oleh Faisal Mustaffa
Sebagai seorang muslim saya tetap bersetuju dengan hukum berpoligami yang dibolehkan dalam Islam. Asalkan lelaki yang ingin berpoligami itu cukup syaratnya dan berkemampuan. Poligami dihalalkan oleh Allah SWT, maka tidak layak untuk kita mengatakan bahawa ianya “salah” kerana ianya bersalahan dengan ketentuan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa ayat 3 :
Maksudnya : Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
Wanita Sukar Menerima Poligami
Walaupun madu itu dianggap manis, tetapi madu dalam istilah berpoligami meninggalkan kesan pahit pada diri seorang wanita yang bergelar isteri. Ada yang redha dengan perkara tersebut, dan ada juga yang sukar menerima hakikat bahawa dirinya dimadukan.
Hanya wanita yang benar-benar teguh hatinya sahaja mampu membenarkan suaminya beristeri lebih daripada satu. Daripada 100 orang wanita, cukup bertuah sekiranya ada seorang wanita yang rela dirinya dimadukan. Bahkan ada yang menganggap bermadu itu lebih pahit daripada hempedu.
Hanya wanita yang benar-benar teguh hatinya sahaja mampu membenarkan suaminya beristeri lebih daripada satu. Daripada 100 orang wanita, cukup bertuah sekiranya ada seorang wanita yang rela dirinya dimadukan. Bahkan ada yang menganggap bermadu itu lebih pahit daripada hempedu.
Golongan wanita mempunyai perasaan lembut dan halus. Mereka sukar untuk menerima hakikat bahawa kasih sayang yang diperolehi daripada seorang suami selama ini terpaksa dikongsi dengan wanita lain. Bahkan lebih daripada itu, ada sebahagian wanita yang mengadu bahawa mereka telah mengorbankan kerjaya mereka semata-mata untuk membesarkan anak-anak, tetapi pengorbanan tersebut seperti tidak dihargai oleh pasangan mereka.
Dendam Bersalut Dosa
Lebih menyayat hati apabila ada segelintir wanita yang dimadukan oleh suami bertindak diluar batas-batas keagamaan. Tanpa berfikir panjang, ada yang mengambil jalan mudah untuk memuaskan hati mereka dengan melakukan penzinaan bersama lelaki lain semata-mata mahu membalas dendam terhadap suami mereka. Kerana dendam mereka dimadukan, sengaja mereka bermadu asmara dengan lelaki yang haram ke atas diri mereka.
Sesetengah dalam kalangan mereka merasakan dengan tindakan tersebut mereka berjaya memuaskan hati yang sedang terluka, namun begitu anggapan mereka salah. Ini kerana suami mereka “bersama’ dengan isterinya yang halal disisi Allah, tetapi mereka “bersama’ dengan lelaki yang haram ke atas diri mereka.
Tindakan atas dasar membalas dendam ini adalah bisikan-bisikan daripada syaitan untuk merosakkan nasab anak Adam. Mereka bukan sahaja hilang kehormatan didunia, bahkan diakhirat dilaknat oleh Allah SWT. Sekiranya merujuk kepada hukum Islam sekalipun, mereka selayaknya direjam dengan batu sehingga mati.
Pengakuan Membawa Kepada Perceraian
Ada yang membuat pengakuan bahawa mereka menyesal selepas melakukan perbuatan terkutuk ini, tetapi seperti kata pepatah melayu sesal kemudian tiada gunanya. Terdapat segelintir pasangan isteri yang menceritakan peristiwa ini kepada suaminya atas perasaan bersalah ingin memohon kemaafan, akhirnya mereka menerima hadiah “penceraian” daripada suami mereka. Agak sukar sebenarnya bagi seorang suami untuk menerima hakikat bahawa isterinya telah berzina dengan lelaki lain. Inilah bahana apabila sudah terlanjur.
Rumah tangga yang dibina dengan mengharapkan kebahagiaan, akhirnya terburai ditengah jalan. Suami yang berpoligami tanpa dicelahi dosa mendapat kebahagian, manakala isteri yang sudah terpalit dengan dosa atas pilihan dirinya sendiri akhirnya mendapat kesengsaraan. Suami yang adil dengan mudah berjalan masuk ke syurga, tetapi isteri yang bertindak mengikut emosi dicampakkan ke dalam neraka.
Sabar dan Redha Itu Lebih Baik
Sabar dan Redha merupakan kalimah yang cukup mudah disebut, tetapi amat berat untuk melaksanakannya. Namun begitu, inilah sebaik-baik jalan yang harus dipilih oleh isteri-isteri yang telah dimadukan.
Sabar itu tinggi darjatnya. Bahkan Allah SWT turut bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar menghadapi ujian. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 153 :
“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan tunaikanlah solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”
Dengan sabar seorang isteri itu diangkat darjatnya oleh Allah SWT. Mereka bukan sahaja dimuliakan oleh Allah SWT di dunia, tetapi diakhirat juga mereka akan diangkat darjatnya oleh Allah SWT.
Sabar Dari Membalas Dendam
Antara sabar yang harus ada pada pasangan yang dimadukan ini adalah sabar daripada membalas dendam kepada suami mereka. Andai suami pulang ke rumah, usahlah dihalau dengan penyapu tetapi terimalah dengan senyuman kasih sayang.
Walaupun mungkin ada terniat dihati untuk membalas dendam dengan memboikot kehadiran suami, namun begitu tindakan begitu hanya mendatangkan murka disisi Allah SWT. Mungkin isteri akan berasa puas apabila berjaya untuk tidak mengendahkan suaminya, namun begitu diakhirat nanti sudah tentu mereka akan dicela oleh Allah SWT.
Biarlah didunia menerima sedikit kedukaan, tetapi yakinlah di atas kesabaran ini Allah akan mengurniakan seribu kegembiraan. Di sinilah perlunya wanita berfikiran secara waras dalam melaksanakan tindak tanduk mereka apabila berhadapan dengan masalah dimadukan. Andainya suami seorang yang adil dan berkemampuan, terima hakikat dengan redha.
Pesan saya buat akhirnya, terimalah takdir hidup ini dengan redha. Yakinlah bahawa dengan sedikit kesedihan ini Allah ingin mengurniakan lebih banyak kebaikkan kepada golongan isteri-isteri yang telah dipoligami dimasa depan. Mungkin tidak nampak dengan mata, tetapi mata hati mampu membuka tabir ini sekiranya hati terus disuburkan dengan iman.
No comments:
Post a Comment