidaklah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”
(Surah an-Naml:65)
Mengenai roh, iaitu salah satu perkara ghaib, maka para ulama berbeza-beza pendapat tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan roh sebagaimana firman Allah:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً (85)
(سورة الاسرأ:85)
Tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan:”Roh itu daripada urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
(Surah al-Isra’:85)
Setengah mereka berpendapat bahawa yang dimaksudkan roh dalam ayat ini ialah roh yang ada dalam tubuh badan.Berdasarkan pendapat ini, maka ayat ini adalah bukti bahawa roh itu adalah urusan Allah, manusia tidak tahu menahu mengenainya kecuali sekadar apa yang diajarkan oleh Allah kepada mereka, kerana perkara roh adalah salah satu perkara yang dikhaskan Allah dengan ilmuNya dan ianya tertutup daripada pengetahuan makhluk.
Al-Quran dan beberapa hadis shahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunjukkan bahawa roh-roh orang mati akan terus berkekalan selepas matinya jasad. Firman Allah:
اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (42)
(سورة الزمر:42)
Tafsirnya: “Allah (yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya,-jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.”
(Surah az-Zumar:42)
Telah sabit dalam hadis bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dalam peperangan Badar mengrahkan para sahabat mencampakkan dua puluh empat mayat-mayat perwira Quraisy ke dalam salah satu lembah bumi Badar. Apabila puak Quraisy telah dapat dikalahkan, mereka pun berkhemah di kawasan lapang selama tiga malam.
Apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama para sahabat berada di Bandar pada hari ketiga, Baginda pun mengarahkan menyiapkan kenderaan Baginda, seterusnya Baginda berjalan dengan diikuti oleh para sahabat.
Pada ketika itu sahabat berkata: “Kami tidak menyangka Baginda akan berangkat, melainkan kerana sesuatu keperluan, sehinggalah Baginda berdiri di tepi lembah (lobang mayat-mayat tersebut dicampakkan), sambil memanggil nama-nama mereka dan nama bapa mereka masing-masing”, katanya: “Hai polan bin polan, hai polan bin polan, adakah kamu merasa gembira bahawa kamu mentaati Allah dan RasulNya? Kami sudahpun mendapati apa yang telah dijanjikan Tuhan kami adalah benar, dan kamu pula, adakah kamu mendapati apa yang telah dijanjikan kepada kamu itu benar?”
Kemudian ‘Umar bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah jasad-jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Demi Tuhan yang diri Muhammad di tanganNya, bukan kamu sahaja yang paling mendengar apa yang aku ucapkan, mereka juga dapat mendengarnya, akan tetapi mereka tidak berupaya menjawabnya.”
(Ibnu Katsir,al-Bidayah wa an-Nihayah:3/292)
Telah sabit juga daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa mayat dapat mendengar bunyi terompah (alas kaki) orang-orang yang menghantarnya ke kubur apabila mereka pulang.
Berkata Ibnu Qayyim Rahimahullah: “Perkara ini telah disepakati oleh ulama salaf, dan mengenainya telah mutawatir mengatakan bahawa si mati mengetahui orang hidup yang menziarahinya dan merasa gembira dengan ziarah itu.”
Ibnu Qayyim menyebutkan riwayat yang mengatakan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata tentang ayat 42, surah az-Zumar: “Telah sampai berita kepadaku bahawa roh orang-orang hidup dan roh orang yang sudah mati akan bertemu ketika tidur. Mereka akan saling bertanya. Kemudian Allah Ta’ala menahan roh-roh orang yang mati dan melepaskan semula roh-roh orang yang hidup ke badan masing-masing.”
Seterusnya Ibnu Qayyim berkata: “Bertemunya roh orang-orang hidup dengan roh orang-orang mati, telah dapat dibuktikan bahawa orang hidup boleh melihat orang mati dalam tidur (mimpi), maka roh orang hidup bertanya berita kepada roh orang mati, kemudian roh orang mati akan menceritakan berbagai perkara yang tidak diketahui oleh orang hidup, dan kebetulan apa yang diceritakan roh orang mati itu adalah bertepatan dengan kenyataan.”
Ini pendapat ulama salaf, di mana roh-roh orang mati tetap kekal sebagaimana yang dikehendaki Allah dan dia juga boleh mendengar, akan tetapi tidaklah roh orang mati itu boleh berhubung dengan orang hidup di luar daripada waktu tidur (mimpi). Juga tidak dapat disahkan kebenaran dakwaan orang tertentu yang mendakwa berupaya memanggil atau menghadirkan mana-mana roh orang mati yang mereka kehendaki, kemudian berdialog dan bercakap dengannya dan bertanya sesuatu kepadanya.
Dakwaan seperti ini adalah dakwaan bathil yang tidak mempunyai asas penyokong samaada daripada nash atau logic, bahkan Allah Ta’ala sahajalah yang mengetahui dan menguasai roh-roh itu dan Dia sahaja pula yang berupaya mengendalikannya sebagaimana yang dikehendakiNya. Allah pula yang hanya berupaya mengembalikan roh-roh itu ke badan masing-masing apabila Dia menghendakinya.
Adapun dakwaan lain daripada itu adalah dakwaan yang tidak berdasarkan ilmu dan suatu pembohongan yang nyata. Roh adalah perkara yang ghaib. Tidak siapa yang pernah melihat dan mengetahui roh itu. Ia adalah urusan-urusan Allah. Setiap yang ghaib itu asasnya ialah keajaiban dan kehebatan seperti syurga, neraka, alam kubur yakni barzakh dan termasuklah roh sendiri dan lain-lain lagi. Jadi roh itu tidak syak lagi adalah hebat dan ajaib.
Apabila ada dakwaan seseorang boleh memanggil roh, boleh bertanya kepada roh, maka gambaran orang itu adalah hebat dan ajaib pula. Apakah ini tujuan di sebalik dakwaan itu? Disinilah orang-orang awam mudah terkeliru dan menganggap perkara-perkara seumpama itu adalah umpama orang-orang yang diberi kelebihan oleh Allah. Mereka lalu terikat dan memuja serta percaya kehadiran orang ini adalah selaku wali Allah yang memiliki keramat. Mereka tidak dapat dan tidak tahu membezakan di antara sihir, istidraj, ahwal asy-Syaithaniyyah, ma’unah atau keramat.
Dakwaan para dajjal pembohong memanggil roh sebenarnya ialah campur tangan syaitan atau jin yang dipuja dan disembahnya, yang kemudian syaitan atau jin itu membalasnya dengan memberikan khidmat apa-apa yang dikehendakinya dalam bentuk-bentuk pembohongan dan dusta(perkara ini akan dihuraikan lagi kemudian insya’Allah)
Cuba perhatikan dahulu ayat ini:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاء رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ (112) وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُواْ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ (113)
(سورة الأنعام:112-113)
Tafsirnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu. Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan itu supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.”
(Surah al-An’am:112-113)
Firman Allah:
وَيَوْمَ يِحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُم مِّنَ الإِنسِ وَقَالَ أَوْلِيَآؤُهُم مِّنَ الإِنسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِيَ أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَليمٌ (128)
(سورة الأنعام:128)
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka daripada golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian daripada kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan). Dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-An’am:128)
Disebutkan oleh ulama tafsir bahawa jin merasa senang dengan manusia dengan sebab manusia menyembah mereka melalui sembelihan, nazar dan mentera-mentera. Manakala manusia pula akan merasa senang dengan jin apabila jin menunaikan keperluan yang mereka minta daripada jin itu, termasuklah berita-berita yang diketahui dan dicuri-curi oleh jin melalui pendengaran, tetapi kebanyakkannya ialah berita-berita dusta.
Perbuatan bekerjasama dengan jin dan syaitan dalam memanggil roh adalah pekerjaan tukang-tukang sihir, tukang-tukang tenung, tukang-tukang tilik dan tukang-tukang ramal yang ditegah syara’. Dosanya sangat besar dan haram, bahkan boleh membawa kufur sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tenung, kemudian dia bertanya mengenai sesuatu kepadanya, maka tidak akan diterima sembahyangnya empat puluh malam.”
Dalam Musnad Ahmad dan kitab sunan yang lain, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, kemudian dia membenarkan apa yang dikatakan tukang tilik itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam”.
Kita terpaksa dari mula memperkatakan makhluk-makhluk yang berkaitan dengan masalah-masalah ini. Yang pertama ialah makhluk manusia yang terdiri daripada dua unsur, iaitu maddah (benda) dan roh. Firman Allah Ta’ala:
إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِن طِينٍ (71) فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ (72)
(سورة ص:71-72)
Tafsirnya: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh daripada (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”
(Surah Shad:71-72)
Yang kedua ialah makhluk selain saripada manusia, iaitu dua lagi jenis alam yang juga diberi tanggungjawab untuk menyembah Allah, iaitulah malaikat dan jin. Kedua-dua jenis ala mini juga masing-masing memiliki unsure-unsur maddah dan roh.
Bagi ketiga-tiga jenis ala mini; manusia, malaikat dan jin walaupun sama-sama memiliki unsure maddah, tetapi tidak sama diantara satu sama lain. Unsur maddah manusia ialah tanah, unsure maddah malaikat ialah nur atau cahaya dan unsure maddah jin pula ialah api.
Adapun roh satu kejadian yang lain, rahsianya lebih aneh dan unik. Firman Allah Ta’ala:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً (85)
(سورة الاسراء:85)
Tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai hakikat roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah kamu diberikan ilmu pengetahuan melainkan hanya sedikit.”
(Surah al-Isra’: 85)
Para ulama Islam ada memberikan perhatian tentang soal roh ini. Mereka menerangkan kesan-kesannya dalam kehidupan, dalam pemikiran dan tingkah laku manusia. Juga tentang kesudahannya selepas ia keluar dari jasad kerana kematian.
Di antara buku atau kitab yang dikarang khas memperkatakan masalah roh ini ialah kitab ar-Ruh karangan al-Allamah Ibnu al-Qayyim.
Menurut asy-Syeikh ‘Atiyyah Shaqar, Ketua Lujnah Fatwa di al-Azhar asy-Syarif, bahawa di barat sendiri, walaupun mereka menumpukan perhatian kepada soal-soal kebendaan, namun pada akhir-akhir ini muncul aktiviti-aktiviti mengkaji roh. Ia berlangsung, baik di pengajian-pengajian tinggi mahupun di ma’had –ma’had khas. Selain itu, beberapa badan tertentu juga terus melakukan kegiatan-kegiatan yang berkaitan, sebagaimana kegiatan-kegiatan yang sama dilakukan oleh sebahagian daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, iaitu kegiatan yang dinamakan sihir dan memanggil roh atau seumpamanya.(Ahsan al-Kalam fi Fatawa wa al-Ahkam: 276)
Berbalik kepada alam-alam tadi iaitu alam malaikat, alam manusia (termasuk binatang-binatang, burung-burung dan yang melata) dan alam jin:
1. Malaikat: Adalah alam yang halus, jernih dan dijadikan daripada cahaya. Mereka diperkenankan oleh Allah untuk menyerupai berbagai bentuk. Mereka juga diberi tugas sebagai wakil Allah untuk kemaslahatan manusia, seperti menyampaikan wahyu, mencatat amalan-amalan manusia, membantu orang-orang beriman di dalam peperangan dan lain-lain lagi. Namun semua itu bukanlah dilakukan oleh mereka sesuka hati, tetapi melalui perintah dan izin Allah jua. Sesiapapun daripada kalangan manusia dan lain-lain makhluk tidak boleh menguasai mereka, atau secara langsung meminta pertolongan mereka kecuali dengan perintah dan izin Allah Ta’ala sahaja.
Sebagai satu bukti yang jelas, ialah ketika wahyu terhenti turun kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam buat sementara waktu, padahal Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam amat rindu dan ternanti-nanti akan kedatangan Malaikat Jibril ‘Alaihissalam, namun Malaikat Jibril tidak turun-turun juga. Mengapa? Kerana belum mendapat izin dan perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini ada disebut oleh Imam al-Bukhari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada Jibril, sabdanya:
ما يمنعك أن تزورنا أكثر مما تزورنا
Maksudnya: “Apakah yang menghalangi engkau (wahai Jibril) untuk menemui saya lebih banyak lagi daripada biasa?” Jibril menjawab:
وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ... (64)
(سورة مريم: 64)
Tafsirnya: “Kami tidaklah akan dapat turun melainkan dengan perintah daripada tuhanmu jua.”
(Surah Maryam:64)
Daripada dasar ini, dapatlah difahamkan bahawa tidaklah mungkin bagi manusia itu menghadirkan atau memanggil mana-mana malaikat atau roh malaikat. Jika perkara ini boleh berlaku maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih awla berbuat denikian itu.
2. Manusia: Makhluk kasar sesuai dengan fitrah kejadiannya daripada tanah, dia juga seperti malaikat mempunyai roh. Roh manusia itu apabila bercerai daripada jasadnya, tidaklah dapat diketahui dengan pasti di mana roh itu berada, melainkan Allah jua Yang Maha Mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang tahu dengan tepatnya. Adapun kita tidak banyak tahu, walaupun ada hadis-hadis yang menyebutkan bahawa roh itu masih mempunyai hubungan dengan si mati, tetapi hanyalah sekadar untuk mendengar dan menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada malaikat Munkar dan Nakir, untuk mersai nikmat ataupun azab daripada Allah Ta’ala dan untuk menjawab salam daripada orang-orang yang memberi salam ketika ziarah kubur, ataupun bagi kadar yang lebih tinggi dan lebih besar lagi daripada itu, seperti keadaan nabi-nabi di dalam kubur-kubur mereka dan orang-orang mati syahid sepertimana firman Allah Ta’ala:
وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاء عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (169)
(سورة آل عمران:169)
Tafsirnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (yang gugur syahid) itu mati, (mereka tidak mati) bahkan hidup di sisi Tuhan mereka dengan diberi rezeki.”
(Surah ali ‘Imran:169)
Imam Muslim dan lain-lain telah meriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda itu pernah ditanya mengenai perkara tersebut dan Baginda menjelaskan:
أرواحهم فى جوف طير خضر لها قناديل معلقة بالعرش, تسرح من الجنة حيث شاءت, ثم تأوى الى تلك القناديل, فاطلع اليهم ربهم اطلاعة, فقال: هل تشتهون شيئا؟ قالوا: أى شئ نشتهى ونحن نسرح من الجنة حيث شئنا؟ ففعل ذلك بهم ثلاث مرات, فلما رأوا أنهم لن يتركوا من أن يسألوا قالوا: يا رب نريد أن أرواحنا فى أجسادنا حتى نقتل فى سبيلك مرة أخرى, فلما رأى أن ليس اهم حاجة تركوا.
(النووى- شرح صحيح مسلم)
Maksudnya: “Roh-roh mereka (para syuhada’) itu berada dalam rongga burung-burung hijau, mempunyai dian-dian yang tergantung di Arasy, terbang daripada syurga sesuka hati mereka, kemudian hinggap di lampu-lampu dian itu. Allah bertanya: “Adakah lagi yang kamu idamkan?” Mereka menjawab: “Apa lagi yang kami idamkan, sedangkan kami terbang bebas daripada syurga sesuka hati kami”. Allah mengulang pertanyaan itu tiga kali kepada mereka. Setelah mendapati diri mereka ditanya, mereka pun berkata: “Wahai Tuhan kami, kami ingin supaya roh-roh kami dikembalikan semula kepada jasad kami, agar kami terbunuh pula sekali lagi di jalanMu. Setelah Allah mendapati mereka itu tidak berhajat apa-apa lagi mereka pun dibiarkanlah dalam keadaan bersuka ria.” (An-Nawawi, Syarh Shahih Muslim:13/30-31)
Seperti keadaan roh-roh orang biasa, roh orang-orang yang mati syahid juga adalah sama akan terus tertahan di sisi Allah dengan keadaan dan caranya yang tersendiri, namun untuk kembali semula kepada jasad masing-masing seperti sebelum syahid, tidaklah akan berlaku.
Firman Allah Ta’ala:
حَتَّى إِذَا جَاء أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)
(سورة المؤمنون:99-100)
Tafsirnya: “Sehinggalah apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), supaya aku berbuat amal salih dalam perkara-perkara yang aku telah tinggalkan dahulu”. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang diucapkan sahaja, sedangkan di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mendinding) sampai hari mereka dibangkitkan semula kelak (Hari Kiamat).”
(Surah al-Mu’minun: 99-100)
Berdasarkan ini, tidak sesiapapun daripada kalangan manusia yang dapat menguasai roh-roh orang yang telah mati, menghadirkan roh-roh itu dan bercakap-cakap dengannya atau roh-roh itu sendiri memberitahu tentang kesenangan atau seksa yang sedang dirasainya atau memberitahu tentang kejadian-kejadian dan perkara-perkara ghaib.Roh-roh itu hanyalah dapat berhubung dalam mimpi sahaja. Seperti kata ahli ilmu; bahawa keadaan si mati dan apa-apa yang diceritakan (di dalam mimpi) itu adalah benar, kerana keadaan telah berpindah, dari negeri yang penuh dengan kebathilan (alam dunia) ke negeri yang penuh dengan kebenaran (alam barzakh).
Ibnu al-Qayyim telah menyebutkan sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma telah berkata tentang ayat 42, surah az-Zumar: “Telah sampai berita kepadaku bahawa roh orang hidup dan roh orang yang telah mati itu bertemu ketika tidur. Mereka akan saling bertanya. Kemudian Allah Ta’ala menahan roh-roh orang yang mati dan melepaskan roh-roh orang yang hidup ke badan masing-masing.”
Ibnu al-Qayyim berkata seterusnya: “Bertemu roh orang hidup dengan roh orang mati, dapat dibuktikan, bahawa orang hidup boleh melihat orang mati di dalam tidur (mimpi) lalu roh orang hidup bertanya kepada roh orang mati, kemudian roh orang mati itu menceritakan berbagai perkara yang tidak diketahui oleh orang hidup, dan kebetulan apa yang diceritakan oleh roh orang mati itu adalah bertepatan dengan kenyataan.”
‘Bertemu dan melihat’ di sini, bukanlah dengan jalan ikhtiar atau usaha dan tidak juga atas dasar penguasaan terhadap roh-roh itu.
Inilah pendapat ulama salaf, bahawa roh orang mati tetap kekal sebagaimana dikehendaki oleh Allah dan boleh mendengar. Cuma ia tidak boleh berhubung dengan orang hidup di luar daripada waktu tidur (mimpi).
..bersambung...
No comments:
Post a Comment