Breaking

Post Top Ad

Your Ad Spot

Friday, September 23, 2011

Siapakah Wali Allah?

Kita sering mendengar dakwaan tentang seseorang itu wali Allah. Mari kita cuba memahami siapakah wali Allah dengan melihat sifat-sifatnya, amalan-amalannya dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Jadinya mana-mana orang yang mendakwa dirinya sebagai wali Allah, sedangkan dia tidak memenuhi criteria yang sebenarnya, maka mudahlah bagi kita menolak dakwaan dirinya sebagai wali Allah dan lain-lain dakwaannya yang bagi orang ramai tidak begitu jelas akan hakikat sebenarnya.



Erti Wali Allah

Wali Allah itu ialah orang yang beriman dan orang yang bertaqwa kepada Allah.

Berkata ulama tafsir: “Wali Allah ialah orang yang mendampingi dan berbuat taat kepada Allah, dan kerana itu Allah Ta’ala pula mendampingi dan memberinya kemuliaan. Wali Allah itu orang yang kasihkan Allah dengan berbuat taat kepadaNya dan kerana itu Allah pula kasihkan dia dengan memberikan kemuliaan kepadanya. Wali Allah itu, Allah Ta’ala berdamping dengannya dan memberi hadiah kepadanya, dan wali Allah itu berdamping dia dengan menjalankan hak-hak kehambaan kepada Allah, dan menyeru orang kepada Allah.” Ini setengah daripada kata ulama tafsir.

Berkata ulama tauhid: “Wali Allah ialah orang yang telah mendatangkan I’tiqad yang benar, disusun daripada dalil ‘aqli dan naqli (al-Quran dan hadis), dan dia mendatangkan amal-amal yang salih menurut cara apa yang datang daripada syara’ sebagaimana firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ 



Tafsirnya: “(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.”(Surah Yunus:63)



Iman itu tersusun daripada I’tiqad dan amal, dan maqam taqwa iaitu dia menjauhi segala larangan Allah.

Berkata Imam an-Nawawi dalam pendahuluan Syarh al-Muhadzdzab daripada Imam asy-Syafie dan Abu Hanifah Radhiallahu ‘anhuma bahawa kedua-duanya berkata: “Jika tiada ulama itu wali Allah, maka tidaklah ada wali bagi Allah, dan erti orang ‘alim ialah yang beramal dengan ilmunya dan ikhlas kepada Allah serta tiada ria dan menunjuk-nunjuk.”(Daripada tafsir al-Jamal).

Berkata al-Allamah asy-Syeikh Thahir al-Jaza’iri dalam al-Jawahir al-Kalamiyyah: “Wali itu ialah orang yang tahu dan kenalkan Allah beserta sifat-sifatNya, dan seberapa yang terdaya dia sentiasa berbuat taat serta menjauhi segala maksiat dan kesalahan, menjauhi daripada berseronok dengan kelazatan dan syahwat, dan zahir keramat daripadanya iaitu suatu kemuliaan daripada Allah dan tanda serta isyarat diterima amal ibadarnya oleh Allah dan tanda dia berdampingan dengan Allah.”

Berkata al-Allamah as-Sayyid ‘Alawi bin Thahir al-Haddad Mufti Johor yang meninggal tahun 1382H dalam kitab ‘Uqud al-Almas bi Manaqib al-Imam al-‘Arif Billah al-Habib Ahmad bin Hassan al-‘Aththas, Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Fath: “Wali itu ialah orang yang kenalkan Allah, yang sentiasa rajin membuat taat kepadaNya, yang ikhlas semata-mata kerana Allah dalam ibadatnya.”

Kata al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi lagi: “Imam yang benar, yang kuat, yang tetap dalam hati adalah asal bagi perkara wali itu. Daripada iman yang kuat itu bangkit himmah seseorang hamba Allah pada menyempurnakan taqwa kepada Allah dan mendirikan sifat-sifat kehambaan dan berusaha pada berdampingan dengan Allah dengan mengerjakan suruhanNya, dan berusaha mencari keredhaanNya, dengan membuat segala perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah, dan dia menunaikan perintah-perintah itu dengan penuh hadir hati serta dengan benar-benar khudu’ merendah diri dan menyembah Allah dengan memandang bahawa Allah itu Tuhannya dengan tidak memandang faedah dirinya, hanya memandang anugerah Allah ke atasnya dan dengan itu terhindarlah dirinya daripada sifat lalai, ‘ujub’, ria, bermuka-muka dan minta upah dan balasan, kerana dia beri’tiqad bahawa apa yang dia dapat itu hanyalah limpah kurnia Allah sebagaimana I’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah, maka dia pun bersifat ikhlas, jujur semata-mata kerana Allah dan jadilah ibadatnya ibadat hamba yang hina-dina kepada Tuhannya yang mulia.

Bahawa amal-amal salih itu mempunyai pahala dan mempunyai cahaya atau nut dalam dunia sebelum tiba Hari Akhirat. Dengan bertambah iman, maka bertambah-tambahlah seseorang hamba Allah itu beribadat dan merendah diri kepada Allah dengan berbuat ibadat-ibadat yang sunat daripada sembahyang, puasa, zikir dan berfikir pada makhluk Allah. Dan Allah beri dia taufiq pada memelihara dirinya daripada penyakit-penyakit yang merosakkan hati.

Kata al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi lagi: “Berkata al-Imam Ibnu Hajar al-Makki: “Ringkasan apa yang telah kita huraikan, bahawa barang siapa berusaha berdamping dengan Allah Ta’ala dengan mengerjakan perkara-perkara yang fardhu dan wajib, kemudian dia mengerjakan amal-amal sunat, nescaya Allah mendampinginya dan mengangkatkan darjatnya daripada darjat iman ke darjat ihsan, maka jadilah dia dalam keadaan beribadat kepada Allah dengan hadir hati dan gemar kepada Allah, sehingga jadi apa yang ada dalam hatinya daripada kenalkan Allah dapat menyaksikan dengan mata hatinya, seolah-olah dia melihat Allah, maka ketika itu penuhlah hatinya dengan kenalkan Allah, kasihkan Allah, kemudian Allah, dan kehebatan Allah dan ketinggian Allah dan merasa senang denganNya, kemudian senantiasalah mahabbah dan kasih akan Allah itu bertambah-tambahlah sehingga tidak ingat hatinya melainkan Allah, dan tidaklah dapat anggotanya berbuat sesuatu melainkan dengan persetujuan apa yang ada dalam hatinya itu. Inilah yang dikatakan tidak ada dalam hatinya melainkan kenalkan Allah, mahabbah kepada Allah ingatkan Allah.”

Kemudian kata al-Imam Ibnu Hajar lagi: “Ketika penuh hatinya dengan kenalkan Allah, maka hilanglah ingatannya yang lain daripada Allah, dan dia tidak bertutur melainkan dengan ingatkan Allah dan dia tidak bergerak melainkan dengan menurut perintah Allah. Jika dia bertutur, maka dia bertutur dengan perintah Allah, jika dia mendengar maka dia mendengar dengan perintah Allah, jika dia melihat maka dia melihat dengan perintah Allah, jika dia bergerak dan membuat sesuatu maka dia berlaku dengan perintah Allah.” Tamat katanya yakni segala gerak-geri, tuturnya dan lain-lain itu bersetuju dan muafakat dengan apa yang diperintah dan disuruh oleh Allah Ta’ala.

Katanya lagi: “Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan an-Nasa’I daripada sahabat, Anas telah berkata: “Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الايمان, أن يكون الله ورسوله أحب اليه مما سواهما, وأن يحب المرء لا يحبه الا لله, وأن يكره أن يعود فى الكفر كما يكره أن يقذف فى النار

Maksudnya: “Tiga perkara, barang siapa ada padanya, nescaya dia dapat merasa kemanisan (nyamannya) iman, hendaklah hanya Allah dan RasulNya itu sekasih-kasih keduanya kepadanya lebih daripada dia mengasihi akan lain daripada keduanya, hendaklah dia kasihkan seseorang Islam itu tidak ada kasihnya melainkan kerana Allah semata-mata, dan hendaklah dia benci akan kembali pada kufur (menjadi kafir), sebagaimana dia benci akan dicampakkan dia ke dalam api neraka.”

Ini perkataan al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alwi dalam ‘Uqud al-Almas yang terang dan jelas bahawa iman itu terbit daripada kenalkan Allah, dan kenalkan Allah itu didapati melalui kitab-kitab tauhid dan ilmu ‘aqa’id, iman itu menjadi teguh dan sempurna, nyaman di hati hamba Allah atau di hati seseorang yang beriman, apabila ada kasih mahabbah kepada Allah dan Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih dari mengasihi dirinya dan anak isterinya sendiri dan lain-lain orang. Dia kasihkan seseorang Islam itu kerana Allah semata-mata, sebab orang itu taatkan Allah, dia bencikan orang itu, kerana orang itu derhaka kepada Allah, sebagaimana yang tersebut dalam suatu hadis lain, dan dia benci tidak mahu membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang menjadikan kufur dan keluar daripada Islam dan dia benci membuat perkara yang membawa dia masuk api neraka daripada perangai jahat, perbuatan dan percakapan yang dilarang Allah.

Kelebihan Wali-Wali Allah

Firman Allah Ta’ala:

أَلا إِنَّ أَوْلِيَاء اللّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَياةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ لاَ تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ



Tafsirnya: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagian yang menggembirakan di dunia dan akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar.”(Surah Yunus: 62-64)

Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda daripada Allah Ta’ala (hadis Qudsi):

من أهان لى وليا فقد بارزنى بالمحاربة, وما ترددت فى شىء أنا فاعله ما ترددت فى قبض نفس عبدى المؤمن يكره الموت وأكره مساءته ولا بد له منه, وما تقرب الى عبدى المؤمن, بمثل الزهد فى الدنيا ولا تعبد لى بمثل ما افترضته عليه

Maksudnya: “Barang siapa menghina seorang waliKu, maka sesungguhnya dia telah memasyurkan peperangan ke atasKu, dan Aku tidak teragak-agak pada sesuatu akan Aku hendak lakukan, sebagai teragak-agak Aku pada mengambil nyawa hambaKu yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci menyakiti akannya, dan tidak dapat tidak dia daripadanya, dan tidak berdamping hamba Aku yang mukmin kepada aku, seperti dia berdamping dengan Aku dengan melakukan sifat zuhud di dalam dunia, dan tiada sesuatu ibadat yang dia kerjakan seperti dia mengerjakan ibadat-ibadat yang telah Aku fardhukan ke atasnya.”

Menurut suatu riwayat daripada Imam al-Bukhari berkata:

ان الله قال من عادى لى وليا, فقد أذنته بالحرب وما تقرب الى عبدى بشىء أحب الى من افترضت عليه, ولا يزال عبدى يتقرب الى بالنوافل حتى أحبه فاذا أحببته كنت سمعه الذى يسمع به, وبصره الذى يبصر به, ويده التى يبطش بها, ورجله التى يمشى بها, وان سألنى أعطيته, وان استعاذنى لأعيذنه, وما ترددت فى شيء أنا فاعله ترددت عن نفس عبدى المؤمن يكره الموت وأنا أكره مساءته.

Maksudnya: “Bahawa Allah Ta’ala telah berfirman: “Barang siapa memusuhi waliku, maka sesungguhnya Aku telah memasyurkan peperangan ke atasnya, dan tiada hamba Aku berdamping kepadaKu dengan sesuatu, yang lebih Aku suka daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardhukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepada Aku dengan membuat perkara-perkara sunat sehingga Aku kasihkan dia, apabila Aku telah kasihkan dia, maka dengan pendengaranKu dia mendengar akannya, dan dengan penglihatanKu, dia akan melihat akannya, dan dengan kudratKu, tangannya membuat akannya, dan dengan kudratku, dia berjalan dengan kakinya, dan jika dia minta daripadaKu, nescaya aku berikan dia, dan jika dia mohon berlindung denganKu, nescaya Aku lindungkan dia, dan tidaklah Aku teragak-agak akan membuat sesuatu, sebagaimana Aku teragak-agak daripada diri hamba Aku yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci akan menyakiti akannya.”

Dikeluarkan oleh al-Imam Ibnu Abu ad-Dunya dalam kitab al-Awliya’ daripada sahabat Anas bin Malik daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jibril daripada Allah ‘Azza wa jalla yang berfirman:

من أهان لى وليا فقد بارزنى بالمحاربة, وانى لأغضب لآوليائى كما يغضب الليث الحرد وما تقرب الى عبدى المؤمن بمثل أداء ما افترضته عليه, وما يزال عبدى المؤمن يتقرب الى بالنوافل حتى أحبه, فاذا أحببته كنت له سمعا وبصرا ويدا, ان دعانى أجبته وان سألنى أعطيته وما ترددت فى شىء انا فاعله ترددى فى قبض روح عبادى لمن يسألنى الباب من العبادة فأكفه عنه أن لا يدخله عجب فيفسده ذلك, وان من عبادى المؤمنين لمن لا يصلح ايمانه الا الفقر, ولو أغنيته لأفسده ذلك, وان من عبادى لمن لا يصلح ايمانه الا الصحة ولو أسقمته لأفسده ذلك, وان من عبادى المؤمنين لمن لا يصلح ايمانه الا السقم, ولو أصححته لأفسده ذلك, انى أدبر أمر عبادى بعلمى بقلوبهم انر عليم خبير.

Maksudnya: “Barang siapa menghinakan waliku, maka sesungguhnya dia telah berani memerangi Aku, bahawa Aku murka bagi pihak wali-waliKu, sebagaimana garang singa yang ganas, dan tidak berdamping kepadaKu oleh hambaKu yang mukmin seperti dia berdamping dengan Aku dengan menunaikan perkara-perkara yang difardhu dan diwajibkan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu yang mukmin itu berdamping denganKu dengan mengerjakan perkara-perkara yang sunat, sehingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku telah kasihkan dia, maka Aku jadi pendengarannya, pandangannya dan tangan (kudratnya). Jika kiranya dia seru dan mohon daripada Aku, nescaya Aku kabulkan dia, dan jika kiranya dia mohon minta daripada Aku, nescaya Aku berikan dia, Aku tidak teragak-agak pada berbuat sesuatu, sebagai tergak-agak Aku pada mengambil roh hambaKu yang mukmin, yang bencikan mati, dan Aku benci menyakiti akan dia, dan tidak dapat tidak dia daripadanya, dan sebahagian daripada hamba-hambaKu bermohon daripadaKu akan satu bab daripada ibadat, maka akan Aku cegah supaya jangan dia terkena ‘ujub yang akan merosakkan ibadatnya itu, dan sebahagian daripada hamba-hambaKu yang mukminin itu tidak akan betul imannya melainkan diberi dia kaya, kalau aku beri dia papa nescaya rosak imannya itu, dan sebahagian daripada hamba-hamba itu tidak betul imannya itu melainkan diberikan dia papa, dan jikalau Aku beri dia kaya, nescaya rosak imannya itu, dan setengah-tengah daripada hambaKu yang mukminin itu tidak betul imannya melainkan diberikan dia sakit, dan jikalau diberikan dia sihat tubuh badannya, nescaya rosak imannya itu, Aku mentadbirkan perkara-perkara hamba-hambaKu dengan ilmuKu dan Aku mengetahui akan hati-hati mereka, bahawa Aku yang Maha Mengetahui dan Aku yang Maha Bijaksana.”

Dikeluarkan oleh Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan sanadnya daripada Zaid bin Aslam daripada bapanya bahawa Sayyidina ‘Umar keluar pergi ke Masjid Nabawi pada suatu hari, maka dia jumpa Sayyidina Mu’adz bin Jabal menangis di sisi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka Sayyidina ‘Umar bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu menangis ya Mu’adz?” Jawab Sayyidina Muadz: “Yang menyebabkan aku menangis ialah suatu hadis yang saya mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda:

اليسير من الريأ شرك, ومن عادى أوليأ الله فقد بترز الله بالمحاربة, ان الله يحب الأبرار الأتقيأ الأخفيأ الذين ان غابوا لم يفتقدوا وان حضروا لم يعرفوا, قلوبهم مصابيح الهدى يخرجون من كل غبراء مضلمة

Maksudnya: “Sedikit ria itu adalah ia syirik (menyekutukan amal ibadat kepada Allah dengan manusia, atau tidak ikhlas semata-mata kepada Allah itu ditolak). Dan barang siapa berseteru (bermusuh) dengan wali-wali Allah, maka sesungguhnya dia telah memasyurkan perang dengan Allah, bahawa Allah kasihkan hamba-hambaNya yang benar, yang bertaqwa, takutkan Allah, yang bersembunyi (tidak dikenal oleh orang), mereka apabila ghaib (pergi jauh), maka orang-orang tidak mencari mereka, dan mereka jika kiranya ada hadir, maka orang-orang tidak kenalkan mereka, hati-hati mereka mendapat hadiah sebagai lampu suluh terang-benderang, mereka keluar daripada segala kekotoran dan gelap gelita.”

Dikeluarkan oleh Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak daripada sahabat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

ان لله عبادا ليسوا بأنبياء ولا شهداء ولا شهداء يغبطهم الشهداء والنبيون يوم القيامة لقربهم من الله ومجلسهم منه, فجاث أعرابى على ركبتيه, الناس من نزاع القبائل تصادقوا فى الله وتحاجوا فيه يضع الله عز وجل لهم يوم القيامة منابر من يخاف الناس ولا يخافون, هم أولياء الله عز وجل الذين لا خوف عليهم ولا هم يحزنون.

Maksudnya: “Bahawa bagi Allah Ta’ala itu hamba-hamba mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan orang-orang mati syahid di medan pertempuran dengan orang-orang kafir, orang-orang mati syahid dan nabi-nabi menginginkan keadaan seperti mereka (hamba-hamba itu) sebab hampir mereka itu kepada Allah Ta’ala dan majlis mereka hampir dengan Allah. Maka seorang Arab pedalaman (Badwi), duduk di atas dua lutut dan berkata: “Ya Rasulullah, mohon sifatkan mereka kepada kami, mohon rupakan mereka”. Sabda Rasulullah: “Mereka adalah suatu kumpulan orang-orang yang tidak diketahui siapa mereka, datang dari berbagai-bagai suku dan qabilah, mereka bersahabat semata-mata kerana Allah, dan mereka berkasih sayang semata-mata kerana Allah, Allah akan letakkan mereka pada Hari Kiamat di atas mimbar diperbuat daripada nur, manusia takut pada hari itu dan mereka pula tidak takut akan sesuatu pada hari itu, mereka itulah wali-wali Allah ‘Azza wa Jalla, yang mereka tidak takut akan apa-apa yang akan berlaku dan mereka tidak sedih pada apa yang telah lalu.” (Hadis ini Shahih isnadnya).

Telah diriwayatkan daripada hadis sahabat, Abu Malik al-Asy’ari bahawa dia menghimpunkan kaum bangsanya, maka dia sebutkan hadis tadi, kemudian dia berkata: “Manakala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunaikan sembahyang, maka Rasulullah memalingkan muka Baginda kepada Kami, seraya bersabda:

يا أيهاالناس اسمعوا واعلموا ان لله عز وجل عبادا ليسوا بأنبياء ولا شهداء يغبطهم النبيون والشهدأ على منازلهم, وقربهم من الله فجثا رجل من الأعراب من قاقية الناس, والوى بيده الى النبى صلى الله عليه وسلم, فقال يا رسول الله ناس من المؤمنين ليسوا بأنبياء ولا شهداء يغبطهم الأنبياء والشهداء على مجالسهم وقربهم انعتهم لنا حلهم لنا يغنى صفهم شكلهم لنا فسر وجه النبى صلى الله عليه وسلم بسؤال الأعرابى, فقال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم هم ناس من ظافناء الناس ونوازع القبائل لم تصل بينهم أرحام متقاربة تحابوا فى الله وتصافوا يضع الله لهم يوم القيامة منابر من نور فيجلسهم عليها فيجعل وجوههم نورا, يفزع الناس يوم القيامة ولا يفزعون, وهم أولياء الله الذين لا خوف عليهم ولا هم يحزنون.

Maksudnya: “Hai manusia dengarlah dan ketahuilah kamu bahawa bagi Allah Ta’ala itu hamba-hamba, mereka bukan nabi-nabi dan bukan syuhada, nabi-nabi dan para syuhada itu menginginkan (bercita-cita supaya) keadaan kedudukkan mereka seperti hamba-hamba tersebut sebab kedudukan dan hampir mereka itu kepada Allah Ta’ala, maka seorang Badwi pedalaman berdiri di atas lututnya daripada celah-celah orang dari sudut yang jauh, dan dia mengangkat tangannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan dia berkata: “Ya Rasulullah orang-orang daripada golongan orang mukminin, mereka bukan nabi-nabi dan bukan syuhada, mereka disukai oleh nabi-nabi dan syuhada, sebab kedudukan mereka dan hampir mereka itu kepada Allah Ta’ala, mohon sifatkan mereka kepada kami?” Maka wajah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berseri-seri, dengan sebab pertanyaan orang Badwi itu, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Mereka manusia daripada orang-orang yang tidak diketahui, dan dating dari berbagai-bagai suku dan qabilah, tidak ada di antara mereka rahim yang dekat, mereka berkasih saying kerana Allah, dan hening hati mereka, Allah Ta’ala akan letakkan mereka pada Hari Kiamat di atas mimbar-mimbar daripada cahaya (nur), mereka duduk di atas mimbar-mimbar itu, dan muka mereka menjadi cahaya, dan pakaian cahaya, manusia pada Hari Kiamat gementar takut, sedangkan mereka tidak gementar takut, mereka ialah wali-wali Allah, mereka tidak takut akan apa yang akan berlaku, dan mereka tidak sedih di atas apa yang telah lalu.”

Berkata al-Hafiz al-Haitami hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad kesemuanya dan Imam ath-Thabarani yang sepertinya, para perawinya semuanya tsiqah, kemudian diriwayatkan daripada Abu Malik juga, dikeluarkan ia oleh Imam Abu Ya;la, para perawinya adalah orang-orang hadis shahih melainkan syahrun bin Hausyab dan banyak ulama mengatakan dia orang tsiqah.

Ayat-ayat al-Quran dalam perkara kasih hamba Allah kepada Allah, dan kasih Allah kepada hambaNya dan kepada hamba-hambaNya yang berbuat amal salih, seperti al-muttaqin, at-Tawwabin, al-mutathahhirin, al-muhsinin dan al-muqsithin adalah banyak, begitu juga Allah Ta’ala tidak sukakan hamba yang berbuat amal tidak salih dan kejahatan seperti firman Allah:

...وَاللّهُ لاَ يُحِبُّ الظَّالِمِينَ )

Tafsirnya: “Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”(Surah Ali’Imran: 140)

Dikeluarkan oleh Imam Muslim daripada sahabat, Sa’ad bin Abu Waqqash Radhiallahu ‘anhu:

أغبط أوليائى, رجل مؤمن خفيف الحاذ ذو حظ من صلاة أحسن عبادة ربه وأطاعة فى السر وكان غامضا فى الناس لا يشار اليه بالأصابع ثم صبر على ذلك

Maksudnya: “Sesenang-senang waliku, ialah orang mukmin yang sedikit harta benda, mempunyai nasib yang baik pada menyempurnakan sembahyang, dia mengelokkan ibadat kepada Tuhannya,dan dia taatkan Allah secara tertutup (bersulit-sulit) dan dia tiada dikenal oleh orang, tiada orang mengambil tahu halnya, kemudian sabar dia di atas keadaan begitu.”Dalam hadis yang lain menyebutkan:

رب أشعت ذى طمرين لا يؤبه له, لو أقسم على الله لأبره

Maksudnya: “Boleh jadi seseorang berdebu dan rambutnya mengerbang, pakaiannya buruk, tidak diambil hirau oleh orang, tetapi jikalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah Ta’ala kabulkan sumpahnya itu.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim, at-Tirmidzi, Abu Nu’aim, Ibnu Abu ad-Dunya, al-Bazzar dan ad-Dailami).

Keramat Wali-Wali Allah

Keramat adalah suatu perkara luar biasa yang dihubungkan kepada wali-wali Allah sebagai suatu kemuliaan daripada Allah kepada wali-waliNya. Perkara-perkara yang luar biasa itu nisbah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul disebut mu’jizat. Sementara istidraj pula adalah bagi hamba-hambaNya yang derhaka. Sepanjang zaman kita akan melihat contoh-contoh keramat yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang bertaraf wali itu. Di antara contoh-contoh keramat wali-wali Allah ialah:

Kisah Maryam, Allah berfirman:

...كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقاً قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللّهِ إنَّ اللّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاء بِغَيْرِ حِسَابٍ 

Tafsirnya: “Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Maryam, daripada mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab: “Ialah daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.”(Surah Ali ‘Imran:37)

Begitu juga tentang kisah Ashhab al-Kahf, kisah Nabi Allah al-Khaidhir ‘Alaihissalam menenggelamkan kapal, Baginda mengangkat tembok dinding, dan kisah membawa ‘Arasy Balqis sekelip mata. (Surah al-Kahf, ayat 9 hingga 26, ayat 71 dan surah an-Naml, ayat 40)

Begitu juga berita-berita mengenai peristiwa luar biasa yang berlaku ke atas beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu semasa beliau di atas mimbar di Madinah al-Munawwarah, beliau melihat tenteranya (di Iraq) seraya katanya yang bermaksud: “Hai sariah (ketua tentera) berundurlah kamu ke bukit”, dan perkataan tersebut didengar oleh sariah. Sepertimana juga Khalid bin al-Walid Radhiallahu ‘anhu telah meminum racun tanpa berlaku sebarang mudharat ke atas dirinya.

Jadi keseluruhan sifat seorang wali Allah itu ialah: Dia yang sentiasa dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala maksiat, dan keramatnya itu ialah lahirnya sesuatu yang luar biasa daripada pihaknya sendiri tanpa diikuti dengan dakwaan bahawa dia seorang nabi, di samping itu dia ber’tiqad dengan I’tiqad yang betul dan beramal salih serta memberikan penghayatan sepenuhnya dalam mengikut perjalanan hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Majoriti ulama-ulama Islam berpendapat tentang harusnya berlaku keramat kepada wali-wali Allah, walaupun puak Mu’tazilah menolaknya. Pendapat yang terpilih ialah mengharuskan berlaku beberapa kejadian luar biasa yang termasuk di dalam keramat.

Adapun perbezaan di antara keramat dan mu’jizat itu ialah mu’jizat diikuti dengan dakwaan kenabian, sedangkan keramat sunyi daripada dakwaan seumpama itu, sehinggakan jika ada seorang wali mendakwakan dirinya nabi secara langsung dia telah menjadi musuh Allah dan sama sekali tidak berhak memperolehi keramat, malah sebaliknya dia akan ditimpa laknat dan kehinaan daripada Allah. Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang memuliakan wali-wali Allah dengan menyebutkan sifat-sifat mereka. (Fath al-Bari Syarh al-Bukhari: 11/340-341).

Benarkah dakwaan seseorang bahawa dia menjadi wali dan bertemu dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengendalikan tariqat Baginda?

Mengenai dengan dakwaan seseorang menjadi wali itu para ulama telah memberikan pendapat, di antaranya:

Berkata Abu Said al-Khadami Rahimahullah:

“Ketahuilah bahawa ilmu, amal, pendirian yang teguh dan taqwa adalah lebih utama dan penting daripada keramat kerana ilmu, amal, pendirian yang teguh dan taqwa itu adalah disuruh melakukannya dan ianya boleh menambah dekat kepada Allah di samping sebagai jalan untuk diterima Allah. Ketiadaan keempat-empat perkara ini boleh menjadikan seseorang itu jauh dan tersingkir daripada rahmat Allah, sedangkan keramat bukanlah perkara yang disuruh dan meninggalkannya pula bukan sesuatu yang diharamkan, bahkan meninggalkan atau menyembunyikan keramat itu adalah lebih utama dan lebih baik berbanding daripada memperlihatkannya.”

Oleh yang demikian para ulama sepakat bahawa memperlihatkan atau menzahirkan keramat, boleh menjadikan seseorang itu tertegah daripada mentaati Allah Ta’ala di samping menunjukkan bahawa yang empunya keramat itu bukanlah seorang wali, kerana kerendahan cita-cita dan kesukaannya kepada sesuatu yang rendah nilainya.

Berkata al-‘Arif as-Sirry as-Saqthi: “Jikalau seseorang yang ‘arif memasuki suatu kebun yang dipenuhi dengan pohon-pohon, dan pada setiap pohon itu pula terdapat burung, lalu burung-burung itu dengan fasihnya berkata dan mengucapkan kepadanya: “Assalamu’laikum (selamat sejahtera) ke atasmu wahai wali Allah”, maka wajiblah dia bertambah-tambah takut kepada Allah, dan apabila dia tidak merasa takut, nescaya dia adalah orang yang tertipu.

Kepada Sultan al-‘Arifin, Abu Yazid al-Bustami pernah diberitakan bahawa: “Si polan boleh berjalan ke Makkah hanya dalam satu malam”. Lalu dia menjawab: “Syaitan juga boleh berjalan hanya satu saat dari timur ke Barat dalam keadaan dia dilaknat oleh Allah”. Pada waktu yang lain diberitakan kepada beliau bahawa: “Si polan boleh terbang di udara”. Lalu beliau menjawab: “Lalat juga boleh terbang seperti itu”. Pada ketika yang lain diberitakan pula kepada beliau bahawa: “Si polan dapat berjalan di atas sungai”. Lalu beliau menjawab: “Ikan juga boleh berbuat begitu.”

Dalam kitab ar-Risalah al-Qudsiyyah karangan Zainuddin al-Hafy disebutkan bahawa: “Semua guru-guru yang mursyid mengajar murud-murid mereka supaya jangan cenderung menginginkan keramat zahir dan menggalakkan mereka supaya lebih cenderung kepada kebenaran berbanding daripada memperturutkan keinginan hawa nafsu.”

Cuba perhatikan bahawa Sultan al-‘Ariffin, Abu Yazid, moga-moga Allah mensucikannya, adalah beliau berlindung dengan Allah daripada perkara-perkara yang disebut di atas dan yang seumpamanya, sebagaimana yang dinukilkan dalam buku Hill ar-Rumuz min Qut al-Qulub, dalam munajatnya, beliau bermadah: “Ya Allah, Tuhanku, ada segolongan kaum meminta kepadaMu, lalu Engkau memberi mereka berupaya berjalan di atas air dan terbang di udara, maka mereka pun suka dengan yang demikian, akan tetapi aku berlindung denganMu daripada perkara yang sedemikian. Segolongan kaum pula meminta kepadaMu, lalu Engkau berikan kepada mereka supaya memijak seluruh bumi, maka mereka pun suka dengan yangdemikian, akan tetapi aku berlindung denganMu daripada yang sedemikian. Segolongan lain meminta kepadaMu, lalu Engkau berikan kepada mereka kekayaan bumi da orang ramai pun berdatangan kepada mereka, maka mereka pun suka dengan yang demikian, akan tetapi aku berlindung denganMu daripada yang sedemikian…” sehinggalah beliau menyebutkannya lebih daripada dua puluh makam wali-wali.

Perhatikanlah betapa tinggi cita-cita dan himmah serta kekuatan hati beliau. Beliau hanya rela dengan apa yang diredhai oleh Allah.

Diriwayatkan bahawa Abu Hafsh al-Hadad pernah berkata kepada kawan-kawannya dalam suatu perjalanan di tengah padang pasir: “Jikalau ada kambing disini bolehla kita sembelih”. Tiba-yiba muncul seekor kijang dari arah lain dan terus berhenti di hadapan Abu Hafsh. Semua sahabat Abu Hafsh merasa gembira, tetapi Abu Hafsh berdukacita dan menangis. Abu Hafsh ditanya kenapa dia berdukacita dan menangis Abu Hafsh menjawab: “Diberi apa yang dikehendaki, bermakna kita dikeluarkan dari pintu. Jikalau tidak diberikan apa-apa yang dikehendaki oleh Fir’aun, nescaya dia tidak akan terus menerus dalam kebathilannya”. Kemudian Abu Hafsh melepaskan kijang itu. (Begitulah yang termaktub dalam kitab Hill ar-Rumuz).

Berkata Abu Yazid Rahimahullah: “Jikalau kamu melihat atau mengetahui seseorang diberikan keramat seperti terbang di udara, menghidupkan orang mati dan menyingkatkan perjalanan yang jauh, sehinggakan dia boleh duduk bersila di udara, maka janganlah kamu tertipu dengannya, jangan kamu I’tiqadkan kewaliannya dan dekatnya kepada Allah, kerana perkara itu boleh jadi istidraj daripada Allah, sehinggalah kamu dapat mengenalinya bagaimana dia melaksanakan suruhan, larangan dan memelihara hokum-hukum Allah dan bagaimana dia mengamalkan syariat.” (Bariqah Mahmudiyyah fi Syarh Thariqah Muhammadiyyah, wa Syari’ah Nabawiyah fi Sirah Ahmadiyyah: 1/112-114).

Apa erti istidraj? Ulama memberi makna istidraj itu ialah umpan untuk mengeluarkan seseorang daripada garis lurus kebenaran dengan tidak disedari. Diperturut apa-apa yang dia mahu dan dibukakan segala pintu sehinggalah dia lupa diri, yang akhirnya membawa jauh tersesat dan datang azab sekonyang-konyang.

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

واذا رأيت الله يعطى العبد الدنيا على معاصيه ما يحب فاءنما هو استدراج

Maksudnya: “Dan jika engkau lihat Allah memberikan sebahagian keduniaan kepada hambaNya, apa sahaja yang diingininya dengan dengan kemaksiatannya, maka pemberian yang demikian adalah istidraj.”(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Berkata pengarang Jauhar at-Tauhid: “Sesungguhnya wali Allah itu tidak menhetahui yang dia sebenarnya adalah seorang wali.”

Pengarang berpendapat demikian dengan memberi alasan bahawa seseorang wali Allah itu menjadi wali hanyalah disebabkan haqq (kebenaran) itu mencintainya, bukan kerana dia mencintai kebenaran. Cintakan kebenaran itu pula suatu rahsia yang tidak dapat diselami oleh sesiapapun melainkan oleh orang-orang yang tertentu daripada kalangan mereka yang dikehendaki oleh Allah sahaja.

Selain daripada itu, ketaatan seseorang hamba itu tidak akan dapat memberi kesan kepada cintakan kebenaran itu, kerana ketaatan adalah baharu, sedangkan sifat-sifat haqq (kebenaran) pula adalah qadim (abadi).

Kemudian, ketetapan yang menunjukkan dianya seorang wali Allah, atau dia sebagai salah seorang ahli syurga dan akan menerima ganjaran pahala, adalah tertakluk keputusannya ketika dia menghadapi kematian. Dalilnya ialah firman Allah:

مَن جَاء بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا....


Tafsirnya: “Sesiapa yang membawa amal yang baik, maka baginya sepuluh kali ganda amalnya itu.”(Surah al-An’am:160)

Jalan pengambilan dalil ialah kerana dalam ayat itu disebutkan “sesiapa yang membawa”, dan ayat itu tidak menyebutkan: man ‘amila hasanah (sesiapa yang beramal kebaikan). Oleh sebab itu adanya hak boleh menerima ganjaran pahala hanya diperolehi dari ketika menghadapi kematian, bukan dari mula beramal.

Apa yang disebutkan di atas ini tidaklah menegah adanya tanda-tanda kewalian bagi seseorang. Di antara tanda-tanda kewalian itu ialah: Dalam perbuatan zahir patuh tunduk kepada syariah manakala dalam perbuatan batin tenggelam di lubuk hakikat ketuhanan dan tetap hadir bersama Allah. Sebagai dalilnya ialah: Hendaklah dia tidak mempunyai rakan (sesuatu) selain Allah.

Adakalanya Allah Ta’ala memberikan berbagai keramat kepada sesetengah orang-orang zahid bagi mententeramkan jiwa mereka dan untuk memperteguh keyakinan hati mereka di samping ada kalanya pula keramat itu tidak diberikan kepada orang-orang yang lebih tinggi martabatnya daripada mereka, kerana mereka ini tidak memerlukannya disebabkan keyakinan mereka sudah teguh dan ketenteraman jiwa mereka pula sudah mantap. (Syarh Jauhar at-Tauhid fi ‘Aqidah Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah: 2/948-949).

Berbalik mengenai dakwaan bertemu dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengendalikan sesuatu tariqat, maka hendaklah diingat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun sempurna menyampaikan seluruh kandungan perutusan Allah, sebagaimana ditegaskan melalui firman Allah:

...الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا....


Tafsirnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”(Surah al-Ma’idah:3)



Agama Islam dan kaum Muslimin seluruhnya tidak perlu lagi untuk menerima perutusan daripada sesiapa yang lain daripada junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Quran tetap terpelihara dan dibaca dan umat Islam telah disuruh oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikannya kepada orang lain. Sabda Baginda:

بلغوا عنى ولو آية
(رواه البخاري والترمذي)


Maksudnya: “Sampaikan bagi pihakku kepada orang lain walaupun dengan satu ayat.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan at-Tirmidzi)

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat. Seluruh perintah yang berupa halal haram dan lain perintah telah tertutup dengan terhentinya wahyu kerana kewafatan Baginda itu. Ini dengan merujuk kepada ayat 3, surah al-Maidah di atas.

Dakwaan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seseorang untuk mengurus dan mengendalikan urusan tariqat dan mengembangkan tariqat tersebut kepada orang ramai adalah bertentangan dengan ayat di atas (surah al-Maidah, ayat 3), kerana dakwaan itu adalah perintah. Tiada perintah setelah wahyu terhenti dan setelah wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun tidak dinafikan terdapat riwayat atau hikayat yang menyebut bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (setelah wafat Baginda) pernah menyuruh atau mengajar seseorang melalui mimpi atau melalui cara jaga, tetapi ini bukanlah perintah secara menyeluruh atau umum melainkan hanyalah bagi peribadi tertentu.

Sesungguhnya memanglah harus seseorang itu berjumpa dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sama ada waktu tidur atau waktu jaga dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan suatu ilmu, suatu doa, suatu selawat atau suatu zikir, semuanya ini harus, sebagaimana perkara ini telah berlaku kepada setengah-setengah ulama, wali Allah atau orang-orang salih. Perkara ini tidak termasuk dalam maksud atau kategori perintah, melainkan di bawah Fadha’il al-A’mal.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Nu’aim dan Ibnu Basykawal daripada Imam Sufyan ats-Tsauri telah berkata: “Di antara ketika saya mengerjakan haji, tiba-tiba masuk seorang pemuda, dia tidak mengangkat sebelah kaki dan tidak meletakkan sebelah kaki, melainkan dia berkata:

اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

Maka saya kata kepadanya: “Adakah dengan ilmu kamu kata begitu?” Pemuda itu menjawab: “Ya, kemudian pemuda itu berkata: “Siapa tuan?” Saya jawab: “Saya Sufyan ats-Tsauri”, dia bertanya: “Dari Iraq?” Saya jawab: “Ya. Pemuda itu bertanya: “Adakah tuan kenalkan Allah?” Saya jawab: “Ya”, pemuda itu bertanya: “Adakah tuan kenalkan akan Allah?” Saya jawab: “Allah memasukkan malam ke dalam siang dan Allah memasukkan siang ke dalam malam dan Allah menggambarkan anak-anak dalam rahim.” Kata pemuda itu: “Wahai Sufyan, tuan belum kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal”. Saya kata: “Bagaimana kamu kenalkan akan Allah? Jawab pemuda itu: “Bagaimana kamu kenalkan akan Allah?” Jawab pemuda itu: "بفسخ الهم ونقض العزم" ertinya: “Dengan membuang bimbang dan membatalkan azam dan saya bimbang maka dibuang bimbang saya itu dan saya berazam, maka dibatalkan azam saya itu, dengan itu saya kenal bahawa bagi saya ada Tuhan yang Esa yang mentadbirkan hal ehwal saya.”

Saya kata: “Apa itu selawat yang kamu selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Jawab pemuda itu: “Ceritanya begini, saya pergi haji bersama-sama dengan ibu saya, dan ibu saya minta saya bawa dia masuk dalam Ka’bah, maka ibu saya terjatuh, dan bengkak perutnya, hitam legam mukanya. Maka saya duduk di sisinya dengan sedih hati saya, saya angkat dua tangan saya ke langit dan saya berkata: “Ya Rabbi ya Tuhanku, beginikah Tuhan hamba buat kepada siapa masuk ke dalam rumah Tuhan hamba (Ka’bah)”, maka tiba-tiba awan naik dari sebelah Tihamah, dan tiba-tiba ada di dalamnya seorang lelaki memakai pakaian putih, dia masuk ke dalam Ka’bah dan dia lalukan tangannya di atas perut ibu saya, maka muka ibu saya menjadi putih dan kesakitannya reda, kemudian dia berjalan hendak keluar dari Ka’bah itu, maka saya tarik bajunya dan saya kata padanya: “Siapa tuan yang menolong menyelamatkan saya daripada kesedihan saya?” Jawabnya: “Saya Nabi kamu Nabi Muhammad yang kamu memberi selawat ke atasnya”, maka saya kata: “Ya Rasulullah "فأوصنى"ertinya: “Mohon beri pesan kepada saya”. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

لا ترفع قدما ولا تضع قدما الا وأنت تصلى على محمد وعلى آل محمد

Maksudnya: “Jangan angkat sebelah kaki dan jangan letakkan sebelah kaki melainkan kamu berselawat ke atas keluarga Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam 
(اللهم صل على محمد وعلى آل محمد)


Kata saya: “Adalah orang muda ini daripada kalangan wali-wali yang sampai kepada Allah.”

Saya kata, ini kisah yang diceritakan Imam Sufyan ats-Tsauri yang terkenal dan dinukilkan oleh Imam Abu Nu’aim pengarang kitab Hilyah al-Awliya’ dan Ibnu Basykawal dan telah dinukilkan oleh Muhaddits ad-Dunya as-Sayyid asy-Syeikh Abdullah ash- Shiddiq al-Ghummari daripada ulama al-Azhar dan ulama Pasa al-Maghribi, dalam kitabnya Fadha’il an-Nabiy fi al-Quran wa an-Nafakhat al-Illahiyyah fi ash-Shalah ‘ala Khair al-Bariyyah dicetak oleh Maktabah al-Qahirah, Syari’ as-Sanadiqiyyah Maidan al-Azhar, Mesir.

Maka nyata daripada kata-kata ulama yang di atas ini bahawa berjumpa dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam waktu tidur atau waktu jaga dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar akan sesuatu ilmu, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang salih. Kita berkata perkara seperti itu termasuk di bawah erti kata fadha’il al-a’mal.

Menurut al-‘Allamah al-Imam Syeikh Syuyukh al-Azhar wa Khatimah al-Muhaqqiqin asy-Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf al-‘Adawi al-Maliki Rahimahullah, dan kitab al-Mathalib al-Qudsiyyah fi Ahkam ar-Ruh wa Atsariha al-Kauniyyah menyebutkan: “Melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini dalam keadaan jaga, maka para ulama menyebutkan bahawa melihat Nabi secara jaga, maka para ulama menyebutkan bahawa melihat Nabi secara jaga adalah termasuk dalam perkara yang jarang terjadi dan sangat sedikit sekali orang yang mengalaminya, kecuali hanya bagi orang-orang yang bersifat mulia, bahkan perkara ini sudah berabad-abad tidak terjadi. Apa halnya pula jika dibandingkan dengan zaman ini yang penuh dengan fitnah, yang meluasnya berbagai-bagai kemaksiatan dan manusia pun sudah jauh daripada berdampingan dengan Nabi.

Kesimpulannya, bahawa melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan jaga dan berdialog dengan Baginda merupakan maqam yang tinggi dan rahsia ketuhanan. Apabila ia tersingkap, maka ia akan tertutup dan apabila ia muncul, ia akan tersembunyi. (Lihat Tafsir al-Alusi dan Ihya’ Ulum al-Din berhubung dengan perkara melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).

Jika dia tidak termasuk daripada kalangan orang-orang yang tinggi kedudukan dan ahli kasysyaf, lagi mengenali Allah, maka tidaklah ada halangan baginya untuk melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu.

Melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan mata tidak sama seperti melihat sebagaimana yang dikenali oleh orang ramai. Penglihatan ini hanya merupakan gabungan keadaan (rohani), alam barzakh dan perasaan hati yang dapat diselami hakikatnya hanya oleh orang yang terlibat. Penglihatan ini hanya terjadi kepada orang-orang yang sempurna yang tidak mengabaikan syariat walau sebesar rambut, atau kepada orang-orang kasysyaf yang tidak lagi membezakan di antara yang batin dan zahir di ala mini.

Sesungguhnya yang dilihat di luar kubur Baginda dan pergi pula ke berbagai tempat, hanyalah bayangan dan gambaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bukan jasad dan tubuh badannya, sebagaimana pendapat kebanyakkan ahli-ahli kasysyaf dan itulah yang dijelaskan oleh Imam Ghazali dan ulama-ulama besar lainnya.

Kejadian yang sedemikian boleh jadi melalui bayangan (gambaran) roh Baginda yang mulia yang kemudian muncul dalam bentuk yang dapat dilihat di samping roh (asal) Baginda tetap kekal bersambung dengan jasad Baginda yang terus hidup di dalam kubur itu.

Atau juga boleh jadi melalui jasad mitsali atau jasad contoh yang bergantung (bersambung) kepada roh Baginda, Sebagaimana ianya bergantung (bersambung) dengan tubuh badan sebenar Baginda. Tidaklah ada halangan terjadinya jasad mithali atau jasad contoh yang tidak terhingga banyaknya yang berpunca daripada satu tubuh badan serta rohnya pula bersambung dengan setiap jasad mithali atau jasad contoh itu.

Dengan yang demikian dapatlah terjawab pertanyaan bagaimana caranya boleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dilihat oleh ramai orang dalam satu ketika di berbagai tempat yang berjauhan. Zat jasad Baginda yang mulia telah dilihat, akan tetapi Baginda masih tetap di dalam kuburnya, tidak berpindah dari tempatnya yang mulia. Jikalau berpindah atau beralih dari situ nescaya kosonglah makam yang mulia itu dan terhalanglah melihat Baginda di dalam dua tempat pada satu masa bagi ahli-ahli kasysyaf. Walaupun begitu, harus Baginda beralih (pindah) dari makam (kuburnya) mengikut pandangan dan khayalan orang yang melihatnya, maka inipun harus Baginda dilihat di berbagai tempat yang berjauhan.

Adalah Baginda bagaikan matahari di tengah-tengah langit, cahayanya menutupi alam jagat, sama ada di timur atau di barat.

Yang sebaik-baiknya sesiapa yang memperolehi kesempurnaan (melihat itu), hendaklah dia jangan menyebarluaskannya kepada orang ramai, kerana perkara itu boleh membawa fitnah dan menjadikan orang ramai berprasangka buruk dan membuat tuduhan yang bukan-bukan.” Tamat katanya.

Untuk mengakhiri jawapan ini, kita salinkan antara lain fatwa al-Azhar oleh Fadhilah al-Imam al-Akhbar asy-Syeikh Jadd al-Haq Ali Jadd al-Haq, Syeikh al-Akbar dalam jawapannya kepada pertanyaan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

“Mengenai soalan tentang kehadiran orang yang mendakwa menjadi wali bertemu dalam keadaan jaga di dalam majlis pertemuan yang diadakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di langit yang dihadiri juga oleh beberapa orang nabi-nabi dan wali-wali Allah termasuklah Nabi Allah Khaidir ‘Alaihissalam dan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan dakwaannya lagi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wasallam telah melantiknya untuk menjadi amir (memberi kuasa) untuk mengendalikan urusan tariqat Baginda dan dia diutuskan untuk menyampaikan tariqat tersebut kepada orang ramai,………. ini semua adalah suatu pendustaan dan rekaan semata-mata, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat dan telah sempurna menyampaikan seluruh kandungan perutusan sepertimana ayat:

...الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا... 

Tafsirnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”(Surah al-Ma’idah:3)

Demikian telah berkata Syeikh al-Azhar, dalam fatwanya (Buhuts wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’ashirah: 4/333).

Semoga Allah menyelamatkan umat Islam dengan terus berada di atas landasan aqidah yang benar.

والله اعلم

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad

Your Ad Spot

Laman-Laman